|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : STADIUM IPOH, PERAK DARUL RIDZUAN Tarikh/Date : 31/10/96 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN YANG KE-39 1. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izin-Nya sekali lagi dapat kita bersama-sama hadir di Majlis yang penuh berkat ini. Saya juga gembira kerana usia Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ini telah matang bersama-sama usia kemerdekaan negara kita. 2. Setelah 39 tahun, majlis Tilawah al-Quran ini telah menempuh berbagai-bagai perubahan dan perkembangan. Bukan hanya pertukaran tempat-tempat di mana majlis ini berlangsung, tetapi juga nama bagi majlis ini telah menerima penyesuaian dari masa ke semasa. Walau bagaimanapun, segala perkembangan yang berlaku memberikan nafas baru kepada acara tahunan negara ini dan terus mendapat sambutan. Ia juga tidak kurang memberi sumbangan dalam meninggikan syiar Islam di negara ini dan membawa kepada semaraknya nama Malaysia di kalangan umat Islam di seluruh dunia. 3. Cita-cita untuk membentuk generasi al-Quran adalah suatu yang murni. Kita bukan hanya mahu melihat generasi yang berpendidikan tinggi, tetapi sebaliknya kita mahu melihat generasi yang dapat mengimbangi kemajuan `spiritual' bersama- sama kemajuan fizikal dan `material'. Kita tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi pada tahun 2020 nanti, tetapi yang pasti budaya murni adalah tunggak kemajuan. Aspek sosial adalah menjadi keutamaan, di samping mengejar kejayaan dan kemajuan ekonomi dan politik. 4. Memang bukan sesuatu yang mudah untuk membesarkan anak- anak daripada segi fizikal, tetapi ia tidaklah sesukar mematangkan pembangunan mental dan spiritual mereka. Oleh itu, seluruh umat Islam patut menangani tugas ini dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh. Kerajaan ingin melihat tugas membangunkan mental dan `spiritual' anak-anak ini dijalankan bersama oleh semua pihak supaya ia tidak bertentangan antara satu sama lain. 5. Di zaman pembangunan, termasuk zaman ledakan maklumat ini, agama menjadi lebih penting daripada di zaman maklumat terhad dahulu. Sebabnya ialah di samping maklumat yang membina, ada juga maklumat yang diterima hari ini bukan sahaja boleh melemah dan mengelirukan, tetapi boleh merosakkan akhlak dan budaya masyarakat. Ajaran agama dapat menjadi benteng untuk melindung kita daripada kesan buruk maklumat yang tidak baik. Dengan itu, masyarakat kita akan terselamat dan akan terus membangun dan menjadi kuat. Di masa yang sama, masyarakat Islam yang kuat dan maju akan dapat membantu menghapuskan anggapan bahawa Islam menjadi halangan terhadap kemajuan. 6. Ada pendapat di kalangan orang Islam bahawa kemajuan di dunia ini tidak perlu dikejar. Kemajuan orang Islam, kata mereka, berbeza dengan kemajuan sepertimana yang ditafsirkan oleh orang lain, iaitu orang yang bukan Islam. 7. Pemikiran seperti ini hanya menguatkan kepercayaan di kalangan sesetengah orang Islam bahawa mereka bukan sahaja tidak perlu maju tetapi tidak mungkin maju di dunia ini. Oleh itu mereka tidak perlu mengejar kemajuan. 8. Malangnya oleh kerana negara-negara Islam tidak maju, mereka kerap ditindas oleh negara lain atau mereka terpaksa mencari perlindungan dari negara-negara lain yang mempunyai kemajuan. Dengan ini, negara Islam mudah dilaga-lagakan dengan negara Islam lain, yang mana ini menambahkan kelemahan mereka. Dan apabila mereka bermusuh sesama sendiri mereka sekali lagi mencari perlindungan dari negara maju bukan Islam. Dengan ini negara-negara Islam akan selama-lamanya terikat dengan kepentingan negara bukan Islam. 9. Oleh kerana negara-negara Islam selalu meminta pertolongan dan tunduk kepada negara-negara maju bukan Islam maka agama Islam juga turut terhina. Selagi negara Islam mundur dan lemah dan memperdayakan diri dengan mendakwa kononnya mereka tidak perlu kemajuan di dunia, selama itulah Islam akan dihina dan negara-negara Islam diperkosa. 10. Jika kita kembali kepada ajaran al-Quran mengenai pentingnya kita mampu mempertahankan diri kita, tentulah kita akan mengejar ilmu dan kemajuan yang akan membolehkan kita menyediakan segala alat untuk mempertahankan diri kita. Kita juga akan diperingati oleh al-Quran bagaimana kemiskinan itu boleh melemahkan aqidah kita. Kita juga akan diperingati bahawa orang Islam itu adalah bersaudara dan bukan musuh yang harus berperang setiap masa. Kita juga akan menolak keterlaluan dalam semua gerak-geri kita. Pendek kata, banyak pelajaran berkenaan dengan Ad-din atau cara hidup yang boleh dipelajari daripada al-Quran. Tidaklah salah jika dikatakan masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam sekarang adalah kerana membelakangkan ajaran al-Quran dan mengutamakan ajaran dan tafsiran orang tertentu yang berkepentingan yang lebih mengutamakan agenda mereka daripada ajaran al-Quran. 11. Tilawah al-Quran bertujuan untuk membaca ayat-ayat al- Quran bukan semata-mata untuk menjadi halwa telinga tetapi lebih penting daripada itu, ialah mengikuti penjelasan makna ayat-ayat ini supaya ia menjadi pengajaran kepada kita semua. Mudah-mudahan kita akan lebih faham agama kita dan mematuhi ajaran Islam supaya Islam betul-betul menjadi Ad-din. 12. Dengan harapan ini dan dengan kalimah Bismillahir rahmanir rahim, saya merasmikan Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan kali yang ke-39 ini. |