|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 27/08/93 Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PAMERAN LUKISAN Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Seni Berdaftar kerana menjemput saya untuk merasmikan pelancaran Pameran Lukisan 'Visions' pada hari ini. 2. Usaha-usaha mengembangkan bidang seni yang berteraskan budaya bangsa dan mempunyai nilai-nilai murni yang kita kejar adalah suatu perkara yang sihat dan perlu mendapat galakan. Ini kerana bidang seni tidak harus dilihat sebagai 'laungan rasa hati' semata-mata, tetapi juga boleh membantu membina minda dan sikap yang sihat. Oleh itu, karya seni, baik yang berupa hasil kreatif mahupun yang berupa persembahan seni gerak, memberi manfaat yang besar kepada pembentukan peribadi yang sensitif dan sihat bukan sahaja kepada peminat tetapi juga kepada masyarakat umum. Daripada sudut yang luas, karya-karya seni yang indah dan menarik serta bersopan dapat membantu mengharumkan nama negara di mata dunia. 3. Peranan seni tidaklah terbatas kepada tujuan memenuhi citarasa seseorang atau sesuatu kelompok semata-mata. Seni mempunyai falsafah dan tujuan, sesuai dengan perkembangan nilai dalam masyarakat. Bagi kita, semua bentuk seni adalah refleksi perkembangan yang berlaku dalam masyarakat itu. Ia menggambarkan fikiran serta pandangan hidup melalui interpretasi individu yang sensitif akan keadaan dan peristiwa yang berlaku dalam masyarakat. Hanya yang harus dibendung ialah penyeludupan nafsu artis ke dalam interpretasinya. 4. Seni tari melukiskan keharmonian hubungan antara langkah dan liuk-lintuk penari dengan persoalan yang hendak disampaikan. Kebijaksanaan penari mengalunkan langkah dan menggerakkan jari jemarinya akan membantu penonton memahami apakah mesej yang diselitkan. Seni lukis pula bergantung kepada hubungan di antara mata hati pelukis dengan alunan berus di tangannya. Kemahiran pelukis meletakkan berus, kemudian menggerakkannya untuk menggambarkan sesuatu menentukan nilai sebuah hasil seni lukis. 5. Begitulah halnya dengan karya seni yang lain, semuanya mempunyai perhubungan dan ia tidak pernah kekeringan selagi penggiat seni itu peka dengan persekitaran masing-masing. 6. Saya rasa ini suatu proses biasa dalam kehidupan bertamadun kita sehari-hari. Manusia sentiasa menimba contoh dan pengajaran dari alam. Dalam kata lain, seni terutama seni lukis tidak boleh lahir dalam 'vacuum' atau kekosongan. Tentu ada perantaraan yang boleh memberikan bayangan mengenai objek-objek yang hendak digambarkan oleh pelukis. Begitulah bagaimana proses pendidikan itu terserlah dan tidak menghairankan jika ia kadang-kadang boleh memecahkan sesuatu masalah apabila si pemerhati atau penonton turut dapat merasakan apa yang hendak disuarakan oleh karya atau sesuatu persembahan. 7. Oleh itu, para karyawan seni mempunyai peranan yang penting dalam pembangunan tamadun dan budaya sesebuah negara. Mereka boleh mengangkat tinggi nama dan juga mempertahankan maruah negara. 8. Sesungguhnya mereka yang terbabit dalam kegiatan seni bukanlah terasing daripada masyarakat. Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan setiap sumbangan mereka adalah bermakna. Suatu sumbangan mudah yang boleh kita dapati daripada golongan ini ialah memperkenalkan kehalusan budaya negara ke dunia luar. 9. Semua hasil seni yang memancarkan daya fikir yang tajam serta kreatif sifatnya mempunyai makna yang tersembunyi dan kadang-kadang menimbulkan banyak persoalan. Namun kita sebagai peminat, penonton dan pemerhati harus bertimbang rasa kepada penghasil dan penggiat seni kerana ada kalanya sesebuah hasil seni turut menyelitkan teguran dengan meluahkan pandangan yang tajam ke tengah-tengah ruang fikiran kita. Itu adalah perkara biasa kerana seni yang mempunyai nilai tinggi selalunya tidak terikat kepada sesuatu fahaman atau pendapat yang ortodoks sahaja. Hasil seni ialah sebuah gambar atau gerak yang luas ruang lingkupnya dan universal pula sifatnya. 