|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat : GRAND LAGOON BALLROOM, SUNWAY RESORT HOTEL, PETALING JAYA, SELANGOR Tarikh : 01-11-2000 MAJLIS ANUGERAH PERADUAN FORMULA MALAYSIA DAN PELANCARAN YAYASAN FORMULA MALAYSIA Penyampai: PM No. Sysref: Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana negara kita begitu aman dan makmur dan rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan penuh sejahtera serta dapat mencari rezeki tanpa sebarang halangan. Inilah kelebihan negara kita berbanding dengan kebanyakan negara lain di dunia. 2. Ini adalah hasil daripada perjuangan kita semua supaya nikmat kemerdekaan dan kekayaan negara kita dapat kita kongsi bersama. Kita telah berjaya membentuk acuan kita sendiri dalam membangun dan memajukan rakyat dan negara. Hari ini kita menikmati segala hasil titik peluh dan usaha kita selama ini iaitu kebebasan, keamanan, keselamatan, kemajuan dan kemakmuran. 3. Hari ini kebanyakan rakyat kita sudah sedar bahawa kemerdekaan yang kita nikmati tidak bermakna selagi kita tidak bebas daripada cengkaman asing daripada segi ekonomi, politik, sosial, malah juga bebas daripada pemikiran asing yang tidak sesuai untuk kemajuan dan pembangunan negara kita sendiri. 4. Banyak negara di dunia kini tidak lagi mampu bertahan dan terpaksa tunduk atau tumbang kerana berbagai-bagai ancaman sama ada dari dalam negaranya sendiri atau dari luar. Ini berlaku kerana negara- negara ini tidak mempunyai kekuatan dalaman, kecekapan dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi mereka dan yang lebih berat lagi ialah tiadanya sokongan rakyat dalam apa juga tindakan yang dilakukan oleh kerajaan. 5. Sewaktu kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998, beberapa negara yang dahulunya menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat sehingga menerima jolokan sebagai `harimau ekonomi', telah runtuh ekonomi mereka sehingga mereka terpaksa mendapat dan bergantung kepada pinjaman dari bank dunia dan dana matawang antarabangsa (IMF) untuk memulihkan ekonomi mereka. Akibatnya negara-negara berkenaan menerima syarat menyerah pengurusan ekonomi, bahkan politik mereka kepada kuasa asing. Maruah dan kedaulatan negara mereka juga turut hilang kerana mereka tidak bebas lagi dan terpaksa mengikut telunjuk agensi kewangan asing dan negara besar yang menguasai agensi ini. 6. Krisis kewangan ini telah memberi pengajaran akan betapa mudahnya kuasa asing boleh meruntuhkan sesebuah negara melalui serangan ekonomi, umpamanya dengan menjatuhkan nilai matawang. Mereka tidak perlu melancarkan serangan ketenteraan untuk melumpuhkan ekonomi negara-negara yang bersaing atau menggugat ekonomi mereka. 7. Krisis ini bukan sahaja berlaku di rantau asia sebelah sini tetapi telah merebak ke Rusia, Afrika Selatan dan ke beberapa negara lain. Ia adalah sebahagian daripada usaha oleh kuasa-kuasa tertentu untuk menakluk dunia semula. Globalisasi atau dunia tanpa sempadan adalah nama yang diberi kepada strategi baru ini. Jika kita tidak awasi, sempadan negara kita akan diruntuhkan dan kita tidak lagi dapat melindungi diri kita di belakangnya. 8. Tetapi kita bersyukur kerana sewaktu bergolaknya krisis ekonomi yang paling dahsyat ini rakyat negara kita begitu bersatupadu dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan atau masalah yang boleh menggugat kestabilan negara. Kkeadaan yang aman ini memudahkan usaha kerajaan merangka strategi memulihkan ekonomi negara dengan berkesan dan berjaya. 9. Krisis kewangan ini memberi pengajaran yang besar kepada kita bahawa negara kita tidak selamat dan boleh diserang bila-bila sahaja. Pengajaran yang tidak kurang pentingnya ialah keperluan perpaduan rakyat dan kepercayaan dan sokongan mereka kepada kerajaan dalam usaha memulih negara. Kesanggupan rakyat menghadapi tekanan dan kesusahan semasa ekonomi merosot mematahkan serangan asing yang berharap huru-hara akan berlaku dan kerajaan ditumbangkan. Inilah pendekatan kita, inilah cara kita menghadapi cabaran dan inilah formula kita, Formula Malaysia. 10. Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang memiliki nilai hidup yang tinggi. Nilai hidup yang tinggi termasuklah sikap disiplin dan tabah hati apabila menghadapi cabaran. Orang yang berdisiplin tidak akan pecah barisan apabila diserang. Sebaliknya mereka akan rapatkan lagi barisan mereka dan berdiri tegak menangkis segala serangan. mungkin beberapa daripada mereka akan gugur. Semasa kegawatan ekonomi ramailah yang menjadi mangsa. tetapi kerana barisan tidak retak berkecai, apabila kemenangan diperolehi maka yang gugur dapat dibangun dan dipulihkan semula. 