|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MASJID KEMENTAH Tarikh/Date : 20/09/85 Tajuk/Title : PERASMIAN MASJID KEMENTAH Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri; Tuan Yang Terutama Duta-Duta dan Wakil-Wakil Negara Asing; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurniaNya, maka dapat kita hadir di upacara pada pagi yang mulia ini dan diikuti pula dengan sembahyang berjumaah sebagai pengabdian kita kepada suruhan dan ajaran Tuhan Yang Maha Esa. Saudara-saudara sekalian, 2. Masjid ini akan ditadbirkan oleh sebuah Jawatankuasa yang terdiri bukan sahaja daripada pegawai-pegawai kanan awam dan tentera, tetapi juga wakil-wakil kariah kawasan Datuk Keramat. Saya yakin bahawa masjid ini akan dapat merapatkan perhubungan kakitangan Kementerian Pertahanan dengan masyarakat sekeliling. Masjid KEMENTAH ini akan dapat digunakan oleh semua umat Islam yang bertugas dan bermastautin di kawasan ini khasnya. 3. Sebagai satu masyarakat yang menganuti agama yang sama, pemopokan persaudaraan di antara ahli masyarakat adalah menjadi satu kewajipan kita bersama, tidak kira sama ada kita golongan tua, atau muda, awam atau tentera, di bandar atau di desa. Apa yang harus kita ingat ialah bahawa menerusi perpaduan kita akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang teguh dan bermaruah. Sebaliknya jika terdapat perpecahan di kalangan kita, maka ini akan merugikan kita sendiri di samping menerima kutukan dari Allah Subhanahu Wataala. 4. Perpaduan dan saling faham memahami di antara ahli atau anggota masyarakat harus dijadikan sebagai satu penekanan dalam syarahan, kuliah atau perjumpaan di kalangan cerdik pandai orang-orang Islam. Kita semua maklum bahawa unsur perpaduan adalah juga ajaran Islam agar masyarakat tidak berbelah bahagi. Perpaduan harus dijadikan satu amalan dan ianya patut dipuji dan diberi sanjungan tinggi. Khidmat yang berasaskan perpaduan membuktikan keinsafan kita untuk menegak dan meninggikan syiar Islam serta kesanggupan kita untuk menghayati ajaran Tuhan Yang Maha Esa agar kita dilimpahkan kebahagiaan serta kesejahteraan hidup. 5. Unsur perpaduan ini perlu disemaikan kepada kanak-kanak di bangku sekolah dan juga kepada mereka yang datang belajar agama di surau dan masjid. Mereka harus dididik dengan nilai-nilai yang baik sepanjang masa sebagai mengingatkan supaya mereka sentiasa faham akan tujuan nilai-nilai itu. Cara ini akan menjadi satu kuasa perkembangan dari peringkat ke peringkat, dari kecil ke dewasa, dari muda ke tua. Saudara-saudara sekalian, 6. Kita hendaklah sentiasa berwaspada terhadap syarahan dan kuliah yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kita hendaklah dapat membezakan yang benar daripada yang salah supaya mereka itu tidak dapat mempengaruhi pemikiran kita untuk menimbulkan dakyah dan ajaran yang tidak betul serta menyeleweng dari kehendak agama kita yang sebenarnya. 7. Kita mengetahui bahawa banyak laporan telah dibuat mengenai perkara seperti ini yang telah berlaku, yang masih berlaku dan mungkin akan terus berlaku jika tidak diawasi. Oleh itu, marilah kita bersama-sama sentiasa berjaga-jaga agar pengetahuan yang disampaikan itu adalah daripada mereka yang bertanggungjawab dan bertauliah serta berlandaskan kepada lunas-lunas keagamaan yang suci dan tidak diselubungi dengan putar belit untuk sesuatu muslihat. Saudara-saudara sekalian, 8. Angkatan Tentera kita bukan sahaja berjuang untuk mempertahankan sebuah negara yang diduduki oleh kita. Angkatan Tentera kita juga berjuang mempertahankan satu sistem Kerajaan yang memberi perlindungan kepada agama Islam. Musuh kita adalah orang-orang yang tidak percaya kepada Islam, bahkan tidak percaya adanya Tuhan. Walau apapun yang dikatakan oleh mereka, hakikatnya ialah mereka anti agama, lebih-lebih lagi agama Islam. Justeru itu, amatlah tepat jika kita katakan bahawa bagi anggota-anggota Angkatan Tentera kita yang beragama Islam, mereka berjuang untuk mempertahankan agama Islam. Jika kita gagal, maka kedudukan Islam di negara ini akan mengalami nasib yang sama dengan nasib agama Islam di negara-negara yang ditawan oleh komunis, terutamanya yang berada di Asia Tengah berdekatan dengan Afghanistan. Kalau hari ini mereka cuba memberi gambaran bahawa mereka membenarkan ajaran Islam bebas di negara mereka, ini adalah kerana kepentingan politik mereka sahaja. Oleh itu, kita lihat begitu banyak negara Islam yang telah menerima ideologi sosialisma yang tidak memberi tempat kepada agama Islam. 