|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT LATIHAN POLIS, JALAN SEMARAK, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 13/01/90 Tajuk/Title : MAJLIS PERBARISAN HARI RELA TAHUN 1990 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama di Majlis Perbarisan Hari RELA tahun 1990 ini. 2. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak RELA di atas daya usahanya menganjurkan hari memperingati penubuhan RELA yang merupakan perayaan Hari RELA yang julung kali diadakan semenjak RELA ditubuhkan pada bulan Januari tahun 1972. Tuan-tuan dan puan-puan, 3. Penubuhan RELA adalah untuk memberi kesempatan kepada rakyat jelata yang taat setia untuk tampil ke hadapan menganggotai sebuah agensi keselamatan Kerajaan yang diwujudkan bagi membantu memelihara dan mempertahankan keselamatan dan keamanan negara. Penubuhannya adalah selaras dengan falsafah dan keyakinan bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara adalah di tangan rakyat Malaysia sendiri dengan setiap rakyat memainkan peranan masing-masing. 4. Negara telah berjaya mengemblingkan tenaga rakyat daripada semua golongan untuk bersatu menghadapi cabaran- cabaran yang dicetuskan oleh keadaan-keadaan darurat. Pasukan Home Guard dan Polis Khas telah membantu pasukan keselamatan mematahkan keganasan Parti Komunis Malaya. Peranan dan pengorbanan rakyat yang menganggotai Pasukan Home Guard dan Polis Khas telah banyak membantu pasukan-pasukan keselamatan kita mematahkan ancaman Parti Komunis Malaya. Kita berbangga di atas sumbangan khidmat bakti serta pengorbanan rakyat melalui Pasukan Home Guard dan Polis Khas ini. 5. Kemerdekaan dan kedaulatan negara telah tercabar pada tahun 1963 apabila rejim Sukarno melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia. Sekali lagi negara menghadapi keadaan darurat. Di atas kesedaran bahawa sebarang perjuangan untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara perlulah didokong dan disertai oleh warganegara sendiri, maka Kerajaan telah menubuhkan sebuah lagi pasukan keselamatan sukarela yang bernama Pasukan Kawalan. Sambutan rakyat daripada semua golongan sungguh menggalakkan apabila lebih daripada 780,000 warganegara telah tampil ke hadapan menganggotai Pasukan Kawalan. 6. Sekarang ini Pasukan Home Guard, Polis Khas dan Pasukan Kawalan tidak lagi wujud. Pasukan-pasukan ini telah dibubarkan setelah keamanan negara berjaya dipulihkan. Ini berbeza sekali dengan RELA di mana ianya telah terus dikekalkan semenjak ditubuhkan 18 tahun yang lalu. Pengekalan RELA sebagai salah sebuah jentera keselamatan yang besar pada hari ini adalah bukti bahawa Kerajaan masih percaya akan peranan yang boleh dimainkan oleh RELA dalam menjayakan usaha-usaha ke arah keselamatan dan pertahanan negara. Ianya juga adalah bukti komitmen Kerajaan untuk terus mengemblingkan tenaga rakyat melalui badan-badan sukarela, sama ada semasa aman mahupun semasa darurat. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 7. Semenjak ianya ditubuhkan, Pasukan RELA telah berjaya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam membantu Kerajaan memelihara dan mengekalkan keselamatan dan keamanan negara. Pada tahun-tahun 1970an, Pasukan RELA telah berjaya menyalurkan maklumat-maklumat penting mengenai tindak-tanduk serta gerak-geri pihak komunis kepada pasukan keselamatan kita sehinggalah membawa kejayaan dalam operasi- operasi memusnah dan memerangi keganasan pihak komunis di Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Bahkan ada beberapa orang anggota RELA yang telah menunjukkan semangat keperwiraan yang tinggi dan telah gugur dalam menentang komunis. Kerajaan menyedari bahawa ramai bilangan anggota RELA yang sering mengorbankan masa dan tenaga masing-masing membuat kawalan serta rondaan bagi menjamin keselamatan dan keamanan kampung atau mukim masing-masing. Kerajaan serta rakyat berterima