Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN BESAR IKIM, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 17/08/95
Tajuk/Title : PERSIDANGAN PEMERINTAHAN DALAM
MASYARAKAT MAJMUK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya mengucapkan terima kasih kepada IKIM
kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangan
Pemerintahan Dalam Masyarakat Majmuk anjurannya pada
hari ini.
2. Pemerintahan masyarakat majmuk bukanlah terhad
kepada Kerajaan Islam sahaja tetapi Kerajaan bukan
Islam juga kerap memerintah masyarakat majmuk. Dan di
antara anggota masyarakat berbilang kaum di negara
bukan Islam terdapat juga orang Islam. Di zaman ini
terutamanya, terdapat ramai daripada rakyat negara-
negara bukan Islam yang terdiri daripada orang Islam
sehingga mereka menjadi kumpulan minoriti yang terbesar
di antara rakyat negara-negara berkenaan.
3. Memandang kepada keadaan ini kita tidak boleh
ketepikan masalah masyarakat Islam dalam negara majmuk
yang bukan Islam. Jika kita berbuat demikian, maka
kita akan gagal memberi panduan kepada mereka. Dengan
ini orang Islam mungkin melakukan sesuatu yang boleh
membinasakan diri mereka.
4. Teladan penting yang didapati dari zaman Nabi
Muhammad s.a.w. ialah apabila sekumpulan daripada orang
Islam pengikut Nabi pergi ke Habsyah untuk mencari
perlindungan daripada musuh-musuh Islam di Mekah.
Mereka ini diterima dan diberi perlindungan oleh Raja
Habsyah yang beragama Kristian. Baginda telah
menolak tuntutan Quraish supaya pelarian Islam ini
dikembalikan ke Mekah.
5. Orang Islam kerap mengulangi cerita ini dan
menghargai sikap pemerintah Kristian Habsyah. Tentulah
rakyat Islam yang pergi ke negara Habsyah ini tidak
membuat sesuatu yang melanggar undang-undang negara
Habsyah. Tentulah mereka menghormati pentadbiran dan
budaya orang tempatan. Tentulah mereka tidak
mencetuskan huru-hara di negara tumpangan mereka.
Dengan itu, terselamatlah mereka dan agama Islam yang
mereka anuti.
6. Demikian jugalah di zaman ini. Apabila orang
Islam terpaksa bermastautin di negara bukan Islam, maka
tentulah mereka perlu menghormati pemerintahan dan
penduduk negara tersebut. Mereka tentu tidak suka
ditindas atau dipisahkan daripada agama mereka secara
paksa. Selagi mereka dibenar untuk terus menganuti
agama Islam dan selagi mereka tidak diusik, mereka
tidak harus menimbulkan masalah kepada negara tumpangan
mereka.
7. Seperti juga dengan orang Islam yang menjadi
minoriti di negara bukan Islam, orang bukan Islam yang
menjadi minoriti di negara Islam patut menerima layanan
yang sama. Hanya kerana orang Islam menjadi pemerintah
dan majoriti tidak bermakna yang orang bukan Islam
tidak berhak. Contoh layanan baik terhadap orang bukan
Islam dalam masyarakat majmuk yang diperintah oleh
orang Islam berlaku di Madinah semasa pemerintahan Nabi
Muhammad s.a.w. Cara mentadbir masyarakat majmuk yang
mengandungi orang Muhajirin dan Ansar Islam bersama
dengan orang Yahudi dan Nasrani telah ditentukan oleh
Perlembagaan atau Sahifah Madinah. Orang Yahudi dan
Nasrani tidak dipaksa memeluk agama Islam. Bahkan
undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas mereka ialah
undang-undang agama mereka sendiri. Demikian apabila
sepasang orang Yahudi melakukan zina, hukuman yang
dikenakan adalah `rejam dengan batu' yang merupakan
hukum yang terdapat dalam Kitab Taurat.