11. Yang jelas dari sini ialah formula yang baik memerlukan bangsa yang disiplin, tabah hati dan berani menghadapi cabaran sebelum formula itu dapat membawa kejayaan. Alhamdulillah, rakyat Malaysia di semua peringkat memiliki sifat-sifat yang diperlukan untuk menentukan formula yang baik mendatangkan hasil yang dikehendaki. 12. Dalam era globalisasi formula kemenangan kita amat diperlukan. Oleh kerana kebanyakan daripada negara lain sudah tunduk kepada kuasa dunia dan terletak di bawah dana kewangan antarabangsa (IMF) maka tentulah percubaan ditumpukan kepada kita dalam usaha menguasai dunia sepenuhnya. Ini bermakna kita perlu tingkatkan lagi azam kita dan segala nilai baik kita untuk menentukan Formula Malaysia kita terus menjadi benteng yang kuat yang mampu mempertahankan kita. Kita tidak boleh leka dengan kepercayaan bahawa kita akan terus terselamat kerana kekuatan dan ketahanan kita. Mereka akan cuba bertubi-tubi mencari kelemahan kita dan mereka akan mencipta cara-cara lain untuk memaksa kita sujud kepada mereka. Walaupun pada mulanya hanya Malaysia yang mengkritik globalisasi seperti yang diperkenal oleh negara maju, tetapi alhamdulillah hari ini sudah banyak negara, NGO dan juga ahli pemikir dari negara maju yang mengkritik globalisasi ini. di masa akan datang tentangan terhadap globalisasi ala barat akan meningkat. 13. Peraduan Formula Malaysia adalah salah satu daripada beberapa program yang telah diatur untuk menanamkan kesedaran di kalangan rakyat kita. Ternyata ia berjaya secara tidak langsung menimbulkan semangat patriotik di kalangan para peserta khususnya dan rakyat negara ini amnya. 14. Peraduan yang dilaksanakan dalam pelbagai kategori seperti menulis esei, menulis cerpen, merekacipta lagu, laman web dan lukisan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua peringkat rakyat negara ini. Peraduan ini telah memapar dan menerangkan pembentukan Formula Malaysia dari kacamata rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia dengan caranya sendiri telah berjaya memaju dan membangunkan negara hingga dikagumi dan dihormati oleh dunia. 15. Sepertimana kita semua maklum Formula Malaysia dan pertandingan-pertandingan ini telah dibiayai oleh badan- badan korporat yang prihatin yang terdiri daripada EON, YTL, SOUTHERN BANK, SAPURA, MRCB, SUNWAY GROUP, TENAGA NASIONAL dan KUB MALAYSIA BERHAD. Sumbangan mereka juga menjadi sebahagian daripada Formula Malaysia, iaitu keprihatinan rakyat dan warga korporat Malaysia. Saya ucap syabas kepada badan-badan korporat ini. 16. Lanjutan daripada kempen Formula Malaysia ini sebuah yayasan yang dinamakan Yayasan Formula Malaysia telah ditubuhkan. ianya merupakan wadah yang boleh terus menggerakkan idea-idea baru, pandangan-pandangan baru untuk pembangunan masyarakat kita. 17. Pemuda-pemudi adalah harapan bangsa. mereka tetap akan mengambilalih tugas-tugas negara. Jika mereka ingin mencapai kejayaan dalam menjalankan tugas ini sudah tentu mereka perlu memiliki segala sifat dan pandangan yang telah memberi kejayaan kepada Formula Malaysia. Saya percaya Yayasan Formula Malaysia boleh memberi tumpuan secara khusus pada penyemaian sifat- sifat ini. 18. Penyelidikan dan pembangunan boleh dijalankan oleh yayasan ini untuk memperbaiki lagi formula ke arah kehidupan berharmoni secara berkekalan di Malaysia. Kaedah penyelesaian masalah boleh digubal mengikut cara, semangat, budaya dan tradisi ketimuran kita. 19. Saya percaya Yayasan Formula Malaysia boleh membantu usaha dalam melahirkan suasana yang sesuai yang memungkinkan warganegara kita naik ke bulan, menang hadiah antarabangsa, mencetuskan suatu penemuan sains dan menerokai disiplin-disiplin yang baru. 20. Saya sangat berpuas hati apabila beberapa badan korporat prihatin melancarkan kempen Formula Malaysia dan sekarang pula menubuhkan Yayasan Formula Malaysia untuk meneruskan kempen ini. Saya harap usaha ini mendapat sambutan daripada badan korporat lain kerana usaha ini adalah untuk kebaikan bersama. 21. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang yang berjaya dalam peraduan Formula Malaysia ini dan dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Yayasan Formula Malaysia. Sumber : Pejabat Perdana Menteri Download Teks Ucapan |