|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : RUMAH MALAYSIA, JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 01/08/85 Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN SYARIKAT TAKAFUL MALAYSIA SDN. BHD. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Menteri-Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurniaNya kita dapat berkumpul di majlis pelancaran Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. Syarikat ini adalah sebuah syarikat yang pertama kali ditubuhkan di negara ini, bahkan di rantau ini, yang akan menjalankan perniagaannya dengan menyediakan perlindungan-perlindungan insurans secara yang diizinkan oleh Islam. 2. Kira-kira dua tahun yang lalu, kita telah melancarkan Bank Islam, iaitu sebuah bank perdagangan Islam yang pertama ditubuhkan di negara ini. Pada hari ini pula, kita sekali lagi bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan taufik dan hidayahNya, kita dapat melancarkan sebuah lagi institusi induk dalam sistem kewangan Islam, iaitu syarikat takaful untuk menyediakan perlindungan-perlindungan insurans secara Islam. Dengan ini kita melangkah setapak lagi, bersama-sama dengan umat Islam di negara-negara lain, dalam penerokaan bagi meletakkan asas-asas untuk membina sistem kewangan Islam. 3. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi khidmat bakti dan sumbangan bagi menjayakan penubuhan Syarikat Takaful ini, khususnya kepada Badan Perunding Islam, yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim, dan kepada Badan Petugas, yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Professor Ahmad Ibrahim. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 4. Apabila umat Islam bersembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan seumpamanya, mereka adalah melaksanakan hukum-hukum Islam dalam bidang "ibadat". Bagi membolehkan kita melaksanakan amalan-amalan ibadat ini, kita perlu mempelajari dan mengetahui hukum-hukum mengenainya. Kita bersyukur kerana ramai daripada umat Islam mengetahui hukum-hukum itu dengan baiknya. Inilah sebabnya dari segi pelaksanaan hukum-hukum Islam mengenai amal ibadat, umat Islam secara amnya tidak menempuh banyak masalah. Terdapat sedikit sebanyak perbezaan dalam amalan ibadat, tetapi perbezaan ini tidaklah sehingga menjadikan ibadat sukar ditunaikan. 5. Tetapi apabila umat Islam berjual-beli, pinjam-meminjam, sewa-menyewa, upah-mengupah, menjalankan aktiviti eksport-import, berjual-beli matawang asing, menjalankan aktiviti pelaburan dan seumpamanya, mereka adalah bergerak dalam bidang muamalah, atau pun bidang perniagaan. Dalam bidang ini mereka tidak dapat tidak akan terlibat dengan sistem kewangan seperti perniagaan insurans, urusan bank, pengurusan pelaburan, khidmat-khidmat kewangan mengenai eksport-import dan seumpamanya. Sama seperti bidang ibadat, agama Islam juga mempunyai hukum-hukumnya sendiri dalam bidang muamalah. 6. Malangnya, berbeza daripada pencapaian dalam bidang ibadat, umat Islam di seluruh dunia telah gagal menjayakan hukum-hukum Islam dalam bidang muamalah selepas zaman Rasulullah S.A.W. dan zaman kegemilangan Islam. Kegagalan ini amat ketara sekali dalam sistem kewangan, terutama dalam zaman moden ini. Kegagalan ini bukanlah disebabkan oleh umat Islam tidak mengetahui hukum-hukum Islam dalam bidang muamalah. Hukum-hukum ini sememangnya diketahui. Bahkan ianya diajar, dikaji, diselidiki, dan seterusnya diabadikan dalam beratus malahan beribu buah kitab dan buku. 7. Kegagalan melaksanakan hukum-hukum muamalah ini, adalah kerana ketiadaan pengalaman dan kepakaran di kalangan umat Islam mengenai aktiviti-aktiviti tersebut. Bagi melaksanakan hukum-hukum Islam dalam sistem kewangan di zaman moden ini, ilmu pengetahuan mengenai hukum-hukum Islam yang bersangkutan sahaja adalah tidak memadai. Bagi menubuh dan menjalankan syarikat takaful, kita juga berkehendakkan kepada ilmu pengetahuan dan kepakaran mengenai selok-belok perniagaan insurans itu sendiri. Selain daripada itu, kita juga memerlukan ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang-bidang seperti pengurusan syarikat, pengurusan tenaga manusia, perakaunan, perundangan dan penggunaan alat-alat moden bagi membolehkan kita menjalankan syarikat takaful itu dengan sempurna. Adalah jelas bahawa semua ilmu ini ada kaitan yang rapat dengan amalan ajaran Islam. Tidak akan berjaya dan sempurna masyarakat Islam jika selain daripada membuat ibadat mereka tidak ada kebolehan. 8. Di negara kita kaum Bumiputera, yang merupakan bilangan pemeluk agama Islam yang terbesar sekali, baru sahaja berpeluang mendapat ilmu dan pengalaman dalam bidang-bidang pengurusan dan kewangan. Melalui Dasar Ekonomi Baru kita sekarang mempunyai pegawai-pegawai yang memahami hukum-hukum Islam dan juga cara dan sistem kewangan yang diperlukan untuk menjayakan insurans Islam. 9. Keadaan yang sama juga terdapat di negara-negara Islam yang lain. Hanyalah setelah ada orang-orang Islam yang berpengetahuan dan berpengalaman untuk menjalankan institusi-institusi kewangan dalam tempoh sepuluh-dua-puluh tahun yang lalu, barulah usaha-usaha untuk melaksanakan hukum-hukum Islam dalam sistem kewangan mula menampakkan hasil. Saya rasa ramai orang Islam dalam negara ini yang tidak begitu sedar mengenai hakikat yang sebenarnya tentang perkara ini. Syarikat takaful bagi menyediakan perlindungan-perlindungan insurans secara Islam hanya dapat ditubuhkan buat pertama kali oleh umat Islam dalam tahun 1979. Syarikat Takaful di Malaysia akan merupakan salah sebuah syarikat insurans Islam daripada tidak sampai pun sepuluh buah pada masa ini di seluruh dunia. 