home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MUKTAMAR, PUSAT ISLAM, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	04/06/96 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA HARI PENGGUNA SEDUNIA 1996 
			DAN PELANCARAN PERTANDINGAN 
			KELUARGA HIDUP SELESA 



            Saya   mengucapkan   terima   kasih   kepada
    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan  Hal  Ehwal
    Pengguna  kerana menjemput saya ke Majlis  Perasmian
    Hari   Pengguna   Sedunia   1996   dan   melancarkan
    pertandingan Keluarga Hidup Selesa.
    
    2.    Konsep  kepenggunaan adalah satu  konsep  yang
    dicipta  oleh  tokoh-tokoh  tertentu  dengan  tujuan
    melindungi pengguna daripada penipuan oleh pembekal,
    sama  ada  pembekal khidmat atau barangan.   Sebelum
    adanya   gerakan  pengguna,  pengguna  hanya   boleh
    mengadu kepada pihak berkuasa apabila mereka  berasa
    tertipu. Selain daripada proses ini tidak mudah  dan
    mungkin  memerlukan  wang yang  banyak,  pihak  yang
    menerima  aduan  biasanya kurang  memberi  perhatian
    ataupun bersimpati dengan pengguna.
    
    3.    Dengan  adanya gerakan pengguna dan  publisiti
    berkenaan  kegiatannya  dan pendedahan  yang  dibuat
    olehnya,  hak  pengguna lebih terpelihara.   Penjual
    atau  pembekal tidak lagi boleh bersikap  endah  tak
    endah  apabila  khidmat atau barangan  yang  dibekal
    tidak  menepati apa yang didakwa.  Harga juga  tidak
    lagi   boleh  dinaikkan  dengan  sewenang-wenangnya.
    Dengan itu keadaan ekonomi negara dan kos sara hidup
    terkawal  dan  ekonomi negara  lebih  berdaya  maju.
    Akhirnya pembekal sendiri mendapat manfaat.
         
    4.   Pembekal khidmat atau barangan mendapat manfaat
    kerana inflasi sifar atau inflasi yang rendah  bukan
    sahaja bermakna kos sara hidupnya rendah tetapi  kos
    pengeluaran   atau   buatan   juga   terus   rendah.
    Keuntungannya   tidak  terjejas   bahkan   penjualan
    mungkin meningkat.
    
    5.    Tahun  lepas  saya  telah  menjelaskan  bahawa
    pengguna  dan  pembekal  adalah  orang  yang   sama;
    pembekal sesuatu khidmat atau barangan tetap menjadi
    pengguna  banyak  khidmat dan  barangan  yang  lain.
    Sepertimana  sebagai pengguna dia tidak suka  haknya
    dicabul,  iaitu barangan yang dibekal tidak menepati
    `standard'  atau  harga yang  dijanji,  seperti  itu
    jugalah sebagai pembekal dia tidak boleh harap orang
    lain   sebagai  pengguna  barangan  atau  khidmatnya
    berpuashati  dengan  bekalan  yang  tidak   menepati
    `standard'.   Jika  kita sebagai pengguna  mempunyai
    hak  yang perlu dilindungi dan dihormati, kita harus
    ingat  akan  hak ini apabila kita menjadi  pembekal.
    Kita   tidak   akan   dihormati  jika   kita   tidak
    menghormati orang lain.
    
    6.    Hakikat  asas ini perlu kita ingati  sepanjang
    masa.   Terlalu  ramai daripada kita  hanya  memikir
    diri kita sebagai pengguna dengan tidak sedikit  pun
    sedar bahawa kita semua adalah pembekal.
    
    7.    Mungkin  kita percaya kita tidak  mengeluarkan
    apa-apa untuk dijual kepada sesiapa.  Mungkin secara
    langsung   tidak.   Tetapi  secara  tidak  langsung,
    dengan  kesan  yang  tidak sedikit,  kita  `menjual'
    khidmat  atau  barangan  sekurang-kurangnya   kepada
    majikan yang membayar upah kepada kita.
    
    8.     Kerani   dalam   pejabat   Kerajaan   menjual
    khidmatnya  kepada  Kerajaan  dan  khidmat  Kerajaan
    kepada orang ramai.  Jika ia tidak cergas dan  cekap
    dalam  memproses  atau menaip surat,  kelewatan  itu
    mempunyai   kesan  kepada  bekalan  khidmat   kepada
    pengguna.     Budak    pejabat   yang    melambatkan
    penghantaran  surat  pun boleh  merugikan  pelanggan
    khidmat  Kerajaan.  Jika kerana ini Kerajaan menjadi
    tidak   efisien   maka   kos   segala-galanya   akan
    meningkat.
    
    9.    Dalam syarikat pembekal khidmat atau barangan,
    tiap  seorang kakitangan menyumbang kepada  kejayaan
    membekal   apa  sahaja  kepada  pengguna.   Daripada
    kerani   dan  pemandu  kereta  hingga  ke  eksekutif
    tertinggi, semuanya bertanggungjawab dalam  membekal
    keluaran syarikat.  Kelewatan atau mutu yang  rendah
    barangan yang dihasilkan bermakna kos meningkat  dan
    pengguna  tidak  mendapat haknya.  Kemajuan  ekonomi
    negara juga akan terjejas.
    
    10.   Jika  kita dapat ingat sepanjang  masa  bahawa
    kita  semua  adalah  pembekal  dan  bertanggungjawab
    kepada diri kita sendiri sebagai pengguna, maka  hak
    kita  sebagai  pengguna  akan terpelihara  sepanjang
    masa. Jika hari ini pengguna berasa hak mereka tidak
    diberi pertimbangan yang sewajarnya, sebabnya  ialah
    kerana kita hanya melihat diri kita sebagai pengguna
    dan lupa akan tanggungjawab kita sebagai pembekal.
    
    11.   Pengguna  dan gerakan pengguna memanglah  baik
    untuk  memelihara kualiti khidmat dan barangan  yang
    dipasarkan.   Tanpa  gerakan  pengguna  khidmat  dan
    barangan   akan   jatuh  mutunya  dan   harga   akan
    meningkat.  Dengan itu bermacam-macam  masalah  akan
    dihadapi oleh masyarakat dan negara.
    
    12.   Barangan yang bermutu rendah atau/dan harganya
    yang  tinggi tidak akan berdayasaing dalam  pasaran,
    baik di dalam mahupun di luar negeri.  Untuk pasaran
    dalam   negeri  Kerajaan  akan  diminta   melindungi
    barangan   tempatan.   Perlindungan  oleh   Kerajaan
    sebenarnya   bermakna  memaksa   pengguna   tempatan
    membayar harga yang lebih atau menerima kualiti yang
    rendah.   Dengan perkataan lain bukan Kerajaan  yang
    melindung  pembekal tetapi pengguna  yang  melindung
    pembekal  dan memikul beban.  Ini sudah tentu  tidak
    adil kepada pengguna.
    
    13.   Sebaliknya  barangan yang  kos  pengeluarannya
    mahal  atau kualitinya rendah tidak dapat dieksport.
    Dengan  itu jumlah keluaran tidak tinggi  dan  tidak
    dapat menolong mengurangkan kos pengeluaran.  Sekali
    lagi pengguna tempatan terpaksa menanggung beban.
    
    14.   Adakalanya  barangan yang  diimport  meningkat
    harganya.    Keadaan   ini   sukar   dikawal.   Kita
    mengimport  barangan  perlu  seperti  gula,  tepong,
    daging  dan  lain-lain.   Di sini  peranan  pengguna
    adalah  terhad kerana pembekal adalah  orang  asing.
    Hanya  yang boleh kita lakukan ialah dengan berjimat
    cermat dan mengurangkan penggunaan barangan ini.  Di
    mana   mungkin,   kita  gunakan   barangan   gantian
    tempatan.   Demikian jugalah dengan  barangan  mewah
    yang    diimport.     Pengguna    harus    kurangkan
    penggunaannya  untuk memaksa harga  barangan  import
    ini akan dikurangkan dan kualiti akan diperbaiki.
    
