|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh : YAB DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat : STADIUM PUTRA, BUKIT JALIL KUALA LUMPUR Tarikh : 29-07-2000 Tajuk : MAJLIS PERHIMPUNAN PERPADUAN SEMPENA HARI PEKERJA Penyampai : PM Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Perhimpunan Perpaduan Sempena Hari Pekerja 2000 kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap di majlis ini. Perhimpunan ini amat bermakna kerana ianya membuktikan bahawa bukan sahaja wujud perpaduan di kalangan para pekerja, tetapi juga wujud kerjasama antara pihak pekerja, majikan dan Kerajaan. Perpaduan dan kerjasama inilah yang telah memberi kejayaan bagi negara kita. 2. Sempena Perhimpunan Perpaduan Hari Pekerja ini, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih Kerajaan dan rakyat atas sumbangan para pekerja dalam menjayakan usaha kita menangani krisis kewangan yang melanda negara kita baru- baru ini. Rakyat Malaysia, khususnya kaum pekerja, bukan sahaja sanggup memikul beban kemelesetan ekonomi tetapi telah memberi kerjasama yang padu kepada Kerajaan dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kewangan yang terjejas teruk akibat serangan oleh penyangak matawang. Jika kaum pekerja bertindak secara tidak bertanggungjawab, mengadakan tindakan perusahaan dan membuat tuntutan yang bukan-bukan, sudah tentu pemulihan ekonomi oleh negara tidak dapat diusahakan dengan jayanya. 3. Pada hari ini hasil daripada langkah-langkah berani dan berkesan yang diambil oleh Kerajaan dengan sokongan rakyat termasuk para pekerja, ekonomi negara kita semakin pulih. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mengalami penguncupan 7.5 peratus pada 1998 telah tumbuh 5.6 peratus pada tahun 1999. Pada suku tahun pertama 2000, kadar pertumbuhan KDNK adalah 11.7 peratus. Saya yakin dengan kerjasama kaum pekerja pertumbuhan ekonomi pada tahun ini akan menjadi lebih baik. Dengan ini kita semua akan mendapat manfaat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Manfaat yang tidak langsung tidak kurang baiknya bagi tiap seorang daripada kita berbanding dengan yang secara langsung. 4. Dalam hubungan antara pekerja, majikan dan Kerajaan kita percaya kepada kerjasama dan penyelesaian segala masalah melalui rundingan dan bukan konfrontasi dan ujian siapa lebih kuat melalui mogok atau `lockout'. Kita bersyukur kerana kita tidak mudah dipengaruhi dengan cara- cara orang asing yang begitu gemar menguji kekuatan (test of strength) untuk menyelesaikan masalah pekerja. Tabiat mereka suka menguji kekuatan melalui perang terdapat juga dalam cara-cara mereka menyelesaikan masalah lain, termasuk masalah sosial. Ini dikatakan oleh mereka sebagai hak asasi manusia. 5. Sebabnya kita tolak cara konfrontasi dan ujian kekuatan ialah kerana kita tahu tidak akan ada siapa yang menang dan mendapat keuntungan daripada cara-cara yang merugikan itu. Pekerja tidak menang, majikan tidak menang, Kerajaan dan rakyat semuanya tidak menang. Semua akan rugi. Walaupun berkali-kali ujian ini dibuat masalah tetap berulang dan kerugian tetap berlaku. 6. Kita tahu ini daripada sejarah dan pengalaman sebuah negara maju yang sekarang ini tidak begitu maju lagi. Negara ini biasa mengeluar kereta-kereta yang terkenal di seluruh dunia dan di negara kita juga. Mereka pernah mengeluarkan radio dan televisyen dan alatan elektrik yang kita dahulu import dan guna dengan banyaknya kerana jenama-jenamanya terkenal. Tetapi hari ini tidak ada satu pun kereta dari negara ini melainkan yang dikeluarkan oleh negara lain. Tidak ada radio atau televisyen, dan sudah tentu jenis-jenis barangan elektronik keluaran negara ini yang kita guna sekarang. Negara ini sudah tidak lagi menjadi negara industri moden dan syarikat-syarikat gergasi mereka sudah dijual kepada orang lain, termasuk juga kepada rakyat Malaysia. 7. Merosotnya prestasi negara ini ialah kerana buat bertahun-tahun ia menghadapi tindakan perusahaan yang tidak putus-putus. Pekerja mereka menuntut kenaikan gaji yang tidak mampu dibayar oleh majikan mereka dan jika majikan mereka menawar kurang daripada yang dituntut, pekerja mereka akan mengadakan mogok sehingga melibatkan syarikat lain yang tidak ada kena-mengena. Kadang-kadang diadakan mogok seluruh negara, diadakan piket dan tindakan ganas untuk menentukan tidak ada `blacklegs', iaitu pekerja yang terus bekerja. 8. Kesan daripada semua ini ialah meningkatnya peratusan pengangguran, penutupan banyak syarikat, penjualan kepada orang asing syarikat yang mempunyai keluaran berjenama yang terkenal dan kejatuhan negara itu daripada menjadi kuasa dunia pertama kepada satelit kepada kuasa dunia zaman ini serta keruntuhan moral yang menyeluruh yang tidak perlu saya sebutkan. 9. Pendapatan pekerja mereka masih tinggi tetapi dengan pendapatan yang tinggi ini tidak banyak yang mereka boleh beli kerana semua harga barangan begitu tinggi. 10. Setelah menjual perusahaan mereka, majikan mereka melabur di pasaran lain dan Kerajaan sudah tentu tidak mendapat hasil daripada mereka. Rakyat bukan sahaja menanggung kos sara hidup yang tinggi tetapi tidak ada peluang kerja yang baik. 11. Kerajaan membayar `unemployment benefits' kepada yang menganggur tetapi jumlahnya tidaklah tinggi. Hari ini Kerajaan mereka memaksa mereka yang menganggur membuat kerja kotor untuk mendapat `dole' ini. Yang menjadi masalah ialah apabila ekonomi merosot pendapatan Kerajaan berkurangan tetapi di masa inilah yang bayaran `dole' menjadi lebih besar kerana lebih ramai yang menganggur. 12. Sebuah kuasa utama dunia yang kaya-raya pun boleh menjadi negara kelas dua dan dipandang rendah jika tindakan perusahaan dibuat dengan tidak bertanggungjawab. Apakah akan jadi jika tindakan yang sama dibuat di negara yang masih membangun? Sudah tentu negara yang membangun tidak akan maju, bahkan akan hancur. 13. Tetapi kita tidak bermaksud pekerja tidak patut mendapat kenaikan upah. Upah pekerja perlu meningkat tetapi tidaklah melalui tindakan perusahaan. Upah perlu naik melalui peningkatan daya pengeluaran atau produktiviti. Jika produktiviti meningkat, kenaikan upah tidak akan menjadikan barangan yang dihasilkan kurang kompetitif. Dengan itu perniagaan terus laris, peniaga mendapat keuntungan seperti biasa atau lebih untuk melabur lagi. Upah boleh dinaikkan dan peluang pekerjaan boleh meningkat. 14. Kita bersaing dengan jiran kita dan negara-negara lain. Jika kita tidak kompetitif maka perniagaan kita akan rugi dan kita tidak akan mendapat upah yang meningkat bahkan mungkin kehilangan pekerjaan. Pelabur asing dan pelabur tempatan juga tidak akan melabur. Akhirnya ekonomi tidak tumbuh dan taraf kehidupan kita tidak akan naik, bahkan akan menurun. 15. Oleh itu pekerja mestilah cuba menaikkan daya pengeluaran setinggi mungkin. Majikan juga perlu meningkatkan daya pengeluaran dengan memperkenalkan teknik pengurusan dan alatan yang lebih produktif. Sepertimana kenaikan pengeluaran hasil pekerja dinikmati oleh majikan, kenaikan hasil usaha majikan mestilah dinikmati juga oleh pekerja. 16. Untuk menentukan daya pengeluaran pekerja meningkat kita memberi galakan kepada majikan di peringkat tertentu. Kerajaan sudah menyediakan pusat latihan bagi menaikkan kecekapan pekerja. Kerajaan bersedia untuk menambah pusat latihan pekerja bagi maksud ini terutama latihan penggunaan alatan berkomputer. 17. Majlis Pembangunan Sumber Manusia di bawah Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan pelbagai skim latihan bagi memudahkan majikan meningkatkan kemahiran atau melatih semula pekerja mereka dari semasa ke semasa. Skop Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia telah diperluaskan meliputi program latihan seperti pendidikan jarak jauh, skim latihan bersama dan skim latihan berkelompok. 18. Kesatuan-kesatuan sekerja dan pemimpin-pemimpin pekerja juga perlu turut memainkan peranan aktif dengan sama-sama mendorong ahli-ahli mereka menyertai program- program latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka. Ini adalah satu-satunya cara yang paling berkesan bagi kesatuan-kesatuan sekerja memajukan kepentingan ahli- ahlinya. 19. Sekali lagi saya ingin memperingati semua pihak, majikan, pekerja dan pegawai Kerajaan juga bahawa penambahan pendapatan pekerja adalah wajar jika dihasilkan melalui peningkatan daya pengeluaran oleh pekerja dan majikan. Negara dan rakyat akan memperolehi nikmat daripada pendapatan yang bertambah yang diperolehi oleh pekerja tanpa merosakkan ekonomi dengan cara-cara yang tidak bertanggungjawab. Penentuan gaji minima, jika ia tinggi, boleh mengurangkan daya saing kita. Ini adalah kerana gaji minima tetap akan menyebabkan kenaikan gaji bagi pekerja di semua lapisan sehingga ke peringkat yang tertinggi. Tidak mungkin kenaikan gaji mereka yang mendapat upah yang terendah tidak menyebabkan kenaikan upah dan gaji pekerja yang sudah mendapat lebih daripada minima. Oleh kerana kenaikan gaji minima akan menyebabkan kenaikan gaji semua pekerja, maka kos tentulah tinggi. Oleh itu kita perlu mengkaji soal gaji minima dengan teliti dan mendalam demi kepentingan pekerja sendiri. Kerajaan sedang membuat kajian ini untuk menentukan kemampuan kita menaikkan gaji secara menyeluruh. 20. Kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan majikan supaya Skim Penamatan Perkhidmatan diwujudkan untuk menentukan pekerja yang diberhentikan oleh syarikat kerana apa-apa sebab, jika tidak mendapat pampasan daripada majikan mereka akan mendapat bantuan daripada skim ini. 21. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada pemenang- pemenang anugerah Hari Pekerja tahun ini, juga terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan perhimpunan ini. Pejabat Perdana Menteri PUTRAJAYA |