|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : RRIM SUNGAI BULOH, SELANGOR DARUL EHSAN Tarikh/Date : 28/04/97 Tajuk/Title : SEMPENA UPACARA PERASMIAN PUSAT PAMERAN BARANGAN GETAH ANTARABANGSA MALAYSIA 1. Saya ucapkan terima kasih kepada Kementerian Perusahaan Utama kerana menjemput saya untuk merasmikan Pusat Pameran Barangan Getah Antarabangsa Malaysia di RRIM, Sungai Buloh pada hari ini. Lawatan saya ke RRIM hari ini merupakan kali yang ketiga. Saya perhatikan bahawa banyak perubahan telah berlaku di sekitar kawasan berhampiran RRIM ini, manakala RRIM serta ladangnya masih dengan kehijauan pokok-pokok getahnya walaupun terdapat beberapa bangunan baru. 2. Struktur ekonomi negara kita telah berubah daripada ekonomi yang berasaskan pertanian kepada ekonomi yang berasaskan perindustrian dan perkhidmatan. Struktur industri getah juga telah turut berubah. Malaysia kini bukan sahaja mengeluarkan getah untuk dieksport secara mentah semata-mata, bahkan juga menggunakan getah untuk industri pembuatan atau perkilangan. Walaupun sektor pengeluaran getah tidak lagi menjadi komponen utama ekonomi negara namun ia masih berperanan dalam menyumbang kepada ekonomi dan pendapatan eksport negara. Antara tahun 1986 hingga tahun 1996 keluasan ladang getah telah merosot daripada lebih kurang 1.9 juta hektar kepada lebih kurang 1.72 juta hektar akibat daripada perubahan guna tanah kepada aktiviti-aktiviti ekonomi lain. Pengeluarannya pula telah menurun daripada 1.538 juta tan kepada 1.083 juta tan, manakala eksport menurun daripada 1.516 juta tan kepada 980,295 tan. Nilai eksport pula naik turun mengikut keadaan harga. Pada tahun 1996 ianya berjumlah RM3,500 juta. 3. Kebelakangan ini Kerajaan telah meminda dasar supaya industri getah lebih sesuai dengan proses perindustrian negara. Tumpuan sekarang bukan lagi kepada pengeluaran getah mentah semata-mata, malah akan merangkumi semua sektor, daripada pengeluaran getah dan kayu getah, pemprosesan dan pemasaran, pembuatan barangan berasaskan getah, eksploitasi bahan bukan lateks, dan pembangunan estet di negara-negara yang mempunyai tenaga buruh yang cukup. Untuk ini, Kerajaan telah menggabungkan tiga agensi getah yang sediada, iaitu Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Getah Malaysia (MRRDB), Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) dan Lembaga Pasaran dan Pelesen Getah Malaysia (MRELB), ke dalam sebuah lembaga yang dikenali sebagai Lembaga Getah Malaysia (LGM). Akta LGM telah diluluskan oleh Parlimen dan akan dikuatkuasakan tidak lama lagi. Saya harap LGM akan dapat melaksanakan peranannya dengan sempurna termasuk mempromosikan keluaran industri getah Malaysia. Apabila semua ini berjalan lancar, saya yakin industri getah yang bersepadu akan kembali menjadi salah satu penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara. 4. Kemerosotan sektor pengeluaran telah diimbangi oleh sektor pembuatan barangan berasaskan getah yang berkembang pesat selepas Kerajaan memperkenalkan Pelan Induk Perindustrian (IMP) dari tahun 1986 - 1995. Di bawah IMP, sektor pembuatan barangan berasaskan getah telah dikenalpasti sebagai salah satu daripada industri berasaskan sumber yang boleh dimajukan. Semenjak itu penggunaan getah dalam negara telah meningkat dengan pesatnya daripada 71,000 tan pada tahun 1986 kepada 352,000 tan pada tahun 1995 dan 390,000 tan pada tahun 1996. Daripada jumlah itu, lebih kurang 91 peratus adalah getah asli. 5. Buat masa ini kita merupakan negara pengguna getah asli yang kelima terbesar di dunia, sambil menjadi negara terbesar dalam penggunaan lateks. Lebih kurang 70 peratus daripada getah yang kita gunakan adalah dalam bentuk lateks. Sasaran penggunaan getah di bawah IMP ialah 300,000 tan pada tahun 1995. Pencapaian kita yang melebihi sasaran adalah membanggakan. Walaupun kita mencapai sasaran daripada segi jumlah penggunaan getah, rancangan untuk mempelbagaikan industri pengeluaran barangan getah tidak tercapai sepenuhnya. Ini adalah kerana industri kita lebih tertumpu kepada subsektor yang berasaskan celupan lateks. Usaha yang berterusan hendaklah diambil untuk mempelbagaikan industri pembuatan bagi menjadikannya lebih mantap lagi. Nilai eksport pula telah meningkat daripada lebih kurang RM390 juta pada tahun 1986 kepada RM4,200 juta pada tahun 1996. Nilai eksport barangan berasaskan getah telah mengatasi nilai eksport getah mentah mulai tahun 1992, kecuali pada tahun 1995 semasa harga getah begitu tinggi. Ini menjadikan jumlah nilai eksport bagi industri getah sebanyak RM7,700 juta, tanpa mengambil kira sumbangan daripada perabot kayu getah sebanyak lebih kurang RM1,400 juta. 6. Untuk meneruskan kejayaan yang telah dicapai di bawah IMP, Kerajaan telah mengenalpasti industri getah sebagai salah satu kelompok yang boleh dimajukan di bawah IMP2. Salah satu pendekatan di bawah IMP2 ialah untuk melebarkan lagi kepelbagaian barangan yang dikeluarkan, supaya kita tidak terlalu bergantung kepada subsektor celupan lateks yang telah menjadikan kita pengeluar terbesar di dunia bagi sarung tangan, kateter (catheters) dan benang getah (latex thread). Sambil mempertahankan sektor ini yang telah sampai tahap kematangan, kita perlu mempergiatkan perkembangan di sektor-sektor lain seperti di bidang barangan getah am (General Rubber Goods atau GRG) dan barangan getah industri (Industrial Rubber Goods atau IRG). Kita masih mengimport barangan getah bernilai melebihi RM600 juta. Daripada jumlah ini, lebih kurang RM300 juta merupakan GRG dan lebih kurang RM100 juta adalah IRG. Di bawah IMP2 kita akan menggalakkan pertumbuhan di sektor GRG dan IRG yang lebih berteknologi tinggi sebagai barangan yang sesuai untuk kegunaan tempatan dan eksport. 7. Buat masa ini kita masih banyak mengeluarkan barangan untuk dibekalkan kepada pengedar antarabangsa yang memiliki jenama asing yang terkenal. Barangan ini di terima sebagai barang buatan pengusaha asing dan biasanya keuntungan yang lebih diperolehi oleh mereka kerana jenama mereka dilekatkan kepada barangan ini. Sebaliknya kita sendiri yang mengeluarkan barangan ini dengan kualiti yang tinggi, tetapi mendapat keuntungan yang rendah. Masanya sudah tiba untuk kita mencipta, merekabentuk dan mengeluarkan barangan ini dengan jenama kita sendiri. Tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh memasarkan barangan dengan jenama kita jika kualitinya sama dan harganya berpatutan. Lambat laun barangan kita akan diterima dan jenama kita pula akan mempunyai premium yang tidak kurang daripada jenama asing. Sebenarnya jika kita berjaya memasarkan Standard Malaysian Rubber sebagai getah yang berkualiti tidak ada sebab kenapa barangan getah kita yang dibuat daripada getah Malaysia yang berkualiti tidak akan disanjung. 8. Untuk membantu menggalakkan pertumbuhan pembuatan barangan getah berteknologi tinggi, peningkatan penggunaan tempatan adalah penting. Salah satu kejayaan yang telah dicapai ialah penghasilan beberapa komponen untuk kereta Proton dan Produa di mana RRIM telah memainkan peranan yang besar. Namun begitu di dalam beberapa projek besar yang sedang dilaksanakan, penggunaan barangan getah tempatan tidak menggalakkan. Besar kemungkinan keadaan ini berlaku kerana para perunding, arkitek dan jurutera-jurutera tidak mendapat pendedahan yang sepatutnya. Oleh itu saya harap, bagi projek-projek besar yang sedang dirancangkan, pihak berkenaan serta pembuat-pembuat dasar yang lain didedahkan kepada barangan keluaran kita. Kita hendaklah memberi kepercayaan terhadap penggunaan bahan-bahan berasaskan getah asli kita bukan sahaja di projek-projek berkenaan malah untuk projek pembangunan keseluruhannya. Saya harap pada masa akan datang penggunaan barangan keluaran kita akan diberi penekanan sewajarnya dalam projek-projek pembangunan. Jika kita tidak sanggup mengguna barangan buatan kita, sudah tentu orang asing akan kurang percaya kepada barangan kita. 9. Untuk membantu pengilang kita mempertingkatkan kemampuan mereka, Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan kemudahan. Salah satu kemudahan yang disediakan ialah daripada segi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang ada di RRIM ini. Usaha-usaha R&D perlu dipertingkatkan supaya dapat memberi sokongan lebih menyeluruh kepada pengilang memandangkan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan kemudahan R&D sendiri. 10. Salah satu kemudahan yang ada di sini ialah Pusat Teknologi Getah yang memberi pelbagai khidmat sokongan seperti penilaian, ujian berdasarkan spesifikasi tertentu, merekebentuk dan sebagainya. Pusat Latihan Getah pula menyediakan latihan untuk pelbagai peringkat keperluan industri. Untuk menambah lagi kemudahan sokongan yang ada bagi menggalakkan pertumbuhan industri pembuatan itu, Kerajaan telah mendirikan Pusat Pameran Barangan Getah Antarabangsa, Malaysia yang dapat kita lihat pada hari ini. Pusat ini akan menjadi asas rujukan dan maklumat, sumber nasihat teknikal yang disokong dengan pakar-pakar penyelidik serta saluran penting untuk mendorong dan mempromosi industri-industri berasaskan getah di negara ini. Sehubungan dengan ini, ianya akan bekerjasama rapat dengan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak atau Tun Abdul Razak Research Centre di Brickendenbury, di England. 11. Pusat ini akan menjadi satu sumber maklumat dan rujukan kepada mereka yang berminat dengan pembuatan barangan getah. Ia akan mendedahkan kepada usahawan tempatan pelbagai barangan yang boleh dibuat daripada getah. Getah boleh digunakan untuk membuat hampir 10,000 jenis barangan. Daripada jumlah ini hanya sebahagian kecil sahaja dibuat di negara kita. Pendedahan kepada pelbagai jenis barangan ini diharap dapat menarik minat usahawan-usahawan untuk mencebur diri dalam pembuatan barangan tersebut. 12. Pada masa yang sama pelawat akan didedahkan juga kepada barangan buatan Malaysia. Dengan itu pusat ini dapat mempromosikan barangan buatan Malaysia kepada usahawan luar negara yang ingin mengimportnya ke negara- negara mereka. Sambil itu pengguna-pengguna tempatan, termasuk penggubal-penggubal dasar dapat didedahkan kepada kecanggihan barangan buatan Malaysia. Maklumat lanjut mengenai barangan buatan Malaysia, termasuk pembuatnya juga disediakan di dalam pengkalan data. RRIM menyediakan khidmat untuk memadankan pengguna dengan pembuat barangan yang berkenaan. 13. Dibawah RMK7, Kerajaan bercadang untuk membangunkan sebuah `Rubber City' di sebahagian kawasan RRIM ini. Ia dijangka mengandungi ibu pejabat LGM serta makmal- makmalnya, Taman Industri Getah dan kawasan perumahan dan rekreasi. Ia akan dibangunkan secara penswastaan, di mana LGM sebagai pemilik tanah akan menjadi rakan bersama dalam usaha-usaha pembangunan ini. Kemudahan-kemudahan sediada seperti Pusat Teknologi Getah, Pusat Latihan Getah dan Pusat Pameran Getah akan menjadi sebahagian daripada `Rubber City'. Taman Industri Getah dirancang untuk menjadi pelengkap kepada kemudahan yang ada bagi menggalakkan lagi pertumbuhan industri pembuatan barangan getah. Sebahagian kilang-kilang yang akan didirikan di Taman Industri Getah itu adalah berkonsepkan inkubetor (incubator) dan bimbingan. Di samping itu ia juga akan memuatkan industri berteknologi tinggi, Industri Kecil dan Sederhana dan industri sampingan (auxiliary industry) yang berkaitan dengan industri getah. Taman Industri ini akan disokong oleh kemudahan yang sediada di Pusat Teknologi, Pusat Latihan dan Pusat Pameran ini. Dengan tersedianya segala kemudahan ini, saya percaya industri getah umumnya dan sektor pembuatan barangan getah khususnya akan berkembang dan membantu membawa negara kita ke abad ke-21 dengan lebih berkeyakinan. 14. Ditengah-tengah kemudahan yang ada itu, kewujudan Pusat Pameran ini adalah sebagai pemangkin kepada perkembangan industri pembuatan barangan getah, di mana usahawan, pengilang, pengguna, pengimport dan pengeksport serta penyelidik dapat ditemukan dalam usaha membawa sektor pembuatan barangan getah negara ke tahap yang lebih tinggi. 15. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Pusat Pameran Barangan Getah Antarabangsa, Malaysia. |