Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR (K.L) 
Tarikh/Date 	: 	03/08/91 
Tajuk/Title  	: 	PERSIDANGAN PERWAKILAN PARTI 
			GERAKAN KE-20 



 
    Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
Parti  GERAKAN  kerana  menjemput  saya  sekali  lagi  untuk
merasmikan Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN Ke-20 ini.
2.   Sebagai salah sebuah parti  komponen  Barisan  Nasional
(BN), GERAKAN telah turut memberi sumbangan yang positif dan
ini  telah  membantu  memantap  dan mengukuhkan lagi Barisan
Nasional.  Kerjasama yang rapat serta kefahaman
yang  ditunjukkan  oleh  pemimpin-pemimpin   GERAKAN   telah
membolehkan  Barisan Nasional menumpukan tenaga dan usaha ke
arah pembangunan negara yang lebih pesat.
3.   Sebagaimana yang kita  semua  sedar,  kekuatan  Barisan
Nasional  selama  ini  ialah  kerana wujudnya kerjasama yang
erat di antara parti-parti komponennya.    Konsep  kerjasama
rapat  ini  telah  menjadi  asas  kepada  kekukuhan  Barisan
Nasional.  Justeru itu, marilah kita  bersama-sama  berusaha
untuk  meningkatkan lagi kerjasama antara kita supaya rakyat
boleh terus menikmati faedah daripada pembangunan.
4.   Seperti   yang   saya   nyatakan   ketika    merasmikan
Perhimpunan  Agung  MCA  minggu  lepas,  kita  baharu sahaja
melancarkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN)  dan  Rancangan
Malaysia  Ke-6 (RM6) untuk meneruskan usaha-usaha memaju dan
membangunkan negara.  Matlamat yang kita hendak  tuju  ialah
untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun
2020.  Sokongan yang diberikan oleh parti-parti komponen BN,
termasuk GERAKAN, kepada DPN dan RM6 membuktikan bahawa  DPN
dan RM6 diterima baik oleh semua kaum.
5.   Bagi  mencapai  matlamat  ini,  kita  perlu mengekalkan
kestabilan politik dan keharmonian kaum yang wujud di negara
ini.   Tanpa kestabilan politik dan  keharmonian  kaum  ini,
kita   tidak  akan  dapat  melaksanakan  rancangan-rancangan
pembangunan kita dengan jayanya.  Kejayaan kita melaksanakan
Rancangan-rancangan  lima  tahun  dan  Dasar  Ekonomi   Baru
membuktikan  betapa  pentingnya  hakikat  ini.    Sehubungan
dengan ini, rakyat hendaklah sedar bahawa hanya Kerajaan  BN
sahaja  yang dapat menjamin negara ini akan terus stabil dan
rakyat berbagai kaum terus hidup bersatu  padu,  aman  damai
dan   menikmati  pembangunan  yang  pesat.    Tidak  mungkin
Kerajaan mana-mana parti pembangkang atau  kombinasi  parti-
parti pembangkang yang mempunyai ideologi dan pendirian yang
bertentangan   boleh   mewujudkan  kestabilan  dalam  negara
berbilang kaum ini dan memajukannya.
6.   Semasa Pilihanraya Umum  1990  kita  telah  lihat  satu
jenis  kerjasama  DAP,  Semangat  46, PAS dan beberapa parti
yang  kecil.    Kerjasama  ini  ditempah   sejurus   sebelum
pilihanraya  dan juga semasa pilihanraya.  Amat jelas sekali
bahawa  kerjasama  ini  bukan  berasaskan  kepada  pendirian
politik   yang   sama,   tetapi   semata-mata  kerana  ingin
mengalahkan Barisan Nasional.   Kerjasama  ini  adalah  satu
'marriage  of  convenience'  yang  mudah  retak  dan  pecah.
Rakyat jelas tidak percaya kepada kerjasama  ini  dan  terus
menolaknya.   Di Kelantan kerjasama PAS/46/DAP telah berjaya
menumbangkan  Kerajaan  Barisan  Nasional.    Tetapi   hanya
beberapa  hari  sahaja  selepas  Kerajaan  PAS/46  dibentuk,
tanda-tanda keretakan telah kelihatan.  Hanya kerana paksaan
melalui undang-undang sahaja yang hari  ini  pakatan  PAS/46
kekal.    Dalam  hubungan ini jika PAS/DAP berjaya membentuk
kerajaan, pasti  mereka  akan  memperkenalkan  undang-undang
yang  lebih  ketat  lagi untuk mengekalkan kerajaan campuran
mereka.     Kerajaan  seperti  ini   tidak   boleh   membawa
kebahagiaan kepada rakyat.
7.   Namun  demikian, ketiga-tiga parti lawan ini akan terus
bekerjasama dan sentiasa  berusaha  untuk  memburuk-burukkan
Kerajaan  Barisan Nasional.  Bagaimanapun, kita yakin mereka
tidak akan berjaya kerana hakikat  sebenarnya  mereka  tidak
sebulu  dan  sehaluan.    Kerjasama  mereka adalah palsu dan
penuh dengan kepura-puraan.   Tujuan mereka  hanyalah  untuk
mendapat kuasa.
8.   Justeru  itu,  adalah penting kita dalam BN mendedahkan
kepalsuan dan kepura-puraan  yang  terdapat  dalam  gabungan
DAP-46-PAS.    DAP  sanggup  bekerjasama  dengan  46 dan PAS
kerana DAP sedar mereka  memerlukan  sokongan  orang  Melayu
untuk   memenuhi   cita-cita   mereka   membentuk  Kerajaan.
Semangat 46 pula sanggup bekerjasama dengan DAP, parti  yang
satu  ketika  dahulu  sangat  dibenci dan dikecam hebat oleh
pemimpin-pemimpin  46,  hanya  kerana  ingin  melihat   UMNO
hancur.    Tetapi  kita  semua tahu bahawa DAP adalah sebuah
parti  yang  chauvinistik  dan  menentang  segala  rancangan
Kerajaan membantu orang Melayu.  Selagi DAP merupakan sebuah
parti  chauvinistik  dan  suka memainkan sentimen kaum Cina,
selagi itulah ia tidak akan mendapat sokongan  orang  Melayu
dan akan gagal.
9.   Begitu  juga,  adalah  mustahil  DAP  boleh bekerjasama
dengan PAS sedangkan  pendirian  mereka  mengenai  penubuhan
Kerajaan  Islam  ala PAS jauh berbeza.  Kita pun tahu bahawa
seorang pemimpin DAP pernah menyatakan bahawa Kerajaan Islam
akan  dapat  didirikan  hanya  setelah  melangkah  mayatnya.
Jelaslah  antara  pemimpin-pemimpin  parti-parti  lawan ini,
tidak wujud  kerjasama.    Kita  khuatir  kalau  ditakdirkan
mereka  memerintah,  rakyat  akan  menderita dan negara akan
hancur kerana mereka akan bertelingkah di antara  satu  sama
lain.
10.  Hari  ini  ramai  daripada anggota 46, bahkan PAS, yang
sudah sedar dan meninggalkan  parti-parti  itu  atau  hilang
semangat  untuk  bergerak  lagi.    Di Prai pula, kita lihat
penyokong-penyokong kuat DAP sudah berpaling tadah.   Rakyat
semakin  sedar  bahawa apa yang diperjuangkan oleh pemimpin-
pemimpin parti-parti lawan ialah untuk mendapat  kuasa  bagi
diri mereka sendiri.
11.  Dalam  usaha  untuk  mendapat  sokongan  dan  pengaruh,
kemungkinan besar sesetengah parti  lawan  akan  menggunakan
sentimen  kaum  dengan lebih meluas.   Kita sudahpun melihat
bagaimana dengan memainkan sentimen kaum, parti-parti  lawan
telah   menang   di   beberapa   kawasan  pilihanraya  dalam
Pilihanraya Umum l990.  Dalam pilihanraya kecil  Prai,  kita
telah   melihat   bagaimana  parti  lawan  memburuk-burukkan
Kerajaan dengan tuduhan-tuduhan palsu dan mengeksploitasikan
isu-isu perkauman.
12.  Langkah Kerajaan meminda Akta  Pengambilan  Tanah  1960
telah diputar-belitkan untuk kepentingan parti lawan.  Dalam
hal  ini,  ada  pihak  yang  menuduh  bahawa tujuannya ialah
hendak merampas tanah kepunyaan bukan Bumiputera.    Tuduhan
ini  tidak berasas sama-sekali.  Tindakan seperti ini adalah
tidak bertanggungjawab dan merbahaya.  Dalam pengambilan apa
jua tanah,  Kerajaan  tidak  mengambilkira  sama  ada  ianya
kepunyaan  Bumiputera atau bukan Bumiputera.  Kerajaan tidak
akan  menggunakan  sentimen  perkauman.    Ini  bukan   cara
pemerintahan   Kerajaan   Barisan  Nasional.     Sebenarnya,
memandangkan tanah merupakan aset yang  kian  susut,  adalah
penting Kerajaan diberi kuasa mendapatkan tanah untuk tujuan
pembangunan  yang  berterusan. Pindaan tersebut adalah untuk
kebaikan bersama rakyat memandangkan bilangan penduduk  yang
bertambah  dan  juga kerana keperluan pembangunan.  Kerajaan
akan memberi pampasan yang berpatutan dan jika rakyat  tidak
puashati  dengan  jumlah  pampasan, mereka boleh membawa hal
ini ke mahkamah.  Seperti yang diketahui tidak  banyak  lagi
tanah  yang masih tinggal.  Jika Kerajaan gagal melaksanakan
rancangan pembangunan  kerana  kekurangan  tanah,  rakyatlah
yang  akan  mengalami kerugian.   Rakyat juga akan menderita
apabila Kerajaan tidak  dapat  mendirikan  rumah,  hospital,
jalan,  sekolah dan lain-lain kemudahan disebabkan tidak ada
lagi tanah.
