|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ULAANBAATAR, MONGOLIA Tarikh/Date : 08/09/97 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM OLEH PERDANA MENTERI MONGOLIA 1. Bagi pihak isteri saya dan delegasi Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan di atas jemputan Tuan Yang Terutama untuk kami melawat negara Tuan Yang Terutama. Kami amat terharu dengan sambutan mesra yang telah diberikan sejak ketibaan kami di Ulaanbaatar hari ini. Lawatan ini memberi peluang kepada kami untuk melihat sendiri kekayaan kebudayaan Mongolia serta memahami sejarahnya yang panjang. Saya juga gembira berada di sini kerana dapat melihat sendiri perubahan hasil daripada pembaharuan ekonomi serta politik yang dibawa oleh Kerajaan Tuan Yang Terutama dan juga Kerajaan sebelumnya. 2. Saya gembira mendapati bahawa dalam jangkamasa yang singkat sejak pelaksanaan pembaharuan ekonomi dan politik, Mongolia telah berjaya mencapai kemajuan ekonomi yang besar. Ini menunjukkan kebolehan dan keazaman rakyat Mongolia untuk mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi negara mereka. Ini mengingatkan saya kepada kejayaan besar di era kegemilangan Mongolia di zaman pemerintahan nenek moyang Tuan Yang Terutama seperti Chinggis Khaan dan Kublai Khaan yang berjaya mengatasi segala halangan dan meninggalkan kesan yang tidak boleh dilupakan dalam sejarah tamadun manusia. 3. Hubungan antara kedua-dua negara kita telah menempa lembaran baru berikutan lawatan Tuan Yang Terutama Putsagiin Jasrai, Perdana Menteri Mongolia ketika itu, ke Malaysia pada Julai 1995. Dalam hal ini, saya juga berharap lawatan saya ini akan turut menjadi pendorong kepada mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara kita. Oleh yang demikian, saya memang menunggu perbincangan dua hala kita esok yang mana kedua-dua delegasi kita akan dapat bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara kepentingan bersama, di samping mengenal pasti bidang-bidang kerjasama yang dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kita. Saya juga mengalu-alukan pemeteraian Perjanjian Perkhidmatan Udara, Perjanjian Induk Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Pendidikan, Teknikal dan Kebudayaan serta Memorandum Persefahaman Mengenai Kerjasama Saintifik dan Teknikal dalam Penggunaan Minyak Sawit di Mongolia. Perjanjian-perjanjian berkenaan akan mewujudkan satu rangka kerja yang menyeluruh bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian untuk faedah bersama di antara kedua-dua negara. 4. Di samping menjalinkan kerjasama di peringkat Kerajaan, saya juga berharap kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara turut dipertingkatkan. Saya telah membawa bersama-sama dalam delegasi saya ini ahli-ahli perniagaan yang berminat untuk menerokai peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Mongolia. Saya yakin hubungan yang dijalinkan oleh ahli-ahli perniagaan Malaysia dengan ahli-ahli perniagaan serta usahawan Mongolia dalam tempoh lawatan ini akan membuahkan hasil yang konkrit. Sebagai penjana kepada pembangunan negara, sektor swasta mempunyai peranan yang kritikal dalam memperluaskan aspek-aspek ekonomi dalam hubungan dua hala kita. 5. Berikutan Mongolia memulakan usaha menggalakkan pelaburan langsung asing dan penswastaan melalui penawaran insentif dan penyediaan iklim pelaburan yang menarik, saya akan menggalakkan ahli-ahli perniagaan Malaysia untuk meninjau peluang-peluang pelaburan di negara Tuan Yang Terutama, terutamanya dalam sektor pelancongan, pengangkutan, telekomunikasi, perlombongan, perumahan dan pembinaan infrastruktur. Saya gembira mendapati beberapa syarikat Malaysia sudahpun melabur di Mongolia. Saya berharap banyak lagi syarikat swasta yang lain akan turut serta selepas ini. 6. Malaysia mengalu-alukan dan menyokong hasrat Mongolia untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan negara- negara di rantau Asia-Pasifik, termasuk negara-negara di rantau Asia Tenggara. Kemajuan ekonomi yang pesat di rantau tersebut bukan sahaja merupakan pasaran yang penting untuk barangan Mongolia tetapi juga sebagai sumber pelaburan bagi Mongolia. Saya yakin hasrat Mongolia ini akan diterima baik oleh negara-negara di rantau tersebut. Lebih daripada memperolehi faedah ekonomi, hubungan rapat antara negara-negara di rantau Asia-Pasifik, tidak kira besar atau kecil, kaya atau miskin, merupakan satu-satunya jaminan untuk keamanan dan kestabilan yang tulen bagi rantau ini. Sebarang percubaan untuk memencil, menyekat atau meminggir mana-mana negara daripada memainkan peranannya yang sah di dalam hal-hal politik dan ekonomi serantau adalah sama seperti menyemai bibit-bibit rasa tidak puas hati dan ketidakstabilan. 7. Lawatan saya ini jatuh pada hari ulangtahun ke-26 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mongolia. Dalam jangka masa tersebut, kita telah menyaksikan peningkatan beransur-ansur dalam hubungan dua hala kita. Sekarang, kita sudah bersedia untuk memasuki satu peringkat yang lebih aktif dalam perhubungan kita. Sehubungan dengan itu, saya berharap lawatan ini akan menyumbang kepada usaha bersama kita untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara kita. Saya suka memberi jaminan kepada Tuan Yang Terutama, bahawa Malaysia akan memberi bekerjasama sepenuhnya untuk menjayakan hubungan antara kita. |