8. Dalam hal ini, Allah Subhanahu wa Ta'ala
telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 256 yang
bermaksud "Tidak ada paksaan dalam Islam". Dalam surah
Al-Kaafiruun ayat 6 dijelaskan bahawa bagi orang bukan
Islam agama mereka, tetapi bagi orang Islam agama
Islam. "Lakum dinukum waliadin".
9. Selain daripada itu, hukum-hukum yang sama
berat dikenakan ke atas orang Islam dan bukan Islam.
Tidak ada bukti bahawa dalam pemerintahan Madinah orang
bukan Islam dikenakan tanggungjawab atau hukuman yang
lebih berat daripada orang Islam.
10. Keadilan dalam Islam tidak berbeza daripada
konsep keadilan yang universal. Jika penindasan atau
ketidaksamaan hukum dianggap tidak adil dalam pandangan
universal, demikian jugalah dalam Islam. Tetapi
tekanan kepada keadilan lebih jelas dalam agama Islam.
Dalam al-Quran dan juga hadis yang sahih, beratus-ratus
kali disebut tentang betapa Allah menyuruh umat Islam
berlaku adil dan melarang perbuatan yang zalim. Jika
ada perbuatan yang tidak adil dan zalim yang dilakukan
oleh orang Islam atau Kerajaan Islam ianya bukanlah
kerana Islam atau disuruh oleh agama Islam tetapi ianya
adalah oleh kerana orang Islam dan Kerajaan-Kerajaan
Islam tidak menghiraukan ajaran Islam dan suka mengikut
nafsu. Malangnya apabila orang Islam atau Kerajaan
orang Islam membuat sesuatu yang tidak adil mereka suka
mengaitkannya dengan ajaran Islam untuk menghalalkan
perbuatan mereka. Bahkan mereka kerap memaksa ulama-
ulama suruhan dan ketua-ketua agama seperti mufti atau
Sheikh-ul-Islam untuk membuat fatwa yang menghalalkan
kezaliman mereka.
11. Dalam sejarah manusia sejak dari zaman Firaun
lagi terdapat pemerintahan yang zalim terhadap orang
yang bukan daripada agama atau bangsa pemerintah.
Kedatangan Islam dan pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w.
di Madinah dan kemudian di Mekah telah membawa
pemerintahan yang adil dan bertimbangrasa. Demikian
hamba-hamba abdi yang biasanya daripada bangsa bukan
Arab diberi layanan yang adil dan saksama. Layanan
yang adil daripada Pesuruh Allah yang membawa agama
Islam inilah yang menyebabkan ramai daripada orang
kulit hitam yang menjadi hamba menerima agama Islam dan
mempertahankan agama ini dengan gigih. Contoh yang
utama ialah Bilal, yang menjadi orang pertama
melaungkan azan. Tekanan terhadap Bilal kerana
menerima agama Islam amatlah berat tetapi beliau kekal
dengan pegangannya kepada Islam.
12. Sekali lagi dibuktikan bahawa bukan paksaan
yang menjayakan Islam di zaman Nabi, tetapi keadilan,
keadilan yang diberi bukan selepas memeluk agama Islam
tetapi sebelum penerimaan agama Islam oleh orang bukan
Islam.
13. "Rahmah" (kasihan) dan ihsan (gemar melakukan
kebaikan) kepada orang lain adalah sesuatu yang disuruh
oleh agama Islam.
Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 134 bermaksud:
"Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang
berbuat perkara-perkara yang baik."
Firman ini menjadi panduan yang jelas apabila kita
menangani masalah masyarakat yang mengandungi orang
Islam dan bukan Islam.
