|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : AUDITORIUM BESAR, ANGKASAPURI, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 11/10/97 Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN KEMPEN TEKNOLOGI MAKLUMAT (IT) 1. Kita sedang menghadapi satu revolusi baru. Ianya adalah satu revolusi yang bersifat global yang berupaya mengubah kehidupan manusia di mana-mana sahaja. Revolusi ini adalah yang ketiga dalam sejarah manusia selepas revolusi pertanian dan revolusi perindustrian yang telah mengubah dunia dan meninggalkan kesan yang hebat kepada masyarakat dunia. Revolusi ketiga dalam sejarah manusia ini sedang membawa perubahan yang mendadak kepada dunia. Revolusi ini sedang mempercepatkan lagi proses globalisasi, mencorak semula ekonomi kita dan mempengaruhi cara hidup kita dan cara kita bekerja. Revolusi yang saya maksudkan ini ialah Revolusi Maklumat. Teknologi Maklumat atau Information Technology (IT) adalah peneraju revolusi ini. 2. Malaysia sedang berusaha gigih dan bersungguh-sungguh untuk memanfaatkan kuasa IT ini. Hampir setiap hari kita mendengar mengenai IT dan Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) yang akan dijadikan kawasan bagi menguji pembangunan IT di negara kita. Saya percaya ramai orang tertanya-tanya mengapa kita begitu mengambil berat tentang teknologi baru ini. Kita memberi perhatian berat kerana jika teknologi baru ini tidak diuruskan dengan baik dan betul, ianya mungkin akan memberi kesan buruk kepada peradaban manusia. Sebaliknya penggunaan maklumat yang betul akan membolehkan kita mencorak dasar-dasar, strategi-strategi dan tindakan- tindakan yang dapat memberi faedah besar kepada kita atau mempertingkatkan daya saing kita. 3. Demi masa depan kita, kita tidak boleh menjadi pemerhati sahaja terhadap revolusi maklumat ini. Kita perlu menyertainya; bahkan menerajuinya. Inilah sebabnya kita meluangkan banyak masa dan usaha untuk mengembangkan industri IT tempatan yang bertaraf dunia. Inilah juga sebabnya projek MSC akan diteruskan seperti yang dirancangkan walaupun negara dilanda krisis matawang baru- baru ini. 4. Seluruh dunia sedang memerhati usaha kita untuk mempelopori pembangunan IT. Mereka akan mengkritik kita jika kita gagal dan akan mengikuti jejak langkah kita jika kita berjaya. Kebanyakan mereka sedar akan potensi IT tetapi mereka mempunyai kepentingan sendiri dan infrastruktur lama dan perkakas tertentu yang sedia ada yang menghadkan keupayaan mereka untuk menguji potensi IT. Di MSC, syarikat-syarikat IT akan berupaya menguji ide-ide mereka mengenai aplikasi IT tanpa diganggu oleh masalah alatan usang bahkan mendapat sokongan dengan disediakan infrastruktur yang terbaik dan dasar-dasar Kerajaan yang membantu mereka. 5. IT dan revolusi maklumat akan menukar peraturan- peraturan persaingan antarabangsa dan akan mengubah cara kita mentadbir masyarakat dan negara. 6. Di masa yang lepas kita telah berjaya mengubah asas ekonomi kita daripada pertanian kepada perindustrian. Arah aliran global sekarang memerlukan kita menukar asas ekonomi kita sekali lagi, daripada ekonomi yang bergantung kepada buruh murah kepada yang berteraskan pekerja berilmu atau `knowledge worker'. Dalam hal ini, kita tidak mempunyai pilihan melainkan kita sanggup ditinggal di belakang, menjadi miskin dan akibatnya terpaksa tunduk kepada kehendak orang lain. Perubahan yang perlu dibuat kali ini adalah lebih sukar tetapi bukanlah di luar kemampuan kita. Yang penting ialah kesanggupan kita untuk memiliki kemahiran yang diperlukan melalui usaha yang gigih dan dedikasi. 