Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	CARCOSA SERI NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	27/05/91 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PANEL 
			PENASIHAT PERPADUAN NEGARA 




      Assalamualaikum  warahmatullahi  wabarakatuh  dan salam
sejahtera.
    Saya mengucapkan terima  kasih  kepada  Yang  Berhormat
Dato  Napsiah  kerana  menjemput  saya  ke  Majlis  ini, dan
seterusnya merasmikan persidangan  pertama  Panel  Penasihat
Perpaduan Negara untuk tahun ini.
2.   Saya  juga  mengucapkan  tahniah  kepada  tuan-tuan dan
puan-puan yang telah dilantik sebagai ahli  Panel  Penasihat
Perpaduan Negara.  Kerajaan menghargai kesanggupan tuan-tuan
dan  puan-puan  untuk  bertugas  sebagai  anggota badan yang
penting ini.
3.   Mewujudkan  bangsa  Malaysia  yang  bersatupadu  adalah
antara  cabaran-cabaran  utama  dalam  usaha kita menjadikan
Malaysia negara maju menjelang tahun 2020.  Tanpa  perpaduan
dan  keharmonian  antara kaum, kita tidak akan dapat memupuk
persekitaran politik, sosial dan ekonomi yang mampu  membawa
negara  ke  tahap  yang  lebih  maju.    Malah perpaduan itu
merupakan prasyarat utama yang mesti wujud dalam  masyarakat
sebelum kita dapat memanggil diri kita sebuah negara.
4.   Perpaduan  yang  ingin  kita  pupuk di negara ini ialah
satu keadaan di mana rakyat berbilang keturunan dan agama di
Malaysia mempunyai satu perasaan  kekitaan  dan  beridentiti
sebagai warganegara dan bangsa Malaysia yang mampu melampaui
batasan  identiti  kaum  atau negeri mereka.  Perpaduan yang
kita sedang usahakan juga bertujuan  untuk  mewujudkan  satu
masyarakat  di  mana  rakyat berbilang keturunan, kebudayaan
dan  kepercayaan,  hidup  makmur  dalam  suasana  yang  aman
sejahtera  yang  lahir  daripada  semangat persefahaman yang
kukuh, sikap toleransi dan saling menghormati dan  kesediaan
untuk   bertolak  ansur  dan  bermuafakat  demi  kepentingan
bersama.  Sudah pasti, bangsa yang  bersatupadu  yang  ingin
kita  bentukkan  juga  harus  berlandaskan  kepada  semangat
kesetiaan, ketaatan dan patriotisme yang tinggi  yang  tidak
berbelah bahagi kepada negara.
5.   Pembentukan  bangsa Malaysia merangkumi banyak perkara-
perkara lain.   Antaranya ialah  menegakkan  sistem  politik
demokratik   yang  matang  yang  dapat  memelihara  hak  dan
kepentingan individu di samping  mengimbanginya  dengan  hak
dan kepentingan masyarakat.
6.   Saya  rasa  kita  juga  harus  bertanya di sini, sejauh
manakah kita telah berjaya  memupuk  perpaduan  di  kalangan
rakyat  Malaysia?    Selepas lebih tiga puluh tahun merdeka,
kita dapati  hampir  semua  rakyat  sekarang  dilahirkan  di
Malaysia.    Dan oleh itu isu taat setia kepada negara tidak
harus menjadi tandatanya lagi,  walaupun  tahap  patriotisme
masih boleh dipertingkatkan.  Manakala anak-anak kita dahulu
melalui  sistem  pendidikan yang berbeza yang tidak membantu
mewujudkan  perpaduan,  anak-anak  sekarang  melalui  sistem
pendidikan  yang  diseragamkan  yang  mementingkan  semangat
perpaduan dan  kesedaran  sebagai  bangsa  Malaysia.    Satu
kebudayaan   kebangsaan  juga  sedang  beransur  berkembang,
dipelopori oleh pengetahuan dan penggunaan  Bahasa  Malaysia
secara  meluas  serta  penyertaan dan pengalaman rakyat yang
sama di dalam berbagai-bagai  bidang  politik,  ekonomi  dan
sosial.
7.   Ciri  demografi  yang berbilang kaum telah menjadi satu
realiti yang tidak dapat diketepikan.   Dalam hubungan  ini,
kita  bernasib  baik kerana kebanyakan masalah perpecahan di
kalangan masyarakat kita kurang  disebabkan  oleh  perbezaan
kaum  yang  amat  sukar untuk diatasi, tetapi lebih berpunca
daripada perbezaan taraf sosio-ekonomi di  antara  kaum  dan
wilayah  yang  mana  ini  lebih  mudah  untuk  dirancang dan
diatasi.  Itulah sebabnya semenjak merdeka,  Kerajaan  telah
memberi  banyak  tumpuan terhadap isu-isu pembangunan sosio-
ekonomi.  Kemajuan yang telah dicapai oleh Kerajaan  setakat
ini  untuk mewujudkan satu masyarakat yang lebih homogeneous
daripada segi taraf sosio-ekonomi di antara kaum dan wilayah
akan diterus dan dipertingkatkan lagi.