14. Namun demikian, selepas wafatnya Nabi
Muhammad s.a.w. dan selepas pemerintahan khalifah-
khalifah Al-Rasyidin, terdapat banyak pemerintahan yang
zalim di dalam negara Islam. Adil atau zalim
pemerintahan Islam di Al-Andalus atau Sepanyol
bergantung kepada siapa yang menjadi raja. Ada raja
yang memberi layanan yang saksama kepada orang Yahudi
dan Kristian yang tinggal di negeri-negeri mereka. Di
waktu ini ramai yang memeluk agama Islam. Tetapi
kemudian apabila raja yang zalim memerintah, mereka
bukan sahaja tidak adil kepada orang bukan Islam tetapi
juga kepada orang yang telah memeluk agama Islam
walaupun sudah beberapa generasi.
15. Akhirnya semua wilayah Islam di Sepanyol
ditakluk semula oleh orang Kristian. Di waktu ini juga
dilancarkan `Spanish Inquisition' yang begitu kejam
terhadap orang Islam dan juga orang Kristian yang
disyaki menyeleweng daripada ajaran Katolik.
16. Orang Islam dan Yahudi dipaksa memeluk agama
Katolik. Dengan itu ramai orang Islam berhijrah ke
Maghribi diikuti dengan orang Yahudi yang percaya
mereka tidak akan dizalimi oleh Kerajaan Islam
Maghribi.
17. Di Turki juga ada Kerajaan Islam yang adil
dan yang zalim kepada penduduk yang bukan beragama
Islam. Gereja-gereja di wilayah Eropah Timur yang
ditakluk oleh Turki tidak dimusnah. Sebaliknya
dijadikan masjid. Apabila Empayar Turki ditakluk
semula oleh orang Eropah, mereka dapat menggunakan
balik gereja-gereja mereka. Sebaliknya hari ini puak
Serb meruntuhkan semua masjid orang Islam Bosnia.
18. Hari ini, di merata negara di dunia terdapat
masyarakat majmuk yang menganuti agama-agama yang
berlainan. Di satu negara satu bangsa yang menganuti
agama tertentu memerintah masyarakat yang mempunyai
minoriti yang terdiri daripada bangsa lain yang
menganuti agama lain. Sebaliknya di negara lain pula
bangsa yang memerintah di negara pertama tadi menjadi
puak minoriti di bawah pemerintahan bangsa yang menjadi
minoriti di negara mereka.
19. Jika di negara pertama pemerintahan tidak
adil kepada puak minoriti, di negara kedua, mereka yang
menjadi puak minoriti tentulah terdedah kepada
kezaliman oleh kerajaan puak yang dizalimi oleh mereka
di negara mereka.
20. Jika mana-mana kaum atau penganut agama
tertentu tidak suka mereka dizalimi apabila mereka
menjadi minoriti, maka apabila mereka memerintah
janganlah mereka menzalimi orang lain. Jika orang
Islam di negara orang bukan Islam tidak suka dizalimi,
maka di negara orang Islam janganlah mereka menindas
dan berlaku tidak adil kepada kaum atau penganut agama
lain yang tinggal di negara mereka.
21. Sebenarnya kerajaan negara Islam atau yang
dikuasai oleh orang Islam, tetapi mempunyai rakyat dan
penduduk daripada berbagai-bagai bangsa dan menganuti
agama yang bukan Islam, jika mereka mengikuti ajaran
Islam tetap tidak akan menindas penduduk bukan Islam
mereka. Tidak ada di mana-mana dalam ajaran Islam yang
sebenar, sama ada daripada al-Quran atau Hadis yang
sahih yang menyuruh pemerintahan Islam melakukan
ketidakadilan ke atas rakyat bukan Islam. Yang ditekan
berulang kali oleh Islam ialah supaya berlaku adil dan
membuat yang baik, menolak sebarang bentuk kezaliman
dan keburukan.
22. Hanya jika orang lain bermusuh dengan
Kerajaan orang Islam baharulah disuruh orang Islam
memerangi mereka. Namun tidak juga disuruh Kerajaan
Islam berlaku zalim kepada mereka, walaupun ke atas
mereka yang ditawan.
