|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DI MELAKA Tarikh/Date : 20/07/85 Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC YANG KE-33 Yang Berhormat Datuk Samy Vellu, Presiden MIC; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat MIC; Para Perwakilan; Wakil-wakil Parti-Parti Komponen Barisan Nasional; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Samy Vellu dan Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput saya untuk melakukan upacara pembukaan Perhimpunan Agung MIC yang ke-33 ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bersidang kepada saudara-saudari sekalian. Saya berharap persidangan ini akan melahirkan rumusan-rumusan yang akan mengukuhkan lagi parti MIC, Barisan Nasional dan seterusnya rakyat dan negara. 2. Inilah persidangan parti komponen Barisan Nasional yang pertama saya hadiri tahun ini dan saya ingin mengambil kesempatan ini bagi menyampaikan satu-dua pesanan, bukan sahaja untuk MIC tetapi juga untuk semua parti komponen. 3. Tahun lalu pernah saya menyuarakan di Persidangan MIC tentang tidak wajarnya membawa apa-apa masalah atau perselisihan pendapat dalam parti ke mahkamah atau ke pihak ketiga. Kita hendaklah berusaha mencari 'jalan politik' atau 'political solution' untuk menyelesaikan masalah dalam parti. Secara ini kita akan dapat mempastikan apabila terdapat perselisihan pendapat, ianya akan berkisar dalam parti sahaja, dan tidaklah terdedah segala masalah dan keburukan dalam parti kepada orang ramai untuk dijadikan bahan cemohan, atau perbualan di kedai-kedai kopi. Sebaliknya pengadilan di mahkamah walaupun ia mungkin dapat menentukan siapa benar dan siapa salah, ia tidak dapat menentukan populariti mereka yang terlibat. 4. Di sini saya ingin mencadangkan bukan sahaja kepada MIC tetapi juga kepada semua parti komponen Barisan Nasional supaya mengkaji peruntukan-peruntukan di dalam perlembagaan masing-masing dan membuat pindaan-pindaan di mana perlu bagi mengelak atau menghalang apa-apa perselisihan yang berlaku dalam parti daripada dibawa ke mahkamah dengan sewenang-wenangnya. UMNO juga akan mengambil langkah-langkah bagi berbuat demikian. Sekiranya ada parti-parti komponen lain yang mengambil langkah yang sama, mungkin semua parti komponen dapat bersama-sama mengkaji cara yang sebaik-baiknya diperuntukkan perkara ini dalam perlembagaan masing-masing supaya gejala ini dapat diatasi. Walaupun demikian sesuatu kesalahan jenayah dalam parti atau oleh ahli parti tidak terselamat daripada undang-undang biasa. 5. Ini tidak bermakna saya menyeru parti-parti komponen meniru UMNO. Tujuan sebenar ialah, pertamanya, bagi mengelak 'gejala ke mahkamah' yang kita alami bersama yang akhir-akhir ini semakin berleluasa dan berlanjutan. Banyak parti komponen Barisan Nasional mengalaminya dan sudah tentu kita tidak mahu mendengar parti-parti komponen dan para pemimpinnya diburuk-burukkan di luar arena politik. Sekiranya ini berlaku, bukan sahaja ahli-ahli parti akan berasa bingung terhadap parti-parti komponen Barisan Nasional, tetapi juga rakyat jelata dan para pengundi akan berasa gelisah dan hilang kepercayaan terhadap Barisan Nasional. Keduanya, parti-parti komponen dapat belajar sesama sendiri cara yang sebaik-baiknya pindaan perlembagaan parti itu harus dilakukan. 6. Walau bagaimanapun adalah penting perlembagaan parti memperuntukkan saluran-saluran yang mencukupi bagi seseorang ahli atau pemimpin-pemimpin di peringkat bawahan mengemukakan bantahan atau apa-apa kemusykilan. Janganlah sebarang pindaan perlembagaan yang mencegah ahli-ahli parti membawa perselisihan atau perbezaan pendapat ke mahkamah menjadikan parti komponen terlalu 'rigid' - sehinggakan wujud pemimpin yang tidak boleh ditegur atau ditentang sama sekali. Apa yang hendak diutamakan ialah sebarang bantahan atau kemusykilan dalam parti diselesaikan dalam parti mengikut semangat berparti, semangat bekerjasama dan berjuang untuk kepentingan bangsa dan negara. Ini akan mewujudkan sokongan yang berterusan dan menggalakkan daya usaha yang berterusan bagi kepentingan parti dan negara. 7. Saya berharap kita akan dapat mengatasi masalah 'gejala ke mahkamah' ini seberapa cepat yang boleh. Kalau hendak ditafsirkan gesaan ini berkait dengan pilihanraya umum, itupun tidak ada salahnya. Pilihanraya umum mesti diadakan sebelum bulan April 1987, iaitu kurang daripada dua tahun lagi. Sebenarnya gesaan ini saya sampaikan terutamanya bagi menjaga perpaduan dan keutuhan Barisan Nasional. Walaupun ada masalah-masalah yang timbul dari masa ke semasa, kita masih kukuh; dan dengan terdapatnya usaha-usaha mengatasi apa-apa masalah yang kita hadapi nanti, Barisan Nasional akan bertambah kuat dan utuh. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 8. Baru-baru ini negara kita telah menjadi mangsa berita-berita palsu dan yang sengaja diada-adakan. Segolongan kecil rakyat kita terpengaruh juga dan akibatnya mereka mengambil tindakan yang tidak rasional, sehinggakan kita merasakan juga sedikit-sebanyak akibatnya. Ini termasuklah tekanan ke atas pasaran saham dan ke atas sektor kewangan. Walau bagaimanapun kita bertuah kerana segolongan besar rakyat kita masih mempunyai keyakinan terhadap kekuatan kita, serta keutuhan dan kewibawaan kita sendiri. Akhirnya berita-berita palsu dan jahat itu berkurangan. Saya yakin berita-berita jahat itu akan mati dengan sendirinya sekiranya kita terus bersikap rasional dan lebih meneliti terlebih dahulu berita seumpama itu. 9. Kita mestilah menyedari bahawa masyarakat yang utuh adalah masyarakat yang berilmu pengetahuan, menghormati prinsip-prinsip asas dan bersatupadu. Apa sekalipun gejala-gejala buruk yang diwujudkan oleh musuh-musuh kita, semua itu tidak akan dapat mempengaruhi rakyat jelata kalau kita tidak bergopoh-gapah dan bertindak secara melulu. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 10. Politik duitan juga nampaknya semakin menjadi-jadi. Tidak boleh dinafikan bahawa duit adalah penting dalam menguruskan parti, bahkan tiada parti politik sama ada yang memerintah atau pembangkang yang boleh mentadbir pergerakan parti dengan lancar tanpa mempunyai wang yang cukup. Tetapi kalau duit mengalir dalam parti bagi tujuan pemilihan para pemimpin, saya ragu perkara ini akan mengikis kepercayaan dan keyakinan rakyat. 11. Setiap parti komponen Barisan Nasional haruslah berwaspada dengan gejala ini dan berusaha supaya duit tidak dijadikan alat untuk memancing pengaruh atau untuk mendapatkan kedudukan dalam parti. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 12. Saya berharap Perhimpunan Agung MIC ini akan membawa manfaat kepada ahli-ahli parti ini, dan memberi sumbangan kepada keutuhan Barisan Nasional dan negara. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya membuka Perhimpunan Agung MIC Yang Ke-33 ini dengan rasminya. Terima kasih. |