|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : JABATAN PENGAJIAN ISLAM,FAKULTI SASTERA & SAINS SOSIAL,UM Tarikh/Date : 21/09/85 Tajuk/Title : PEMBUKAAN RASMI SEMINAR PENGAJIAN ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA PERAYAAN JUBLI PERAK Assalamu'alaikum warahamatullahi wabarakatuh; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian; Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana pada hari ini kita dapat bersama hadir diperasmian Seminar Pengajian Islam Peringkat Kebangsaan ini. Seminar ini diadakan sempena perayaan Jubli Perak Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Dengan itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada seluruh kakitangan Jabatan ini yang merupakan Jabatan yang tertua dalam bidang Pengajian Islam di peringkat universiti di negara ini. Sekarang kita mempunyai banyak Jabatan atau Unit Pengajian Islam di setiap institusi pengajian tinggi, malah kita telah dapat menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa. Semuanya secara tidak langsung berkait rapat dengan kejayaan penubuhan Jabatan Pengajian Islam Universiti Malaya pada bulan Mei 1959. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Apa yang dimaksudkan dengan "pengajian Islam" pada umumnya merupakan berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan yang berdasarkan risalah Islamiah kepada umat manusia. Ianya berkait rapat dengan konsep ilmu di dalam Islam itu sendiri yang mengandungi berbagai bidang pelajaran termasuk sejarah Islam, undang-undang, kebudayaan Islam dan lain-lain lagi. Semua ini termasuk dalam pengertian tamadun Islam. Orang-orang Islam harus mengetahui sedikit-sebanyak mengenai tamadun Islam. Tetapi hendaklah ada daripada kalangan mereka, orang yang mempelajari dan mengkaji bidang ini dengan lebih khusus lagi supaya segala nikmat dan panduan yang terdapat dalam tamadun Islam diperolehi oleh orang-orang Islam sendiri. 3. Kita umat Islam dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wataala untuk menuntut ilmu pengetahuan yang tinggi. Tugas ini amat berat bagi kita memikulnya dewasa ini sekalipun umat Islam di masa silam telah membuktikan kemampuan mereka. Mereka telah membina tamadun Islam yang menjadi kemegahan di Barat dan di Timur. Ibn Sinna dengan kepakarannya di dalam ilmu perubatan, Abu Bakar a-Razi dengan ilmu fizik, Muhammad al-Khawarizmi dengan teori logarisme, Ibn Rusyd dengan ilmu falsafah dan lain-lain. Mereka menjadi bahan pujian di segenap lapisan masyarakat. Ini tidak lain kerana mereka mempunyai keilmuan yang lebih tinggi daripada umat manusia yang lain. 4. Pentingnya pengajian Islam ialah kerana ia memperkenalkan kesan Islam terhadap tamadun manusia. Sebelum dari kedatangan Islam, sejarah telah memperlihatkan berbagai tamadun seperti tamadun China, Parsi, Greek, Roma dan lain-lain. Tetapi kedatangan Islam telah menguasai fikiran manusia dan melahirkan satu tamadun yang mempunyai kesan yang berkekalan. Namun demikian, orang-orang Islam sendiri tidak mendapat nikmat sepenuhnya daripada tamadun Islam kerana pendapat yang sempit telah menjadikan mereka lemah dan tidak berkeupayaan menimba hasil-hasil kajian yang dibuat di zaman kegemilangan Islam. 5. Sebaliknya hasil-hasil penerokaan oleh ahli-ahli sains dan falsafah Islam telah diambilalih oleh orang-orang Barat dan mereka meneruskan pengkajian dalam bidang-bidang tersebut sehingga hasilnya terdapat kepada mereka. Lebih daripada itu mereka telah menidakkan karya ahli-ahli fikir Islam dengan menukar nama-nama mereka sehingga tidak dapat dikenal lagi. Cuma di zaman ini sahaja baharulah kita sedar akan pengasas-pengasas kajian dalam bermacam ilmu yang berasal dari orang Islam dan tamadun Islam. 