13.  Menuduh pindaan dibuat bermotivasikan  perkauman  untuk
mengambil  tanah  daripada  sesuatu kaum adalah tuduhan yang
tidak logik dan tidak bertanggungjawab.    Sebagai  Kerajaan
yang  dipilih  oleh  rakyat,  ia  tidak akan mengambil tanah
rakyat jika tidak atas sebab kepentingan nasional.
14.  Tuduhan  parti-parti  lawan   bahawa   Kerajaan   tidak
bertanggungjawab  dan  adil sudah menjadi satu tabiat kepada
parti lawan.  Mereka mengulangi tuduhan-tuduhan  ini  setiap
kali  mereka  berucap.    Walaupun  penyiasatan  dibuat oleh
tokoh-tokoh yang  memihak  kepada  mereka,  dan  penyiasatan
menunjukkan  bahawa tuduhan mereka tidak benar, namun mereka
akan terus mengulangi tuduhan  yang  sama.    Hanya  apabila
orang  yang dituduh oleh mereka menjadi kawan mereka barulah
mereka akan hentikan tuduhan itu.
15.  Rakyat sekarang sudah  bosan  dan  tidak  percaya  lagi
kepada   mereka.      Anggota   Barisan   Nasional  mestilah
mendedahkan  pembohongan  mereka  habis-habisan  dan  jangan
sekali-kali terperangkap dengan cuba menjadi juara dalam isu
ciptaan  parti lawan.   Jika ini dibuat maka anggota Barisan
Nasional pula akan tidak dipercayai.
16.  Rakyat Malaysia bernasib baik kerana mempunyai Kerajaan
yang  bertanggungjawab  dan  komited   kepada   pembangunan.
Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sentiasa memikirkan cara-
cara  untuk  membawa  pembangunan  yang  lebih  pesat kepada
rakyat.     Itulah  sebabnya,   Kerajaan   berhasrat   untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Visi   2020   ini  dirancang  supaya  rakyat  Malaysia  akan
dihormati dan disanjung tinggi serta boleh duduk sama rendah
dan berdiri sama tinggi dengan penduduk negara-negara  maju.
Pemimpin-pemimpin Kerajaan yang ada sekarang merancang untuk
menjadikan   Malaysia  sebuah  negara  maju  bukanlah  untuk
kepentingan diri mereka.  Ianya ialah untuk faedah  generasi
akan  datang.    Ini  kerana apabila Malaysia mencapai taraf
negara maju menjelang tahun 2020, kebanyakan  pemimpin  yang
ada  sekarang  sudah  tidak  ada  lagi.   Kita perlu membuat
permulaan dan ianya perlu dilakukan  dari  sekarang.    Jika
kita  tidak memulakan dari sekarang, masa akan berlalu tanpa
apa-apa kemajuan dan  apabila  tiba  tahun  2020  kita  akan
berada ditakuk yang lama.
17.  Saya  percaya  banyak perkara yang akan dibincangkan di
Persidangan ini.   Adalah diharapkan  para  perwakilan  akan
membincangkan  perkara-perkara  ini  dengan  rasional  serta
mengambilkira kepentingan negara.  Saya yakin sebagai sebuah
parti  komponen  Barisan  Nasional  yang   bertanggungjawab,
GERAKAN  akan  terus  memberi  sumbangan yang positif kepada
Barisan Nasional dan negara.  Saya juga berharap Persidangan
ini akan berjalan dengan baik dan akan  mengekalkan  GERAKAN
sebagai  sebuah  parti  komponen Barisan Nasional yang kukuh
dan berkemampuan.
18.  Dengan   kata-kata   ini,   saya   dengan   sukacitanya
merasmikan Persidangan Perwakilan Ke-20 Parti GERAKAN.

 
 



 
Google