|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat : PEJABAT PERDANA MENTERI Tarikh : 26-10-2000 Tajuk : PERUTUSAN HARI DEEPAVALI Penyampai : PM Saya dan isteri saya mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu. Perayaan Deepavali pada tahun ini adalah yang pertama pada tahun dan alaf baru Masihi 2000 ini. Saya percaya sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini adalah lebih meriah memandangkan negara berada di dalam keadaan stabil dan ekonomi kita juga telah pulih dengan sepenuhnya. Tahun Masihi sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kaitan kepada acara keagamaan mahupun kebudayaan Hindu. Tetapi oleh kerana ianya memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan harian kita, adalah wajar kita menjadikannya sebagai kayu pengukur kejayaan kita. Hari ini kita rakyat Malaysia yang berlainan kaum, agama, bahasa dan budaya berjaya hidup di dalam sebuah negara merdeka dengan aman dan harmoni. Kita saling hormat menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain. Tidak seperti di sesetengah negara lain, di Malaysia rakyat kita sama ada dari kumpulan majoriti mahupun minoriti bebas mengamalkan agama, budaya dan adat resam masing-masing tanpa perlu takut ataupun merasa terancam. Ini mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan diri kita, terutama golongan muda, tetapi percayalah ini sebenarnya adalah nikmat yang kita perolehi sebagai rakyat Malaysia yang bertuah. Kita telah berusaha dengan gigih untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian sepanjang negara kita merdeka dan kita telah melihat hasilnya apabila kita berjaya membangunkan negara dan memakmurkan rakyat secara adil dan saksama. Kita harus memperakui bahawa kita pernah mengalami pertelingkahan kaum pada tahun 1969, tetapi kita telah mempelajari daripada kesilapan kita itu dan amatlah wajar sekali kita tidak akan mengulangi kesilapan itu. Saya ingin mengingatkan dan merayu kepada semua rakyat Malaysia supaya mengambil iktibar dan menghargai nikmat kehidupan yang kita kecapi hari ini sebagai rakyat Malaysia yang bertuah. Jangan sekali-kali kita memperjudikan perpaduan dan keharmonian yang terbina ini dengan tindakan ekstrim yang boleh mencetuskan ketegangan antara kita. Di hari yang bahagia ini, marilah kita sama-sama meneruskan tradisi dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia dengan mengadakan rumah terbuka dan kunjung- mengunjungi antara satu sama lain. Gunakanlah hari yang istimewa ini untuk merapatkan lagi hubungan sesama kita. Ini akan menjamin keharmonian dan kesejahteraan yang berterusan bagi kita serta kejayaan bagi negara kita. Sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu. Sumber : Pejabat Perdana Menteri Download Teks Ucapan |