|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) Tarikh/Date : 15/06/85 Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI, 1405 HIJRAH/1985 MASIHI Bismillahir rahmanir rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd Alhamdulillah, sekali lagi kita umat Islam dapat merayakan kemenangan kita; kemenangan melawan nafsu sepanjang satu bulan, bulan Ramadan yang mulia. Ibadat puasa, sebagai satu daripada Rukun Islam, adalah juga salah satu cara untuk menimbulkan perasaan keinsafan serta kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wataala, yang telah mencucurkan kepada kita bermacam-macam nikmat. 2. Esok kita semua menyambut Hari Raya Puasa. Kita menyambut hari yang mulia ini dengan segala adunan dan juadah, berpakaian baru dan cantik dengan perhiasan yang berwarna-warni. Memanglah kita digalakkan menikmati segala hidangan dan bergembira, tetapi janganlah kita menyambut hari yang mulia ini sehingga khayal dengan keseronokan semata-mata. Sebaliknya kita hendaklah menyambut hari besar ini mengikut lunas-lunas yang digalakkan oleh Islam. Hari Raya tetap hari untuk bergembira, tetapi hari kebesaran ini harus menitik-beratkan juga dua unsur -- pertamanya dengan membanyakkan amalan-amalan yang membuktikan kesyukuran dan keduanya dengan takwa dan ibadat. 3. Marilah kita bersama-sama mewujudkan satu 'masyarakat yang bersyukur' di kalangan rakyat Malaysia, terutama umat Islam. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala ke atas kesihatan yang dikurniakan kepada kita untuk menunaikan ibadat puasa selama sebulan; kita bersyukur kerana kita diberi rezeki bagi menampung diri dan keluarga; kita bersyukur kerana negara aman dan damai; kita bersyukur kerana tidak ditimpa mala-petaka yang memusnahkan harta dan nyawa; dan kita bersyukur atas segala-gala yang kita nikmati setiap hari. Allah Subhanahu Wataala berfirman bahawa jika kita mahu menghitung nikmat-nikmat Allah nescaya kita tidak akan terdaya menghitungnya. Malangnya kita bukan sahaja tidak cuba menghitungnya, tetapi kerapkali kita lupakan sama sekali akan nikmat-nikmat itu. 4. Perasaan syukur akan menjadikan kita Muslimin dan Muslimat yang insaf, bertakwa dan kuat berpegang kepada lunas-lunas yang diredai oleh Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala menjanjikan nikmatNya yang bertambah kepada orang yang bersyukur. Pada hari yang mulia ini marilah kita bersama-sama bersyukur, bukan sahaja dengan takbir dan tahmid, tetapi juga dengan merenung sejenak akan pemberian Allah yang kita nikmati sepanjang hari, sepanjang bulan, sepanjang tahun bahkan sepanjang masa. Renungan-renungan seperti ini akan membolehkan kita membandingkan diri kita dengan penduduk-penduduk di negara-negara lain, dan akan kelihatan lebih jelas keuntungan atau kelebihan yang ada pada kita, serta di mana pula letaknya kelemahan atau kekurangan kita. Beberapa buah negara telah dilanda mala-petaka seperti banjir, angin-taufan, kemarau panjang, kebuluran, diserang oleh penyakit ganjil dan sebagainya. Akibatnya ialah kehilangan harta dan nyawa dengan keazaban yang tidak terhingga. Terdapat juga masyarakat yang dilanda peperangan, sama ada berperang dengan negara lain atau peperangan saudara atau berbunuh sesama sendiri. Betapa sedihnya mereka yang kehilangan suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak dan saudara-mara tanpa sebarang faedah. Dalam keadaan demikian, bukan sahaja mereka bersedih dengan kehilangan, kerosakan dan kecederaan yang dialami, tetapi juga mereka tidak dapat menunaikan ibadat dengan tenteram dan khusyuk. Tidak ada satu pun manfaat kepada umat Islam daripada peperangan sesama mereka yang sedang berlaku di beberapa buah negara. Amatlah sia-sia pembunuhan yang berlaku di antara orang-orang Islam terutamanya di Asia Barat, pembunuhan yang tidak diasaskan kepada mempertahankan Islam tetapi semata-mata kerana dendam yang tidak terkawal antara orang Islam dengan orang Islam. 5. Sebaliknya kita di Malaysia sangat bertuah kerana tidak mengalami segala mala-petaka dan keazaban itu. Di negara ini, keluarga yang miskin sekalipun tidak mengalami kebuluran seperti yang berlaku di beberapa buah negara. Peluang untuk memperbaiki diri daripada segi rohani dan jasmani sentiasa terbuka. Anak petani hari ini, seorang menteri hari esuk; seorang pelayan pejabat dua-tiga dekad lalu, seorang jutawan sekarang ini; anak seorang daif hari ini, seorang imam ulung hari esuk; dan seorang yang bermaruah dan menebalkan disiplin sepanjang waktu mungkin menjadi pemimpin esuk-lusa. Rakyat tidak tertekan atau terkongkong dan hak asasi masing-masing yang tidak bercanggah dengan kepentingan masyarakat adalah terpelihara. Inilah negara kita. Tiada halangan untuk kita beribadat, bahkan tempat-tempat ibadat semakin hari semakin bertambah dan semakin selesa. 