23. Agama Islam menyuruh orang Islam tidak
memaksa sesiapa untuk memeluk agama Islam atau
memerintah orang bukan Islam secara yang zalim dan
tidak adil. Dengan itu Kerajaan Islam, atau Kerajaan
orang Islam tentulah Kerajaan yang bertimbangrasa, adil
dan baik. Jika ianya zalim dan tidak baik, jika ia
menindas rakyat sama ada Islam atau bukan Islam, maka
Kerajaan itu bukanlah Kerajaan Islam atau Kerajaan yang
berpandukan kepada ajaran Islam. Bahawa yang berkuasa
dalam Kerajaan ialah orang Islam tidak bermakna
pemerintahan mereka ialah pemerintahan Islam atau
pemerintahan yang berpandukan kepada ajaran Islam.
Hanya apabila pemerintahan oleh mereka berpandu dan
mengikut lunas-lunas Islam baharulah Kerajaan itu boleh
dianggap Islam.
24. Di zaman moden ini terdapat berbagai-bagai
bentuk pemerintahan. Tidak ada satu pun sistem
pemerintahan yang bebas seratus peratus daripada
penyelewengan daripada nilai-nilai mulia yang universal
dan nilai-nilai mulia yang disarankan oleh agama.
Adanya kecacatan ini adalah disebabkan oleh kelemahan
manusia.
25. Tetapi kadangkala di negara-negara tertentu
terdapat pemerintahan yang terkenal bengis dan zalim,
dan juga tentangan terhadap Kerajaan oleh orang yang
tidak kurang bengis dan zalim. Di Bosnia-Herzegovina
hari ini kita melihat Kerajaan yang diketuai oleh orang
Islam ditentang oleh orang Serbia yang melakukan
`ethnic cleansing' iaitu pembunuhan kerana kaum dan
agama.
26. Mengikut prinsip keadilan dalam Islam hukuman
mestilah sama dan setimpal dengan jenayah. Tetapi
Allah Subhanahu wa Ta'ala menyukai orang yang
bertimbangrasa dan sanggup memaafkan. Oleh itu,
walaupun puak Serb melakukan jenayah yang dahsyat,
membalaskan dengan `ethnic cleansing' juga bukan
dimestikan. Hanya yang salah sahaja yang mesti
dihukum. Jika bangsa Serb dibunuh kerana jenayah
beberapa orang Serb, mungkin mereka yang tidak terlibat
juga akan menjadi mangsa. Ini bukanlah keadilan
mengikut ajaran Islam.
27. Persidangan ini akan membincangkan suatu
tajuk yang amat relevan di zaman ini dan di negara
kita.
28. Malaysia adalah negara majmuk dengan penduduk
dan rakyat yang menganuti berbagai-bagai agama.
Kerajaan Malaysia diterajui oleh orang Islam, bahkan
Malaysia mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi.
29. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia
dalam menguatkuasakan undang-undang tetap mempunyai
pengaruh terhadap persepsi dunia mengenai pemerintahan
orang Islam. Jika pemerintahan Malaysia dipandang
sebagai tidak adil, maka agama Islam akan terpalit
juga. Sebaliknya jika pemerintahan Kerajaan Malaysia,
terutama daripada segi keadilan kepada kaum-kaum dan
penganut-penganut agama-agama bukan Islam didapati
adil, maka sudah tentu imej dan kebersihan agama Islam
akan terpelihara.
30. Dalam membincangkan tajuk ini janganlah kita
membenarkan emosi mempengaruhi kita atau kita berpegang
kepada pandangan yang sempit atau tafsiran-tafsiran
yang tidak mempunyai asas yang kukuh.
31. Agama Islam telah dicemar kerana kepentingan-
kepentingan lain, kepentingan yang bukan sebenarnya
Islam. Janganlah kita benarkan kepentingan-kepentingan
lain ini mempengaruhi pendapat kita terutama dalam
membahas dan mencari panduan bagi pemerintahan
masyarakat majmuk.
32. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Pemerintahan Dalam Masyarakat
Majmuk.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|
|