|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 05/04/89 Tajuk/Title : MAJLIS PERPISAHAN RASMI OLEH KERAJAAN BAGI KE BAWAH DULI-DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patek harap diampun. Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, ingin menyembah junjung kasih kepada Ke Bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, di atas limpah perkenan Tuanku berdua berangkat mencemar Duli ke Majlis Perpisahan Rasmi oleh Kerajaan kepada Ke Bawah Duli Tuanku berdua. Ampun Tuanku, 2. Patek dan sekalian anggota Kerajaan ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ke Bawah Duli Tuanku kerana semenjak lima tahun yang lalu telah memberi panduan dan galakan semasa patek dan anggota-anggota Kerajaan menjalankan tugas mentadbirkan negara. Patek yakin Ke Bawah Duli Tuanku akan terus memberi sumbangan bagi kesejahteraan negara pada masa hadapan. Ampun Tuanku, 3. Patek mengambil kesempatan ini untuk merakamkan kekaguman patek sekalian ke atas keyakinan diri yang telah ditunjukkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku, baik dalam lapangan sukan mahupun bidang-bidang lain. Ramai daripada rakyat dan patek sekalian berbangga dengan kebolehan Tuanku memandu helikopter dan kapal terbang. Ramai juga yang kagum dengan keupayaan Tuanku dalam sukan papan layar. Di samping itu Tuanku berkeupayaan mengendalikan kenderaan-kenderaan laju seperti motosikal dan sebagainya. Patek semua sangat berbangga dengan kebolehan Tuanku bermain golf. Patek mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah di atas kemenangan Ke Bawah Duli Tuanku di Pertandingan Golf Jemputan yang diadakan di Seremban bulan Mac lalu. 4. Keyakinan diri Tuanku juga dapat disaksikan dengan keupayaan Tuanku memberi khutbah Jumaat. Pendek kata keyakinan diri yang ditunjukkan oleh Tuanku telah sedikit- sebanyak memberi panduan kepada patek semua untuk sama-sama menanamkan keyakinan diri, bukan sahaja untuk menjaga kesejahteraan diri, bahkan juga dalam memperjuangkan kepentingan dan masa hadapan masyarakat. Ampun Tuanku, 5. Patek dan anggota-anggota Kerajaan juga ingin merakamkan penghargaan terhadap sumbangan kewangan oleh Ke Bawah Duli Tuanku kepada tabung-tabung amal. Patek yakin sumbangan Ke Bawah Duli Tuanku dari semasa ke semasa akan menggalakkan lagi golongan-golongan yang berada di negara ini melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan dan turut sama menderma. Patek menyedari bahawa sifat murni ini memang terdapat di negara kita, tetapi teladan yang ditunjukkan oleh Tuanku akan menjadi unsur penggalak yang akan meningkatkan lagi bilangan para dermawan di kalangan rakyat Malaysia. Ampun Tuanku, 6. Negara kita telah mengalami kemajuan pesat dalam berbagai-bagai lapangan seperti ekonomi, sosial dan pendidikan semasa di bawah naungan Ke Bawah Duli Tuanku. Walaupun negara di awal penggal pemerintahan Ke Bawah Duli Tuanku telah mengalami kesan kemelesetan ekonomi dunia, Kerajaan di bawah naungan Tuanku telah berjaya memulihkan ekonomi negara, bahkan negara telah berjaya maju ke hadapan dengan kadar yang sangat membanggakan. 7. Negara ini semasa di bawah naungan Ke Bawah Duli Tuanku juga telah meningkatkan peranannya di arena antarabangsa. Di samping Malaysia mempertingkatkan usaha membanteras penyalah-gunaan dadah di peringkat antarabangsa, Malaysia juga telah dipilih menduduki kerusi di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu. Di bawah naungan Tuanku, Malaysia juga telah buat julung-julung kalinya dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel pada penghujung tahun ini. Di masa yang sama Malaysia telah dipilih mempengerusikan Kumpulan 77 UNCTAD. 8. Kerajaan merakamkan penghargaan kepada Ke Bawah Duli Tuanku kerana telah berjaya membuat beberapa lawatan rasmi ke beberapa buah negara sahabat, terutamanya di rantau kita ini. Kerajaan yakin lawatan-lawatan Tuanku telah berjaya merapatkan lagi hubungan Malaysia dengan negara-negara tersebut. Ampun Tuanku, 9. Sepanjang lima tahun yang lalu, Tuanku pernah menyeru kepada rakyat supaya mengenepikan kepentingan diri dan sebaliknya bekerjasama untuk menumpukan tenaga dan usaha bagi membangunkan negara dan memajukan rakyatnya. Kerajaan dan rakyat menyanjung tinggi seruan tersebut. Insya-Allah patek sekalian akan terus menghayati seruan Tuanku itu. Ampun Tuanku, 10. Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat, berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala mencucuri rahmat ke atas Ke Bawah Duli Tuanku. Patek berdoa semoga Ke Bawah Duli Tuanku akan terus aktif di dalam bidang yang diminati oleh Tuanku. Menjelang keberangkatan Ke Bawah Duli Tuanku ke Negeri Johor Darul Takzim, patek berdoa semoga negeri Johor Darul Takzim dan rakyatnya akan terus aman dan makmur. 11. Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat juga ingin merakamkan penghargaan dan junjungan kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang sentiasa disanjungi oleh rakyat. Di samping selalu berada di sisi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Ke Bawah Duli Tuanku Raja Permaisuri Agong berkenan menghadiri upacara-upacara perasmian di Ibu Negara dan di tempat-tempat lain. Patek dan rakyat sekalian berdoa semoga Ke Bawah Duli Tuanku Raja Permaisuri Agong akan dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. 12. Sekali lagi patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat menjunjung kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kerana berkenan berangkat ke Majlis Perpisahan Rasmi ini. 13. Akhir kata, patek semua berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala Yang Maha Pengasih lagi Yang Maha Pemurah, mudah-mudahan dilanjutkan usia Ke Bawah Duli Tuanku dan usia Ke Bawah Duli Tuanku Raja Permaisuri Agong. Patek semua juga berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan ke atas Ke Bawah Duli Tuanku berdua. Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun. Wabillahi taufik, walhidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |