Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : TAPAK PROJEK PUTRAJAYA,
SEPANG, SELANGOR
Tarikh/Date : 29/08/95
Tajuk/Title : UPACARA PELANCARAN PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera,
Syukur alhamdulillah, kita dapat sama-
sama hadir di Majlis Pelancaran Putrajaya pada hari
ini. Satu lembaran sejarah telah tercipta apabila
Kerajaan membuat keputusan untuk membangunkan Putrajaya
sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang
baru. Keputusan tersebut mula menjadi kenyataan
fizikal dengan adanya Majlis Pelancaran Putrajaya pada
pagi ini.
2. Pemindahan jentera pentadbiran negara dari Kuala
Lumpur ke Putrajaya adalah selaras dengan dasar
kerajaan untuk mengimbang dan menyebarkan pembangunan
dari Kuala Lumpur. Keputusan ini didorong oleh hasrat
kerajaan untuk meningkatkan kualiti persekitaran
`urban' dan kehidupan di Kuala Lumpur serta menjamin
pembangunan yang lebih tersusun di Lembah Kelang.
3. Kerajaan telah memilih Perang Besar di Selangor
kerana lokasinya yang strategik di dalam koridor
pembangunan Kuala Lumpur ke Kuala Lumpur International
Airport (KLIA). Pada satu hari Kuala Lumpur, Putrajaya
dan KLIA akan menjadi satu bandar gergasi atau
`megacity' yang setanding dengan `megacity' seperti
Tokyo Yokohama dan beberapa kombinasi `urban' yang
lain.
4. Seperti yang telah dinyatakan, Pusat Pentadbiran
Persekutuan di Perang Besar ini telah diberi nama
Putrajaya bagi memperingati Perdana Menteri Malaysia
yang pertama dan Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul
Rahman Putra. Satu Perbadanan yang diberi nama
Perbadanan Putrajaya telah ditugaskan untuk mentadbir
dan menguruskan segala usaha pembangunan serta perkara-
perkara yang berkaitan bagi pihak Kerajaan Persekutuan.
5. Pusat Pentadbiran Putrajaya yang meliputi kawasan
seluas 4,400 hektar akan menjadi kawasan `Multi-media
Super Corridor' (MSC) seluas 15 kilometer kali 40
kilometer, iaitu antara Kuala Lumpur dengan KLIA.
`Multi-media Super Corridor' boleh dilengkapi dengan
satu rangkaian telekomunikasi bersepadu yang pantas
untuk memenuhi keperluan-keperluan bagi `value-added
telecommunication' yang terkini, perkhidmatan maklumat
dan perkhidmatan multi-media. `Super Corridor' ini
akan disambungkan ke `National Information
Superhighway' dan seterusnya ke jaringan yang meliputi
seluruh dunia.
6. Ini akan membolehkan Putrajaya menjadi sebuah
bandaraya bistari dan `information hub' yang dinamik
dalam aktiviti dagangan dan hubungan antarabangsa dan
seterusnya dapat mewujudkan pusat pentadbiran kerajaan
yang cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan
pentadbiran yang efisien dan berkesan kepada rakyat dan
masyarakat perdagangan antarabangsa.
7. Kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan
telekomunikasi berbentuk jaringan dan `wireless' akan
menjadi tulang belakang pembangunan Putrajaya.
Kemudahan ini akan disematkan di dalam bangunan-
bangunan di sekitar pejabat kerajaan, pusat perniagaan
dan perdagangan serta aktiviti sivik dan awam.
8. Penyediaan kemudahan infrastruktur dan
telekomunikasi, penubuhan `Data Warehouse Centre' akan
membolehkan pengendalian dan pengurusan pejabat,
pengawasan alam sekitar, penyelenggaraan dan pengurusan
bandar dan infrastruktur, pengawalan lalu lintas,
keselamatan, kecemasan serta perkembangan kebudayaan
yang efisien di Putrajaya.
