home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA 
Tarikh/Date 	: 	18/01/99 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 



       Syukur  kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala  kerana
  sekali  lagi  umat  Islam di negara kita  dapat  menyambut
  Hari  Raya  Aidilfitri  dalam keadaan  aman  tenteram  dan
  penuh   kegembiraan  walaupun  negara   masih   menghadapi
  kegawatan  ekonomi.  Setiap tahun orang Islam di  Malaysia
  dapat   merayakan  hari  kebesaran  agama   Islam   dengan
  sempurna  dan  bebas.  Malah orang Islam  di  negara  kita
  dapat menukar pakaian baru, menyedia pelbagai juadah  kuih
  muih,  menghias rumah mereka dan pulang ke kampung melawat
  sanak  saudara  dan sahabat handai semasa  menyambut  Hari
  Raya   ini.  Semua  ini  dapat  dilakukan  tanpa  sebarang
  masalah besar.
  
  2.    Saya sebutkan perkara ini kerana hendak mengingatkan
  diri  kita  betapa bertuahnya umat Islam di Malaysia  ini.
  Setiap  tahun  dalam  perutusan saya menjelang  Hari  Raya
  Aidilfitri,  malah  dalam banyak acara lain,  saya  selalu
  menyeru  rakyat  negara kita terutama orang  Islam  supaya
  sentiasa  bersyukur kepada Tuhan akan segala  nikmat  yang
  dicurahkan  ke  atas kita selama ini. Kita harus  sentiasa
  bersyukur  kerana  al-Quran  ada  menyebut  bahawa  barang
  siapa  yang  bersyukur maka Allah akan menambahkan  nikmat
  kepadanya.
  
  3.    Sewaktu  kita  menyambut Hari Raya  ini  kita  harus
  merenung  sejenak  akan nasib umat Islam di  negara-negara
  lain.   Ramai antara mereka hidup dalam keadaan  tertekan,
  tertindas dan dihina.
  
  4.     Di  masa  kita  di  Malaysia  bersukaria  merayakan
  Aidilfitri  ada  antara mereka yang terpaksa  menyambutnya
  dalam   ketakutan  kerana  bimbang  mereka  akan  diserang
  dengan  bom  dan  roket.  Terdapat juga  umat  Islam  yang
  terus   terpaksa  berperang  untuk  mempertahankan   diri,
  walaupun  semasa  hari-hari perayaan  seperti  Aidilfitri.
  Ada  juga  umat  Islam  yang menghadapi  kebuluran  kerana
  sekatan bekalan yang dikenakan ke atas negara mereka.  Ada
  pula  yang  sudah  menjadi miskin kerana  tekanan  ekonomi
  yang  disengajakan sehingga tidak dapat  membeli  makanan,
  ubat-ubatan dan susu untuk anak.
  
  5.    Justeru itu kita umat Islam di Malaysia harus benar-
  benar  bersyukur.  Tetapi tidaklah memadai jika kita hanya
  menyatakan  kesyukuran kita dengan penuh keikhlasan  hati.
  Kesyukuran   kita  hendaklah  disertai  dengan   tindakan-
  tindakan  yang  membuktikan  kebenaran  kesyukuran   kita.
  Jika  kita  hanya berkata dalam hati bahawa kita bersyukur
  tetapi  di  masa  yang  sama  kita  membuat  sesuatu  yang
  melemahkan  umat  Islam  dan  mendedahkan  mereka   kepada
  tekanan  dan  penindasan orang lain, maka kesyukuran  kita
  itu  sudah  tidak  bermakna lagi.  Antara  perbuatan  yang
  menidakkan  kesyukuran kita ialah bermusuh-musuhan  sesama
  Islam,   mencetuskan  huru-hara  dalam  masyarakat  Islam,
  menghalang  kemajuan  dan  kemampuan  orang  Islam   dalam
  bidang  ilmu  pengetahuan  dan kecekapan  yang  diperlukan
  bagi mengukuhkan ketahanan umat Islam dan lain-lain lagi.
  
  6.    Sepatutnya semasa kita mengejar kemewahan hidup diri
  kita  tidak  akan  lupa  akan  tanggungjawab  kita  kepada
  agama,   bangsa  dan  negara  kita.   Negara  kita  adalah
  tanggungjawab kita.  Kita harus bersatu padu,  bermuafakat
  dan  saling bekerjasama dalam memaju dan memakmurkan semua
  rakyat  dan  negara  kita.  Jika  kita  mementingkan  diri
  sendiri  semata-mata  maka  akan  rosaklah  negara   kita.
  Bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan  agama
  tidak  bermakna kita tidak perlu memelihara  keamanan  dan
  ketahanan  negara  ini.  Sebabnya ialah jika  ada  rusuhan
  sesama  rakyat  berbilang kaum di  Malaysia,  orang  Islam
  juga  akan menjadi mangsa sehingga mungkin mereka  menjadi
  lemah  dan  dikuasai oleh orang lain.   Justeru  itu  kita
  umat  Islam  di  Malaysia  harus memelihara  keamanan  dan
  ketenteraman dalam negara kita.
  
  7.    Saya  berasa amat bersyukur kerana tekanan kegawatan
  ekonomi ke atas negara kita sejak tahun 1997 berjaya  kita
  bendung  dengan baik.  Inilah Aidilfitri yang  kedua  kita
  sambut  dalam  suasana negara masih dilanda  dengan  kesan
  kegawatan  ekonomi.   Walaupun  kedudukan  ekonomi  negara
  masih  terjejas  tetapi  ia  tidaklah  sehingga   sambutan
  untuk  Hari  Raya Aidilfitri menjadi tidak  meriah.   Saya
  percaya  ini  adalah  kerana  setiap  rakyat  negara  kita
  bersikap rasional, tenang dan tidak mudah dihasut.
  
  8.    Sebenarnya rakyat kita amat disiplin dan sabar dalam
  menghadapi  bencana kegawatan ekonomi ini.   Mereka  tidak
  panik  atau  hilang haluan.  Mereka sanggup berkorban  dan
  berusaha   keras   menambahkan  produktiviti   dan   hasil
  pendapatan negara supaya ekonomi dapat dipulihkan.  Rakyat
  pada  keseluruhannya berdiri teguh bersama Kerajaan. Sebab
  itu  usaha pihak tertentu untuk menghancurkan ekonomi kita
  sehingga kita tunduk kepada mereka telah gagal.
  
  9.    Oleh  kerana melalui Dasar Ekonomi Baru kita berjaya
  mengagihkan kekayaan negara ini secara saksama  di  antara
  kaum,  kegawatan  ekonomi  tidak menyebabkan  kita  hilang
  akal,  merusuh  dan  bertindak ganas.   Dengan  itu  iklim
  perniagaan  terus  baik  dan  pengangguran  tidak   banyak
  berlaku.   Sebenarnya  tidak akan ada  sesiapa  yang  akan
  menganggur  jika  ia  sanggup  bekerja.   Dengan  berusaha
  dengan  lebih  gigih  dan  menaikkan  produktiviti   kita,
  kegawatan   dapat   diatasi  dengan  mudah   dan   pantas.
  Kemungkinan   ini   bertambah  apabila  Kerajaan   berjaya
  membebaskan  ekonomi kita daripada tekanan  oleh  pedagang
  matawang dan spekulator saham luar negeri.
  
  10.   Di  samping  usaha dan sikap rakyat,  Kerajaan  juga
  memikul  tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.   Kuasa
  yang   diberi  kepada  Kerajaan  oleh  undang-undang   dan
  Perlembagaan bertujuan untuk melindungi negara dan  rakyat
  daripada ancaman yang datang dari mana-mana pihak.  Dengan
  kuasa  ini Kerajaan dapat menguasai semula nilai  matawang
  dengan   menyekat   Ringgit  daripada   dijual-beli   oleh
  pedagang matawang, seolah-olah matawang adalah satu  jenis
  bahan mentah yang sama dengan kopi atau gula.
  
  11.   Sebenarnya  matawang tidak berharga  melainkan  jika
  Kerajaan  memberi  nilai kepadanya.   Wang  kertas  RM1.00
  bukan  bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya.   Ia
  bernilai  RM1.00 kerana itulah nilai yang ditetapkan  oleh
  Kerajaan.  Jika Kerajaan mencetak angka lima atau  sepuluh
  maka   nilai  kertasnya  tidak  naik  kepada  RM5.00  atau
  RM10.00.   Hanya  pengakuan  dan  jaminan  Kerajaan   yang
  menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan.
  
  12.   Wang  ini  tidak boleh dijual sebagai  bahan  mentah
  kerana  ia  bukan  bahan  mentah yang  mempunyai  kegunaan
  tertentu.    Justeru  itu  adalah  tidak  wajar   matawang
  diniagakan.   Sudah  tentu  peniaga  tidak  boleh   dengan
  sewenang-wenangnya menukar nilai matawang.
  
  13.   Tetapi mereka menukar nilai matawang dengan  menukar
  jumlah  Dolar  Amerika yang boleh ditukar dengan  matawang
  tertentu.   Dengan  cara  ini mereka  mengambilalih  kuasa
  Kerajaan.    Dengan  dijual-beli  matawang  dengan   Dolar
  Amerika mereka meraih keuntungan yang amat besar.
  
  14.   Apa  yang  terjadi kepada negara  dan  rakyat  tidak
  dipedulikan  oleh  mereka.   Yang  mereka  utamakan  ialah
  keuntungan  besar bagi mereka, keuntungan  yang  berjumlah
  berbilion-bilion dolar.
  
  15.   Ternampak jelas pedagang matawang ini amat tamak dan
  tidak  boleh  dibenarkan menguasai nilai  matawang.   Oleh
  itu  Kerajaan  bertindak untuk menghalang mereka  daripada
  memperolehi     Ringgit    kita     untuk     dijual-beli.
  Alhamdulillah, tindakan ini berjaya.
  
  16.   Saya  yakin  kegawatan ekonomi akan  reda  menjelang
  abad  ke-21.   Saya  menyeru rakyat supaya  tidak  mencuba
  menggagalkan  usaha  Kerajaan tetapi sebaliknya   berusaha
  dengan   lebih  kuat  untuk  menghidupkan  semula   segala
  aktiviti ekonomi negara.  Saya percaya jika setiap  rakyat
  bersatu  hati dan sehaluan, negara kita akan dapat kembali
  kepada kedudukan asal dalam tempoh yang singkat.
  
  17.  Dalam beberapa bulan lagi kita akan memasuki abad ke-
  21  dan  alaf  baru.   Zaman baru ini akan  datang  dengan
  pantasnya bersama-sama pelbagai cabaran dan dugaan.   Kita
  tidak  akan  tahu nasib kita di masa akan  datang  ini  --
  baik  atau  buruk.   Tiada siapa dapat menduganya  kecuali
  apabila  kita  berdepan dengannya.  Sama  ada  umat  Islam
  sudah  bersedia  menghadapi  zaman  baru  ini  atau  tidak
  adalah sukar untuk diukur.
  
  18.   Tetapi jika abad ke-20 dijadikan ukuran, umat  Islam
  di  seluruh dunia sekarang memang tidak mempunyai  apa-apa
  persediaan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan  ancaman.
  Sejarah  yang  lalu dan keadaan semasa  menunjukkan   umat
  Islam  semakin  hari  semakin  lemah  dan  tidak  berupaya
  mengatasi  cabaran.  Bukan sahaja daripada segi penguasaan
  ilmu  dan kecekapan moden umat Islam lemah, tetapi  mereka
  juga  tidak  patuh  kepada ajaran Islam  berkenaan  dengan
  perpaduan  dan persiapan menghadapi serangan seperti  yang
  ditegaskan dalam al-Quran.
  
  19.   Abad  baru  ini akan memperlihatkan percubaan  untuk
  menghapuskan sempadan-sempadan antara negara-negara  dalam
  proses  yang dinamakan globalisasi.  Malangnya proses  ini
  dihadkan  kepada  pergerakan modal  sahaja.   Penghijrahan
  oleh  rakyat  negara miskin ke negara yang maju  dan  kaya
  tidak  akan  dibenarkan.  Demikian juga  teknologi  negara
  maju  tidak boleh dipindahkan ke negara membangun walaupun
  tidak  ada  sempadan  yang  memisahkan  negara  maju  dari
  negara membangun.
  
  20.   Dengan  globalisasi dan penghapusan sempadan  kepada
  pergerakan  modal,  negara dan umat  Islam  akan  terdedah
  kepada  bahaya  yang amat besar.  Jika  umat  Islam  masih
  bersengketa sesama sendiri, masih menolak penguasaan  ilmu
  dan  teknologi  moden, masih tidak tersusun rapi  daripada
  segi  organisasi dan ketertiban, bahaya yang  akan  datang
  ini  tidak  akan  dapat  dihadapi dan  diatasi  oleh  umat
  Islam.   Kita  bukan sahaja tidak mempunyai harapan  untuk
  mengembalikan  zaman kegemilangan Islam tetapi  kita  akan
  menjadi lebih lemah dan mundur dari keadaan sekarang.
  
  21.   Kita boleh menyalahkan musuh-musuh Islam jika mereka
  melontar  bom dan roket ke atas kepala kita,  tetapi  kita
  juga  tidak  kurang bersalah, bahkan berdosa kerana  tidak
  mengamalkan  ajaran  Islam berkenaan penguasaan  ilmu  dan
  persediaan   untuk  pertahanan.   Pada  satu  masa   dalam
  sejarah  Islam terdapat kuasa dunia yang terdiri  daripada
  negara  Islam.   Tetapi kerana beberapa  kesilapan,  semua
  kuasa  besar  Islam telah ditewaskan, yang  terakhir  pada
  Perang Dunia Pertama dalam dekad kedua, abad ke-20.  Sejak
  itu  tidak  ada usaha di kalangan umat Islam  dan  negara-
  negara  Islam  untuk membangunkan negara supaya  setanding
  dengan kuasa-kuasa dunia yang lain.
  
  22.   Bukanlah niat kita untuk menguasai dunia tetapi jika
  ada  sebuah  negara  Islam  yang diiktiraf  sebagai  kuasa
  dunia,  sudah tentu tidak akan ada mana-mana  kuasa  dunia
  lain  yang  akan  menindas orang Islam  dan  negara  Islam
  dengan sewenang-wenangnya.
  
  23.   Sebenarnya  terdapat negara  Islam  yang  kaya-raya.
  Umat  Islam  pula  tidak  kurang daripada  segi  kebolehan
  menerap  ilmu dan teknologi canggih.  Tetapi  oleh  kerana
  tidak  ada tekanan dalam ajaran Islam oleh pihak tertentu,
  maka  keadaan  yang  sesuai  dengan  penguasaan  ilmu  dan
  teknologi  dan  juga pengurusan moden  tidak  terdapat  di
  negara  Islam.   Dengan  itu  negara  Islam  tidak   dapat
  dibangunkan sehingga menjadi kuasa dunia.
  
  24.   Yang  lebih  menyedihkan  lagi  ialah  ajaran  Islam
  dibelakangkan  sehingga  apa  yang  dilarang  di  amalkan.
  Negara-negara Islam sering berkelahi dan berperang  sesama
  sendiri.   Mereka  sanggup bersubahat dengan  musuh  Islam
  kerana   ingin  mengalahkan  negara  Islam  lain.   Mereka
  menghabiskan kekayaan mereka membeli senjata  yang  dijual
  oleh  pihak asing guna untuk meneruskan peperangan  sesama
  mereka.
  
  25.   Inilah  sebabnya yang kita orang Islam  tidak  boleh
  menyalahkan   musuh-musuh  Islam  sahaja.    Orang   Islam
  sendiri  tidak  kurang bersalah.  Mereka  tidak  mengikuti
  ajaran  Islam, baik berkenaan dengan penguasaan  ilmu  dan
  persediaan  pertahanan mahupun desakan supaya  umat  islam
  bersatu dan bersaudara.
  
  26.   Kita tahu dan kita sering berbangga bahawa di  zaman
  kegemilangan  Islam,  orang  Islamlah  yang  meneroka  dan
  menguasai  semua ilmu.  Walaupun mereka tetap menghabiskan
  masa   yang  panjang  mengejar  ilmu  yang  bukan   khusus
  berkenaan  agama,  pegangan  mereka  kepada  Islam   tidak
  luntur.   Sebenarnya  ramai daripada  pakar  dalam  bidang
  sains,  matematik,  pelayaran  dan  lain-lain  ilmu,  juga
  pakar  dalam bidang agama.  Dan masyarakat Islam di  zaman
  kegemilangan  ilmuan kukuh dengan pegangan  kepada  ajaran
  Islam.
  
  27.   Ini  menunjukkan  bahawa iman penganut  agama  Islam
  tidak akan menjadi lemah semata-mata kerana mengejar  ilmu
  yang  tidak  khusus  tertumpu  kepada  agama.   Tidak  ada
  kekhuatiran   bahawa  menuntut  ilmu  yang  bukan   khusus
  berkenaan dengan agama akan melemahkan iman.
  
  28.    Jika   umat   Islam   ingin   mengembalikan   zaman
  kegemilangan  Islam  maka kita harus  pandai  membahagikan
  masa  antara pelajaran yang khusus berkenaan dengan  agama
  dan   pelajaran   ilmu-ilmu  yang  boleh   menolong   kita
  menunaikan  fardu  kifayah -- iaitu mempertahankan  negara
  dan  umat  Islam.  Masanya sudah tiba bagi kita memikirkan
  dengan mendalam berkenaan perkara ini.
  
  29.   Malaysia  adalah  sebuah negara  yang  kecil  dengan
  kekayaan  yang  sederhana.  Umat Islam di  Malaysia  hidup
  sempurna  dan  berpeluang untuk mengamalkan  ajaran  Islam
  yang  sebenar  supaya dengan itu kita  dapat  meningkatkan
  ketahanan  kita.   Walaupun  kita  tidak  mungkin  menjadi
  kuasa    besar,   sedikit-sebanyak   dapat    juga    kita
  menyumbangkan  kepada  pertahanan umat  Islam.   Umpamanya
  kita  dapat  menghantar  pasukan tentera  kita  ke  Bosnia
  Herzegovina.   Kehadiran mereka di  sana  telah  menaikkan
  sedikit  semangat penduduk Islam yang diserang  oleh  puak
  Serb.   Ini adalah bukti yang jelas bahawa dengan  sedikit
  usaha   daripada  kita,  sudahpun  mencukupi  untuk   kita
  bertindak  dengan  berkesan untuk melindungi  umat  Islam.
  Jika   seluruh  umat  Islam  berusaha,  walaupun  sedikit,
  kesannya  sudah mencukupi bagi melindungi  umat  Islam  di
  seluruh dunia.
  
  30.   Justeru  itu, rakyat terutama umat Islam  di  negara
  ini  harus  berusaha  untuk merebut  peluang-peluang  yang
  disediakan  bagi memajukan bangsa dan negara  kita.   Kita
  tidak  boleh  lagi berpeluk tubuh dan melihat  orang  lain
  terus  maju  seiring dengan kemajuan  dunia.   Kita  tidak
  harus  berpuashati  dengan pencapaian  dan  kejayaan  kita
  setakat  ini.  Kita tidak harus berada di takuk  lama  dan
  mengekalkan tabiat-tabiat yang usang dan buruk yang  tidak
  menguntungkan   kita  selama  ini.    Kita   tidak   boleh
  membiarkan orang lain selalu mendahului kita.  Kita  harus
  dikejar dan bukannya mengejar orang lain.
  
  31.   Saya menyeru semua rakyat terutama umat Islam supaya
  lebih  aktif  untuk  memajukan  diri  masing-masing  dalam
  menempuh  alaf baru ini.  Kehidupan ala kadar  atau  cepat
  berpuashati  dengan  sedikit kejayaan tidak  akan  membawa
  kita  ke mana.  Perpatah Melayu "rezeki secupak tidak akan
  menjadi  segantang"  tidak berasas.  Beras  secupak  boleh
  bernilai segantang jika ditambah nilai dengan memasak  dan
  menjualnya.
  
  32.   Tepuk dada tanya selera.  Kini terpulang kepada umat
  Islam  dan  rakyat  kita untuk membuat  pilihan  sama  ada
  bersedia  untuk  maju atau masih mahu berada  dalam  zaman
  hidup  lama  -- zaman umat Islam, bangsa dan  negara  kita
  lemah,   miskin  dan  mundur.   Kita  tidak   boleh   lagi
  berpegang  kepada  adat  resam  atau  tradisi  lama   atau
  memegang  kepada  ajaran agama yang tidak  mempunyai  asas
  yang benar yang melemah dan membantutkan kemajuan kita.
  
  33.   Kita  hendaklah  membina  tekad  baru.   Kita  harus
  berjanji  kepada  diri kita untuk membawa  bangsa,  negara
  dan  agama  kita  ke  arah kemajuan.  Kita  harus  berazam
  untuk    berusaha    mengembalikan    kegemilangan     dan
  kecemerlangan   agama  dan  umat  Islam  yang   terdahulu.
  InsyaAllah.
  
  34.    Esok  kita  akan  menyambut  Hari  Raya  Aidilfitri
  setelah  sebulan  kita  menahan lapar  dan  dahaga  dengan
  berpuasa.   Kita telah berjaya melawan nafsu yang  menduga
  kekuatan  dan  keupayaan kita sebagai  orang  Islam  dalam
  menghadapi   pelbagai  ujian  dan  dugaan.    Kita   harap
  kekuatan  dan  ketahanan diri yang dibina  dalam  semangat
  kita selama sebulan Ramadan ini akan terus berkekalan  dan
  menjadi  bekalan kita dalam menghadapi cabaran hidup  akan
  datang.
  
  35.   Sempena  kita  menyambut Hari Raya Aidilfitri  tahun
  ini, saya bagi pihak Kerajaan, diri saya, isteri saya  dan
  keluarga  saya memohon maaf zahir dan batin atas apa  juga
  kesalahan dan kesilapan kami terhadap sesiapa.
  
  36.   Kepada  umat  Islam saya ucapkan Selamat  Hari  Raya
  Aidilfitri  yang  mulia.   Kepada anggota-anggota  pasukan
  keselamatan  yang kini sedang bertugas menjaga keselamatan
  negara  dan  keamanan  dunia  di  luar  negara  juga  saya
  ucapkan selamat berhari raya. 

 
 



 
Google