10. Saya yakin wujudnya beberapa tokoh utama dalam dunia seni lukis, umpamanya Ibrahim Hussein, Hoessin Ennas dan Latiff Mohidin, telah turut memperkenal dan mengharumkan lagi nama negara kita. Bagaimanapun, kita tidak harus bergantung kepada beberapa pelukis terkenal sahaja. Usaha-usaha yang lebih serius harus dijalankan untuk memperkenalkan muka-muka baru yang mungkin sama berbakat dengan pelukis-pelukis kita yang ada sekarang. Untuk menembusi dunia antarabangsa yang luas itu kita juga perlu kuasa pemasaran yang kuat di samping produk yang mencukupi dan mampu menandingi orang lain. Saya berasa bangga pihak Yayasan Seni berusaha menganjurkan pameran lukisan ini dan berjaya menampilkan muka-muka baru dalam bidang ini, iaitu Mutalib Zakaria dan Abdul Ghani Ahmad. Dengan membawa bersama pelukis antarabangsa seperti Jian Hi-Zou yang mendapat pengiktirafan di San Francisco ke pameran ini, sudah tentu kedua-dua pelukis muda kita itu akan dapat mencungkil banyak pelajaran di samping pengalaman baru yang berharga. 11. Saya dimaklumkan bahawa Yayasan Seni telah mewujudkan biasiswa khas bagi membantu pelukis mendapatkan pendidikan yang lebih mendalam dalam bidang seni lukis ini. Dengan itu Yayasan Seni telah menggerakkan secara bersungguh-sungguh kebangkitan dunia seni di tanahair. Ini suatu perkembangan yang amat baik dan perlu diteladani oleh badan-badan lain kerana ia boleh membantu mewujudkan karyawan seni yang berwibawa. 12. Jika kita berkesempatan memikirkan mengenai sesebuah persembahan seni atau pameran karya seni di negara-negara barat kita akan berasa kagum melihat bagaimana bidang seni ini meningkat dengan jayanya dan turut meningkatkan taraf hidup mereka yang terbabit. Di negara-negara itu, seni juga turut berkembang dengan pesatnya dan menarik perhatian. Persembahan seni bukan sahaja ditonton oleh mereka yang menunjukkan minat terhadap dunia seni itu, tetapi juga turut ditonton oleh golongan ternama dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat yang ingin mencari kepuasan daripada sesebuah persembahan yang bermutu. Mereka sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapat tempat bagi satu-satu persembahan. 13. Tetapi di sini ingin saya ingatkan para seniman bahawa jarangkali ahli seni mendapat pengiktirafan dalam masa hayatnya. Lukisan karya artis terkenal saperti van Gogh dan Rembrandt dihargai selepas mereka tidak ada lagi. Kelewatan pengiktirafan ini disebabkan peminat biasanya berminat kepada yang terhad dan sukar didapati. Hasil karya yang sudah tua tetap terhad kerana sebab yang nyata. Justeru itu, janganlah para artis kecewa kerana tidak mendapat harga yang tinggi bagi hasil karya mereka dan tidak menjadi kaya. Janganlah membanding hasil karya sendiri dengan harga lukisan atau ukiran artis yang sudah lama meninggal dunia di Eropah. Mungkin seratus atau dua ratus tahun lagi hasil karya kita akan mendapat harga yang tinggi dan orang lain yang akan mendapat untung yang banyak. Tetapi ini belum tentu. Oleh itu, janganlah kecewa dengan ketidakadilan ini. Ini adalah lumrah hidup, satu perkara biasa. Memadailah jika kita dapat menarik hati peminat. Sebenarnya yang harus dihargai ialah kepuasan hati daripada hasil karya yang baik. Bagaimanapun, artis-artis kita masih boleh menaruh harapan kerana ada artis kita yang mendapat penghargaan dan pendapatan yang tinggi di masa hayatnya. Oleh itu, artis kita boleh berharap bahawa mereka juga boleh mendapat penghargaan dan pendapatan yang tinggi. 14. Para seniman boleh berasa senang hati kerana di Ma laysia hari ini sudah ada penghargaan kepada seniman. Mereka tidak lagi dianggap sebagai 'anak wayang' yang tidak mempunyai harapan. Hasil karya mereka sudah mendapat sambutan, bahkan mereka sudah menjadi 'celebrity' di masa hidup mereka. Tetapi masih ramai daripada mereka yang belum terkenal dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap, jauh sekali mendapat pendapatan yang lumayan. Mereka tidak harus kecewa. Dalam apa juga profesion, tidak ada jalan yang mudah, sama ada untuk menguasai bidang itu atau mendapat pengiktirafan. Yang mudah kecewa tidak mempunyai harapan. Hanya mereka yang sanggup menghadapi segala cabaran sahaja yang akan berjaya. Oleh itu janganlah putus asa. Bertekunlah. 15. Sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada Yayasan Seni kerana mempunyai matlamat meningkatkan nilai seni lukis di negara ini. Walaupun ini suatu kejayaan kecil daripada ratusan, bahkan ribuan penggiat seni yang terdapat di seluruh negara, ianya sungguh berkesan kerana kita berpeluang membawa ke tengah gelanggang sesuatu yang berharga yang kita pendamkan sekian lama. 16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran Lukisan 'Visions'. |