9. Pokok pangkalnya ialah Angkatan Tentera kita mempertahankan Islam. Jika ada sesiapa yang berkata ini tidak benar, maka mereka sebenarnya menyebelahi musuh Islam dan mengkhianati perjuangan Islam dengan cuba melemahkan semangat anggota Angkatan Tentera kita. Berhati-hatilah apabila mendengar syarahan-syarahan yang kononnya syarahan agama tetapi sebenarnya ialah propaganda musuh. Janganlah ada pegawai dan anggota Kor Agama Angkatan Tentera kita terperangkap dengan dakyah musuh dan secara tidak langsung mengurangkan ketahanan Angkatan Tentera kita. 10. Kita lihat sekarang ini ada orang-orang Islam yang terperangkap dengan nafsu mereka dan berperang sesama sendiri. Beratus ribu menjadi korban peperangan ini. Dan kuasa-kuasa besar serta Israel mengambil peluang membekalkan senjata, cukup untuk peperangan diteruskan tetapi tidak cukup untuk menentukan kemenangan bagi mana-mana pihak. Dengan itu, maka peperangan sesama orang-orang Islam berterusan dan ramai yang menjadi mangsa serta ramai pula yang akan terkorban. Jika kuasa-kuasa ini melihat sesuatu pihak itu akan kalah, maka mereka akan membekalkan lebih banyak senjata supaya pembunuhan orang-orang Islam terus berlaku. 11. Tidak guna kita salahkan orang lain. Sebagai musuh Islam, mereka bertindak untuk menjayakan hasrat mereka. Yang salah ialah orang Islam yang semuanya tahu akan keburukan berperang sesama sendiri, tetapi tidak mahu memberhentikan peperangan mereka. 12. Demikianlah kesan nafsu di kalangan orang Islam. Apabila mereka harus hentikan peperangan, mereka teruskan. Tetapi apabila mereka harus pertahankan diri mereka dari serangan musuh-musuh Islam, ada di antara orang Islam yang sengaja melemahkan semangat pertahanan kerana taksub dengan pengaruh politik pecah-belah dan perasaan hasad dengki. Saudara-saudara sekalian, 13. Masjid KEMENTAH, seperti juga lain-lain masjid, boleh memainkan peranan yang penting bagi menyampaikan ajaran Islam yang tidak terpengaruh dengan kepentingan-kepentingan lain. Masjid ini juga memberi peluang untuk menguatkan semangat Angkatan Tentera kita dalam tugas mereka mempertahankan negara dan kedudukan Islam di negara ini. Kita harus ingat bahawa kita dijajah dahulu kerana kita lemah dan kita serahkan pertahanan negeri-negeri Melayu kepada askar upahan. Sesuatu bangsa yang tidak sanggup mempertahankan negaranya sendiri, tidak akan kekal dengan kemerdekaannya. Mereka akan dijajah dan diperhambakan. 14. Sekarang ini kita berpeluang menentukan nasib kita sendiri. Janganlah sesiapa menghalang dan melemahkan semangat pertahanan kita. Janganlah sesiapa menderhaka kepada bangsa, agama dan tanahair. Saudara-saudara sekalian, 15. Saya suka menyatakan bahawa salah satu daripada tujuan utama Kerajaan menubuhkan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia, atau KAGAT, ialah untuk meningkatkan lagi kesedaran anggota tentera kita tentang penghayatan nilai Islam serta menguatkan iman. Saya yakin KAGAT akan dapat memainkan peranannya untuk memberi pendidikan rohani kepada anggota tentera kita, seimbang dengan latihan jasmani ketenteraan yang mereka terima. Dengan adanya keadaan ini, insya-Allah, disiplin, ketabahan dan kecekalan hati serta keimanan tentera kita akan menjadi lebih kuat. Semangat keperwiraan dan ketahanan nasional serta pengabdian kepada agama, bangsa dan negara akan menjadi amalan biasa. 16. Akhirnya dengan lafaz "Bismillahir rahmanir rahim", saya dengan sukacitanya membuka Masjid KEMENTAH ini dengan rasminya. Wabillahi taufik walhidayah wasalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. - |