|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat : DEWAN TUN RAZAK, PWTC KUALA LUMPUR Tarikh : 14-10-2000 Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG PARTI PROGRESIF PENDUDUK MALAYSIA (PPP) Penyampai : PM Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa kerja pusat, barisan kepimpinan dan ahli-ahli Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) yang telah sudi sekali lagi untuk menjemput saya merasmikan perhimpunan agung parti PPP bagi tahun 2000 ini. 2. Jemputan ini sebenarnya adalah satu yang istimewa bagi saya selaku pengerusi Barisan Nasional kerana ia menggambarkan betapa eratnya hubungan antara parti-parti komponen dalam Barisan Nasional baik kecil mahupun besar. Ini juga menunjukkan bahawa parti PPP masih tidak jemu dengan kehadiran saya setiap kali diadakan persidangan perwakilan tahunannya. 3. Kekuatan Kerajaan BN bergantung kepada keakraban hubungan kerjasama di antara parti-parti komponen yang menganggotai BN. Walaupun BN terdiri daripada 14 buah parti yang mewakili pelbagai suku kaum dan agama, perpaduan dan semangat kerjasama yang dipupuk selama ini telah berjaya menyaksikan pembentukan sebuah kerajaan Malaysia yang kuat, stabil dan berdaya maju sejak dari merdeka lagi. 4. Walaupun untuk seketika pada tahun 1969, perpaduan dan kestabilan ini dicabar, namun berkat kebijaksanaan pemimpin perikatan dahulu, jalan penyelesaian yang dipilih nyata telah membawa banyak manfaat kepada rakyat dan negara. Kini setelah 43 tahun negara kita merdeka, kita dapat melihat hasil daripada usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan yang erat dan saling faham memahami antara parti dengan parti dan kaum dengan kaum. 5. Perpaduan antara kaum yang terdapat di Malaysia bukanlah satu perkara semula jadi yang berlaku atau wujud dengan sendiri. Ia datang bersama keinginan semua kaum untuk hidup bersama secara aman. Kita dapat menjadi negara contoh yang aman walaupun penduduknya terdiri daripada berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa. Kita dapat melihat banyak negara lain di dunia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum tetapi tidak aman dan berjaya seperti kita. Ada negara yang rakyatnya terdiri daripada satu bangsa pun yang tetap tidak boleh aman disebabkan berlainan agama dan juga ideologi. 6. Di Malaysia, kita amat bertuah kerana pendekatan Kerajaan yang diterajui BN terhadap isu yang melibatkan kaum ditangani dengan berhati-hati. Ini adalah untuk mengelak daripada terjadi sebarang perbalahan bersangkutan dengan isu kaum. Saya selalu menyatakan bahawa di Malaysia tidak ada satu kaum yang boleh berpuas hati sepenuhnya kerana kerajaan tidak mungkin dapat memenuhi tuntutan semua kaum. 7. Ini sebenarnya adalah berdasarkan "simple logic" kerana jika satu kaum itu terlalu puas hati kerana mendapat semua yang dituntut, kepentingan kaum lain terpaksa dikorbankan. Oleh itu adalah lebih adil jika semua kaum berkorban dan tidak berpuas hati sepenuhnya. Kerajaan tidak akan menidakkan hak mana-mana kaum asalkan ianya tidak keterlaluan sehingga boleh menyebabkan perpecahan dan perbalahan antara kaum. 8. Bagi Kerajaan, yang utama ialah memupuk kesanggupan berkorban dan semangat perpaduan antara kaum yang berbilang di negara ini, kerana inilah punca kejayaan negara kita. Kita telah melihat bagaimana perpaduan erat antara kaum yang ditonjolkan semasa negara mengalami kegawatan ekonomi tempoh hari telah berjaya membantu kerajaan mengambil langkah-langkah positif untuk memulihkan keadaan ekonomi negara kita. 9. Bayangkan jika semasa kegawatan, negara dilanda masalah rusuhan perkauman seperti yang berlaku di sesetengah negara jiran. Sudah tentu Kerajaan tidak akan berjaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha pemulihan ekonomi dan sudah tentu kita tidak akan berjaya pulih sepenuhnya seperti sekarang ini. 10. Seperti yang saya katakan awal-awal tadi kekuatan dan kejayaan Kerajaan BN adalah berdasarkan perpaduan yang erat antara parti komponen yang menjadi anggota BN. Di sini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada parti PPP yang telah menunjukkan semangat yang tinggi sebagai anggota BN yang berjuang untuk memenuhi aspirasi dan cita-cita perjuangan BN. 11. Walaupun PPP merupakan satu parti yang kecil dan sudah lama tidak menganggotai peringkat tertinggi kerajaan, ataupun bertanding sebagai calon Barisan Nasional, namun semangat juangnya sebagai salah satu parti komponen BN tidak pernah luntur. Ini harus menjadi contoh kepada semua parti komponen BN. 12. PPP telah berjaya membuktikan bahawa ia amat ikhlas dalam perjuangannya menyokong penuh kerajaan BN, dasar- dasar dan matlamat perjuangan BN. Semangat yang ditunjukkan oleh semua ahli dan barisan kepimpinan PPP ini tidak kurang dengan parti-parti komponen BN yang lebih besar. 13. Semangat ini jugalah, bersama dengan usaha padu ahli PPP yang telah menentukan kemenangan bagi BN di pilihanraya umum tahun lepas. Masih tidak terlewat bagi saya mengucapkan terima kasih dan tahniah atas segala usaha dan komitmen ahli PPP yang penuh dedikasi terhadap membantu mengekalkan Kerajaan BN. 14. Sebenarnya, semangat yang ditonjolkan oleh ahli- ahli parti PPP ini adalah gambaran sifat dan semangat semua ahli parti komponen BN kecil atau besar yang telah meletakkan matlamat utamanya sebagai memperjuangkan nasib dan kemakmuran rakyat dan kemajuan negara sebagai perkara utama dalam perjuangan parti. 15. Walaupun parti PPP ternampak kecil, tidak ada sesiapa yang dapat menafikan peranan dan usaha gigih yang dimainkan oleh semua ahli PPP dalam mendokong perjuangan BN adalah amat besar dan bermakna. Dan tidak ada mana-mana pihak yang dapat menafikan kedudukan parti PPP sebagai salah satu komponen penting dalam BN. 16. Sebenarnya, dalam BN semua parti komponen berada pada taraf yang sama, tidak kira sama ada ianya mempunyai ahli yang ramai ataupun tidak. Kecil atau besar bukanlah menjadi perkara pokok, tetapi matlamat perjuangan parti sebagai komponen BN mestilah diutamakan. Tidak timbul soal mana-mana parti komponen diketepikan hanya kerana ianya tidak mempunyai perwakilan di peringkat tertinggi kerajaan ataupun di peringkat dewan undangan negeri atau Parlimen. 17. Matlamat perjuangan kita adalah serupa iaitu untuk membela rakyat dan membangunkan negara. Apabila parti yang kita sokong itu berjaya, maka matlamat yang kita perjuangkan akan tercapai. Tidak ada satu parti pun di dalam BN yang tidak mendapat hasil daripada kejayaan BN. Walaupun mereka mungkin tidak dicalonkan bertanding, semuanya akan mendapat hasil dan nikmat apabila parti yang disokong menang dan berjaya menerajui kerajaan negara ini. 18. Jika kita lihat di sekeliling kita, segala kemakmuran yang tercapai, pembangunan, keharmonian dan perpaduan rakyat adalah hasil perjuangan BN. Apabila nasib rakyat sudah terbela dan rakyat telah berjaya mengecapi kemakmuran dan negara maju dan membangun, maka ini adalah bukti kejayaan perjuangan kita. 19. Kita tidak harus mengharapkan apa-apa secara langsung bagi diri kita, tetapi kita haruslah menghargai dan berbangga bahawa peranan yang kita mainkan telah berjaya mendatangkan banyak hasil bagi kemajuan dan kemakmuran rakyat dan negara yang tercinta ini. Kita harus kikiskan sifat mementingkan diri sendiri bagi kebaikan semua dan saya percaya inilah asas kepada perjuangan parti PPP sekian lama. 20. Kejayaan BN merupakan satu "success story" Malaysia. Ramai pihak yang cuba meniru kita, termasuk parti pembangkang. Namun mereka tidak mungkin akan berjaya seperti kita kerana satu elemen yang sememangnya tidak ada pada mereka, iaitu keikhlasan atau "sincerity" sehingga sanggup mengorbankan kepentingan parti sendiri untuk kejayaan kumpulan. 21. Kesemua mereka mempunyai matlamat perjuangan yang berbeza. Jika pun mereka berjaya, percayalah ianya tidak akan bertahan lama. Seperti yang kita lihat semasa pilihanraya umum tahun lalu, kini kurang setahun selepas tamat tempoh pilihanraya, masing-masing membawa haluan sendiri walaupun mereka mungkin tidak mahu mengakui kebenaran kenyataan ini. 22. Bukanlah satu perkara senang untuk mengekalkan perpaduan dan persefahaman sebagaimana yang dilakukan BN sejak sekian lama. Kita harus bijak dan bertolak ansur di dalam menangani masalah yang dihadapi oleh tiap parti yang mewakili pelbagai kaum. 23. Jika ada apa-apa masalah yang timbul yang melibatkan kaum atau agama, kita mempunyai saluran tertentu yang boleh digunakan. Kita tidak seharusnya menutup terus sesuatu perkara yang kita anggap tidak adil kepada kita, tetapi kita tidak juga harus dedahnya secara terbuka kerana ini mungkin akan menimbulkan kemarahan pihak lain. Kita boleh bawa berbincang apa jua perkara agar sama-sama kita dapat mencari jalan tengah. Mungkin kita tidak dapat menyelesaikan kesemuanya, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat sampai ke titik persetujuan atau "point of agreement". Kita tidak seharusnya mengambil sikap ekstrim di dalam membincangkan apa-apa isu kerana ianya boleh merosakkan segala apa yang kita telah bina selama ini. 24. Saya harap ahli-ahli PPP dan semua parti komponen BN yang lain faham benar-benar akan apa yang saya perkatakan di sini. Malaysia perlukan kepada sikap toleran rakyatnya dan kita sebagai parti politik yang mewakili kaum-kaum di Malaysia ini perlu mengambil sikap sederhana supaya perpaduan dan persefahaman tidak tergugat. 25. Ini adalah tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita sebagai pentadbir negara ini. Sebagai sebuah parti politik, kita mungkin akan dibebani pelbagai masalah dan rungutan berkenaan isu-isu politik dan kemasyarakatan, tetapi kita harus ingat kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih besar iaitu mengekalkan kestabilan dan keamanan agar negara dan rakyat dapat terus menikmati kemajuan, kemakmuran dan keharmonian. 26. Percayalah hanya Kerajaan Barisan Nasional sahaja yang boleh menjamin kesemua ini. Teruskanlah usaha dan kekalkanlah perpaduan yang telah kita kecapi selama ini dan insya-Allah kita akan terus berjaya di dalam perjuangan kita. 27. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk Malaysia pada tahun 2000 ini. |