9. Kemudahan infrastruktur teknologi maklumat dan
telekomunikasi yang canggih melalui `information
highway' akan merangsang dan `synergise' Putrajaya
sebagai bandaraya yang kaya dengan maklumat di abad ke-
21. Masyarakat Malaysia khususnya di persekitaran
Putrajaya akan melalui era teknologi maklumat dan
telekomunikasi moden. Untuk membolehkan Putrajaya
berfungsi sebagai `information hub' dengan lebih
berkesan, infrastruktur teknologi maklumat ini perlu
diperluaskan ke kawasan sekitarnya dan seterusnya ke
seluruh negara dengan jaringannya menjangkau ke seluruh
dunia.
10. Dengan adanya kemudahan yang bermutu tinggi yang
dirancang di dalam kawasan `Super Corridor' ini dan
dengan insentif-insentif yang sesuai, Malaysia boleh
menarik agensi-agensi terbaik yang memainkan peranan
utama dalam bidang teknologi maklumat (IT),
telekomunikasi dan multi-media untuk memulakan operasi
di dalam kawasan `Multi-media Super Corridor' bagi
kedua-dua bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
serta pemasaran. Ia juga boleh menjadi pusat
pengurusan syarikat gergasi antarabangsa yang akan
menempatkan kerja-kerja R&D dan pengeluaran yang
bertaburan di seluruh dunia dengan dihubungi oleh
kemudahan `multi-media' yang boleh mengganti keperluan
menghantar maklumat, eksekutif dan modal secara
fizikal. Segala-galanya akan diurus melalui
telekomunikasi yang canggih.
11. Pembangunan `Multi-media Super Corridor' akan
melibatkan syarikat-syarikat antarabangsa dan syarikat-
syarikat ini akan digalakkan untuk mengadakan hubungan
dengan syarikat tempatan supaya dapat menghasilkan
industri IT dan industri Multi-media tempatan yang
mampu memainkan peranan utama di peringkat
antarabangsa.
12. Dengan adanya `Multi-media Super Corridor' sebagai
`catalyst' dan Putrajaya sebagai `spearhead' maka
jaringan teknologi maklumat akan juga dapat dibangunkan
di kawasan pusat pertumbuhan lain seperti kawasan utara
Pusat Perindustrian Pulau Pinang/Kulim dan kawasan
selatan wilayah Perindustrian Johor.
13. Ini akan memastikan Malaysia akan dapat
mengekalkan pertumbuhan yang diperlukan untuk menuju ke
arah pencapaian objektif Wawasan 2020. Dalam hal ini
telekomunikasi, teknologi maklumat dan multi-media akan
memainkan peranan utama.
14. Bagi mencapai persekitaran yang berkualiti dan
bersih, pengangkutan awam yang cepat, selamat dan
efisien serta penekanan kepada unsur-unsur bersepadu
akan menjadi komponen utama dan penggerak aktiviti
pembangunan Putrajaya. Antara mod-mod pengangkutan
awam yang dicadangkan ialah `Express Rail Link (ERL)',
Transit Aliran Ringan (LRT), Tram, Perkhidmatan Bas
Awam, Teksi dan Perkhidmatan Feri.
15. Beberapa Terminal Pengangkutan Bersepadu akan
diwujudkan di lokasi-lokasi yang strategik untuk
memudahkan pertukaran mod pengangkutan dan semua
terminal ini dibangunkan mengikut konsep `park and
ride'. Dalam konteks ini kenderaan persendirian akan
dikurangkan di kawasan pusat atau `core'.
16. Bertepatan dengan konsep Bandar Dalam Taman,
perancangan lanskap dan rupa bentuk bandar akan
menggunakan sepenuhnya ciri-ciri semula jadi tapak yang
landai dan beralun, diselang-seli dengan taburan
beberapa bukit dan lembah yang mengalirkan anak-anak
sungai. Tasik buatan dijadikan penghubung serta
pemisah antara satu kawasan dengan satu kawasan di
samping menjadi satu `feature' yang menarik dan
istimewa bagi bandar ini.