    15.    Kesan  kegiatan  dan  selera  pengguna  tidak
    sedikit.   Pembekal  yang bijak perlu  mengambilkira
    selera  dan  pendapat  pengguna  jika  mereka  ingin
    menempuh  kejayaan.  Demikian sebuah negara  seperti
    Malaysia  yang  bergantung kepada perdagangan  untuk
    pertumbuhan  ekonomi  perlu  sentiasa  mengambilkira
    pandangan pengguna, iaitu negara-negara yang menjadi
    pasaran bagi barangannya.
    
    16.   Sementara  itu dalam Rancangan  Malaysia  Ke-7
    aspek-aspek  kepenggunaan  yang  ditekankan   adalah
    program   peningkatan  kesedaran  dan   perlindungan
    pengguna  serta  perwujudan amalan perdagangan  yang
    sihat   dan   beretika.   Bagi   mewujudkan   amalan
    perdagangan  yang sihat dan beretika  strategi  yang
    ditentukan bagi Kementerian meliputi:-
    
    a)   Kawalan harga dan bekalan barang-barang
         perlu;
    
    b)   Kempen kesedaran peniaga dan mewujudkan kod-kod
         etika termasuk kod etika Pengarah Syarikat yang
         dilancar baru-baru ini;
    
    c)   Memperkemas  dan menguatkuasakan  undang-undang
         baru;     dan
    
    d)   Memperkemas rekod-rekod perniagaan dan syarikat.
    
    
    Kita  sedar akan wujudnya peniaga dan ahli  korporat
    yang   walaupun  tidak  ramai  mencemar  nama   baik
    golongan  mereka  dengan  amalan-amalan  yang  tidak
    sihat di pasaran, antaranya:-
    
         a)    Pengiklanan   yang   palsu   atau   yang
               mengelirukan pengguna.  Amalan ini tidak
               terhad  kepada  barangan pengguna sahaja
               tetapi     turut     melibatkan   produk 
               perkhidmatan, pelancongan dan perumahan;
         
         b)    Pemasaran  barangan  yang  tidak  selamat
               diguna;
         
         c)    Penipuan daripada segi sukatan, kandungan
               dan keupayaan barangan atau perkhidmatan;
         
         d)    Wujudnya golongan yang sanggup  melanggar
               undang-undang   negara  dan   mengamalkan
               aktiviti   yang   tidak   sihat   seperti 
               penipuan,   penyeludupan  dan   aktiviti-
               aktiviti tidak bermoral.
         
    17.  Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa walaupun
    pengamal cara-cara yang tidak baik ini hanya sedikit
    sahaja  tetapi kesannya amat buruk kepada masyarakat
    peniaga  sendiri.  Demikian penipuan yang  dilakukan
    oleh  syarikat  membawa bakal  haji  ke  tanah  suci
    menyebabkan  nama syarikat lain tidak lagi  mendapat
    kepercayaan bakal haji.
    
    18.   Kita  berhasrat menjadi negara maju  menjelang
    tahun  2020.  Negara maju tidak akan mempunyai  apa-
    apa makna jika nikmat dan kualiti hidup rakyat tidak
    maju  bersama.   Seperti yang telah saya  terangkan,
    pendapatan rakyat yang meningkat tidak mempunyai apa-
    apa erti jika daya beli mereka tidak meningkat.  Dan
    daya  beli  mereka tidak akan meningkat  jika  harga
    khidmat  dan barangan meningkat bersama-sama  dengan
    kenaikan  pendapatan  sama  ada  sebagai  upah  atau
    keuntungan.
    
    19.  Banyak sebab yang menaikkan inflasi.  Antaranya
    ialah   tabiat   mengguna   secara   keterlaluan   -
    `conspicuous  consumption'.  Walaupun kita  memiliki
    wang yang banyak kita perlu berbelanja dengan bijak.
    Kita   perlu   mengambilkira   harga   jualan   yang
    berpatutan.   Adalah lebih baik kita  membeli  lebih
    banyak  jenis  barangan atau khidmat  yang  berharga
    yang  berpatutan  daripada membeli sesuatu  barangan
    tanpa  mengambilkira harga semata-mata  kerana  kita
    mampu  membayar apa juga harga yang disebut.   Walau
    bagaimana tinggi pendapatan kita, adalah lebih  baik
    kita  menabung  daripada membeli  apa  sahaja  tanpa
    mengambilkira harga.
    
    20.  Sebaliknya jika kita mampu membeli lebih banyak
    jenis   barangan,  termasuk  barangan   mewah   yang
    berharga  berpatutan,  kita tidak  akan  menyebabkan
    inflasi.  Dalam  pada  itu kita  akan  mengembangkan
    kegiatan  perniagaan dalam berbagai  jenis  barangan
    atau khidmat dan ini akan menyumbang kepada aktiviti
    dagangan  yang mewujudkan peluang-peluang kerja  dan
    perniagaan.
    
    21.   Dengan perkataan lain jika kita mampu  membeli
    barangan mewah atau khidmat bermutu tinggi,  asalkan
    harga   berpatutan,   ia   bukan   pembaziran.    Ia
    sebenarnya  menyumbang kepada  perkembangan  ekonomi
    negara  dan menolong meningkatkan pendapatan peniaga
    dan pekerja.
    
    22.   Demikian jika kita makan di gerai dan membayar
    harga  yang  murah, kita menyumbang  kepada  inflasi
    sifar.  Tetapi ini tidak bermakna mereka yang  mampu
    makan  di  restoran dan membayar  harga  yang  lebih
    tinggi  mengkhianati inflasi sifar.  Sebabnya  ialah
    harga   yang  dibayar  termasuk  sewa  kedai,   gaji
    pelayan,  hawa dingin dan lain-lain lagi yang  tidak
    ditanggung oleh gerai tepi jalan.
    
    23.   Sebenarnya kita berharap peniaga  dalam  gerai
    akan  dapat memperbaiki cara perniagaannya  sehingga
    ia dapat berniaga dalam kedai berhawa dingin, dengan
    kemudahan-kemudahan  lain walaupun  harga  jualannya
    akan  meningkat.   Di masa yang sama  kita  berharap
    pelanggannya   juga   akan  mendapat   upahan   atau
    pendapatan  yang bertambah yang akan  membolehkannya
    pergi ke restoran.
    
    24.  Akhirnya kita ingin melihat semua gerai diganti
    dengan  kedai yang lebih sempurna yang tidak  kurang
    kemajuan  mereka  kerana  pendapatan  semua   rakyat
    meningkat  dan mampu meneruskan langganan mereka  di
    kedai-kedai  yang lebih sempurna  ini.   Dengan  ini
    baharulah  kita dapat mendakwa bahawa kualiti  hidup
    rakyat Malaysia sudah meningkat tetapi inflasi terus
    rendah atau masih inflasi sifar.
    
    25.  Hasrat kita ialah untuk meningkatkan pendapatan
    semua  rakyat di semua peringkat supaya mereka boleh
    menikmati   barangan   dan   khidmat   yang    lebih
    berkualiti.  Bahawa barangan dan khidmat  ini  lebih
    tinggi harga tidak bermakna inflasi kerana harga ini
    termasuk  kualiti yang lebih baik.  Sebenarnya  hari
    ini pun kualiti hidup di Malaysia sudah meningkat.
    
    26.   Jika  dahulu mereka yang berpendapatan  rendah
    cangkung  di  tepi  jalan dan  makanan  dijual  oleh
    penjaja  yang kandar jualannya, hari ini gerai  yang
    masih  di  tepi jalan mempunyai meja yang  bertudung
    kain  dan  kerusi plastik.  Sudah tentu  harga  juga
    sudah  meningkat.  Tetapi upah pekerja pun meningkat
    sehingga  bukan  sahaja mampu  makan  dalam  keadaan
    lebih selesa, tetapi tempat tinggal yang disewa juga
    lebih baik.
    
    27.   Di  masa  hadapan kita ingin  melihat  pemilik
    gerai   menggantikannya  dengan  rumah  kedai   yang
    memerlukan harga jualan dinaikkan tetapi masih  juga
    mampu  dibayar oleh pekerja yang mendapat upah  yang
    lebih  tinggi.   Tingginya  upah  ini  adalah  hasil
    daripada  peningkatan  produktiviti  pekerja,   yang
    sudah   lebih  cekap,  mengeluarkan  barangan   atau
    khidmat  yang lebih berkualiti dan canggih.   Dengan
    perkataan  lain  kualiti  hidup  semua  pihak  sudah
    meningkat dalam semua aspek.
    
    28.   Semakin lama semakin cekaplah rakyat Malaysia,
    daripada  buruh  hingga  ke eksekutif,  dan  semakin
    tinggi  pendapatan mereka.  Dengan itu mereka  semua
    akan  mampu  membiayai kehidupan yang lebih  selesa,
    sehingga taraf hidup adalah sama dengan taraf  hidup
    di  negara  maju.  Pada ketika itu akan  tercapailah
    taraf negara maju yang menjadi matlamat negara.
    
    29.   Percayalah kita boleh capai matlamat ini  jika
    kita  sebagai  pengguna tidak lupa akan  kepentingan
    dan  hak  pengguna  semasa kita  berperanan  sebagai
    pembekal.  Peningkatan taraf  hidup  tidak  bermakna
    pertambahan pendapatan sahaja.  Kualiti  juga  harus
    meningkat dan untuk kualiti yang meningkat ini  kita
    harus  sanggup membayar dengan harga yang berpatutan
    dengan kualiti.  Dengan ini inflasi tidak sebenarnya
    meningkat  kerana  barangan dan khidmat  lebih  baik
    dari dahulu semasa harganya murah.
    
    30.   Pengguna  tidak  tertipu jika  kenaikan  harga
    disertai dengan peningkatan kualiti.  Mustahil  kita
    akan   menikmati  kualiti  yang  lebih  baik   tanpa
    kenaikan harga.  Tetapi jika kualiti sama atau hasil
    kerja  kita  adalah sama, kenaikan harga  atau  upah
    bermakna inflasi.  Kita tidak akan menikmati kualiti
    hidup  yang  lebih  baik walaupun perbelanjaan  atau
    upahan  lebih  tinggi.  Inilah yang perlu  ditentang
    oleh pengguna.
    
    31.   Matlamat perjuangan pengguna hendaklah  jelas.
    Sasaran  perlu dikenalpasti.  Harga mestilah sejajar
    dengan kualiti yang dijanji.  Tidak ada perbezaan di
    antara  harga barangan atau khidmat yang kita  bayar
    dengan upah yang dibayar untuk kerja yang kita  buat
    atau  yang kita janjikan.  Upah di sini bukan  hanya
    bermakna bayaran kepada pekerja tetapi bayaran  gaji
    untuk  eksekutif  tertinggi juga  adalah  upah  yang
    perlu  diambilkira.  Jika eksekutif tidak menyumbang
    apa-apa  tambahan nilai kepada barangan atau khidmat
    oleh  majikannya, ini juga menekankan pengguna,  dan
    pengguna harus ambilkira.
    
    32.   Jika  kita semua sedar dan faham  akan  kaitan
    yang  rapat  di  antara pengguna dan  pembekal,  dan
    betapa kepentingan kita sebagai pengguna adalah sama
    dengan  tanggungjawab  kita sebagai  pembekal,  maka
    perjuangan  pengguna akan lebih bermakna  dan  lebih
    berhasil.  Dalam pada itu daya saingan barangan  dan
    khidmat  kita  akan meningkat dan  kita  semua  akan
    mendapat  banyak  nikmat  daripada  perjuangan  yang
    mulia ini.
         
    33.   Dengan  ini saya dengan sukacitanya merasmikan
    Hari  Pengguna Sedunia dan melancarkan  pertandingan
    Keluarga Hidup Selesa. 
 

 



 
Google