|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : GAMBANG, KUANTAN, PAHANG Tarikh/Date : 17/03/97 Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN MEC DAN MEC CITY 1. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Malaysia Electric Corporation Bhd (MEC) kerana menjemput saya untuk merasmikan pelancaran MEC dan MEC City di sini hari ini. Saya yakin Projek MEC ini akan dapat membantu proses perindustrian negara dan menolong mengurangkan deficit imbangan bayaran dengan mengeksport barangan- barangan yang dikeluarkan dan mengurangkan import barangan yang sejenis dengannya. 2. Projek MEC yang besar ini, selain daripada memberi faedah kepada rakyat daripada segi pulangan ekonomi, juga melambangkan tahap kemajuan pengusaha Malaysia dalam industri pembuatan, khususnya dalam bidang `electrical and electronic appliances'. Sehingga kini `electrical appliances' yang digunakan di Malaysia diimport dari negara lain atau mempunyai jenama bukan Malaysia walaupun dibuat atau dipasang di Malaysia. Rakyat Malaysia sendiri tidak begitu sanggup menerima barangan elektrik dan elektronik buatan Malaysia kerana dipercayai kita tidak mampu mengeluarkan barangan jenis ini yang bermutu. Sebenarnya kebanyakan barangan elektrik berjenama asing dibuat di Malaysia oleh syarikat-syarikat kepunyaan pengusaha Malaysia secara kontrak. Banyak juga daripada syarikat-syarikat ini telah mengambilalih syarikat asing dan mengeluarkan barangan dengan jenama asing. Barangan ini diterima oleh rakyat Malaysia kerana mereka percaya barangan ini bukan direka dan dikeluarkan oleh syarikat Malaysia. Kita juga percaya bahawa jika jenama Malaysia digunakan maka orang asing tidak akan menerimanya. 3. Masanya sudah tiba bagi kita di Malaysia mempunyai lebih kepercayaan kepada diri kita dan kemampuan kita. Sebenarnya barangan buatan kita mempunyai kualiti yang sama dengan barangan import dari negara asing. Dan ini diiktiraf oleh orang asing kerana mereka sanggup membeli barangan jenama asing yang dibuat di Malaysia. Mereka tentu sanggup membeli barangan kita yang berkualiti dan mempunyai harga yang berpatutan. Justeru itu, pengusaha dari Malaysia harus memasuki industri pembuatan barangan yang canggih. Percayalah besar kemungkinan kita akan berjaya. 4. Kerajaan mengalu-alukan penubuhan Syarikat Malaysia Electric Corporation yang akan mengeluarkan barangan elektrik dengan jenama MEC. Ianya memenuhi kehendak Kerajaan dan keperluan negara supaya kita memasuki bidang ini secara besar-besaran. Jika kita ingin menembusi pasaran dunia tidak ada jalan lain melainkan mengadakan perusahaan secara besar-besaran. Perusahaan kecil tidak mungkin mencapai `economies of scale', mengadakan bekalan yang cukup untuk pasaran dunia yang besar, membelanja wang untuk `Research and Development', mengeluarkan jenis produk yang banyak dan mempunyai jaringan pemasaran yang meliputi seluruh dunia. Kita tentu tahu kita tidak mungkin menjadi pembekal getah dan minyak sawit di pasaran dunia jika kita hanya mempunyai ladang-ladang kecil yang diurus secara tidak tertib. 5. MEC adalah suatu perusahaan yang dirancang secara besar-besaran. Cadangan untuk mengadakan MEC City seluas 3000 ekar menunjukkan skala industri ini sesuai dengan matlamat Malaysia untuk memasuki bidang ini di peringkat dunia. Saya percaya matlamat MEC boleh dicapai, insya-Allah. 6. Memang pun semua perniagaan menghadapi risiko. MEC mungkin gagal. Tetapi jika kita tidak cuba sudah tentu kita tidak akan berjaya langsung. Sebaliknya jika kita cuba dan kita menghadapi masalah, usaha boleh dibuat untuk memulihnya. Banyak sudah syarikat-syarikat yang gagal yang dapat dipulihkan. Saya yakin juga bahawa MEC mempunyai besar kemungkinan untuk berjaya. 7. Jenis-jenis barangan yang akan dikeluarkan oleh MEC termasuk dalam tafsiran `white goods' atau `electrical appliance'. Sebenarnya bilangan jenis `electrical appliance' amatlah banyak. Kuasa elektrik boleh digunakan untuk menjana alat-alat yang boleh meringankan kerja harian kita. Semakin lama semakin banyak `appliance' yang akan dicipta dan dikeluarkan. Melalui promosi pemasaran jenis `appliance' yang baru akan diguna oleh pengguna. Terpulanglah kepada pengeluar untuk memajukan pasaran barangan ini. 8. Untuk tidak ketinggalan maka MEC hendaklah mempunyai bahagian R & D yang besar dan peruntukan untuk R & D yang mencukupi. Barangan elektrik mudah menjadi `out-of-date' dan pengguna menjadi bosan dengan barangan berkenaan. Oleh itu sepanjang masa produk `upgrade' dan `innovation' mesti dibuat setelah mengkaji reaksi pengguna terhadap produk tertentu. Kualiti adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius. Demikian juga perkembangan sains dan teknologi dalam bidang elektrik dan elektronik yang mungkin dapat diguna dalam alat-alat ini. Penggunaan microchip dalam alatan MEC menunjukkan kemampuan MEC mengguna teknologi yang baru. 9. Wang yang dibelanja untuk R & D bukan pembaziran. R & D amatlah penting jika sesuatu perusahaan hendak dikekalkan dan daya saingannya dipertahankan. Kos R & D hendaklah dijadikan kos biasa bagi semua perusahaan. Sebahagian aripada budget perlu diperuntukkan untuk R & D. 10. MEC merupakan syarikat pertama di Malaysia yang memasuki bidang `electrical appliances' secara besar- besaran. Saya percaya syarikat lain juga akan memasuki bidang ini tidak lama lagi. Persaingan antara syarikat di Malaysia adalah dianggap sihat. Tetapi persaingan hendaklah dibuat secara tertib dan berprinsip. Saya percaya satu hari nanti jenama-jenama Malaysia akan semua terkenal seperti jenama Jepun dan Eropah. Ini bukan mustahil tetapi rakyat Malaysialah yang boleh menentukan sama ada ini dicapai atau tidak. Rakyat Malaysia yang dimaksudkan bukanlah semata-mata pengguna tetapi juga pekerja dan pengurus. 11. Penyumbangan MEC akan terus dirasai di negara ini kerana dengan wujudnya barangan elektrikal buatan Malaysia ini lebih ramai rakyat kita akan mampu untuk membeli produk-produk ini. Tidak syak lagi taraf mutu hidup rakyat Malaysia akan meningkat. Pembangunan MEC City tentu sekali akan dapat menjadikan Kuantan dan Pantai Timur sebagai kawasan perindustrian yang berdayamaju dan akan menolong membangunkan ekonomi Pantai Timur. Dengan ini maka akan tercapailah imbangan pembangunan di Semenanjung. 12. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran projek MEC dan MEC City. |