7. Daya saing ekonomi negara di masa depan bergantung kepada kesediaan kita untuk menggunakan IT dan menjadi pekerja berilmu. Melalui penggunaan maklumat dan ilmu kita boleh meningkatkan produktiviti kita di samping kualiti barangan dan perkhidmatan kita. Teknologi komputer dan multimedia boleh membantu kita menjalankan tugas-tugas kita dengan lebih produktif dan lebih berkesan. Walaupun orang lain juga boleh, kita telah menunjukkan bahawa apabila rakyat Malaysia memutus untuk melengkapkan diri dengan kemahiran, mereka boleh melakukannya dengan lebih cepat daripada kebanyakan orang lain. 8. Untuk mewujudkan para pekerja berilmu, kita mesti bermula sekarang. Titik permulaannya bukan hanya dengan anak-anak kita tetapi kita sendiri. Bagaimanakah akan kita memulakannya? Dengan tidak takut kepada teknologi, dengan menguasainya dan dengan mengamalkannya dalam tugas- tugas kita. Kita perlu mempunyai sikap yang baru dan terbuka kepada perubahan yang dibawa oleh teknologi. Kita mesti sedia belajar dan terus belajar. Akhirnya, kita mesti berupaya menggunakan teknologi sebagai saluran untuk memperbaiki kerja kita dan kualiti hidup kita. 9. Kita mempunyai aspirasi besar. Malaysia tidak mahu menjadi pemasar barangan selama-lamanya. Kita juga mahu menjadi pengeluar barangan yang kita sendiri reka. Kita mahu menjadi sebuah negara yang menggunakan kemahiran dan ilmu daripada hanya kekuatan fizikal. Bagaimanakah dapat kita menjadi sebuah negara seperti ini? Kita boleh menjadi negara seperti ini dengan berani mempercayai bahawa kita adalah sama berkebolehan seperti orang lain, jika tidak pun lebih baik; bahawa kita boleh belajar dan kita boleh menjadi inovatif seperti orang lain. Sesuatu itu hanya rumit jika kita tidak memahaminya. Tetapi apabila kita tekun belajar untuk memahaminya, ia akan menjadi mudah dan logik. 10. Sesiapapun boleh menjadi pekerja berilmu. Kita tidak perlu berkelulusan sains komputer untuk menjadi pekerja berilmu. Seorang pemandu teksi boleh menjadi seorang pekerja berilmu jika ia boleh menggunakan maklumat dan teknologi bagi memperbaiki lagi kerjanya. Sebagai satu lagi contoh kita ambil seorang penjual kuih. Seorang penjual kuih boleh dianggap sebagai pekerja berilmu sekiranya ia membuat kuih tradisional dengan menambah bahan-bahan berkhasiat tanpa kolesterol. Ada lagi perkara- perkara lain yang ia mungkin boleh belajar yang boleh memperbaiki lagi kedua-dua kualiti barangannya dan jumlah jualannya. Dia mungkin belajar mengenai cara terbaru menyediakan kuihnya, bahan-bahan membuat kuih yang terbaik, cara persembahannya, harga yang terbaik, tempat jualan yang terbaik dan sebagainya. Di mana sebelum ini ia kekal dengan cara pengeluaran dan jualan tradisional, ilmu barunya membolehkannya mengubahsuai kepada permintaan masyarakat yang lebih canggih. Dan ia akan memperolehi faedah daripadanya. 11. Hanya apabila sektor pembuatan dan perkhidmatan mempunyai pekerja-pekerja berilmu dan dibantu oleh IT baharulah kita dapat mengekalkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diperlukan untuk kita mencapai Wawasan 2020. Unjuran sekarang menunjukkan bahawa kita boleh meningkatkan paras KDNK kita sebanyak empat kali ganda dalam tempoh 20 hingga 25 tahun jika ekonomi kita berasaskan maklumat dan ilmu. Apa yang dimaksudkan ialah secara purata rakyat Malaysia akan dapat melipatgandakan pendapatan sebanyak empat kali di masa hadapan. Ini akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati kualiti hidup yang setanding dengan kehidupan di negara maju. 12. Kedua-dua Rancangan Malaysia Ketujuh dan Pelan Induk Perindustrian Kedua mengiktiraf IT sebagai satu elemen perubahan yang besar, satu alat untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara dan meningkat kualiti hidup kita. Dalam Pelan Induk Perindustrian Kedua, sektor perkhidmatan yang dipandu oleh IT telah dikenalpasti sebagai jentera pertumbuhan ekonomi negara, sektor kedua penting selepas sektor pembuatan. Pentingnya IT sebagai teknologi strategik tidak boleh dinafikan. IT bukan sahaja kunci kepada meningkat daya saing Malaysia di pasaran dunia, tetapi juga cara utama bagi mencapai matlamat-matlamat Wawasan 2020. Memandangkan ianya penting, maka IT kini diletakkan di barisan hadapan dalam pembangunan dan perancangan sosio-ekonomi negara. Untuk membolehkan kita merancang ke hadapan dan mempunyai arah tujuan dalam bidang IT, kita telah mewujudkan satu Agenda IT Kebangsaan atau NITA. 13. NITA menyediakan rangka kerja bagi negara untuk bertindak terhadap IT dan revolusi maklumat. Ia memerlukan semua rakyat Malaysia sama-sama menyumbang tenaga bagi menjamin Malaysia bersedia memasuki Era Maklumat. Kita boleh melakukannya dengan memahami IT, memanfaatkannya, merealisasikan potensinya dan menggunakannya secara yang paling produktif bagi memberi faedah kepada rakyat dan negara kita. 14. Matlamat akhir NITA ialah untuk membentuk satu masyarakat madani dalam bentuk Malaysia, satu masyarakat yang menguasai ilmu dan mempunyai sistem nilai yang tersendiri. Masyarakat yang dicita-citakan ini ialah masyarakat yang kaya dengan sejarah, tradisi, budaya dan pengalaman pembangunannya sendiri. Masyarakat sebegini terdiri daripada gabungan individu-individu melalui satu warisan bersama, individu yang menerap maklumat, mengamalkan ilmu dan menggunakan nilai-nilai moral dan etika untuk membuat keputusan dan tindakan. Masyarakat sebegini adalah satu masyarakat yang mendokong maruah manusia, menjamin hak asasi anggota masyarakat daripada terjerumus dalam kelaparan dan kemiskinan, dan di mana setiap individu sentiasa mengambil kira tentang kepentingan masyarakat keseluruhannya. 15. Masyarakat yang kaya dengan pengetahuan dan boleh menambah nilai akan membantu meningkatkan produktiviti negara ke peringkat yang lebih tinggi dan menjamin pertumbuhan ekonomi kita. Masyarakat ini juga akan menjadi lebih matang, liberal, demokratik, toleran, prihatin dan adil kedudukan ekonominya -- satu masyarakat yang diimpikan oleh Wawasan 2020. Teknologi maklumat yang berupaya meningkatkan potensi manusia akan dapat membantu kita membentuk satu masyarakat madani yang sebenar-benar mulia. 16. Kerajaan telah menerima teknologi maklumat sebagai keutamaan yang tertinggi melalui NITA. NITA memberi tumpuan kepada tiga elemen yang penting untuk pembentukan masyarakat mulia iaitu pembangunan insan, pembangunan infrastruktur maklumat (kedua-dua infrastruktur perkakas dan perisian) dan pembangunan aplikasi. 17. Melalui penekanan ke atas pembangunan manusia, NITA akan membolehkan rakyat mengguna dan menguasai teknologi maklumat serta menggalakkan mereka mencipta penggunaan teknologi komputer yang inovatif bagi meningkatkan kandungan tempatan. Program pembangunan struktur maklumat akan memberi penekanan kepada pembekalan kemudahan- kemudahan asas IT yang akan membolehkan setiap rakyat mendapatkan maklumat. Di sini, infrastruktur maklumat bukan sahaja melibatkan lebuhraya maklumat tetapi juga undang-undang, peraturan-peraturan dan amalan-amalan yang diperlukan untuk pembangunan dan aplikasi perdagangan serta Kerajaan elektronik. Melalui program pembangunan aplikasi, kita akan memberi penekanan kepada pembangunan industri teknologi maklumat tempatan. Ketiga-tiga program utama NITA ini akan membantu kita membangun industri kandungan multimedia yang akan membolehkan pengeluaran aplikasi dengan kandungan pelbagai budaya untuk kegunaan tempatan dan eksport. Inilah tujuan utama projek MSC. 18. Apa yang kita mahu akhirnya ialah untuk mengubah peranan rakyat Malaysia daripada menjadi semata-mata konsumer atau pengguna kandungan dan aplikasi multimedia asing kepada pengeluar yang berinovasi dan berjaya menghasilkan aplikasi tempatan yang bertaraf antarabangsa. Apabila kita memiliki kepakaran sedemikian barulah kita boleh menjadi pusat serantau untuk kandungan multimedia. 19. Projek MSC mengandungi ketiga-tiga elemen NITA dan ia adalah pendekatan utama untuk merealisasikan cita-cita serantau dan global kita. Projek ini adalah satu program untuk membawa masuk syarikat-syarikat teknologi maklumat dan multimedia yang terkemuka dan terbaik di dunia ke Malaysia. Syarikat-syarikat ini boleh membantu kita dalam mencipta dan membangunkan aplikasi-aplikasi yang sesuai dengan budaya kita dan budaya Asia keseluruhannya. Syarikat-syarikat asing ini perlu diberi daya tarikan untuk melabur di Malaysia dan untuk membantu kita melaksanakan cita-cita kita. Oleh yang demikian kita menyediakan tanah, infrastruktur fizikal, insentif- insentif kewangan dan infrastruktur perisian dalam bentuk Undang-Undang Siber termasuk `Undang-Undang Jaminan'atau `The Bill of Guarantees'. Kita melabur dengan banyak untuk menarik syarikat-syarikat asing ini, tetapi kita juga berharap dapat mempelajari teknologi-teknologi dan aplikasi-aplikasi mereka dalam penyelidikan dan pembangunan kandungan multimedia. 20. Ketika ini perbelanjaan kita untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) adalah kecil berbanding dengan Amerika Syarikat, Jepun dan Switzerland. Tenaga kerja R&D kita adalah rendah iaitu kira-kira 400 bagi sejuta penduduk. Kebanyakan negara maju mempunyai nisbah melebihi 4,000 tenaga kerja R&D bagi sejuta penduduk. Justeru itu, MSC juga adalah satu program untuk meningkatkan usaha R&D kita dengan bantuan daripada beberapa syarikat terbaik di dunia. Ahli-ahli penyelidik dan saintis kita mesti bersedia untuk menghadapi cabaran ini. 21. Kita perlu memberi penekanan kepada aplikasi-aplikasi yang sesuai dengan pelbagai budaya kerana, pertamanya, kita mahu menggunakan Bahasa Malaysia, Cina dan Tamil, yang disembahkan dalam konteks budaya kita, untuk memastikan kejayaan kesemua aplikasi perdana MSC. Kedua, potensi pemasaran aplikasi yang sesuai dengan pelbagai budaya adalah besar. Ini adalah kerana budaya kita mengandungi elemen-elemen yang terdapat di negara-negara yang mempunyai potensi pasaran yang besar. Ketiga, mereka yang mengguna perkhidmatan kita akan beroleh faedah daripada aplikasi-aplikasi ini kerana mereka juga akan boleh mendapat maklumat dan pengetahuan sesuai dengan keperluan dan cara hidup mereka. Dengan MSC, rakyat Malaysia akan menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Melalui MSC, kesemua mereka yang tertarik dengannya, orang Asia dan bukan Asia, akan dapat memperbaiki kehidupan mereka di peringkat sosial, politik, budaya, intelek, psikologi dan rohani. 22. Oleh yang demikian, MSC adalah satu kawasan ujian yang besar untuk semua rakyat Malaysia dan rakan kongsi kita menguji produk-produk yang kreatif dan produktif dan aplikasi-aplikasi mereka. Ia merupakan satu tempat untuk menguji ide-ide dan cita-cita kita. Kita tidak harus ketinggalan dalam mengambil peluang yang disediakan oleh MSC. Selain daripada itu, penciptaan dan pembangunan aplikasi-aplikasi tidak perlu terhad dalam kawasan MSC semata-mata: ianya boleh diperluaskan ke kawasan luar dari MSC. Apa yang diperlukan ialah daya kreativiti, kemajuan teknologi dan sumber-sumber sokongan seperti usahawan- usahawan, syarikat-syarikat, institusi-institusi, kepakaran mengurus dan semangat untuk menjadikannya kenyataan. 23. Di samping MSC, negara memerlukan penggubalan dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif teknologi maklumat yang lain di seluruh negara. Dalam melaksanakannya, kita perlu ingat dua isu penting, iaitu keadilan (equity) dan akses (access) yang menyeluruh. Kita harus pastikan mereka yang miskin tidak terus miskin kerana halangan dalam mendapatkan maklumat atau teknologi. Kita tidak harus hilang komitmen kita terhadap rakyat dalam mengejar impian kita. Kita mesti membantu semua rakyat Malaysia membina kehidupan yang lebih baik supaya kita boleh menjadi masyarakat yang kaya dengan maklumat dan pengetahuan. 24. Dengan meletakkan teknologi maklumat sebagai keutamaan besar dalam pembangunan dan perancangan sosio- ekonomi kita, kita sebenarnya mencuba untuk menyesuaikan diri dengan zaman baru yang jauh berbeza dari zaman yang kita sudah biasa. Sudah semestinya apabila kita berhadapan dengan masa depan, kita juga harus berhadapan dengan ketidaktentuan. Contohnya, sementara kita tahu bahawa teknologi akan membawa kepada perubahan sosial, kesan keseluruhannya ke atas masyarakat, kebudayaan dan keadilannya belum dapat dipastikan lagi. Ada kemungkinan norma-norma sosial dan budaya, amalan-amalan sosial dan sistem-sistem nilai kita akan terhakis sama sekali. Terpulanglah kepada kita untuk membuat pilihan. Kita boleh mengekalkan warisan budaya dan sosial kita, malah boleh meningkatkannya atau kita boleh membiarkannya hanyut dengan sebarang perubahan yang mungkin berlaku sehingga hilang identiti dan personaliti budaya kita dalam proses itu. 25. Terdapat banyak cabaran lain dalam Era Maklumat ini. Contohnya, peningkatan globalisasi dan kemudahan mendapat maklumat akan menyebabkan persaingan dan percanggahan permintaan di kalangan masyarakat. Ia juga akan menyebabkan penyalahgunaan maklumat. Sama ada alatan dasar awam kita mampu bertindak balas dengan berkesan terhadap cabaran-cabaran ini adalah satu perkara yang harus kita atasi. Apa yang kita tahu ialah kita boleh mengurus dan bertindak balas terhadap perubahan-perubahan ini dengan penuh kesedaran akan ketidaktentuannya dan dengan menjangkakannya. Langkah kita ke arah Kerajaan elektronik adalah satu cara menyediakan jentera dasar awam untuk masa depan. Langkah ini menandakan satu permulaan bagi banyak lagi perubahan besar yang akan datang. 26. Kekuatan kita dalam mengatasi cabaran-cabaran akan datang bukan sahaja terletak pada pengalaman kita dalam memula dan mengurus perubahan pada masa lalu, tetapi juga pada kesanggupan kita untuk melakukan lebih daripada itu pada masa hadapan. Pernah sebelum ini kita mencorak untung nasib atau `destiny' negara kita melalui DEB, dan kita berjaya. Dalam satu generasi kita berjaya mengubah seluruh rakyat Malaysia. Daripada menjadi petani, pekebun dan nelayan seperti ibubapa mereka, anak-anak DEB membesar untuk menjadi jurutera, peguam, doktor, ahli akademik dan ahli perniagaan. Menukar wajah seluruh negara bukanlah satu pencapaian kecil. Kita pernah melakukannya sebelum ini. Dan kita boleh melakukannya sekali lagi. 27. Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk mengambil peluang daripada teknologi maklumat ini. Kita mempunyai 25 tahun pengalaman dalam membangun industri elektrik dan elektronik yang kukuh. Kita mempunyai satu tenaga kerja yang berpendidikan baik dan mudah dilatih dan infrastruktur teknologi maklumat kita umumnya sudah maju. Tidak ragu lagi bahawa banyak yang perlu dilakukan sebelum kita boleh mengambil peluang teknologi maklumat sepenuhnya. Bagaimanapun, semua ini adalah faktor-faktor positif yang boleh melonjak negara ke arah satu peringkat pertumbuhan pesat yang baru. 28. Sebuah negara mesti sentiasa berfikir tentang hari esok. Kerana memikirkan hari esoklah kita telah membuat keputusan untuk menggunakan kuasa teknologi maklumat. Kerajaan telah memberi komitmen untuk berperanan aktif dalam mencapai cita-cita ini. Kita bukan sahaja akan menyediakan kepimpinan dari atas ke bawah yang diperlukan untuk memajukan pembangunan teknologi maklumat tetapi kita juga akan membawa masyarakat melonjak bersama. Melalui pendekatan dua hala ini, Kerajaan akan bertindak sebagai penggerak pembangunan teknologi maklumat. Atas sebab inilah kita menjadikan Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan atau National Information Technology Agenda ini sebagai strategi pembangunan nasional. Menerusi NITA kita berharap dapat menjana gelombang perubahan di seluruh negara dan dunia yang kita kongsi bersama. 29. Keunikan teknologi maklumat ini ialah ia berupaya menyentuh setiap aspek kehidupan dan berkebolehan menukar masyarakat keseluruhannya. Apa yang kita ada pada NITA ialah satu wawasan untuk masa depan, tetapi satu wawasan yang belum lagi menjadi kenyataan. Satu wawasan tanpa tindakan adalah satu mimpi kosong semata-mata. Kita perlu bertindak dan membentuk semula negara kita. Marilah kita bersama-sama mara ke hadapan dengan kuasa-kuasa yang terkuat dalam zaman maklumat ini dan menjadikan wawasan kita satu kenyataan. 30. Hari ini, sambil saya melancarkan kempen kesedaran teknologi maklumat negara kita, saya ingin meminta seluruh rakyat Malaysia, tua dan muda, di kampung dan bandar, Kerajaan dan pembangkang supaya menyahut panggilan untuk berjuang dan menyokong inisiatif Kerajaan dalam menggunakan teknologi maklumat. Marilah kita bertekad menghadapi dunia tanpa sempadan ini bersama-sama. Marilah kita sama-sama berusaha merealisasikan segala-gala yang kita idamkan dan tidak menunggu ia datang bergolek dengan sendirinya. |