|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : IBU PEJABAT BPR, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 08/01/98 Tajuk/Title : PELANCARAN GERAKAN PEMANTAPAN KEUTUHAN DALAM SIS URUS PENTADBIRAN KERAJAAN 1. Saya ucapkan terima kasih kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana menjemput saya untuk merasmikan upacara Pelancaran Gerakan Pemantapan Keutuhan Dalam Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia pada pagi ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada BPR atas inisiatifnya untuk melancarkan gerakan ini. 2. Dalam sistem pengurusan, "integriti" berkait amat rapat dengan pembentukan dan pengukuhan etika yang baik. "Amanah" dalam pengurusan, umpamanya, adalah sebahagian daripada etika yang baik. Sesuatu pentadbiran tidak boleh diuruskan jika tidak ada amanah kerana tanpa amanah pengurusan dan pentadbiran Kerajaan tidak akan dapat dilaksanakan, malah boleh menyebabkan huru-hara dan keruntuhan kuasa Kerajaan. Jika pegawai-pegawai yang diamanahkan untuk mengutip hasil mahsul negara tidak amanah sudah tentu khazanah negara akan susut. Ini bermakna Kerajaan tidak dapat memperuntukkan kewangan yang cukup bagi membiayai urusan pentadbiran dan projek-projek pembangunan negara. 3. Daripada segi amanah dalam bidang perniagaan pula, pekerja yang tidak amanah dalam menjaga harta benda dan kewangan majikannya lambat-laun boleh menyebabkan perniagaan itu muflis dan dengan itu pekerja-pekerja sendiri akhirnya akan hilang pekerjaan. Jika ramai pekerja dan peniaga sesebuah negara tidak beramanah dalam urusan dengan pedagang lain maka dagangan dalam dan luar negeri tidak akan berjalan baik dan berkembang. Dengan itu ekonomi negara tidak akan tumbuh. 4. Tetapi ada yang berpendapat, terutamanya dalam bidang perniagaan, bahawa etika tidak perlu. Ada yang percaya bahawa keuntungan hanya boleh didapati dengan penipuan. Tetapi percayalah penipuan akan menghilangkan kepercayaan rakan dagangan dan akan menyebabkan perniagaan merosot. Akhirnya perniagaan tidak akan dapat diteruskan kerana mereka yang sudah tertipu tidak lagi ingin berurusan dengan peniaga yang tidak beramanah. 5. Selain daripada amanah, sifat kejujuran, keikhlasan, ketekunan, disiplin, ketertiban dan dedikasi juga menjadi sebahagian daripada asas integriti dan etika yang baik. Jika nilai-nilai ini diamalkan setiap masa oleh seseorang pekerja, maka penyeliaan sepanjang masa tidak perlu diadakan. Ini sudah tentu akan meningkatkan efisiensi dan mengurangkan kos. Sebaliknya jika nilai-nilai murni kurang diamalkan maka banyaklah kerja dan masa yang perlu dihabiskan untuk penyelia mengesan, mengawal dan bertindak terhadap penyelewengan yang berlaku. Jika penyelia pula tidak mempunyai nilai yang murni maka banyak lagi masa, tenaga dan wang yang perlu dihabiskan untuk menentukan `pagar tidak makan padi'. Tentulah jelas akan pentingnya amanah dan nilai murni dimiliki oleh semua pihak di semua peringkat. Dengan adanya amanah dan nilai murni, urusan kerja bukan sahaja akan berjalan baik dan mencapai matlamatnya tetapi kos daripada segi wang, masa dan tenaga dapat dikurangkan. 6. Dalam keghairahan mengejar kekayaan dan kemewahan hidup dalam zaman kebendaan ini ramai yang mengutamakan pencapaian keuntungan yang maksima tanpa mengendahkan batasan-batasan etika dan moral. Sejarah mempunyai banyak contoh di mana kemajuan dan kekayaan yang dicapai tanpa berlandaskan nilai etika dan pegangan agama, akan tercicir akhirnya. Kejatuhan empayar-empayar gagah di zaman silam seperti Rom, Ottoman, dan Kesultanan Melaka membuktikan hakikat ini. Ketua negara, pemimpin dan anggota pentadbiran begitu asyik dengan kehidupan yang mewah tanpa mengambilkira dari mana datangnya kemewahan yang membiayai sistem pentadbiran mereka. Dalam suasana ini segala pendapatan negara diselewengkan oleh mereka dari peringkat bawah hingga ke pucuk pimpinan. 