|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI TELEVISYEN DAN RADIO MALAYSIA Tarikh/Date : 31/12/84 Tajuk/Title : PERUTUSAN TAHUN BARU Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Saudara-saudari sekalian, Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana sekali lagi kita diizinkan menyambut tahun baru, iaitu tahun 1985. Pada hari genapnya tahun 1984 dan bermulanya 1985, sementara kita bergembira, kita juga harus merenung sejenak, merenung tentang negara kita dan diri kita dalam negara ini. 2. Saya biasa menyebut tentang betapa kita harus bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana negara kita ini bebas dari segala jenis malapetaka seperti ribut taufan, banjir yang dahsyat, gempa bumi dan gunung berapi, kemarau yang berpanjangan atau musim salji yang menimbus, kebuluran seperti yang melanda Afrika sekarang dan lain-lain lagi malapetaka. Sebaliknya negara kita subur, tidak terlalu panas, penuh dengan sumber alam dan makanan yang cukup. Tidak ada siapa yang mati kebuluran kerana selain dari bantuan yang boleh diperolehi dari Kerajaan, jiran dalam masyarakat kita tidak mungkin begitu kekeringan perasaan kemanusiaan sehingga sanggup melihat jirannya mati kelaparan. 3. Kita juga harus bersyukur kerana sejak merdeka kita tidak mengalami jenis-jenis malapetaka buatan manusia. Selain dari rusuhan kaum pada tahun 1969 kita tidak diserang dengan rusuhan-rusuhan dalam negeri atau serangan perang dari luar negeri. Walaupun ada usaha untuk membakar perasaan perkauman dikalangan kaum-kaum dan fanatisme melalui salah tafsir agama, majoriti rakyat menolak kegiatan ini. Parti-parti politik yang cuba membesar dan memburukkan masalah-masalah sosial seperti pembangunan tempat-tempat tertentu dan kecemaran alam sekitar juga tidak berjaya mencetuskan huru-hara yang mereka harapkan. Pada keseluruhannya negara kita aman dan makmur jika kita iktiraf hakikat sebenar dan tidak membutakan mata dan hati kita. Alhamdulillah segala puji bagi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 4. Sementara kita bersyukur dengan apa yang ada, kita juga harus ingat bahawa masa berlalu dan kehidupan manusia dan masyarakatnya tetap berubah. Tidak ada masyarakat manusia yang kekal dengan keadaannya pada paras yang sama selama-lamanya. Sesuatu masyarakat akan menjadi semakin maju atau semakin mundur dengan pengaliran masa. Negara yang mundur boleh menjadi maju sehingga mengatasi negara-negara maju yang terkenal dan negara yang maju pula, kerana lalai atau amalan-amalan yang tidak sihat, akan menjadi lemah, ketinggalan zaman, bahkan luput sama sekali. Demikianlah dengan beberapa negara dan empayar dalam sejarah. Saudara-saudari sekalian, 5. Negara kita Malaysia baharu sahaja muncul dan tahun ini umurnya meningkat kepada 28 tahun. Kita masih muda jika dibandingkan dengan kebanyakan dari negara-negara yang terkenal dalam sejarah dunia. Sebagai negara yang muda kita berpeluang mempelajari bukan sahaja dari sejarah kita sendiri, tetapi juga dari sejarah negara-negara lain, yang telah maju, yang masih maju, yang telah mundur dan yang masih mundur. 6. Inilah yang dibuat oleh Kerajaan setiap kali kita membentuk sesuatu dasar atau mengambil sesuatu langkah. Niat Kerajaan ialah supaya kita mengelak dari melakukan apa-apa yang boleh membawa mudarat kepada negara dan penduduknya, khususnya warganegara. 7. Kita menyeru kepada perpaduan umpamanya, kerana kita tahu akan kestabilan dan kekuatan yang diasaskan kepada perpaduan. Di Malaysia yang berbilang kaum dan agama kita menyeru supaya orang-orang Melayu bersatu-padu, bumiputera bersatu-padu, dan kaum yang ada di Malaysia semua bersatu-padu sebagai satu bangsa Malaysia. Memang benar kita belum lagi dapat melupakan kaum asal kita, tetapi ini tidak sepatutnya menghalang perpaduan nasional. 8. Janganlah kita bercakap seolah-olah tidak ada sentimen perkauman dan kita menolak hakikat kaum, tetapi di samping itu kita timbulkan bermacam-macam perkara yang menyempitkan lagi perkauman di kalangan kaum-kaum tertentu. Janganlah kita cuba bermain dengan api perkauman kerana ia amat bahaya. Perpaduan tidak akan wujud jika api perkauman ditiup tanpa tanggungjawab. 9. Dalam usaha untuk membangunkan negara, Kerajaan juga menyeru kepada kebersihan, kecekapan, amanah, disiplin, kerajinan dan teladan yang boleh memimpin ke arah kebaikan. Apakah nilai-nilai ini tidak baik dan tidak akan membawa kepada kebaikan. 10. Kebersihan ialah sebahagian dari iman bagi orang Islam. Tidak ada ibadat yang boleh dilakukan dalam keadaan yang kotor. Begitu juga bagi penganut agama lain dan kaum-kaum yang ada di Malaysia. Kita semua tahu akan kebaikan dan kemuliaan kebersihan. Yang menjadi masalah ialah kadang-kadang kita membiar tabiat yang kotor menguasai kita. Ataupun kita membenar perasaan tidak bertimbangrasa menguasai kita. Kita mengotor, kerana kesannya akan dirasai oleh orang lain. 11. Kempen kebersihan dibuat bukan kerana kepentingan Kerajaan tetapi kerana kepentingan rakyat keseluruhannya. Apakah kita suka dikelilingi dengan sampah-sarap dan bangkai yang busuk. Tentulah tidak. Tetapi jika kita membuang sampah di keliling rumah, di jalan-jalan atau di taman-taman, tidak mungkin ada pekerja yang menurut kita sepanjang masa untuk mengutip sampah yang kita buang. Di zaman penduduk yang tidak ramai, sampah tidak begitu banyak dan sempat pihak yang bertanggungjawab membersihkannya. Tetapi di zaman penduduk berjuta-juta, ini tidak mungkin. Jika kita muliakan kebersihan kitalah yang patut menjaga kebersihan disekeliling kita. Jika kita ingin mengambil angin di taman, jagalah kebersihan taman. Jagalah kebersihan di mana juga kita berada. 12. Apakah rayuan daripada Kerajaan untuk menjaga kebersihan merupakan suatu penindasan, suatu tuntutan yang tidak munasabah, suatu cara untuk melarikan diri daripada tanggungjawab? Bersama-samalah kita berfikir. Alangkah baiknya jika kita dikelilingi dengan alam yang serba bersih. 13. Kita seru kepada amanah kerana amanah, selain daripada menjadi nilai yang mulia, tetap akan membawa kebahagiaan kepada kita. Tidak ada suatu kerja yang boleh dilakukan tanpa amanah. Kita tidak mungkin membuat sendiri semua kerja kita. Sudah tentu dalam Kerajaan atau firma, kita dikehendaki menjalankan arahan orang lain. Jika amanah tidak ada semua kerja akan gagal mencapai maksudnya. Pembangunan tidak boleh dilakukan, perniagaan firma akan terbatas, penguatkuasaan undang-undang dan aturan-aturan tidak boleh dilangsungkan. Bahkan tiada suatu kerja kecil seperti menghantar surat, mengutip cukai, memeriksa bungkusan, menukar cek boleh berjalan dengan licin. Pendek kata tanpa amanah, tidak mungkin masyarakat hidup tenteram dan bahagia. Sebab itu kita seru kepada amanah. 14. Kita harus ingat bahawa sepertimana kurang amanah dipihak orang lain akan menjejaskan kerja kita, kurang amanah di pihak kita akan menjejaskan kerja orang lain. Masyarakat yang dipenuhi oleh orang-orang yang tidak beramanah tentulah akan menjadi beban kepada kita semua. Jikalau Kerajaan menyebut tentang amanah sehingga membosankan, sebabnya tentulah jelas. Janganlah pula kita bertekun untuk mencari atau mencipta peristiwa kurang amanah di pihak Kerajaan atau orang-orang tertentu semata-mata kerana ingin menggagalkan kempen ke arah amalan yang baik ini. Jika ada perbuatan kurang amanah di sisi Kerajaan kita patut berani mendedahkannya secara terbuka supaya dapat kita memperbaikinya. Janganlah melempar fitnah di belakang Kerajaan dan memburukkan orang-orang tertentu kerana ia merupakan satu jenis rasuah juga. Perbuatan itu boleh menjadi alasan kenapa kita tidak perlu menyambut seruan Kerajaan supaya kita beramanah dan mengelak daripada rasuah. 15. Kita semua tahu lain-lain seruan Kerajaan dibuat untuk kebaikan kita bersama. Saya tidak perlu jelaskan satu persatu kenapa kita perlu cekap, berdisiplin, rajin, menunjuk kepimpinan yang baik dan sebagainya. Kita semua tahu. Tetapi akan ada di kalangan kita mereka yang bukan sahaja tidak mahu mengamalkan nilai-nilai yang mulia ini, tetapi sengaja cuba menghalang amalannnya. 16. Ada yang berkata disiplin akan menjadikan kita robot. Ini adalah falsafah yang di bawa oleh satu golongan orang Barat. Mereka di antara kita yang terpengaruh dengan pendapat ini sebenarnya sudah menjadi robot orang Barat atau "dummy ventriloquist" Barat. Amatlah nyata bahawa jika kita berjaya kita akan mengancam kehidupan mewah mereka yang dahulu menguasai semua teknologi dan keupayaan. Oleh kerana mereka tidak lagi mempunyai kuasa secara langsung ke atas kita, sekarang mereka cuba menguasai secara tidak langsung fikiran dan nilai hidup kita. Jika kita kaji latar-belakang mereka di antara kita yang sering mempermainkan dasar Kerajaan, kita akan kenal dalang yang menggerakkan mereka. Janganlah kita terpedaya oleh mereka ini. Nilai baik memang baik dan akan membawa kebaikan kepada kita. Saudara-saudari sekalian, 17. Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi negara maju dalam masa yang lebih singkat dari yang diperlukan oleh lain-lain negara yang membangun. Kita mempunyai cukup sumber alam, tanah yang subur, bebas dari berbagai jenis malapetaka dan infrastuktur yang sudahpun tinggi. Yang diperlukan lagi untuk menjadikan Malaysia negara yang maju ialah sifat-sifat yang mulia lagi tinggi yang boleh mempertingkatkan keupayaan dan daya pengeluaran atau produktiviti kita. 18. Jika Kerajaan mendesak tanpa bosan supaya kita mengamalkan beberapa nilai yang mulia, tujuannya bukanlah semata-mata kerana kepentingan negara tetapi juga kerana kepentingan setiap warganegara Malaysia. Bagi mereka yang beragama Islam amalan nilai-nilai ini juga dituntut dan dimuliakan oleh agama. Bagi yang bukan beragama Islam nilai-nilai yang menjadi tumpuan adalah nilai yang universal yang diterima sebagai baik oleh semua. Saudara-saudari sekalian, 19. Di kalangan setengah masyarakat permulaan tahun dianggap sebagai tarikh yang sesuai untuk membuat resolusi yang akan dituruti oleh diri sendiri sepanjang tahun. Tidak ada satu sebab kenapa seluruh rakyat Malaysia tidak boleh membuat resolusi bersama untuk tahun 1985 ini dan seterusnya. 20. Oleh itu saya ingin menyeru kepada semua pihak, sama ada dalam Kerajaan atau firma-firma swasta, dan kepada setiap orang warganegara Malaysia supaya membuat resolusi tahun 1985 agar segala slogan-slogan ke arah kebaikan yang dianjurkan oleh Kerajaan diamalkan dengan jujur dan ikhlas. Saya menyeru supaya kita semua mengamalkan sifat-sifat bersih, cekap dan beramanah, supaya kita rajin dan berdisiplin, supaya kita semua menunjuk teladan yang baik, dan supaya kita selalu bertanya apakah khidmat kita kepada agama, bangsa dan negara. 21. Insya-Allah kita akan memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Insya-Allah negara kita akan menjadi maju dan aman. Saudara-saudari sekalian, 22. Sambutlah tahun baru 1985 dengan gembira dan berjanjilah kepada diri sendiri yang kita akan berusaha meninggikan lagi maruah dan kebahagiaan bangsa dan negara kita Malaysia. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaukum Warahmatullahi Wabarakatuh. |