|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR (K.L) Tarikh/Date : 19/03/90 Tajuk/Title : SEMPENA PERASMIAN SEMINAR AL-QURAN ANTARABANGSA Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Dr. Yusof Nor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Dif-dif kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dapat bersama-sama menghadiri majlis Perasmian Seminar Al-Quran Antarabangsa ini. 2. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur Seminar yang menjemput saya ke majlis perasmian ini. Semi- nar seumpama ini adalah yang julung-julung kali diadakan di negara kita dan objektifnya sangat tepat, mulia dan tinggi. Tuan-tuan dan puan-puan, 3. Marilah kita mengingati kembali akan peranan Al-Quran dalam kehidupan kita umat Islam. Beriman kepada Al-Quran adalah salah satu daripada Rukun Iman, dan ia merupakan satu cabaran sejauh mana kemampuan kita untuk merealisasikan hakikat keimanan kita itu. 4. Kandungan kitab suci Al-Quran penuh dengan mukjizat serta mengandungi contoh-teladan, kisah-kisah yang berlaku semasa dan sebelum Al-Quran diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kitab suci ini juga mengandungi bahan-bahan pendidikan serta penjelasan-penjelasan serta panduan mengenai perkara-perkara yang wujud di alam dunia ini dan di alam yang berikut dan juga peristiwa-peristiwa yang akan dihadapi di alam akhirat nanti. Semua ini mengingatkan kita bahawa Al-Quran itu bukanlah semata-mata sebuah kitab yang kita dikehendaki membaca sahaja, tetapi juga sebuah kitab yang mesti difahami isi kandungannya, semoga dengan itu dapatlah diamal dan dihayati pengajarannya dan dinikmati serta digunakan apa yang terkandung di dalamnya. 5. Di Malaysia, Kerajaan telah memberi pengiktirafan yang tinggi kepada Islam sehingga menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara. Semenjak akhir-akhir ini, kerajaan memberi perhatian yang sangat serius mengenai pendidikan Al-Quran dan juga penghayatan ajarannya. 6. Menyentuh mengenai pendidikan Al-Quran, kerajaan sentiasa berusaha meneruskan tradisi penghafalan Al-Quran. Usaha ini telah dilakukan oleh kerajaan semenjak beberapa tahun yang lampau melalui Insititut Pengajian Al-Quran yang bertempat di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Institut ini telah melahirkan pelajar-pelajar yang bukan sahaja hafal Al-Quran, tetapi juga memahami beberapa ilmu yang berkaitan dengannya. Mulai tahun ini, Institut tersebut telah memperluaskan skopnya dengan mengambil pelajar-pelajar wanita untuk sama-sama mengikuti kelas pengajiannya. Institut ini telahpun diberi pengiktirafan oleh kerajaan iaitu pengiktirafan peringkat diploma, dan lulusannya sama seperti pelajar-pelajar yang berkelulusan diploma. 7. Di zaman di mana terdapat terdapat hanya beberapa buah sahaja Al-Quran yang ditulis dengan tangan, dan dengan itu kemungkinan sesuatu masyarakat Islam kehilangan sama sekali Al-Quran kerana kebakaran atau lain-lain sebab, peranan al- hafiz amatlah penting. Justeru itu setiap masyarakat Islam perlu ada sebilangan atau sekurang-kurangnya seorang yang boleh menghafal Al-Quran. Di zaman sekarang, walaupun kita boleh mencetak berjuta-juta naskhah Al-Quran dan bahaya kehilangan amat berkurangan tetapi kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab masyarakat Islam untuk mengadakan seberapa ramai hafiz yang mungkin. Inilah sebabnya yang kerajaan memberi tekanan kepada penghafalan Al-Quran. Dalam pada itu kita juga harus ingat bahawa ingatan manusia adalah lemah. Al-Quran yang dicetak amat penting bagi mengatasi kelemahan fikiran dan ingatan manusia. 8. Al-Quran bukan sahaja diturunkan untuk dibaca dan dihafaz, tetapi kandungan isinya mestilah difahami dan dihayati. Dalam hubungan ini kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isi kandungan Al- Quran melalui berbagai-bagai institusi. Universiti- universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini sedang mengambil langkah dan menggunakan beberapa pendekatan bagi memudahkan ajaran Al-Quran dihayati oleh masyarakat seluruhnya. Kajian dalam bidang sains dan penemuan-penemuan daripadanya bukan sahaja telah membuktikan bahawa ajaran Al- Quran adalah benar, tetapi juga telah menghasilkan manfaat yang besar untuk digunakan oleh umat Islam khususnya dan masyarakat dunia amnya bagi keperluan duniawi dan ukhrawi mereka. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Sekarang ini terdapat kekeliruan di kalangan sesetengah orang Islam dalam memahami kehendak-kehendak Al-Quran. Apabila mereka bercakap mengenai Al-Quran, mereka hanya mementingkan soal-soal yang berhubung dengan ibadat khusus atau fardhu 'ain iaitu mengenai sembahyang, puasa, zakat dan haji, tanpa memberi penekanan kepada bidang ibadat umum atau fardhu kifayah yang mempunyai kesan terhadap seluruh masyarakat. Kerana kekeliruan yang disebabkan oleh tafsiran yang sempit ini mereka sering melihat apa yang dibuat oleh kerajaan sebagai tidak Islamik dan tidak berunsur Islam dan tidak selaras dengan kehendak-kehendak Al-Quran. Penerimaan tafsiran yang sempit inilah yang menyebabkan kemunduran orang Islam sekarang sehingga mereka miskin dalam segala- galanya dan tidak pun dapat mempertahankan diri tanpa senjata dan bantuan daripada punca yang bukan Islam. 10. Al-Quran adalah panduan yang tertinggi dan punca yang utama tentang agama Islam. Panduan Al-Quran adalah secara umum sahaja. Umpamanya kita tidak akan mengerti cara-cara atau rukun-rukun melakukan sembahyang hanya dengan membaca Al-Quran. Banyak cara-cara melakukan ibadat dalam Islam tidak terdapat dalam Al-Quran. Ini tidak bermakna Al-Quran tidak lengkap. Sebenarnya hadith dan sunnah Nabi boleh membantu umat Islam mengamalkan ibadat dalam Islam. 11. Demikian juga segala ilmu terdapat dalam Al-Quran tetapi hanya dengan membaca dan memahami isi kandungan Al- Quran kita tidak akan dapat mendalami semua ilmu. Al-Quran memandu kita untuk mempelajari ilmu dengan melihat alam sekeliling dan makhluk yang ada dalamnya, menyuruh kita membuat persediaan mempertahankan diri kita daripada musuh, dan menjalankan usaha dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh orang-orang Islam. Maka terpulanglah kepada kita untuk menunaikan suruhan Allah yang dibuat melalui Al-Quran. 12. Jika kita disuruh oleh Al-Quran melihat alam sekeliling dan berfikir maka tentulah ini adalah untuk kebaikan dan kejayaan orang-orang Islam. Sebab itu dengan melihat gerakan bintang di langit, ulama-ulama Islam dapat memahami bukan sahaja kedudukan bulan, bintang, matahari dan bumi, tetapi juga ilmu pelayaran, ilmu hisab dan ilmu alam. Sebenarnya asas penerbangan ke angkasa lepas, ke bulan dan bintang ialah ilmu yang diterokai oleh ulama Islam seperti Ibnu Rushd, Al-Khawarizmi, Ulugh Beg, Ibnu Khaldun dan lain- lain, yang memahami dan menghayati arahan Al-Quran supaya mempelajari alam sekeliling. Sudah tentulah bukan maksud Al-Quran untuk kita melihat sahaja. 13. Demikian juga Al-Quran menyuruh kita melengkapkan diri untuk mempertahankan diri. Di zaman Nabi Muhammad S.A.W. bermakna mengetahui di antara lain menunggang kuda dan membuat pedang, tetapi di zaman moden ini pedang dengan kuda tidak boleh menyelamatkan kita. Yang boleh menyelamatkan kita ialah senjata moden, kapalterbang perang, kapal perang, kapal selam dan lain-lain. Apakah dengan hanya membaca Al- Quran kita dapat buat semua peralatan ini? Sudah tentu tidak. Arahan untuk mempertahankan diri bermakna arahan supaya membaca dan mempelajari membuat peralatan perang moden. Jika kita menerima dan mematuhi ajaran Al-Quran, maka umat Islam akan menjadi orang yang berilmu dan cekap dalam semua bidang, dan mampu mempertahankan diri dengan kekayaan dan kecekapan. 14. Semua alat moden adalah hasil daripada mempelajari dan mengkaji bidang sains. Inilah kaitan sains dengan Al-Quran. Ikhraq tidak bermakna membaca Al-Quran semata-mata tetapi membaca atau mempelajari yang lain juga, yang semuanya adalah kurniaan Tuhan. Dan dengan kita melihat, mengkaji semua kurniaan ini dan apa yang boleh diperbuat daripadanya, kita akan lebih faham dan sedar akan kebesaran Allah. Tuan-tuan dan Puan-puan, 15. Semua sains moden adalah hasil penerokaan alim-ulama sains Islam dan agama Islam. Kita harus ingat bahawa huruf alphabet Barat berasal daripada alif-ba-ta Arab yang penggunaannya diperluaskan selepas Islam berkembang di wilayah Arab dan Eropah. Pusat-pusat pengajian tinggi Islam di Khurtubah dan Baghdad menjadi tumpuan orang-orang Eropah yang ingin mempelajari ilmu sains dan hisab. Akhirnya mereka membentuk alphabet mereka sendiri. 16. Sudah tentu angka-angka cypher atau sifir hingga sembilan yang digunakan oleh Barat berasal daripada sistem perkiraan sifir hingga sembilan yang dicipta oleh orang- orang Islam. Dari inilah datangnya sistem kiraan Barat, termasuk sistem metrik yang memudahkan ilmu hisab dan semua ilmu sains yang tidak dapat maju tanpa sistem perkiraan dec- imal kosong hingga sembilan. Sebelum ini Barat mengguna angka Roman dengan mengguna huruf-huruf seperti I, V, C, M, X dan lain-lain yang sukar diguna untuk perkiraan. Calcula- tor dan komputer tidak mungkin dicipta jika sistem Roman dipakai. Sungguhpun kita memanggil sistem barat sebagai tulisan Rumi, sebenarnya ia adalah jawi atau Arabic script yang dimodify oleh Barat. Sistem angka untuk perkiraan semuanya daripada sistem Islam. Sistem logarithm yang diasaskan kepada perkiraan angka Islam juga berasal daripada orang-orang Islam, iaitu Al-Khawarizmi dari Khorazm- Uzbekhistan yang disebut oleh Barat sebagai "algorithm". Sistem algorithm inilah yang memudah dan mempercepatkan perkiraan dalam ilmu hisab sehingga bidang sains berkembang maju. 17. Soalnya ialah kenapakah sistem huruf dan angka serta hisab dan sains berasal daripada orang-orang Islam tetapi hari ini orang-orang Islam ketinggalan dan orang-orang lain yang maju? Sebabnya ialah tafsiran dibuat pada zaman-zaman tertentu bahawa ibadat terhad hanya kepada menunaikan beberapa fardu ain dan membaca dihadkan kepada soal-soal dan kitab-kitab tafsiran dan huraian agama sahaja. Kerja-kerja dan pelajaran-pelajaran lain dianggap bukan ibadat dan tidak diberi tekanan. Alim ulama tidak termasuk orang yang alim dalam bidang-bidang lain seperti sains, ilmu alam dan hisab. Kerana pendekatan yang sempit ini bukan sahaja ilmu-ilmu yang dicipta, diterokai dan dibangunkan oleh orang-orang Islam tidak mendatangkan faedah kepada orang-orang Islam tetapi juga ilmu-ilmu ini hilang daripada masyarakat Islam. Di masa yang sama ilmu-ilmu orang-orang Islam ini dipelajari dan berkembang di kalangan orang-orang bukan Islam. Demikianlah merosotnya pengetahuan orang-orang Islam sehingga untuk mempertahankan masyarakat Islam dan agama Islam pun mereka secara langsung dan tidak langsung bergantung kepada orang-orang bukan Islam. 18. Kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu dan pelajaran, selain daripada yang khusus berkenaan dengan agama, masih belum terdapat di kalangan sesetengah orang-orang Islam di zaman ini. Sains dianggap milik orang bukan Islam dan orang-orang Islam yang memasuki bidang ini tidak disanjung tinggi sebagai orang yang membuat ibadat dan orang yang alim. Sesiapa yang berani berkata ahli sains adalah ulama dikecam oleh sesetengah ulama yang mahu perkataan ulama itu dihadkan kegunaannya. Dengan ini ada mereka yang memasuki bidang yang berasaskan kepada sains telah meninggalkan ilmu ini walaupun berbakat dan berkelayakan. Sebaliknya mereka mengalih kepada apa yang dikatakan 'kegiatan agama'. Mereka yang lain yang meneruskan pengajian dalam bidang sains berasa bersalah bahkan berasa berdosa dan seterusnya tidak mendalami bidang tersebut. Dengan itu pencapaian orang- orang Islam adalah di peringkat yang rendah dan kurang mendatangkan manfaat. 19. Masalahnya ialah sains mempunyai kaitan yang rapat dengan survival dan kemajuan orang-orang Islam. Agama Islam wujud kerana terdapat orang-orang yang menghayatinya. Jika kerana kelemahan, orang-orang Islam ditewaskan dalam semua bidang, mereka bukan sahaja bersalah kerana tidak menunaikan suruhan Al-Quran, tetapi mereka mungkin dipisahkan daripada agama mereka. 20. Akan terdapat mereka yang akan berkata Tuhan akan melindungi orang-orang Islam. Tetapi apakah kita disuruh oleh Al-Quran menyerah semata-mata kepada Tuhan dan tidak payah berusaha? Sementara kebenaran agama Islam boleh menarik ramai penganut-penganut, tetapi tanpa kejayaan duniawi oleh pejuang-pejuang Islam di zaman dahulu tidak akan ramai yang berpeluang memahami kebenaran Islam. Justeru itu kejayaan di dunia tidak kurang pentingnya dan sains boleh menolong mencapai kejayaan ini. Dipandang daripada apa sudut sekalipun, sains mempunyai kaitan yang rapat dengan ajaran dan seruan yang terkandung dalam Al- Quran. Tuan-tuan dan Puan-puan, 21. Seminar ini adalah kena pada masanya. Kedudukan sains dan kaitannya dengan Al-Quran perlu difahami dan segala kekeliruan mestilah dihapuskan. 22. Saya berharap Seminar ini akan mendatangkan faedah kepada semua orang Islam dan akan menyampaikan kebenaran ajaran Al-Quran ul-Karim. 23. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang menjayakan Seminar ini. Dengan lafaz Bismillahi Rahmanirahim, saya merasmikan Seminar Al-Quran Antarabangsa ini dan pameran yang diadakan sempena dengannya. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |