|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC Tarikh/Date : 27/05/2000 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN MIC KE-54 Saya ucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput saya untuk merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-54 pada hari ini. Seperti tahun-tahun yang lepas dan sepertimana lazim dalam tradisi MIC, Pengerusi Barisan Nasional dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agong MIC. Ini memberi peluang kepada saya untuk merapatkan lagi hubungan dengan para pemimpin dan ahli-ahli MIC, di samping menyampaikan sedikit pesanan sebagai Pengerusi Barisan Nasional kepada ahli-ahli MIC. Saya percaya dengan cara ini kita akan dapat meningkatkan lagi usaha-usaha kita untuk mengeratkan lagi hubungan di kalangan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri S. Samy Vellu dan Dato' S. Subramaniam kerana dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti. Pemilihan ini menunjukkan bahawa ahli-ahli parti inginkan perpaduan dan kestabilan dalam parti. Demikian jugalah UMNO. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin dan ahli-ahli MIC kerana telah bekerja keras membantu Barisan Nasional mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya umum yang lalu. Tanpa sokongan dan usaha gigih ahli-ahli MIC, Barisan Nasional sudah tentu tidak akan dapat mencapai kejayaan yang begitu besar untuk membentuk Kerajaan sekali lagi. Sokongan ini juga menunjukkan bahawa masyarakat India di negara ini masih berpegang teguh kepada politik kerjasama antara kaum yang didokong oleh Barisan Nasional. Ianya juga membuktikan bahawa masyarakat India terus mempunyai keyakinan kepada MIC untuk menjaga kepentingan dan hak mereka. Dalam hal ini saya mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri Samy Vellu kerana kepimpinannya yang dinamis dan berkesan serta keprihatinan beliau kepada nasib kaum India di negara ini. Tidak dapat dinafikan bahawa MIC di bawah kepimpinan Dato' Seri Samy Vellu telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan masyarakat India. Beliau telah berjuang untuk gaji bulanan bagi pekerja estet dengan gigih sehingga berjaya. Saya percaya dengan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau selama ini, beliau mampu membawa masyarakat India ke tahap kemajuan yang lebih cemerlang. Saya harap kaum India di negara ini akan terus memberi sokongan yang padu serta kerjasama yang erat kepada Dato' Seri Samy Vellu supaya Barisan Nasional akan terus kukuh dan berkesan. 4. Pada hari ini kita rakyat Malaysia perlu berasa bernasib baik dan lega kerana ekonomi kita terus menunjukkan pemulihan yang menggalakkan. Dengan ekonomi menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, Kerajaan akan dapat meningkatkan kembali usaha-usaha untuk membangun dan memajukan negara. Kerajaan Barisan Nasional sedar bahawa banyak yang perlu dibuat bagi meninggikan lagi taraf hidup rakyat berbilang kaum di negara ini. Walaupun taraf hidup rakyat Malaysia telah meningkat tinggi berbanding dengan banyak negara yang sama-sama merdeka dengan kita, matlamat kita ialah pencapaian Wawasan 2020. Apabila kita menjadi negara maju dengan pendapatan per kapita lebih dari USD 15,000, tidak dapat tidak rakyat akan dapat pendapatan yang jauh lebih tinggi dari sekarang iaitu hampir USD 3,500. Yang perlu kita kawal ialah inflasi supaya kenaikan pendapatan tidak menjejaskan `buying power' atau daya beli kita. 5. Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang telah berjaya melaksanakan dasar pembangunan yang memberi perhatian berat supaya semua kaum dapat nikmat daripadanya. Telah menjadi matlamat Kerajaan supaya tidak ada mana-mana kaum ketinggalan dalam arus pembangunan. Atas dasar inilah, walaupun orang keturunan India merupakan golongan kecil berbanding dengan kaum Bumiputera dan keturunan Cina, dasar-dasar Kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru yang disusuli dengan Dasar Pembangunan Negara tidak merugikan keturunan India. Ramai daripada mereka yang terpelajar dan menjadi ahli profesional terdiri daripada keturunan India. Peratusan mereka berbanding dengan peratusan keturunan India jauh lebih tinggi daripada keturunan lain. Sudah tentu peratusan Bumiputera, berbanding dengan 60% daripada rakyat Malaysia yang menjadi Bumiputera tidak sama dengan keturunan India. Namun demikian kita perlu akui bahawa di kalangan peniaga dan pengusaha bilangan daripada keturunan India berkurangan. Juga pencapaian keturunan India dalam bidang pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah tidak memuaskan. 6. Ekonomi kaum India terus menunjukkan kemajuan yang menggalakkan dalam tempoh 10 tahun lepas. Sebagaimana kaum-kaum lain, kaum India juga telah mendapat faedah daripada pelaksanaan pelbagai program dan projek di bawah Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional. Data yang ada menunjukkan kaum India terus mencatatkan peningkatan pendapatan isi rumah purata, penurunan insiden kemiskinan, peningkatan hak milik modal saham sektor korporat dan penyertaan guna tenaga yang lebih seimbang. Dalam bidang profesional, prestasi kaum India didapati lebih baik daripada kaum Bumiputera. 7. Sejajar dengan peningkatan pendapatan per kapita negara, pendapatan isi rumah purata kaum India telah meningkat daripada 1,209 Ringgit sebulan pada tahun 1990 kepada 2,702 Ringgit pada tahun 1999 iaitu lebih 100 peratus. Peningkatan pendapatan ini bolehlah disifatkan sebagai satu perkembangan yang membanggakan kerana kadar pertumbuhan ini mengatasi kadar pertumbuhan pendapatan yang dicatatkan oleh isi rumah Bumiputera. 8. Hasil daripada peningkatan pendapatan tersebut, insiden kemiskinan di kalangan masyarakat India didapati telah berkurangan daripada 7.5 peratus pada tahun 1990 kepada 1.9 peratus pada tahun 1999. Bagi golongan termiskin, insidennya juga telah berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.2 peratus dalam tempoh yang sama. Pengurangan kemiskinan ini amatlah memberangsangkan dan ianya didapati menyeluruh iaitu merangkumi isi rumah India di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar. Prestasi ini jelas menunjukkan bahawa kaum India tidak sekali-kali ketinggalan daripada menikmati faedah daripada dasar dan rancangan pembangunan negara yang diusahakan oleh Kerajaan. 9. Daripada segi penyusunan semula hak milik sektor korporat, pemilikan ekuiti masyarakat India juga telah meningkat daripada satu peratus pada tahun 1990 kepada 1.5 peratus pada tahun 1998. Sungguhpun peratusan pemilikan ini adalah kecil, tetapi jumlahnya terus meningkat dari semasa ke semasa. Pada tahun 1990, jumlah modal saham yang dimiliki oleh rakyat keturunan India adalah sebanyak 1,068 juta Ringgit (pada nilai par) dan ianya meningkat melebihi tiga kali ganda kepada 4,600 juta Ringgit pada tahun 1998 dengan mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 20 peratus. Kemajuan ini adalah lebih besar berbanding dengan kaum- kaum lain di Malaysia, termasuk Bumiputera. Sebagai perbandingan, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera hanya meningkat sebanyak 1.7 kali ganda atau dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 13.4 peratus. Manakala masyarakat keturunan Cina pula meningkat sebanyak 1.3 kali ganda atau dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 11 peratus setahun dalam tempoh tersebut. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara telah menyumbangkan kepada pengwujudan peluang-peluang perniagaan kepada semua rakyat Malaysia termasuk rakyat daripada keturunan India. Semua kaum telah mendapat faedah daripada kesejahteraan ekonomi yang dialami dan masing-masing telah dapat meningkatkan kekayaan dan penyertaan mereka dalam sektor korporat. 10. Di samping peluang-peluang yang wujud daripada pertumbuhan ekonomi, Kerajaan juga telah membuka peluang yang lebih luas kepada semua kumpulan etnik untuk menyertai pelaburan dalam sektor korporat melalui pengwujudan saham-saham amanah seperti Amanah Saham Wawasan (ASW), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Mara (ASM), Amanah Saham Mara Berhad melalui MARA First Public Fund, ASM Premier Fund dan ASM Balance Fund dan juga melalui pelaksanaan program-program penswastaan. Sehingga akhir bulan April 2000, kira-kira 158,000 pelabur di kalangan rakyat keturunan India telah menyertai ASW dan ASM dengan nilai pelaburan sebanyak 188.8 juta Ringgit (bagi ASW jumlah pelabur rakyat keturunan India adalah seramai 146,356 pelabur dengan jumlah pelaburan sebanyak 120.3 juta Ringgit dan bagi ASM jumlah pelabur keturunan India adalah seramai 11,653 pelabur dengan jumlah pelaburan sebanyak 68.5 juta Ringgit). Di samping itu, pengwujudan tabung-tabung amanah yang diuruskan oleh pihak swasta juga telah membuka peluang untuk melabur yang seluas-luasnya kepada semua rakyat Malaysia, termasuk keturunan India. 11. Rakyat daripada keturunan India terus memainkan peranan besar dalam pertumbuhan ekonomi negara. Guna tenaga India pada tahun 1998 ialah sebanyak 8.3 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara. Sebahagian besar daripada mereka didapati berada dalam sektor-sektor utama ekonomi negara seperti pembuatan dan perkhidmatan. Justeru itu, guna tenaga India dalam sektor pertanian semakin berkurangan. Penyertaan guna tenaga India juga adalah tinggi dalam syarikat- syarikat yang berasaskan I.T. dan pada tahun 1998 ianya dianggarkan sebanyak hampir 12 peratus. Sebahagian besar daripada mereka didapati terlibat dalam pekerjaan profesional seperti jurutera di samping bidang pengurusan dan pentadbiran. 12. Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut jelaslah kaum keturunan India di negara ini tidak ketinggalan daripada arus pembangunan dan pemodenan. Banyak peluang yang diwujudkan oleh Kerajaan telah di manfaat oleh masyarakat India. Justeru itu, saya berharap kaum India tidak lagi berasa terpisah dan tersisih daripada kaum-kaum lain di negara ini. Pendapat yang negatif hanyalah satu persepsi sahaja dan ini mungkin digunakan oleh golongan- golongan tertentu yang mahu melihat negara ini tidak stabil. 13. Saya turut menghargai peranan yang dimainkan oleh kaum keturunan India dalam memelihara perpaduan dan kestabilan kaum di negara ini. Kaum India telah menunjukkan kematangan dalam perhubungan kaum dan ini telah menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian kaum di kalangan rakyat Malaysia. Sikap toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain di semua peringkat telah membuahkan kata-kata sepakat dan ini adalah satu-satunya faktor utama yang telah menyumbang kepada kehidupan aman damai dan perpaduan. Saya gembira bahawa setiap kaum memahami masalah yang terdapat dalam masyarakat majmuk seperti di negara ini. Kita lihat di negara lain perebutan hak yang lebih bagi kaum sendiri hanya menghancurkan negara. Sebaliknya kesanggupan bertolak ansur antara kaum di Malaysia menyelamatkan kekayaan dan keamanan negara dan semua pihak mendapat nikmat daripadanya. 14. Dengan perkembangan I.T., Internet, globalisasi dan cabaran- cabaran lain di alaf baru ini, kaum India perlu membuat persediaan untuk menghadapinya. Adalah menjadi hasrat Kerajaan supaya semua kaum akan menikmati faedah daripada perkembangan I.T. dan Internet. Justeru itu, masyarakat India perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang bersangkutan dengan teknologi baru ini. 15. Saya harap MIC akan membantu ahli-ahlinya dengan mengadakan program-program yang akan membolehkan masyarakat India menghadapi cabaran yang dibawa oleh I.T. dan Internet dengan berjaya. 16. Dengan harapan bahawa masyarakat India akan terus mendokong cita-cita negara dan seterusnya menyokong Barisan Nasional, saya dengan ini merasmikan Perhimpunan Agung MIC tahun ini. |