|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUBLIC BANK, JALAN SULTAN SULAIMAN KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 23/08/93 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN TAMAN WAWASAN PUBLIC BANK Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Public Bank kerana usahanya membentuk sebuah taman yang diberi nama Taman Wawasan Public Bank. Usaha ini adalah satu contoh kerjasama yang erat di antara Kerajaan dan pihak swasta dalam mengindahkan bandar dan negara. Sesungguhnya usaha ini harus digalakkan dan dicontohi oleh badan-badan korporat dan institusi-institusi swasta yang lain. 2. Sebagaimana yang kita maklum, Malaysia adalah komited ke arah mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020. Sebahagian besar cita-cita ini melibatkan pembangunan dan perindustrian yang pesat. Dalam ertikata yang lain untuk melaksanakan Wawasan 2020 ini, kita harus melahirkan masyarakat perindustrian yang serba cekap yang dapat memenuhi keperluan tempatan dan permintaan dari luar negeri. Bila ini berlaku, kita tidak dapat lari daripada tekanan nilai hidup yang komersil yang menitikberatkan keuntungan semata-mata. Namun demikian, kita tidak seharusnya mengenepikan nilai-nilai yang lain yang sama penting dalam proses kemajuan ke arah sebuah negara sihat dan bersatu. 3. Pencapaian kemajuan dan kejayaan yang hanya berlandaskan kepada satu nilai khusus akan mewujudkan ketidakseimbangan kepada perkembangan rohani dan jasmani masyarakat. Ini adalah tidak sihat. 4. Dalam hal ini, marilah kita mengkaji dan meneliti pengalaman negara-negara Barat yang telah lebih dahulu maju daripada kita. Negara-negara Barat ini yang menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kebendaan dan keuntungan serta mengenepikan nilai-nilai lain kini mengalami banyak masalah sosial. Bandaraya-bandaraya mereka sekarang sudah mengalami `decay' dengan jalan berlopak-lopak, sampah-sarap di merata tempat dan taman-taman tidak dipelihara dan amat berbahaya bagi pelawat. 5. Warga bandaraya tidak lagi mempunyai `civic pride'. Justeru itu mereka mengotorkan keadaan di sekeliling. Tidak ada siapa yang sanggup mencantikkan bandar dengan apa-apa hiasan kerana segala hiasan tidak dihargai oleh wargakota dan akan diconteng dan dirosakkan. Akhirnya bandar menjadi muram dan suasana ini menjadikan kehidupan wargakota lebih tidak selesa. Suasana ini juga tidak menggalakkan usaha ke arah kejayaan baik dalam perniagaan atau bidang seni dan budaya. 6. Itulah sebabnya dalam sembilan cabaran yang diutarakan dalam Wawasan 2020 diterapkan nilai moral, etika dan nilai kasih sayang sebagai prasyarat penting untuk menjadi negara yang maju dalam serba sudut. Nilai-nilai ini akan membentuk masyarakat Malaysia yang seimbang selaras dengan Wawasan 2020. Ia akan membawa kita kepada pembangunan dan kemajuan tanpa sebarang kerugian atau pengabaian daripada aspek- aspek sosialnya. 7. Nilai moral dan etika umpamanya akan memberi landasan rohaniah yang kukuh dalam usaha kita memburu kemajuan. Ia akan membentuk masyarakat yang ada 'social conscience' dengan kefahaman yang jelas mengenai kebaikan dan penting- nya sikap-sikap liberal, toleran dan keadilan sosial dalam masyarakat majmuk. 8. Nilai ekonomi mesti dibantu dan diperlengkapkan dengan nilai estetik atau keindahan. Petunjuk-petunjuk kesempurnaan sesebuah organisasi itu tidak seharusnya dicerminkan oleh nilai wang, keuntungan ataupun kejayaan kebendaan semata-mata. Ianya mestilah diseimbangkan dengan nilai-nilai lain seperti cinta pada keindahan, seni, budaya dan kecemerlangan sukan. 9. Setelah diperhitungkan kesemuanya, maka imej keseluruhan dan rangkaian nilai bersama yang jitu dan saling berkaitanlah yang menandakan kejayaan bagi sesebuah organisasi atau masyarakat. 10. Sumbangan Taman Wawasan ini mempunyai dua aspek penting. Pertama, ia membantu program pengindahan bandaraya Kuala Lumpur. Kerajaan sememangnya berazam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandaraya taman untuk dinikmati dan dihayati oleh para pelancong dan juga penduduknya. Kita memerlukan taman-taman yang dicipta dengan baik bagi masyarakat menikmati keindahan, melapangkan fikiran dan memberangsang- kan pembangunan. Di samping itu, tempat-tempat riadah begini akan juga memberi peluang untuk masyarakat berbilang kaum berinteraksi dan mengukuhkan lagi perpaduan kita. Pada masa ini kawasan-kawasan lapang di Kuala Lumpur hanya berjumlah 667 hektar. Ini sahaja yang ada yang boleh dijadikan tempat-tempat riadah. Oleh sebab kawasan seumpama ini terhad, ia memerlukan perancangan yang baik dan teliti. Menjelang tahun 2020 adalah dianggarkan 70 peratus daripada penduduk Malaysia akan tinggal di bandar- bandar. Sudah tentu mereka memerlukan taman-taman seperti Taman Wawasan ini bagi menenangkan fikiran dan untuk memupuk hubungan masyarakat dan komunikasi serta kegiatan rekreasi lain. 11. Di samping itu, taman-taman seperti ini juga dapat menolong memupuk masyarakat yang berjiwa indah. Masyarakat yang berjiwa indah akan dapat menghayati nilai-nilai etika yang mulia, dan membentuk tamadun yang tinggi. Marilah kita menjadikan tamadun kita sesuatu yang dihormati dan terpuji. 12. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Taman Wawasan Public Bank ini. |