|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DIISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 22/09/94 Tajuk/Title : UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA DI ISTIADAT PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG YANG KESEPULUH Bismillahir Rahmanir Rahim Dengan segala hormat dan penuh takzimnya pihak Kerajaan, pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku sempena pertabalan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Kesepuluh pada hari ini. Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada Tuanku Najihah bt. Tunku Besar Burhanuddin sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Semoga Tuanku berdua dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. 2. Negara pada keseluruhannya terus aman, maju dan makmur. Perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat berbilang kaum juga terus meningkat. Rakyat kini lebih sedar akan pentingnya keharmonian dan perpaduan kaum. Konflik kaum dan agama yang berlaku di beberapa negara di dunia telah menginsafkan rakyat negara ini tentang betapa pentingnya mereka terus hidup bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain. Rakyat berbilang kaum dan agama bukan sahaja sentiasa bersikap toleran tetapi juga mereka hormat menghormati diantara satu sama lain. Kejayaan dalam usaha kita untuk berada dalam keadaan aman, bersatu padu dan saling bekerjasama adalah sesuatu yang boleh dibanggakan, walaupun kita daripada kaum-kaum yang berlainan keturunan, agama, kebudayaan dan adat resam. 3. Perpaduan dan persefahaman yang erat di kalangan rakyat telah berjaya mewujudkan kestabilan dan keamanan di negara ini. Dengan wujudnya kestabilan dan keamanan, Kerajaan telah dapat menumpukan usaha sepenuhnya terhadap pembangunan negara. Usaha- usaha Kerajaan untuk terus memantapkan pertumbuhan ekonomi menunjukkan hasil yang menggalakkan. Berdasarkan pencapaian pada setengah tahun pertama tahun ini dan prospeknya bagi bulan-bulan akan datang, ekonomi negara dijangka mencatitkan satu lagi tahun yang memberangsangkan. Pertumbuhan ekonomi negara dianggarkan mencapai 8.5 peratus tahun ini. 4. Pertumbuhan ekonomi negara yang terus menggalakkan menghasilkan suasana dan peluang pelaburan yang baik bukan sahaja untuk pelabur tempatan malah pelabur asing. Oleh itu, pelaburan swasta terus berkembang pesat. Ini disertai dengan pelaburan Kerajaan dalam memperbaiki kemudahan infrastruktur yang akan meningkatkan keupayaan ekonomi dan seterusnya potensi pertumbuhan. Kesemua ini akan membantu menambah pendapatan rakyat yang sanggup berusaha. 5. Kerajaan Tuanku akan terus mendokong Islam sebagai agama rasmi dan memberi kebebasan beragama bagi penganut agama-agama lain. Dalam soal ini Kerajaan akan menentukan tafsiran agama Islam tidak diseleweng oleh mana-mana pihak. Kerajaan akan berpandukan kepada keadilan yang dituntut oleh Islam supaya agama suci kita tidak tercemar. 6. Dalam arena antarabangsa, negara kita akan terus memainkan peranan yang aktif terutama sekali dalam mempertingkatkan hubungan dua hala dan aktiviti-aktiviti kerjasama dalam pelbagai lapangan. Negara kita juga akan berusaha untuk mempertingkatkan hubungan Selatan-Selatan. Dalam hal ini negara akan terus bekerjasama dengan negara-negara membangun yang lain melalui program kerjasama teknikalnya. Malaysia akan terus menjalinkan perdagangan dengan negara-negara tradisi walaupun usaha-usaha akan dibuat untuk mencari pasaran-pasaran baru seperti di Latin Amerika, di Benua Afrika dan di Asia Tengah. Malaysia adalah komited kepada sistem perdagangan bebas dan akan berusaha untuk memperbaiki kedudukannya sebagai negara perdagangan yang ke-19 terbesar di dunia. 7. Sempena hari yang bersejarah dan mulia ini Kerajaan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam, sektor swasta dan rakyat sekalian ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan ikrar taat setia kepada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dan berdoa semoga Tuanku dapat memberi khidmat dengan penuh gigih, adil, bijaksana dan berwibawa demi kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat. 8. Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala Yang Amat Pengasih dan Penyayang melanjutkan usia Tuanku berdua dan semoga Tuanku berada di dalam keadaan sihat walafiat. Amin, Ya Rabbul' Alamin. |