6. Tetapi, walaupun kita sudah ketahui akan asal usul ilmu zaman moden ini, kita tidak juga memberi penumpuan atau penekanan ke atas mempelajari ilmu-ilmu ini. Jika kita pelajarinya sekalipun, ianya tidaklah secara mendalam. Tidak banyak kajian asli yang dibuat oleh kita dan sudah tentu kita tidak menggunakan pengetahuan yang kita dapati dengan sepenuhnya. Sebaliknya, kita lebih asyik membincang dan menghalusi, bahkan mendebat dengan penuh perasaan soal-soal yang kecil berkenaan dengan tafsiran agama. Dengan itu kita jadikan agama Islam sebagai satu beban yang berat dan semua tenaga dan fikiran kita digunakan untuk memikulnya. Tuan-tuan dan Puan-puan, 7. Jika kita tahu sejarah perjuangan Nabi dan perkembangan Islam di zaman kegemilangan Islam melalui pengajian Islam maka kita akan dapat panduan hidup cara Islam yang boleh membawa balik tamadun Islam yang dahulu. Inilah gunanya pengajian Islam yang sebenar. Tetapi, janganlah kita terlalu asyik dengan sejarah kegemilangan kita sehingga kita lupa bahawa di zaman kita ini cahaya Islam dan tamadun Islam sudah menjadi pudar. Ianya menjadi pudar kerana bukan sahaja kita kurang mengkaji, tetapi juga kita tidak mempelajari daripada unsur-unsur sejarah yang kita kaji itu. 8. Islam sebagai 'Ad-deen' akan diterima sebagai cara hidup yang lebih baik bukan dengan kita berkata ianya lebih baik, dan bukan dengan memaksa seseorang jangan membuat sesuatu yang kita anggap tidak Islam. Islam sebagai 'Ad-deen' akan diterima oleh semua pihak jika kita dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa kehidupan cara Islam adalah lebih bahagia, lebih mudah dan lebih melegakan hati nurani kita. Malangnya kita tidak dapat membuktikan kejayaan dan kebaikan Islam itu oleh kerana dunia Islam lemah, berpecah-belah dan terpaksa mencari pertolongan orang lain, dengan aneka jenis perbalahan sehingga berlaku peperangan dan bunuh-membunuh sesama sendiri. Islam juga dibayangkan sebagai satu beban yang menghalang kejayaan kerana penuh dengan bermacam-macam larangan. 9. Sebenarnya mengamalkan ajaran agama Islam itu mudah. Tetapi tumpuan diberi semata-mata kepada larangan dan masalah yang diperbesar-besarkan. Apabila orang Islam pertama kali menjadi angkasawan, perbincangan ditumpukan tentang bagaimana ia hendak melakukan solat dalam keadaan harinya pendek iaitu siang-malamnya 3 jam sahaja dan kapal angkasa tidak menetap di sesuatu tempat. Sebenarnya, tidak ada masalah oleh kerana apa yang berlaku ialah kenderaan sahaja yang bergerak dan Allah Subhanahu Wataala menyuruh kita melaksanakan ibadat mengikut apa yang terdaya. Oleh kerana kita terpikat dengan ibadat yang tidak sepatutnya menjadi masalah tetapi telah kita jadikannya sebagai satu masaalah, maka peluang menimba ilmu yang original telah terlepas. Maka beruntunglah orang lain. 10. Demikianlah kita dalam kehidupan harian. Asyik dengan perkara-perkara kecil dan keangkuhan kuasa, kita tertinggal dalam semua bidang. Ingatlah, bangsa atau masyarakat yang tidak mampu menguasai ilmu dan kecekapan yang penting bagi kehidupannya di sesuatu zaman akan dijajah oleh orang. Hari ini seluruh umat Islam dijajah dan secara tidak sedar dipaksa berperang dan membunuh sesama sendiri. Itulah hasilnya daripada tumpuan kepada perkara remeh-temeh. Itulah juga hasil keangkuhan mereka yang mempunyai pelajaran yang cetek dan sempit dan tidak nampak dunia yang lebih luas. Tuan-tuan dan puan-puan, 11. Saya berharap kesedaran baru ini disuburkan di kalangan cerdik-pandai Islam. Adalah menjadi tanggungjawab mereka yang mengkhusus dalam bidang pengajian Islam memberi panduan yang bermakna dan membina kepada masyarakat Islam. Bersikap positiflah supaya Islam benar-benar menjadi agama manusia untuk sepanjang masa dan bukan semata-mata untuk masyarakat Arab di kurun ketujuh. 12. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya membuka Seminar Pengajian Islam Peringkat Kebangsaan ini dengan rasminya. Wabillahi taufik walhidayah Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |