|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL SUNWAY LAGOON RESORT, PETALING JAYA, SELANGOR Tarikh/Date : 03/08/97 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SENIMAN 1. Saya ucapkan terima kasih kepada Persatuan Seniman Malaysia atau SENIMAN yang telah menjemput saya dan isteri saya untuk hadir di majlis makan malamnya yang ke- 23 ini. Industri filem adalah salah satu industri yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, mereka yang melibatkan diri dalam industri filem haruslah sentiasa mempunyai wawasan dan iltizam untuk meningkatkan lagi prestasi industri ini. Saya percaya jika mereka yang terlibat dalam industri filem di Malaysia bekerja kuat dan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan bantuan orang lain, filem Malaysia mampu mencapai tahap antarabangsa. 2. Negara kita kini sedang giat memajukan `Koridor Raya Multimedia' atau MSC. Di mana-mana saja kini masyarakat bercakap mengenai MSC. Karyawan filem juga haruslah mengambil peluang daripada usaha Kerajaan mewujudkan MSC ini. Salah satu daripada objektif negara dalam mewujudkan MSC ialah untuk menentukan Malaysia boleh turut sama memainkan peranan penting dalam bidang I.T. atau Teknologi Maklumat yang juga ada kaitan dengan industri perfileman yang kian hari semakin banyak menggunakan teknologi multimedia. 3. Selaras dengan ini masyarakat filem hendaklah meningkatkan mutu filem mereka sehingga ke satu tahap yang boleh dikagumi di peringkat antarabangsa. Olahan- olahan di dalam filem hendaklah sesuai untuk pasaran yang lebih global. Kita tidak boleh lagi membuat filem semata-mata untuk pasaran dalam negeri dan mengharapkan keuntungan besar. Malahan kita telah menekankan pentingnya pasaran filem secara global selaras dengan misi dasar perfileman negara yang telah dilancarkan oleh Kementerian Penerangan iaitu `Filem Malaysia Nilai Universal'. 4. Adalah tidak benar bahawa untuk berjaya membuat filem di negara ini, kita perlu meniru filem-filem yang telah tersohor seperti filem-filem keluaran Hollywood. Kita tidak perlu meniru atau mengikut filem-filem olahan barat termasuk budaya-budaya yang tidak baik yang sering dipaparkan menerusi filem-filem mereka. Malahan kalau kita lihat di Festival Filem Cannes pada bulan Mei yang lalu filem dari negara bukan Barat iaitu `The Taste of Cherry' dari Iran telah berjaya memenangi anugerah tertinggi festival tersebut sedangkan filem ini hanya mengisahkan seorang manusia yang sedang mencari `Human Compassion'. Malahan filem-filem dari negara yang tidak terkenal seperti Burkina Faso dan Mali turut berjaya memenangi anugerah di Cannes. 5. Saya suka menyentuh tentang pencapaian filem di negara Iran kerana perkembangan industri filem di negara itu bolehlah dianggap menakjubkan kerana Iran telah banyak memenangi anugerah filem. Dalam tempoh 10 tahun sahaja, ia telah memenangi 160 award dari pelbagai festival antarabangsa walaupun menghadapi pelbagai sekatan dan garis panduan daripada pihak berkuasa. Melalui filem jugalah, IRAN berharap dapat memperbetulkan pandangan barat mengenai aspek positif Islam. 6. Hakikat ini membuktikan kepada kita bahawa tidak semestinya filem-filem yang mendapat sentuhan tema dari negara barat merupakan filem yang bermutu dan terbaik. Kita boleh wajahkan filem-filem kita dengan wajah-wajah Malaysia sendiri agar dapat kita perkenalkan `trademark' Malaysia di mata dunia. Akan tetapi isu-isu yang kita ketengahkan perlulah isu-isu yang universal agar dapat menarik mata dunia iaitu isu yang relevan dan yang menyentuh asasi kemanusiaan di mana jua tanpa sempadan geografi, politik, budaya dan masa. Hanya dengan cara ini, sesuatu filem dapat menarik pelanggan dari seluruh dunia. Inilah yang dimaksudkan dengan nilai universal. 7. Untuk menjamin mereka yang terlibat dalam industri filem mendapat hak perlindungan bagi hasil karya mereka, Kerajaan menerusi perwujudan `Multimedia Bill of Guarantees' telah mensyaratkan antaranya `The MSC will become a Regional Leader in Intellectual Property Protection and Cyberlaws'. Kerana itu dalam usaha Kerajaan memajukan MSC, karyawan filem haruslah merebut peluang-peluang yang ada kerana telah ada jaminan bahawa hasil karya mereka akan dilindungi. 8. Jika dilihat, kita boleh membuat filem dengan berasaskan kepada olahan-olahan mengenai isu yang lebih konkrit. Kebanyakan filem pembikinan negara ini berkisar kepada kisah-kisah cinta. Kalau kita lihat filem-filem yang memenangi anugerah perfileman peringkat antarabangsa filem-filem ini tidak menjadikan cinta sebagai tema utama mereka. Kebanyakan filem yang menang lebih memaparkan tema kemasyarakatan yang serius. Kemenangan mereka dihasilkan menerusi filem-filem yang humanis sambil memberikan komentar sosial secara halus seperti filem `The English Patient' dan `Forrest Gump'. Persoalan-persoalan yang dikemukakan menyentuh kisah sejagat dan bukannya kisah-kisah yang berunsurkan cinta. Kejayaan filem-filem seperti ini tidak terhenti apabila ia memenangi sesuatu anugerah tetapi terus hangat diperbincangkan oleh masyarakat. 9. Dalam usaha Kerajaan memajukan MSC, Kerajaan tidak ada model untuk dijadikan contoh tetapi kita berusaha untuk menjadikan MSC mengikut citarasa kita sendiri. Saya percaya mereka yang terlibat dalam filem mempunyai citarasa tersendiri dalam memajukan industri filem kita. 10. Sekiranya kita berusaha kuat sehingga filem kita dapat menarik minat antarabangsa, dengan sendirinya kita telah mewujudkan pasaran untuk filem tersebut. Pasaran di peringkat global pada masa kini adalah penting. Untuk itu kita seharusnya berusaha untuk mempelajari dan mendalami bidang pemasaran perfileman. Jangan apabila filem yang kita buat tidak laku, kita menyalahkan orang lain. Untuk mengkaji bidang pemasaran ini di peringkat yang lebih global, kita kenalah luaskan fikiran kita dengan cara melihat negeri-negeri lain yang telah lama maju di bidang ini. Kita harus belajar apa yang baik daripada kemajuan yang telah mereka perolehi. 11. Kita akui Hollywood memang masyhur dengan filem- filem keluaran mereka, tetapi kita perlu tanya "mengapa ia begitu berjaya?" Kunci kejayaan mereka ialah sejak dahulu lagi mereka amat agresif dalam pemasaran keluaran mereka. Kepada mereka pemasaran sesuatu filem tidak mengira betapa jauh atau kecilnya negara tersebut. 12. Saya percaya masyarakat filem di negara ini telahpun mempelajari sesuatu hasil daripada perkembangan teknologi pada masa ini. Penggunaan teknologi multimedia untuk memajukan filem pada masa sekarang adalah sesuatu yang amat penting. Kalau kita lihat pembikinan filem-filem yang memecah 'box office' dari Barat, mereka lebih menumpukan pembikinan filem mereka daripada segi penggunaan teknologi multimedia ini. Menerusi filem mereka, kita dapat lihat sesuatu yang seolah-olah benar wujud. Dalam filem `Forrest Gump' kita dapat melihat watak utamanya bersalaman dengan Presiden Amerika Syarikat yang sudah meninggal dunia. Ini dapat dibuat melalui `software' komputer, iaitu digital grafik. Saya percaya sekiranya kita mempunyai kesungguhan untuk menjadikan filem kita seperti filem mereka, kita mampu mempelajari teknik-teknik teknologi multimedia yang terkini. Filem-filem iklan buatan Malaysia sudah banyak yang menggunakan teknologi ini. 13. Untuk membuat sesebuah filem saya menyeru SENIMAN agar tidak takut bahawa industri filem kita akan mati begitu sahaja kerana wujudnya televisyen. Ini kerana kita juga boleh membuat filem untuk pasaran televisyen kita. Kita sekarang telah ada satelit kita sendiri. Menerusi satelit ini `footprint' telah sampai ke Asia Timur termasuk utara Australia, Hong Kong, India, Kampuchea, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam dan sebahagian dari selatan China. Saudara-saudari mungkin beranggapan bahawa halangan utama dalam pemasaran filem ialah bahasa. Saya tidak percaya bahawa filem Amerika dan British laris di pasaran dunia kerana filemnya berbahasa Inggeris. Sekiranya filem bermutu dan baik, filem kita akan tetap mendapat pasaran. Masalah bahasa tidak timbul kerana kita juga boleh menterjemahkan filem tersebut ke bahasa yang dikehendaki oleh pelanggan tanpa mencacat arus atau tema cerita tersebut. 14. Sebagai contoh ialah filem Hindustan. Saya percaya kita di sini kadangkala lebih kenal pelakon-pelakon filem Hindustan daripada pelakon-pelakon negara kita sendiri. Filem Hindustan walaupun memaparkan tema-tema yang berunsurkan percintaan tetapi ada mesej yang lebih besar dipaparkan pada setiap filem mereka iaitu persoalan kemanusiaan, nilai-nilai murni seperti menghormati ibubapa dan tolong-menolong. Sebab itu ada negara yang tidak memahami bahasa Hindi, termasuk negara Eropah, menayangkan filem-filem Hindustan. 15. Saya ingin menyeru syarikat-syarikat filem supaya mengikis sikap menganggap dunia "berhutang" kepada mereka. Kikiskan mentaliti `The government and everybody owe you'. Kita tidak boleh menuntut Kerajaan membela kita mengikut kehendak kita, sedangkan Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif. Sekarang kita berada dalam era `survival of the fittest'. Sebagai contoh `MSC' sendiri, ia tidak ada `precedent' sebelum kita. Kita tidak ada punca rujukan. Tiada model untuk dicontohi tetapi kita kena berani mempeloporinya dan setelah kita wujudkannya kita perlu memasarkan dengan lebih agresif. Sekarang orang sudah mula yakin dengan kita. Pada hari ini sudah ada 90 syarikat yang telah memohon untuk mendapat status `MSC'. Begitulah juga dengan filem; filem Hollywood mengetuai industri ini di seluruh dunia bukan kerana semata-mata budget yang besar, tetapi lebih kerana pemasaran yang cukup agresif dan meluas ke seluruh pelusuk dunia. Untuk membikin filem yang berjaya dan bermutu, kita perlu menjadi usahawan yang berjaya. Dalam perniagaan juga kita perlu ada teknik-teknik untuk berunding. `The Art of Negotiations' perlu ada kepada kita. Pada pandangan saya, orang filem di negara ini perlu mewujudkan hubungan yang baik dengan semua pihak yang terlibat dalam industri filem. 16. Saya ucapkan tahniah kepada SENIMAN di atas usaha- usahanya untuk menubuhkan yayasannya sendiri di samping berusaha mewujudkan dananya sendiri. Saya percaya melalui usaha SENIMAN ini kita akan dapat melahirkan lebih ramai pelakon atau penyanyi yang terlatih serta meningkatkan lagi mutu filem kita. |