kasih dan berbangga dengan sikap dan keberanian ini. 8. Sekarang ini Pasukan RELA juga telah mula memberi sumbangan dalam bidang pembangunan sosial seperti kegiatan menderma darah, pemulihan rumah orang-orang miskin, membina kemudahan-kemudahan asas terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Usaha-usaha ini amatlah disanjung tinggi. Tenaga RELA sewajarnya disalur dan digemblingkan untuk memesatkan lagi proses pembangunan negara, terutamanya dalam masa aman seperti sekarang ini. Potensi RELA untuk memainkan peranan ini haruslah disedari dan dimanfaatkan oleh semua pihak. 9. Justeru itu, sukalah saya mengesyorkan kepada Kerajaan- kerajaan Negeri serta agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan supaya menggunakan khidmat serta tenaga anggota-anggota RELA dalam negeri masing-masing untuk menjayakan kegiatan- kegiatan pembangunan, terutamanya program pembasmian kemiskinan luar bandar. Pasukan RELA bukan sahaja mempunyai kemampuan untuk membantu Kerajaan menjayakan program tersebut, bahkan juga penglibatan mereka akan dapat membantu menjimatkan perbelanjaan negara, yang mana ini akan menolong membiayai lain-lain projek kemasyarakatan yang tidak kurang pentingnya. Tuan-tuan dan puan-puan, 10. Kementerian Dalam Negeri telah mengambil langkah- langkah menggubal serta melaksanakan beberapa dasar dan strategi baru bertujuan meningkatkan lagi kemantapan dan keberkesanan Pasukan RELA sebagai salah sebuah jentera keselamatan negara. Langkah-langkah ini memerlukan sokongan semua pihak terutamanya para pegawai serta setiap anggota RELA. 11. Ada dua perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap anggota RELA. Pertama, setiap anggota RELA hendaklah sentiasa berwaspada serta peka kepada setiap ancaman yang boleh mengganggu-gugat keamanan serta kesejahteraan persekitaran masing-masing. Kedua, setiap anggota RELA hendaklah berusaha meninggikan lagi semangat masing-masing agar sentiasa bersedia untuk menjalankan apa sahaja tugas yang difikirkan perlu bagi membantu membendung segala bentuk ancaman yang mungkin timbul di kawasan masing- masing. Tanpa inisiatif oleh anggota-anggota RELA untuk meninggikan semangat perjuangan masing-masing, usaha-usaha Kerajaan untuk menjadikan RELA sebagai jentera keselamatan yang berkesan mungkin tidak akan tercapai sepenuhnya. 12. Adalah menjadi kelaziman bagi manusia mengurangkan kewaspadaan serta semangat berjuang masing-masing semasa negara berada dalam aman dan makmur. Setiap anggota RELA janganlah hendaknya mengurangkan kewaspadaan terhadap ancaman-ancaman keselamatan yang berlaku di negara ini sepanjang masa, umpamanya usaha menimbulkan kebencian terhadap kerajaan melalui berbagai jenis fitnah. Perletakan senjata baru-baru ini oleh anggota-anggota Parti Komunis Malaya mungkin akan mendorong sesetengah pihak, termasuk anggota-anggota RELA sendiri, untuk berfikir bahawa ancaman- ancaman terhadap keselamatan negara sudah berakhir. Tuan-tuan dan puan-puan, 13. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menerangkan tentang perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya, yang mana perletakan senjata ini mempunyai banyak kaitan dengan peranan yang berubah bagi RELA. 14. Semenjak kita merdeka dan sehingga perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya, kita telah bersungguh-sungguh memerangi pengganas-pengganas komunis di mana juga mereka berada. Berkat kegigihan dan keberanian pasukan keselamatan kita, termasuk RELA, pengganas-pengganas komunis terpaksa berundur dari Semenanjung Malaysia kecuali di beberapa kawasan di Pahang dan Perak. 15. Walaupun mereka telah berundur, kita terpaksa meronda hutan-hutan dan sempadan kita sepanjang masa. Kegiatan ini bukan sahaja melibatkan perbelanjaan yang besar tetapi juga kerapkali anggota-anggota pasukan keselamatan kita tercedera dan terbunuh akibat serang-hendap atau terpijak jerangkap samar. Selagi kita perlu memburu pengganas-pengganas komunis, selama itulah anggota-anggota pasukan keselamatan kita terdedah kepada bahaya, tanpa kemungkinan kita membunuh semua pengganas-pengganas komunis. Keadaan ini boleh berterusan kerana jerangkap samar boleh dipasang pada bila- bila masa sahaja dan pengganas-pengganas komunis bebas untuk merancang serangan mengikut kehendak mereka. 16. Semasa pengganas-pengganas komunis menentang kita, mereka telah mengadakan gerakan-gerakan dan memasang jerangkap-jerangkap samar di merata-rata tempat dalam hutan. Oleh kerana itu beribu-ribu ekar kawasan hutan terutamanya di sempadan negara kita terpaksa diisytiharkan sebagai kawasan hitam. Tidak sesiapa pun dibenarkan masuk ke kawasan-kawasan ini dan tidak ada hasil bumi yang boleh dikeluarkan. Secara tidak langsung, kawasan-kawasan ini menjadi kawasan musuh, walaupun sebenarnya ianya adalah wilayah kita. Pada hakikatnya kita kehilangan wilayah kita. 17. Sebab itulah Kerajaan berpendapat ada faedahnya menerima perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya. Pengganas-pengganas komunis bukan sahaja sanggup menamatkan keganasan-keganasan mereka, tetapi juga sanggup memusnahkan jerangkap-jerangkap samar yang telah mereka pasang dan tidak akan memasang lagi jerangkap-jerangkap samar yang baru. 18. Dengan perletakan senjata ini, kita bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kecederaan yang mungkin menimpa rakyat Malaysia tetapi kita juga dapat menguasai dan membangunkan beribu-ribu ekar kawasan-kawasan yang terbiar ini demi faedah rakyat. 19. Di masa yang sama, Parti Komunis Malaya masih tetap diharamkan. Anggota-anggota Parti Komunis Malaya boleh balik ke Malaysia tetapi kemasukan mereka adalah tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang negara ini. Ini bukanlah perkara luar biasa. Memang pun ada anggota-anggota Parti Komunis Malaya seperti Musa Ahmad yang balik ke Malaysia. Kerajaan tidak akan memberi layanan istimewa kepada mereka. Kerajaan tidak akan memberi tanah kepada mereka walaupun Kerajaan Thai sanggup berbuat demikian. 20. Kita juga harus memikirkan tentang beban yang dipikul oleh jiran kita, Thailand. Parti Komunis Malaya menentang Malaysia sahaja, tetapi kegiatan-kegiatan mereka juga membawa masalah kepada negara Thai. Justeru itu, kita telah berusaha menamatkan keganasan pengganas-pengganas komunis ini supaya Selatan Thai juga menjadi kawasan yang selamat. Semasa kita mengadakan operasi terhadap pengganas- pengganas komunis, Kerajaan Thai banyak membantu. Tentulah kita tidak berbudi jika kita tidak menghargai kerjasama mereka. 21. Dengan perletakan senjata pengganas-pengganas komunis, tugas-tugas pasukan keselamatan kita tidak dapat tidak akan berubah. RELA sebagai sebahagian daripada pasukan keselamatan negara Malaysia perlu menerima perubahan ini. Sementara tugas-tugas ini mungkin berubah, tetapi kita semua hendaklah sentiasa berwaspada. Pengalaman yang kita alami selama 41 tahun menentang pengganas-pengganas komunis amat berguna sekali dalam usaha-usaha kita mempertahankan kedaulatan negara kita. 22. Kita tidak akan dapat menjamin kemerdekaan kita melainkan rakyat Malaysia sanggup mempertahankan negara kita ini. Dalam hal ini RELA mestilah sentiasa bersiap sedia. Untuk memelihara keselamatan dan keamanan negara, setiap rakyat Malaysia mestilah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Tuan-tuan dan puan-puan, 23. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Pasukan RELA di atas Perayaan Ulangtahun ke-18 penubuhan RELA. Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap anggota RELA, serta juga bekas- bekas anggota RELA, di atas segala pengorbanan dan sumbangan mereka dalam membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan negara kita ini. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |