|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 03/04/85 Tajuk/Title : SEMPENA PAMERAN 100 TAHUN PEWTER MALAYSIA Yang Berhormat Dato Dr. Sulaiman Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah menjemput saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan Pameran ini. 2. Pameran ini menggambarkan perkembangan industri pewter selama seratus tahun. Perintis-perintis industri ini hanya mempunyai perkakas yang primitif sahaja semasa menjalankan tugas-tugas mereka. Di samping itu pula tidak terdapat insentif-insentif seperti taraf perintis mahupun dorongan penempatan, tidak ada perlindungan tarif dan tidak ada subsidi dan sebagainya. Namun begitu mereka bersungguh-sungguh dan berkat ketabahan hati mereka, maka lahirlah industri pewter Malaysia hari ini. Semangat perintis seperti inilah yang kita mesti tanamkan dalam pengusaha-pengusaha hari ini -- semangat untuk mencuba sesuatu yang baru, dan bukan sekadar melakukan apa yang orang lain sedang lakukan. 3. Seperti mana kita maklum salah satu daripada industri-industri terawal di Malaysia ialah industri perlombongan bijih timah. Meskipun bijih timah mempunyai sejarah yang lama, negara kita memproses kurang daripada 4% daripada pengeluaran kita. Salah satu pemerosesan tempatan yang menggunakan bijih timah ialah industri pewter. 4. Penggunaan bahan-bahan mentah tempatan bagi diproses kepada barangan separuh siap dan barangan siap pada relatifnya belum lagi menggalakkan. Ini adalah satu keadaan yang Kerajaan berazam untuk mengubah. Kerajaan pada dasarnya akan memberi galakan bagi mempertingkatkan penggunaan bahan-bahan mentah tempatan dalam industri perkilangan. Sebagai contoh, Kerajaan telah memperkenalkan satu rebat untuk penggunaan bijih timah dua tahun dahulu. Rebat sebanyak $700 se tan bijih timah yang diproses di dalam negara adalah bagi menggalakkan lebih banyak lagi logam itu diproses di Malaysia sendiri kepada barangan siap seperti pewter ini. Dengan harga bijih timah sekarang kira-kira $29,150 satu tan, rebat sebanyak $700.00 itu merupakan potongan harga kira-kira 2.5%. 5. Akan tetapi bahan-bahan mentah yang lebih murah adalah hanya satu faktor yang mungkin menyumbang kepada kejayaan pengusaha-pengusaha kita. Adalah penting juga bagi rekabentuk-rekabentuk, kaedah-kaedah pembuatan dan strategi-strategi pemasaran yang betul digunakan. Hal-hal ini adalah lebih penting apabila kita menghadapi pasaran eksport. Dalam kes industri pewter, lebih daripada setengah pengeluaran mereka dieksportkan dan dengan itu rekabentuk-rekabentuk dan kaedah-kaedah pembuatan sudah tentu berpengaruh bagi meningkatkan penjualan pewter di pasaran dunia. 6. Dengan sejarah yang begitu lama di Malaysia, industri pewter telah secara dekat dikenalpasti dengan kebudayaannya sebagai suatu kraftangan Malaysia. Jika kita melawat ke Sweden, berkemungkinan kita akan membawa balik barang-barang kaca Sweden, dari Ireland Kristal glass, dan dari Negeri Thai pula hasil-hasil suteranya. Bagi para pelancung ke negara kita pula, pewter adalah buah tangan bagi dibawa balik ke negara mereka. 7. Saya ingin juga menyentuh tentang satu lagi industri yang telah lama bertapak di negara kita. Industri yang saya maksudkan ini ialah industri tembaga. Hasil kerja tangan tembaga ini memang mempunyai pasarannya, tetapi ianya terhad kepada pasaran tempatan sahaja. Hasil kerja tangan ini jarang mendapat sambutan daripada para pelancung luar negeri. Mungkin sambutan dingin ini disebabkan oleh reka-bentuk yang kurang menarik dan yang tidak memenuhi cita-rasa atau "taste" para pelancung luar negeri. Mungkin kerana pengeluaran terlalu terhad. Mungkin juga cara pembuatan dan pemasarannya tidak begitu tersusun. 8. Saya yakin industri tembaga mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam ekonomi negara terutama bagi industri pelancungan di negara kita. Ianya berupaya menjadi satu bahan yang boleh menarik para pelancung. Salah satu langkah yang harus difikirkan ialah memperbaiki reka-bentuknya, oleh kerana reka-bentuknya sekarang hanya dapat memenuhi cita-rasa penduduk tempatan seperti alat-alat yang digunakan untuk upacara pertunangan dan perkahwinan. Malangnya reka-bentuk seperti ini tidak dapat menarik minat para pelancung luar negeri. Justeru itu saya rasa ada baiknya pengusaha tembaga tempatan bekerjasama dengan institusi pelajaran tinggi seperti Institiut Teknologi MARA dan Universiti Teknologi Malaysia untuk mendapatkan nasihat mengenai reka-bentuk dan cara menggunakan teknologi yang lebih baru dalam pengeluaran tembaga. Saya berharap perkara ini akan dipertimbangkan sewajarnya oleh pengusaha-pengusaha tembaga tempatan. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Saya berharap industri pelancungan dan industri-industri lain yang mempunyai kaitan dengan pelancungan akan memikirkan juga mengenai identiti Malaysiaan. Kalau kita berbangga dengan pantai-pantai tropikal yang indah dan nyaman, kita bukan sahaja mendapat saingan dengan negara kawasan Asia Tenggara tetapi juga dengan negara-negara lain yang mempunyai iklim yang sama. Dengan itu kita haruslah memberi perhatian kepada beberapa perkara bagi meningkatkan pelancungan ke negara kita. 10. Dalam hal ini, kita mula-mulanya harus menyediakan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang cekap bagi para pelancung, sama ada para pelancung tempatan atau luar negeri. Banyak tempat di negara kita yang mempunyai keindahan asli, tetapi kalau tidak disediakan kemudahan-kemudahan asas, sudah tentulah ini tidak dapat menggalakkan para pelancung. Faktor inilah yang membezakan antara pusat pelancungan yang terkenal dengan tempat-tempat yang belum dimaju dan dikenalkan. Dari perspektif ini saya memang sedar bahawa usaha-usaha sedang dibuat untuk meningkatkan kemudahan-kemudahan untuk para pelancung. Saya yakin industri pelancungan ini jika benar-benar dimajukan akan menjadi punca pendapatan yang penting untuk ekonomi negara. 11. Di samping itu negara kita mestilah mencari sesuatu yang dapat menarik para pelancung ke negara kita. Salah satunya ialah memperkenalkan ciri-ciri yang sukar hendak diperolehi di negara-negara asing -- sesuatu yang dapat menonjolkan 'identiti Malaysia'. Sebagai contoh, pewter keluaran negara ini seharusnya menggambarkan ciri-ciri negara ini, sama ada dari segi rekabentuknya atau gambaran-gambaran yang dibayangkan melalui hasil pewter itu. Pewter negara kita memang telah mempunyai identitinya sendiri dan inilah yang menarik perhatian, terutama para pelancung luar negeri. Saya berharap usaha yang berterusan dapat dijalankan bagi meningkatkan lagi imej negara melalui hasil-hasil yang dapat mencerminkan identiti serta kekayaan kebudayaan Malaysia. 12. Kita telah juga memperkatakan tentang pentingnya rekabentuk bangunan yang mempunyai identiti kita sendiri. Bilangan bangunan di negara kita yang menonjolkan identiti negara semakin bertambah dan adalah diharapkan usaha-usaha ini akan dapat diteruskan. 13. Salah satu aspek yang dapat difikirkan juga ialah dari segi makanan Malaysia dan faktor 'fast food'. Semakin hari semakin banyak kedai makan yang menyediakan makanan jenis 'fast food' ini. Ianya bukan sahaja disukai oleh orang ramai tetapi juga oleh para pelancung luar negeri, terutama mereka yang melancung dengan ongkos yang terhad. Malangnya 'fast food' sekarang ini kebanyakannya berjenis 'burger' dan sebagainya yang merupakan 'franchise' dari luar negeri. Di sini saya berpendapat konsep 'fast food' ini boleh diterima, tetapi jenis makanan yang disediakan haruslah diubahsuai kepada jenis makanan Malaysia. Mungkin kita mengadakan 'fast food' jenis kita sendiri seperti satay, nasi lemak, laksa, nasi goreng dan lain-lainnya yang boleh dicuba di pasaran tempatan kita. Saya percaya jika usaha ini dirancang dengan teratur dan faktor-faktor lain seperti kebersihan, cara penyediaan dan usaha-usaha memperkenalkannya ditekankan, tidak ada sebab mengapa usaha-usaha ini tidak mendapat sambutan. 14. Sebagai mengakhiri, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Muzium Negara dan Syarikat Selangor Pewter kerana mengadakan Pameran ini. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka Pameran 100 Tahun Pewter Malaysia ini dengan rasminya. Terima kasih |