|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : STADIUM NEGERI, KUALA TERENGGANU Tarikh/Date : 31/10/94 Tajuk/Title : SEMPENA PELANCARAN AMANAH SAHAM DARUL IMAN (ASDI) Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu kerana menjemput saya untuk melancarkan Amanah Saham Darul Iman (ASDI) pada hari ini. 2. Pelancaran ASDI amatlah tepat sekali. Ini ialah kerana ekonomi negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan sekali. Seiring dengan pertumbuhan negara yang menggalakkan ini, ekonomi negeri Terengganu juga turut berkembang dengan pesat. Justeru itu, adalah wajar sekali kekayaan negara yang wujud sekarang dapat diagih dan dinikmati oleh semua golongan rakyat. Salah satu cara yang baik bagi kita mengagihkan kekayaan negara ini ialah menerusi saham amanah. Pelaburan melalui badan saham Amanah memberi peluang kepada semua rakyat untuk melabur kerana dengan jumlah wang yang sedikit pun seseorang itu boleh melabur. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk melihat kekayaan negara dapat dinikmati oleh semua rakyat. 3. Pelancaran ASDI hari ini memulakan satu era baru dalam agenda pembangunan di Terengganu. Ia menunjukkan bahawa Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib rakyat Terengganu. Tidak dapat dinafikan bahawa Terengganu kini membangun dengan pesat dan rakyat telah menikmati banyak faedah daripadanya. ASDI adalah salah satu daripada projek- projek Kerajaan yang sudah tentu akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu. 4. Kita harus bersyukur kerana nikmat dan rahmat yang telah di kurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada kita. Pada hari ini Malaysia bukan sahaja membangun dengan pesat tetapi kekayaan negara telah dapat diagih-agihkan kepada rakyat dengan lebih adil dan saksama. Tidak banyak negara di dunia di mana rakyatnya dapat hidup aman damai di samping menikmati kekayaan negara dengan adil. 5. Negara kita Malaysia adalah antara negara yang termaju di kalangan negara-negara yang sedang membangun. Kemajuan kita sudah sampai ke tahap sehingga agensi-agensi antarabangsa mula mempertikaikan sama ada Malaysia masih lagi sebuah negara yang sedang membangun atau sudah layak digelar "negara maju". Ini adalah kerana sementara pendapatan rakyat yang berusaha meningkat, inflasi tidak meningkat di paras yang tinggi. Oleh itu kuasa membeli rakyat Malaysia adalah lebih tinggi berbanding dengan rakyat negara maju dengan wang yang sama. Namun kita masih tidak menikmati taraf hidup yang sama dengan mereka di negara maju. Sebab itulah kita masih perlu berusaha untuk membangunkan lagi negara kita hingga tercapai Wawasan 2020, iaitu menjadi negara maju. 6. Sekiranya zaman awal abad ke-20 ini menjanjikan kekuatan mutlak kepada mereka yang mempunyai kekuatan politik dan ketenteraan, zaman-zaman seterusnya akan menyaksikan sesuatu yang sama sekali berbeza. Kekuatan ekonomi kini lebih berkesan daripada kekuatan politik dan ketenteraan, apatah lagi kekuatan ideologi semata-mata. Negara-negara Jepun dan Jerman misalnya bangkit semula setelah runtuh daripada kemusnahan Perang Dunia Kedua kerana kekuatan ekonomi mereka dipulih semula. Banyak keputusan yang diambil oleh kuasa-kuasa besar mengenai isu-isu hak asasi manusia, alam sekitar, hak pekerja dan hak untuk menceroboh kedaulatan negara lain sekalipun adalah berdasarkan kepada pertimbangan ekonomi semata-mata. Agenda dunia sekarang adalah agenda ekonomi. Sekiranya kita mahu dihormati, sekiranya kita mahu mengurangkan pergantungan kita kepada orang lain, sekiranya kita mahu mengangkat martabat orang-orang Islam, maka tidak dapat tidak, kita juga mesti menguasai dan membangunkan ekonomi negara dan rakyat kita. 7. Sebenarnya, bidang ekonomi dan perniagaan bukanlah sesuatu yang asing bagi orang Melayu apatah lagi orang Islam. Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang pedagang yang cekap sehingga Sayyidatina Khadijah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Rasulullah s.a.w. menjalankan perniagaan bagi pihaknya. Sahabat- sahabat Nabi yang rapat juga adalah saudagar-saudagar yang berjaya. Terengganu sendiri pada satu ketika pernah menjadi sebuah pusat perdagangan yang sangat terkenal. Malah seorang ahli geografi dan kaji bintang Greek, Ptolemy pernah merakamkan semasa hayatnya sekitar kurun kedua sebelum masihi, dua buah pelabuhan besar di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu iaitu "Perimula" dan "Kole". Perimula dipercayai Kuala Sungai Terengganu dan Kole ialah Kemaman. 8. Usahawan-usahawan Melayu sekiranya mengamalkan nilai-nilai murni seperti menepati masa, berjimat cermat, bersyukur, berdisiplin, tegas, berani, kuat bekerja, sabar, amanah dan cekap, tidak ada sebab mereka tidak boleh berjaya. Kerajaan boleh mewujudkan seribu satu peluang tetapi semua peluang itu tidak akan berhasil sekiranya perubahan sikap di kalangan kita tidak berlaku. 9. Sehubungan dengan itu, pelancaran saham amanah ini akan dapat menggalakkan lebih banyak lagi penglibatan kaum Bumiputera di dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Penggemblengan sumber-sumber daripada kaum Bumiputera dapat membentuk satu kuasa melabur yang besar. Di zaman syarikat gergasi hari ini golongan Bumiputera perlu memasuki perniagaan dan perusahaan gergasi juga bagi mengimbangi pembangunan Bumiputera dan bukan Bumiputera. Melalui penglibatan rakyat dalam saham amanah ini, rakyat bukan sahaja dapat membantu mengembangkan ekonomi negara malah akan mendapat pulangan jangka panjang yang memuaskan dengan tahap risiko yang cukup minima. Namun kita tidak boleh lupa bahawa tidak ada perniagaan yang terjamin keuntungannya. 10. Kerajaan sememangnya menggalakkan rakyat menabung dan melabur. Perbelanjaan yang berlebihan di kalangan rakyat boleh menjejaskan ekonomi kerana ia akan membawa inflasi. Justeru itu, kewujudan ASDI diharapkan akan dapat memupuk semangat menabung di samping berjaya membanteras inflasi. Namun apa yang lebih penting di sini ialah perkembangan ekonomi di Malaysia tidak harus berjalan tanpa penglibatan aktif kaum Bumiputra. Kaum Bumiputera sama ada nelayan, anggota kerajaan, polis ataupun tentera perlu terlibat dalam arus perkembangan ekonomi yang semakin pesat, jika tidak secara langsung, sekurang-kurangnya secara pelaburan dalam saham amanah. 11. Penglibatan kita di dalam ekonomi dan perniagaan tidak seharusnya dilihat sebagai usaha mengejar kekayaan kebendaan semata-mata. Soal kemajuan kebendaan, kemajuan sektor industri, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan insan semua perlu diberi perhatian sama serius. Oleh sebab itulah sementara kita berusaha keras untuk mendapat pulangan yang lumayan bagi para pelabur, para pengurus tabung amanah dan kakitangan mereka perlu menentukan bahawa urusan jual-beli saham itu adalah mengikut cara Islam serta mempunyai ciri-ciri budaya korporat seperti amanah, bersih, jujur, berdisiplin, menepati masa, berakhlak dan "competent." ASDI adalah instrumen pelaburan yang berteraskan syariah. 12. Saya percaya ASDI akan mampu mencapai matlamatnya untuk mengangkat martabat ummah melalui penyertaan ummah dalam bidang ekonomi. 13. Dengan ini, saya dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Amanah Saham Darul Iman Terengganu. |