10. Tentulah jelas bahawa usaha umat Islam di beberapa buah negara bagi melaksanakan hukum-hukum Islam dalam bidang muamalah, khususnya yang menyentuh aktiviti-aktiviti sistem kewangan, adalah merupakan usaha peringkat awal dan penerokaan. Apabila syarikat yang ditubuhkan itu memulakan perniagaannya, pada peringkat inilah keupayaan melaksana hukum-hukum Islam itu sebenarnya diuji. Kata pemutus akan hanya dapat ditentukan apabila syarikat yang ditubuhkan itu terbukti mempunyai daya-hidup dan daya-maju -- iaitu mencapai tahap viabiliti dan terus berkembang maju. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 11. Di Malaysia, Kerajaan sememangnya berusaha melaksanakan prinsip-prinsip perniagaan mengikut lunas-lunas hukum Islam. Tetapi ini bukanlah bermakna bahawa apabila kita berniaga atas landasan hukum Islam, perniagaan kita secara otomatik akan berjaya. Berjaya atau tidaknya perniagaan bergantung kepada kecekapan pengurusan sesuatu perniagaan itu. Saya berharap kita tidak membuang tenaga melaungkan slogan-slogan yang enak didengar, tetapi kosong isinya; sebaliknya kita melangkah setapak demi setapak ke arah pelaksanaan hukum-hukum muamalah ini. Tidak ada gunanya kita mengecam sistem-sistem lain. Yang penting dan berkesan ialah kita membuktikan kemampuan sistem Islam untuk memenuhi keperluan bukan sahaja umat Islam tetapi masyarakat keseluruhannya. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 12. Manusia tidak dapat meramal atau menentukan secara tepat masa depannya. Segala perancangan dan usaha yang dibuat oleh manusia cuma akan tercapai dengan izin Allah. Namun demikian ini tidaklah bermakna bahawa kita tidak boleh atau tidak perlu merancangkan setiap kegiatan dan tindakan kita. Setiap hari kita tidak dapat mengelakkan diri daripada membuat sesuatu rancangan. Setiap hari kita berharap dan berdoa supaya kita selamat daripada bahaya. Setiap hari kita membuat pelaburan untuk masa depan kita. Bahkan kita juga membuat persediaan untuk akhirat dengan mengerjakan amal ibadat dan hidup sebagai seorang Islam. Tetapi sebagai orang Islam, kita tahu dan kita terima bahawa apa yang dirancangkan oleh kita belum tentu akan terlaksana. Terlaksana atau tidaknya rancangan kita, ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala. Demikian juga jika kita tidak merancang, tidak mengatur langkah, sengaja cuai untuk menjaga diri, maka kemungkinan kita menerima akibat yang buruk adalah lebih besar. Meskipun demikian jika tidak ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala maka terselamat juga kita dari bahaya. 13. Demikian jugalah dengan insuran Takaful ini. Kita cuma merancang dan mengambil langkah untuk menjaga diri kita, atau anak isteri kita daripada sebarang kemungkinan di masa depan. Belum tentu lagi kita atau anak isteri kita akan terpelihara. Tetapi alangkah buruknya jika kita tidak berusaha menjaga diri kita dan dengan itu membesarkan kemungkinan sesuatu yang buruk berlaku kepada kita. Janganlah kita salahkan takdir apabila sesuatu malapetaka berlaku kepada kita terutama apabila kita tidak berusaha untuk mengelakkan diri daripadanya. 14. Walau bagaimanapun khidmat-khidmat yang disediakan oleh syarikat ini bukanlah terhad kepada orang Islam semata-mata, tetapi terbuka juga kepada mereka yang bukan Islam. Dalam bidang muamalah, Islam mempunyai nilai-nilai sejagat atau 'universal' untuk kebaikan dan kebajikan umat manusia, sama ada yang beragama Islam atau yang bukan beragama Islam. Orang-orang bukan Islam tidak boleh dipaksa mematuhinya, tetapi mereka tidak disekat, bahkan dialu-alukan jika mereka sendiri memilih untuk mengikuti prinsip-prinsip Islam itu. 15. Saya suka mengingatkan semua bakal-bakal pelanggan Syarikat Takaful ini supaya menghayati nilai-nilai Islam. Perjanjian atau akad antara pihak Syarikat dan pihak pelanggan atau peserta adalah penting ditunaikan. Islam memandang berat pelaksanaan syarat-syarat yang telah dipersetujui dan dimetrikan dalam sesuatu perjanjian. Perjanjian antara dua pihak hendaklah dilaksanakan dengan jujur, amanah, dan bertanggungjawab. Justeru itu, janganlah ada antara bakal-bakal pelanggan Syarikat ini yang cuba memberi keterangan palsu semasa mengisi borang cadangan, atau mungkir membuat bayaran sumbangan bulanan, atau pun mengemukakan tuntutan-tuntutan tipu muslihat. Perbuatan-perbuatan seumpama ini semuanya dikutuk oleh Allah Subhanahu Wataala. 16. Pihak pengurusan pula mestilah beramanah kerana perniagaan ini diasaskan kepada duit dan harta orang lain yang diamanahkan kepada syarikat. Penyelewengan dan penyalah-gunaan modal pelanggan samalah dengan pencurian. Janganlah kita burukkan agama Islam dengan perbuatan keji kita. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 17. Akhirnya, saya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga syarikat ini akan mendapat hidayah dan rahmatNya.Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya dengan sukacitanya melancarkan Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd ini dengan rasminya. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |