Oleh/By : DATO' SERI DR.
MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL MANDARIN ORIENTAL,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 20/04/99
Tajuk/Title : MAJLIS PERPISAHAN RASMI OLEH
KERAJAAN BAGI SERI PADUKA
BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
DAN RAJA PERMAISURI AGONG
Kerajaan Malaysia menjunjung kasih kepada Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong
kerana sudi berkenan berangkat ke Majlis Perpisahan
Rasmi oleh Kerajaan bagi Tuanku berdua pada malam ini.
2. Kerajaan serta pegawai-pegawai perkhidmatan awam
dan rakyat ingin merakamkan terima kasih atas jasa dan
perkhidmatan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong
selama lima tahun. Dibawah naungan dan pimpinan Tuanku
sebagai Raja yang berdaulat, rakyat hidup dalam keadaan
sejahtera disamping mengecapi kualiti hidup yang
semangkin meningkat. Walaupun negara masih mengalami
kesan-kesan krisis ekonomi yang bermula dari Julai
1997, tanda-tanda menunjukkan bahawa ekonomi negara
sedang pulih. Beberapa indikator seperti penjualan
kereta, rumah, rezab kewangan negara dan sebagainya
menunjukkan ekonomi kian pulih. Pemulihan ekonomi ini
tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu rakyat,
pegawai-pegawai Kerajaan dan juga kepimpinan serta
komitmen Tuanku untuk merangsangkan semangat kerjasama
dan perpaduan di kalangan rakyat. Kepercayaan Tuanku
bahawa kepentingan rakyat adalah utama dalam menentukan
negara aman, stabil dan makmur membolehkan negara terus
berkembang maju.
3. Negara di bawah pemerintahan Tuanku juga telah
mencapai banyak kejayaan. Tahun 1998 terutamanya
menyaksikan beberapa kecemerlangan dan kenangan manis
kepada negara. Malaysia berjaya menganjurkan Sukan
Komanwel yang ke-16 dimana rakyat telah bersama-sama
menunjukkan semangat 'esprit de corp' yang begitu
tebal dan menunjukkan bahawa semangat kekitaan sebagai
rakyat Malaysia mengatasi perbezaan kaum.
Kecemerlangan yang di capai di Sukan Komanwel
menunjukkan Malaysia mempunyai kemampuan untuk
menganjur acara sukan di peringkat antarabangsa.
Begitu juga dengan kejayaan negara menganjurkan
persidangan APEC pada tahun lepas. Pencapaian yang
cemerlang telah ditunjukkan oleh semua yang terlibat,
baik pegawai-pegawai perkhidmatan Kerajaan mahupun
rakyat biasa. Kejayaan ini telah mengharumkan nama
negara di mata dunia. Dalam hal ini peranan yang
dimainkan oleh Tuanku sebagai simbol perpaduan dan
wujudnya keutuhan undang-undang adalah penting.
Rakyat sedar bahawa semua ini tidak mungkin berlaku
tanpa dorongan dan semangat murni serta sikap jujur,
dedikasi serta keprihatinan Tuanku terhadap perkara-
perkara yang melibatkan kepentingan rakyat. Justeru
itu, Kerajaan dan rakyat menyanjung tinggi sumbangan
Tuanku dalam membawa negara ke puncak kejayaan yang
cemerlang.
4. Namun demikian tidak dapat dinafikan tercetus juga
beberapa masalah seperti krisis kewangan dan masalah
politik yang melanda negara pada tahun yang sama.
Walaupun demikian, dengan kecekalan dan komitmen
rakyat, Kerajaan dengan bimbingan Tuanku, telah berjaya
mengatasi masalah-masalah itu. Alhamdulillah keadaan
negara kini beransur pulih. Berikutan langkah-langkah
berani dan segera yang diambil oleh Kerajaan, ekonomi
negara kini kian pulih. Ekonomi negara dijangka tumbuh
semula walaupun kadarnya tidaklah setinggi dahulu.
Insya-Allah dengan usaha yang lebih gigih serta
sokongan dan kerjasama padu rakyat, ekonomi negara akan
pulih semula. Kemampuan Kerajaan dan rakyat untuk
mengatasi masalah ekonomi dan kewangan berpunca dari
semangat kental yang tidak mahu mengakui kekalahan.
Semangat 'Malaysia Boleh' telah mendorong rakyat untuk
bekerjasama dan memberi sokongan kepada Kerajaan dalam
usaha-usaha memulihkan ekonomi. Dengan semangat
perpaduan yang sedia wujud di kalangan rakyat, Malaysia
telah berjaya mengelak daripada mengalami keadaan yang
lebih teruk seperti yang dialami oleh negara-negara
lain. Negara juga berbangga bahawa dibawah naungan
Tuanku, rakyat sentiasa hidup berharmoni dan bersatu-
padu. Dalam hal ini, Tuanku berdua merupakan simbol
perpaduan yang penting dalam menyatupadukan rakyat.
5. Kerajaan juga berbangga dengan peranan yang
dimainkan oleh Tuanku di bidang perhubungan
antarabangsa melalui lawatan ke negara-negara asing.
Penglibatan Tuanku memberi makna kepada perhubungan
antarabangsa dengan perwatakan yang mesra, senang
didampingi dan sifat ramah Tuanku sendiri.
6. Pengalaman dan pengetahuan Tuanku sebagai
Diplomat banyak membantu mengeratkan lagi hubungan dua
hala di antara negara-negara yang dilawati. Melalui
jalinan hubungan mesra Tuanku dengan ketua-ketua negara
asing, Malaysia lebih terkenal di mata dunia.
7. Justeru itu, Kerajaan ingin merakamkan penghargaan
kepada Tuanku dan juga Raja Permaisuri Agong kerana
berjaya merapatkan lagi hubungan Malaysia dengan negara-
negara asing, terutama dengan negara-negara jiran.
8. Kerajaan dan rakyat juga ingin mengucapkan terima
kasih kepada Tuanku Raja Permaisuri Agong yang telah
memberi sokongan padu di sisi Tuanku, bersama-sama
mengiringi Tuanku dalam lawatan-lawatan Diraja ke luar
negara dan juga di dalam negeri. Tetapi lebih penting
Baginda Tuanku Najihah telah menunjukkan keprihatinan
kepada keperluan golongan yang kurang berada, orang-
orang tua dan cacat dan sebagainya. Budi pekerti
Baginda Tuanku Najihah yang lemah lembut, peramah dan
sentiasa mesra telah banyak menarik perhatian semua,
baik rakyat mahupun orang asing. Kerajaan dan rakyat
berdoa semoga Tuanku berdua akan sentiasa memberi bakti
kepada rakyat dan negara. Juga didoakan agar Tuanku
berdua dirahmati Allah dan dipanjangkan umur.
9. Akhir kata, Kerajaan, pegawai-pegawai perkhidmatan
awam dan rakyat berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa
Ta'ala Yang Maha Pengasih lagi Yang Maha Pemurah,
semoga menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan
keatas Tuanku berdua. Sekali lagi Kerajaan dan rakyat
menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri
Agong kerana berkenan berangkat ke Majlis Perpisahan
Rasmi ini.
|