17. Pendekatan perancangan seumpama ini akan memberi
satu pengertian yang padu dalam memajukan satu
persekitaran bandar berteraskan pengekalan `eco-
culture', peka dengan keceriaan alam sekitar, setia
kawan lagi penyayang serta berlandaskan kebudayaan
Malaysia.
18. Justeru itu, lanskap yang dirancang akan
mementingkan pembentukan persekitaran hidup yang
berkualiti melalui, antara lainnya, perwujudan satu
sistem rangkaian taman-taman tasik dan kawasan lapang
yang komprehensif yang bukan sahaja akan memberi
pelbagai kepuasan kepada setiap pengguna malahan
menjadi daya tarikan kepada pelbagai jenis burung dan
haiwan. Adalah diharapkan bandar ini akan menjadi
contoh bagaimana alam sekeliling tidak perlu disentuh
atau dimusnah apabila dibangunkan.
19. Antara rangkaian taman yang dirancang termasuklah
Taman Bandar, Taman Botani, Taman Persisiran Sungai dan
Tasik, Dataran Sivik dan Rangkaian taman-taman
kejiranan.
20. Pemilihan jenis pokok untuk Putrajaya akan
menonjolkan kepelbagaian koleksi flora tempatan. Ini
termasuklah jenis pokok yang beraneka bentuk dan rupa,
warna bunga, bau-bauan serta lain-lain yang mempunyai
ciri-ciri yang unik dan menarik.
21. Perancangan lanskap Putrajaya juga menonjolkan
badan air iaitu tasik sebagai elemen penting
persekitaran bandar. Tasik yang dibina mampu
berperanan sebagai `climate modifier and moderator',
berfungsi sebagai pendingin asli serta membentuk satu
iklim mikro tempatan yang selesa.
22. Untuk membolehkan Putrajaya membangun sebagai
bandaraya dalam taman, dinamik, terus maju dan berupaya
untuk menjadi nadi pembangunan ekonomi dan maklumat,
pembangunan di kawasan sekitarnya telah diselaraskan
untuk menjadi penyokong dan pelengkap yang unik kepada
pembangunan Putrajaya berdasarkan rancangan struktur
yang disediakan.
23. Pembangunan Putrajaya akan memberi faedah langsung
kepada kawasan sekitarnya. Seluas 10,000 hektar
kawasan yang melibatkan tanah-tanah swasta, anak-anak
syarikat Negeri Selangor serta kawasan Rizab Melayu
akan dibangunkan bersama Putrajaya dan ini termasuk
kemudahan infrastruktur, perdagangan, sosial yang
setanding dengan Putrajaya.
24. Sesungguhnya, majlis yang penuh makna ini adalah
satu catatan sejarah yang merupakan permulaan
pelaksanaan pembangunan Putrajaya. Ini adalah antara
kemuncak pencapaian negara dalam mewujudkan identiti
masyarakat Malaysia yang berbudaya, berwibawa dan
berpengetahuan selaras dengan Wawasan 2020.
25. Saya ingin merakam setinggi-tinggi terima kasih
kepada Kerajaan Negeri Selangor serta seluruh rakyatnya
kerana kerjasama dan kerelaan berkongsi pelbagai nikmat
yang bakal wujud dengan terbinanya Putrajaya.
26. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk
mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah
menyumbang tenaga dan kepakaran dalam perancangan dan
pembangunan Putrajaya. Saya berasa amat bangga
terutamanya kerana bandar ini dirancang sepenuhnya oleh
rakyat Malaysia dan akan dibangunkan oleh rakyat
Malaysia sendiri. Semua ini membuktikan apa yang boleh
dihasilkan daripada semangat Persyarikatan Malaysia ke
arah memenuhi Wawasan 2020.
27. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Penyayang
saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran
Putrajaya.
|
|