6. Rakyat yang berumur di negara ini yang pernah mengalami peperangan dunia, penjajahan oleh bangsa-bangsa lain, serta keganasan komunis sebelum kemerdekaan negara, mungkin lebih menyedari nikmatnya keadaan aman dan tenteram. Malangnya sebahagian kecil rakyat negara kita tidak menginsafi pentingnya keamanan, kestabilan dan ketenteraman. Sebaliknya mereka sengaja memecah-belahkan masyarakat dengan membesar-besarkan perkara-perkara kecil dan suka bertindak dengan melulu, tanpa memperduli tindak-tanduk mereka boleh mendatangkan gejala buruk. Mereka kurang bersyukur ke atas apa yang diperolehi oleh mereka sendiri dan apa yang diusahakan oleh negara. Mereka tidak bersyukur dapat beribadat tanpa gangguan di negara yang mempunyai setengah sahaja penduduknya beragama Islam, tidak bersyukur dengan berbagai kemudahan beribadat yang disediakan, tidak bersyukur dengan kedudukan yang mulia dan utama bagi Islam di negara ini dan yang paling sedihnya tidak bersyukur dengan usaha-usaha menanam nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara. Apabila kurang bersyukur timbullah kebongkakan, dan kebongkakan inilah yang selalu membawa tamadun atau keutuhan sesuatu masyarakat itu kepada kemusnahan. Mereka mengutamakan kepuasan nafsu dalam jangka pendek, walaupun mereka akan mengalami kesan buruk dalam jangka panjang. Tindak-tanduk mereka selalu mencetuskan masalah dan perpecahan. 7. Rasullullah sallallahu alaihi wassalam dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam At-Tardmizi menyatakan usaha mendamai di antara dua orang yang bersengketa adalah lebih utama daripada solat, puasa dan sedekah. Rasullullah bersabda sesungguhnya kebinasaan yang ditimbulkan oleh persengketaan itu adalah laksana menghancur-leburkan umat itu sendiri. Begitulah pentingnya perdamaian dan perpaduan. Sebagai golongan terbesar yang suka kepada persaudaraan dan perpaduan, marilah kita menghulurkan tangan persahabatan kepada mereka yang suka kepada sengketa dan menyeru supaya mereka insaf dan bersyukur dan kembali kepada persaudaraan yang dituntut oleh Islam. Insya-Allah, usaha ini akan diberkati Allah Subhanahu Wataala. 8. Kerajaan walau bagaimanapun berasa bersyukur oleh kerana majoriti rakyat dan majoriti ummah di negara ini sedar tentang pentingnya perpaduan sebagai asas untuk mencapai kemajuan di dunia dan di akhirat. Dengan perasaan syukur itulah Kerajaan akan tetap berusaha menjamin kebebasan beribadat bagi rakyat negara ini. Kita bersyukur majoriti para pemimpin -- baik pemimpin politik atau pemimpin dakwah -- masih bertenaga bagi memperjuangkan masa depan agama, negara dan rakyat. Semoga dengan kesyukuran itu kita akan diberkati dengan lebih banyak keredaan Allah Subhanahu Wataala. Begitu juga, marilah kita sama-sama bersyukur kerana dengan adanya perpaduan sebagai penjamin keamanan dan ketenteraman, kita dapat menjalankan segala ibadat yang dituntut oleh Allah Subhanahu Wataala. Pada Hari Raya Puasalah seharusnya kita mendidik perasaan syukur ke atas semua nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wataala. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Semasa kita menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, sebahagian daripada anggota pasukan keselamatan serta lain-lain khidmat sedang menjalankan tugas mereka di perbatasan. Mereka tidak dapat bersama-sama dengan keluarga mereka untuk menyambut Hari Raya ini. Di samping kita bersyukur kerana dapat merayakan hari yang mulia ini bersama-sama keluarga, marilah kita berdoa semoga pejuang-pejuang tanahair yang berada diperbatasan sentiasa selamat. Rakyat tidak lupa dan memang menghargai pengorbanan anggota-anggota pasukan keselamatan kita. 10. Kepada saudara-saudari kaum Muslimin, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat hidayat. Kepada saudara-saudari yang bukan Islam, rayakanlah hari kebesaran ini bersama-sama dengan rakan-rakan Islam anda. 11. Akhir kata, saya serta keluarga saya memohon maaf, zahir dan batin, di atas apa jua kesilapan yang mungkin telah kami lakukan selama ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd. |