|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KUALA TRENGGANU, TRENGGANU, Tarikh/Date : 18/11/84 Tajuk/Title : PERASMIAN PERTANDINGAN SYARAHAN DALAM BAHASA MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN BAGI SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH JENIS KEBANGSAAN Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana telah menjemput saya ke Majlis ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa tersebut kerana daya usaha mengadakan pertandingan ini. Saya telah diberitahu bahawa tahun ini sekolah-sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil juga turut serta dalam peraduan ini. 2. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan adalah sebahagian daripada sistem pelajaran Malaysia. Ia membuktikan penerimaan bahawa negara ini ialah negara berbilang kaum di mana bahasa-bahasa ibunda penduduknya diberi tempat. Namun demikian kedudukan Bahasa Kebangsaan adalah istimewa dan sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa ibunda yang bukan Bahasa Kebangsaan, juga perlu memberi keutamaan kepada Bahasa Kebangsaan. 3. Penerimaan ini bukanlah setakat pengakuan sahaja tetapi hendaklah secara bersungguh-sungguh. Pada malam ini kita akan dapat menyaksikan pencapaian oleh sekolah-sekolah jenis kebangsaan dalam menguasai Bahasa Malaysia. Saya yakin bahawa kesungguhan ini akan terbukti. Namun demikian kesungguhan ini hendaklah juga ditunjuk oleh pihak-pihak lain yang terlibat dengan persekolahan di negara ini. Sebenarnya tidak banyak daripada negara-negara berbilang kaum yang mempunyai dasar yang begitu 'liberal' seperti negara kita Malaysia. Para hadirin sekalian, 4. Kita patutlah bersyukur bahawa negara kita aman dan makmur. Kerana wujudnya keadaan ini, kita telah dapat membangun dengan pesat dan rakyat telah dapat mengecapi nikmatnya. Dasar-dasar dan rancangan-rancangan pembangunan kerajaan adalah bertujuan untuk meninggikan lagi taraf hidup rakyat. Segala usaha ini dapat dijalankan dengan adanya perpaduan, keamanan dan kerjasama. Oleh itu amatlah penting bagi kita menentukan bahawa keadaan ini sentiasa dipelihara. 5. Tanggungjawab menjamin negara aman dan makmur adalah tanggungjawab kita bersama. Kesedaran ini mestilah juga disemaikan di kalangan muda-mudi kita, khususnya mereka yang dilahirkan selepas Merdeka. Anak-anak kita mestilah diberitahu mengenai latar belakang serta pengorbanan yang dilakukan dalam mencapai kemerdekaan. Mereka juga patut diberitahu tentang pengorbanan yang masih perlu dibuat oleh semua kaum, untuk kebaikan kita semua. Di negara yang majmuk ini, tidak akan ada sesuatu kaum yang boleh mendapat semua kehendak hati mereka. 6. Kita bersyukur bahawa negara kita telah dapat yang dapat menjalinkan perpaduan rakyat. Pemilihan ini yang telah kita sama-sama persetujui adalah sangat wajar. Dengan ini bilangan penduduk negara ini yang fasih dalam Bahasa Malaysia semakin hari semakin meningkat. Bahkan hampir keseluruhan anak-anak muda daripada semua kaum boleh menggunakan Bahasa Malaysia dengan cekap. Penggunaan Bahasa Malaysia telah juga diperluaskan ke bidang-bidang teknikal, undang-undang dan perdagangan. Ini membuktikan kemampuan Bahasa Malaysia berfungsi bukan sahaja sebagai alat perpaduan tetapi juga sebagai bahasa dalam pentadbiran, perdagangan, pendidikan dan lain-lain. Malahan Bahasa Kebangsaan kini merupakan bahasa yang berpengaruh di rantau ini. 7. Peraduan syarahan bagi murid-murid yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Melayu, bukan sahaja akan membuktikan kebolehan murid-murid ini tetapi juga akan memberi galakan kepada murid-murid lain. Ia juga akan membuktikan bahawa penguasaan Bahasa Kebangsaan adalah mudah jika dipelajari dan digunakan dengan tekun. Bahasa ibunda masing-masing tidak akan terjejas semata-mata kerana mempelajari dengan bersungguh-sungguh Bahasa Kebangsaan. Oleh itu janganlah sesiapa sengaja menghalang pengajaran dan penggunaan Bahasa Kebangsaan. 8. Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua murid yang telah mengambil bahagian dalam peraduan ini. Kepada mereka yang tidak berjaya memasuki pertandingan akhir ini, berusahalah lagi dengan lebih bersungguh-sungguh. Kepada mereka yang berjaya, berusahalah juga supaya dapat dipertingkatkan lagi mutu Bahasa Malaysia, Bahasa kita. Terima kasih. |