8.   Walaupun kita telah  memperolehi  kejayaan  yang  boleh
dibanggakan,  namun  kita harus akui bahawa banyak lagi yang
perlu dilakukan oleh semua pihak  untuk  mencapai  cita-cita
kita  bagi  membina  satu  bangsa  Malaysia yang benar-benar
bersatu  menjelang  tahun  2020.    Perpaduan  rakyat  tidak
bermakna bahawa kebudayaan, agama dan bahasa-bahasa kaum dan
suku  kaum  akan  dihapuskan.    Tetapi  adalah penting kita
memiliki  satu  bahasa  kebangsaan  dan  satu  budaya   yang
teristimewa bagi bangsa dan negara kita Malaysia.
9.   Untuk  ini  kita  harus  kurang menekan dan menonjolkan
aspek-aspek   yang   membezakan   kaum-kaum   di   Malaysia.
Sebaliknya  kita  hendaklah  tumpukan  kepada persamaan yang
terdapat di antara kita.  Sebenarnya jika kita teliti, semua
kaum di Malaysia sudah pun menyerap  aspek-aspek  kebudayaan
kaum-kaum  lain.    Janganlah  kita sengaja menghapuskan apa
yang telah diserapkan ini, kerana ingin mengasingkan diri.
10.  Di sinilah terletaknya peranan asas-asas tertentu dalam
Perlembagaan dan Rukunegara.    Pengetahuan  tentang  kedua-
duanya amatlah penting bagi warganegara negara ini.
11.  Perlembagaan  menentukan  kedudukan  Raja-raja  sebagai
Raja Berperlembagaan;  mengiktiraf  dan  menjamin  kedudukan
kaum-kaum  bumiputera  dan  bukan  bumiputera  dalam  bidang
pembangunan sosio-ekonomi; menetapkan bahasa Melayu  sebagai
asas  bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sementara lain-lain
bahasa tidak boleh dihapuskan dan mengiktiraf Islam  sebagai
agama  rasmi Persekutuan serta kebebasan beragama oleh orang
bukan Islam.  Semua ini telah dipersetujui oleh semua  pihak
semasa  Malaya  dan  kemudian Malaysia dibentuk.  Kita tidak
lagi harus menyoal perkara-perkara ini.
12.  Rukunegara pula merupakan  kata  sepakat  yang  menjadi
asas  dan  panduan kepada semua rakyat Malaysia.  Rukunegara
dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 di waktu  mana  jelas
kelihatan  bahawa rakyat tidak mengenali institusi-institusi
yang merupakan lambang keistimewaan Malaysia dan dengan  itu
tidak  tahu  apakah  yang harus dihormati dan dijunjung oleh
mereka secara bersama.   Dengan menentukan lima  rukun  yang
diterima  dan dimiliki oleh semua, maka rakyat sekarang tahu
akan  apa  dianya  yang  dimiliki  dan  harus  dipertahankan
bersama.  Oleh kerana semua rakyat memiliki rukun yang sama,
maka  tidak  ada  sesiapa  yang harus berasa tersisih kerana
memikir pihak lain lebih berhak atau kurang berhak.
13.  Dengan  demikian,   Rukunegara   menjadi   tiang   yang
menjulang   negara   dan   setiap   rakyat  bertanggungjawab
menegakkan tiang-tiang ini.   Negara akan jatuh  dan  hancur
jika kelima-lima tiang ini tidak ditegakkan oleh rakyat.
14.  Panel   Penasihat   Perpaduan   Negara   dibentuk   dan
dianggotai  oleh  ahli-ahli   yang   tahu   akan   kandungan
Perlembagaan  dan Rukunegara.   Kita semua sedar juga bahawa
Perlembagaan dan  Rukunegara  memang  tidak  sunyi  daripada
kecacatan.    Semuanya adalah ciptaan manusia biasa.  Tetapi
jika diambilkira prestasi negara dalam bidang  keamanan  dan
pembangunan,  prinsip-prinsip  Perlembagaan  dan  Rukunegara
tidaklah begitu cacat.
15.  Yang  perlu  sekarang   ialah   bagaimana   menambahkan
keberkesanan  Perlembagaan  dan Rukunegara dalam pembentukan
perpaduan di kalangan rakyat.    Panel  Penasihat  Perpaduan
Negara  harus  bergerak  dalam konteks ini.   Walaupun Panel
yang lama telah memberi nasihat yang jelas  berkesan,  namun
masih banyak lagi yang boleh difikir, dicipta dan disarankan
dalam  usaha  mencari  jalan  dan ikhtiar untuk meningkatkan
lagi perpaduan di kalangan rakyat majmuk Malaysia.
16.  Keadaan yang ideal untuk perpaduan  tidak  terdapat  di
mana-mana.    Jika keadaan yang ideal boleh diwujudkan, maka
tidak perlu lagi  kita  berusaha  untuk  memupuk  perpaduan,
kerana  dalam keadaan sedemikian perpaduan akan wujud dengan
sendirinya.    Kita  mengadakan  Panel  Penasihat  Perpaduan
Negara  ini  kerana  kita sedar kita tidak perfect dan tidak
mungkin perfect.    Dalam  keadaan  serba  cacat  ini,  kita
memerlukan  nasihat  tentang  apakah  yang harus dibuat lagi
untuk mencapai perpaduan yang lebih erat.
17.  Orang asing mungkin mendakwa bahawa mereka tahu masalah
kita dan bagaimana untuk mengatasinya.   Sebenarnya,  mereka
tidak tahu kerana masalah di negara mereka sendiri pun tidak
dapat  mereka  selesaikan.    Keadaan  di negara mereka jauh
lebih buruk  daripada  negara  kita  walaupun  mereka  sudah
tentukan bahawa orang yang tidak daripada jenis mereka tidak
dapat  menduduki  negara mereka, ataupun bilangan yang tidak
sanggup menyerap kebudayaan nasional mereka tidak ramai.
18.  Justeru itu janganlah  kita  mudah  terpengaruh  dengan
dakwaan  orang asing ini bahawa apa yang dilakukan oleh kita
akan menggagalkan kita.  Kita lebih arif akan masalah  kita.
Kita  telah  buktikan bahawa dasar-dasar dan prinsip-prinsip
kita lebih berjaya mengatasi masalah masyarakat  majmuk  dan
keadaan  tidak  seimbang  yang  terdapat  dalam negara kita.
Yang penting ialah  kita  kurangkan  tekanan  emosi.    Kita
hendaklah   bersifat  sederhana  dan  berpandu  kepada  akal
fikiran dalam menyelesaikan masalah kita.
19.  Kita telah merancang, dengan izin Tuhan, bahawa  negara
kita   akan   menjadi  negara  maju  menjelang  tahun  2020.
Pencapaian negara  kita  semenjak  merdeka  meyakinkan  kita
bahawa  matlamat  ini boleh dicapai.  Namun kita tidak boleh
lalai dan menunggu masa berlalu begitu sahaja.
20.  Strategi  ekonomi  dan  politik  adalah   tanggungjawab
mereka  yang  berperanan  dalam  bidang-bidang ini.   Tetapi
strategi politik dan ekonomi yang tepat sekalipun tidak akan
menjayakan  perjuangan  kita  jika  sekiranya  negara   kita
dilanda  oleh  rusuhan  kaum  kerana  tidak  ada  perpaduan.
Justeru itu Panel Penasihat Perpaduan Negara  ini  mempunyai
peranan  yang  amat  penting dalam usaha mencapai visi 2020.
Negara dan Kerajaan menaruh  harapan  yang  tinggi  terhadap
Panel  ini  dan juga kepada agensi-agensi Kerajaan dan bukan
Kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menyumbang  kepada
pencapaian wawasan negara kita ini.
21.  Perpaduan  merupakan  satu  proses  yang  memakan masa.
Setelah satu generasi berlalu keadaan di negara  kita  sudah
berubah.    Walaupun  ada  yang  berkata bahawa kaum-kaum di
Malaysia  semakin  jauh  terpisah,  tetapi  sebenarnya  kita
adalah  lebih rapat di antara satu sama lain.  Jika 34 tahun
dahulu ada orang yang tidak pernah  bercampur  dengan  orang
daripada  kaum  lain,  tetapi  sekarang  bukan sahaja mereka
lebih dekat tetapi juga bahasa Kebangsaan tidak lagi  begitu
asing kepada sesetengah kaum seperti di masa dahulu.
22.  Kita  harus  bersabar  semasa kita berusaha.   Akhirnya
akan berjaya juga usaha kita.  Dengan usaha yang akan dibuat
oleh Panel Penasihat ini, saya yakin, perpaduan  yang  lebih
erat akan menjadi kenyataan dengan lebih awal lagi.
23.  Dengan   ini,   saya   dengan   sukacitanya  merasmikan
mesyuarat pertama  Panel  Penasihat  Perpaduan  Negara  bagi
tahun 1991.
     Wabillahitaufik        walhidayah       wasalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google