Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : JALAN SULTAN ISMAIL, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/08/88
Tajuk/Title : PERASMIAN MENARA BANK PEMBANGUNAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Dato' Napsiah Omar,
Menteri Perusahaan Awam;
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Samad Idris,
Pengerusi Lembaga Pengarah Bank
Pembangunan;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
dengan izinNya dapat kita bersama-sama di majlis ini.
2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah
dan pihak pengurusan Bank Pembangunan kerana menjemput saya
ke majlis ini dan seterusnya untuk merasmikan Menara Bank
Pembangunan ini. Adalah diharapkan dengan terbinanya sebuah
bangunan khas untuk Bank ini dan dengan kemudahan-kemudahan
yang terdapat, prestasi Bank Pembangunan akan dapat
ditingkatkan lagi.
3. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah
kepada pihak pengurusan dan kakitangan bank ini sempena
genapnya 14 tahun Bank Pembangunan menjalankan operasinya.
Saya percaya semua kakitangan akan berusaha dengan penuh
azam, tekun dan bersungguh-sungguh untuk memberi
perkhidmatan yang lebih baik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4. Bank Pembangunan merupakan salah sebuah institusi
kewangan yang ditubuhkan khas untuk membiayai projek-projek
perindustrian, terutamanya industri-industri kecil. Bank
Pembangunan telah memberi pinjaman berjuta-juta ringgit
kepada usahawan-usahawan bumiputera dan Bank ini juga
memberi beberapa jenis kemudahan dan khidmat kepada
usahawan-usahawan industri-industri kecil.
Industri-industri kecil adalah penting kepada pembangunan
ekonomi negara dan dengan itu Kerajaan berharap Bank
Pembangunan akan terus berusaha untuk meningkatkan
peranannya sebagai agensi kredit yang penting bagi industri
jenis ini.
5. Kita mengetahui bahawa industri-industri kecil membantu
memastikan pembangunan struktur perindustrian yang kukuh dan
dapat menghasilkan pertumbuhan jangka panjang.
Industri-industri kecil penting juga kepada
industri-industri yang sedia ada dan ianya akan dapat
mewujudkan satu rantaian antara industri atau inter-industry
linkages. Dengan itu Kerajaan akan terus mengambil berbagai
langkah bagi menggalakkan perkembangan industri kecil. Di
samping itu usaha-usaha harus juga ditumpukan bagi
memperbaiki dan memodenkan industri-industri kecil. Program
khas Pembangunan Industri Kecil yang dijalankan oleh
Kerajaan dengan kerjasama Bank Dunia, adalah salah satu
usaha yang dinamik dalam memberi kemudahan kredit dan
bantuan teknik kepada para pengusaha industri kecil.
6. Kerajaan juga berharap agensi-agensi awam yang
bertanggungjawab ke atas industri kecil, termasuklah Bank
Pembangunan ini, akan berusaha mewujudkan perhubungan rapat
dengan agensi-agensi penyelidikan seperti SIRIM, MARDI, RRI
dan PORIM. Agensi-agensi penyelidikan mungkin dapat
membantu usaha meningkatkan piawaian atau standard keluaran,
serta memperbaiki rekabentuk dan mutu keluaran barangan
industri kecil. Inilah faktor-faktor penting bagi
meningkatkan keupayaan bersaing keluaran kita, terutama
barangan yang hendak dieksport ke pasaran antarabangsa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Bank Pembangunan dalam membiayai projek-projek industri
kecil menumpukan perhatian kepada industri-industri kecil
milik bumiputera. Salah satu strategi Kerajaan untuk
meluaskan perindustrian di negara kita ialah meningkatkan
bilangan industri-industri kecil. Industri seperti ini
lebih senang disertai oleh bumiputera dan menjadi tapak atau
permulaan yang bermakna bagi bumiputera menyertai
perindustrian yang lebih besar lagi. Dengan itu, Kerajaan
akan terus memberi galakan kepada apa juga usaha yang dapat
meningkatkan lagi bilangan industri-industri kecil milik
bumiputera di negara kita.
8. Walau bagaimanapun, pembangunan industri kecil di
negara kita ini tidaklah berkembang seperti yang diharapkan
oleh Kerajaan. Kelembapan dalam pertumbuhan
industri-industri jenis ini haruslah dikaji oleh semua
agensi awam yang terlibat. Salah satu faktor utama yang
menyebabkan pertumbuhan itu tidak cepat ialah sikap negatif
di kalangan pengusaha-pengusaha industri kecil sendiri.
9. Masih lagi terdapat sikap mengharapkan bantuan yang
banyak daripada Kerajaan oleh pengusaha-pengusaha industri
kecil, di antaranya termasuklah kemudahan pengecualian cukai
dan kemudahan infrastruktur yang berlebihan. Dalam hal ini,
para pengusaha industri kecil kebanyakannya telah gagal
mengamalkan cara-cara pengurusan yang baik. Oleh kerana ini
mereka tidak dapat mengusahakan perniagaan mereka dengan
berkesan dan kerap juga mengalami kerugian. Sepertimana
kita sedia maklum, untuk memastikan kejayaan, tidak ada
jalan lain kecuali bekerja dengan tekun dan
bersungguh-sungguh, berjimat-cermat serta mentadbir dan
menguruskan sesuatu perniagaan itu dengan cekap dan
bertanggungjawab.
10. Keupayaan Kerajaan untuk membantu adalah terhad.
Terpulanglah kepada seseorang pengusaha atau peniaga
menentukan kejayaan masing-masing. Kejayaan apa juga
perniagaan tidak semestinya merupakan perniagaan yang
bernilai berjuta-juta ringgit. Kita harus ingat bahawa
perniagaan yang besar walaupun mungkin memberi keuntungan
yang besar, tetapi apabila rugi, kerugiannya juga besar.
Adalah lebih baik bermula dengan perniagaan yang kecil yang
diurus dengan cekap supaya untung, dan kemudian dibesarkan
mengikut kemampuan sendiri daripada berhutang dengan banyak
untuk membesarkan perniagaan. Kita juga harus ingat jikalau
kita rugi wang atau duit kita sendiri, kita tidak akan
diburu oleh sesiapa. Tetapi jikalau kita meminjam duit dan
mengalami kerugian, kita mungkin menjadi bankrap.
11. Kerajaan berasa sukacita melihat semakin ramai
peniaga-peniaga bumiputera yang melibatkan diri dalam
perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana. Kerajaan juga
merasa gembira bahawa perniagaan-perniagaan mereka ini
berjalan dengan baik dan meningkat maju. Saya berharap
kejayaan-kejayaan ini akan menjadi contoh kepada
pengusaha-pengusaha bumiputera yang lain dan juga kepada
bumiputera yang ingin menceburkan diri dalam bidang
perusahaan dan perniagaan. Kita hendaklah berhati-hati
sebelum berniaga. Anggapan bahawa pengetahuan mengurus
tidak perlu dipelajari adalah salah. Walaupun ada
orang-orang yang mempunyai kecekapan mengurus secara
semulajadi, bilangan mereka adalah kecil. Di zaman moden
ini, para pengurus perlu kepada latihan dan pengalaman.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk
menyentuh sedikit mengenai bangunan-bangunan yang tersergam
indah yang terdapat di Kuala Lumpur. Sepertimana kita
maklum, sekarang terdapat banyak bangunan pencakar langit di
ibukota. Bangunan-bangunan ini cantik dan indah, tetapi
malangnya selepas beberapa waktu bangunan-bangunan ini serta
kawasan-kawasan persekitarannya tidak dijaga dengan
sempurna. Ini mendukacitakan kerana wang yang banyak telah
dibelanjakan bagi membina bangunan-bangunan yang besar ini.
Saya berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab hendaklah
juga memberi keutamaan kepada penyelenggaraan
bangunan-bangunan tersebut supaya sentiasa terjaga. Tidak
ada sesuatu yang begitu tidak menarik seperti bangunan yang
buruk sebelum masanya. Dalam hal ini, saya berharap
Bangunan Bank Pembangunan ini akan diselenggarakan dengan
sempurna supaya di samping menarik penyewa yang akan
menolong membiayai penyelenggaraannya, ia juga menjadi
lambang kemegahan kepada kita semua.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih
kepada Lembaga Pengarah Bank Pembangunan kerana menjemput
saya melakukan upacara perasmian ini. Saya berharap Bank
Pembangunan akan menempa banyak lagi kejayaan bagi manfaat
masyarakat dan negara.
14. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Menara Bank Pembangunan ini.
|