7. Antara unsur-unsur buruk yang paling merbahaya dan keji yang menghancurkan integriti manusia ialah sifat tamak haloba dan mementingkan diri sendiri. Ini kerana kedua-dua unsur negatif ini menjadi pendorong kepada perbuatan rasuah dan salahguna kuasa, walaupun kuasa yang dimiliki itu sedikit sahaja. Umpamanya jika ada permintaan untuk berjumpa dengan pegawai tetapi perjumpaan itu sengaja dihalang sehingga ada sogokan, kuasa yang sekecil itu pun boleh disalahgunakan dan menjadi punca rasuah. Sudah tentulah mereka yang mempunyai kuasa yang lebih besar lebih mudah melakukan rasuah, jika mereka tamak dan mementingkan diri. 8. Kesan buruk rasuah akibat tindak tanduk para pemimpin dan pentadbir terhadap golongan kurang berada merupakan satu penindasan sosial. Jika ini dibiarkan berterusan maka ketidakadilan sosial boleh menggugat kestabilan negara daripada kemarahan rakyat terhadap pemerintah. Jika wujud pula pakatan jahat antara pentadbir atau anggota pentadbiran dengan para peniaga atau pengusaha yang tamak, kesannya ialah kos pentadbiran dan pembangunan akan melambung naik dan rakyat akan terpaksa memikul kos ini, kerana banyak kemudahan yang sepatutnya dibekal kepada rakyat tidak akan dapat dibekal atau segala bayaran untuk kemudahan umum akan menjadi tinggi. 9. Sebenarnya amalan rasuah dalam masyarakat mempunyai dua peringkat. Pada peringkat yang pertama masyarakat memandang amalan ini sebagai sesuatu yang keji dan tidak dapat diterima. Di peringkat ini amalan rasuah disembunyi oleh mereka yang terlibat, sama ada yang menghulur atau menerima. Di peringkat ini kawalan boleh dibuat walaupun sukar kerana bukti sukar diperolehi. Tetapi apabila diperolehi maka tindakan bolehlah diambil. Di peringkat kedua rasuah menjadi amalan terbuka. Penerima tidak segan- segan meminta dan pemberi juga memberi secara terbuka. Apabila rasuah menempuh peringkat ini semua pihak akan terlibat, dari yang tertinggi sekali hinggalah kepada kakitangan yang terendah sekali. Oleh sebab semua terlibat dan mendapat sesuatu bagi diri sendiri maka semua pihak akan pertahankan amalan ini. Di peringkat ini amat sukar untuk mengawal dan membanteras rasuah. 10. Alhamdulillah di Malaysia kita masih di peringkat pertama. Menghulur rasuah belum lagi menjadi perkara biasa bagi kita. Justeru itu kita masih boleh bertindak untuk mengawal rasuah. Namun pengawalan memerlukan kesanggupan mereka yang mempunyai maklumat menyampaikan maklumat kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu BPR atau Polis. 11. Di sini timbul satu masalah. Ramai juga mereka yang tidak bertanggungjawab yang membuat laporan kerana niat lain. Ini bukan sahaja membebankan pegawai penyiasat dan badan berkuasa berkenaan, tetapi jika tuduhan itu tidak berasas ia akan menganiaya pihak yang dituduh. Tuduhan seperti ini menyukarkan usaha mencegah rasuah kerana maklumat yang diperolehi akan diragukan dan tindakan secara serius mungkin tidak diambil. 12. Orang ramai sepatutnya mengambil berat akan kuasa yang diberi kepada mereka untuk membuat tuduhan. Bukti yang agak jelas perlu diperolehi supaya tuduhan bukan sahaja tidak akan diragukan oleh badan yang dipertanggungjawabkan, tetapi penyiasatan akan menjadi lebih mudah. Hanya kerana ada sangkaan bahawa rasuah telah berlaku tidak memadai. 13. Tuduhan secara surat layang yang disebar luas sebenarnya mengganggu usaha membanteras rasuah. Banyak masa dihabiskan untuk menyelidik tuduhan yang tidak berasas. Sementara itu tuduhan yang berasas mungkin tidak diberi perhatian kerana sangkaan bahawa ia adalah sama dengan yang tidak berasas. Dengan itu maka usaha untuk mencegah rasuah akan tergendala dan kurang berkesan. 14. Walaupun kita ingin mengadakan masyarakat yang mengutamakan kebaikan umum dan tidak kepentingan diri, tetapi memang menjadi naluri manusia untuk mengutamakan diri sendiri lebih daripada masyarakat. Sebenarnya mengutamakan kepentingan masyarakat tidak merugikan diri bahkan ia lebih menguntungkan diri sendiri. Ini kerana dalam masyarakat yang bersih daripada rasuah, individu akan memperolehi lebih banyak keuntungan daripada masyarakat yang bergelumang dengan rasuah. 15. Masyarakat yang penuh dengan amalan rasuah tidak mungkin maju dan kaya. Masyarakat yang tidak maju ini akan mempunyai kos sara hidup yang tinggi pula kerana tiap sesuatu yang hendak dilakukan mestilah dijumlah kepadanya kos rasuah. Walaupun individu dalam masyarakat yang mengamalkan rasuah mungkin mendapat sesuatu bagi dirinya tetapi dia pula perlu menanggung kos rasuah apabila dianya berurusan dengan pegawai lain. Dengan itu pendapatannya daripada rasuah tidak memberi kelebihan apa-apa kepadanya. Semuanya akan hilang kerana terpaksa membiayai kos sara hidup yang tinggi dan bayaran rasuah untuk segala-galanya. 16. Sebaliknya dalam masyarakat yang bebas daripada rasuah, kos rasuah tidak akan menyebabkan kos sara hidup naik. Diri sendiri tidak perlu membayar apa-apa yang lebih daripada bayaran yang telah ditentukan untuk satu- satu urusan. Dengan itu diri sendiri akan lebih untung apabila rasuah tidak menjadi amalan dalam sesuatu masyarakat. Dengan perkataan lain kepentingan diri sendiri lebih mungkin tercapai dengan menolak rasuah. 17. Tetapi ramai daripada kita tidak nampak di mana sebenar duduknya kepentingan diri apabila berhadapan dengan godaan rasuah. Kita utamakan keuntungan jangka pendek dan tidak hiraukan keuntungan yang lebih besar yang datang dalam jangka panjang kerana menolong membersihkan masyarakat daripada rasuah. Kita tidak hiraukan nasib yang buruk yang kita tahu akan menimpa semua masyarakat yang mengamal rasuah. Apabila berhadapan dengan peluang mendapat sogokan maka kita tidak fikir panjang dan kita lakukan perbuatan yang haram ini, sama ada sebagai penerima atau penghulur. Inilah masalah yang kita hadapi. 18. Rasuah mungkin mula diamalkan secara tidak sengaja. Kerana urusan terlambat pelanggan mungkin hulur sesuatu untuk mempercepatkannya. Kemudian urusan sengaja dilambatkan untuk mendapat 'pelincir' daripada pelanggan. Kemudian amalan ini menjadi amalan biasa dan segala urusan akan memerlukan 'pelincir'. 19. Yang salah bukanlah kakitangan yang mengurus sahaja. Pelanggan juga perlu sabar jika terlambat sedikit dan tidak terlalu mudah menghulur 'pelincir'. Jika didapati urusan lambat atau sengaja dilambatkan, ada cara untuk mempercepatkannya. Kita mempunyai Biro Pengaduan Awam dan BPR. Kita juga boleh mengadu kepada pihak-pihak lain bahkan melalui media. 20. Mungkin ramai yang takut membuat pengaduan kerana pihak yang dituduh boleh bertindak balas dengan sengaja mengganggu urusan pelanggan. Tetapi jika semua yang teraniaya membuat dakwaan, pihak yang cuba bertindak balas akan takut kepada tindakan yang akan dikenakan kepadanya. 21. Di sini terdapat tanggungan yang berat bagi pegawai yang menyelia urusan. Mereka hendaklah mengambil berat akan segala komplen yang dibuat dan jika didapati urusan lambat, sama ada secara kebetulan atau sengaja, tindakan kepada pihak berkenaan hendaklah diambil. Jangka masa untuk sesuatu urusan hendaklah ditetapkan dan apabila didapati urusan kerap lewat maka tindakan yang tegas perlu diambil. 22. Sebenarnya pencegahan rasuah menjadi rumit kerana banyak terdapat sikap kurang mengambil berat terhadap kemungkinan rasuah berlaku. Ramai yang berpendapat mereka tidak mungkin dikesan. Bahawa Tuhan melihat apa yang mereka lakukan tidak menakutkan mereka. Tetapi percayalah selain daripada fikiran akan sentiasa terganggu setelah rasuah dilakukan, lambat-laun kita akan dikesan dan tindakan akan diambil. Kita mungkin dipenjara kerana perbuatan kita. Pada masa itu agak lewat untuk menyesal. Ingatlah akan kemungkinan ini dan ingatlah bahawa masyarakat yang bebas daripada rasuah bukan sahaja lebih bahagia tetapi secara langsung menguntungkan kita semua. 23. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Gerakan Pemantapan Keutuhan Dalam Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia. |