|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DI ISTIADAT PERTABALAN Tarikh/Date : 15/11/84 Tajuk/Title : ISTIADAT PERTABALAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG YANG KELAPAN, Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar, Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, dengan kemuliaan dan kebesarannya. Ampun Tuanku, Pada saat yang bersejarah serta gilang-gemilang ini, bersempena dengan hari Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, patik bagi pihak Ahli-Ahli Jumaah Menteri, Pegawai-pegawai Kerajaan, dan seluruh rakyat Malaysia dari segenap lapisan dan keturunan kaum, dengan perasaan riang gembira dan dari hati yang jujur, mengangkat sembah takzim serta merafak ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kerana telah dipilih dan dilantik sebagai Raja Memerintah bagi seluruh Negara Malaysia, dan sebagai Yang di-Pertuan Agong Yang Kelapan. 2. Patik juga merafak sembah untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah, di atas perlantikan Seri Paduka Baginda menjadi Raja Permaisuri Agong. Ampun Tuanku, 3. Negara kita telah merdeka selama lebih 27 tahun dan selama itulah rakyat telah hidup dalam aman, makmur dan bahagia. Dengan izin Allah Subahanahu Wataala, adalah diharapkan keadaan ini akan berterusan dan berpanjangan. 4. Di samping itu Kerajaan Tuanku sedang berusaha menanam nilai-nilai positif di kalangan rakyat bagi menempa sebuah negara yang makmur dan progresif. Kerajaan Tuanku berharap rakyat negara ini akan semakin cekal, berdisiplin dan tekun berusaha, bukan sahaja bagi manfaat dan kebajikan diri masing-masing tetapi juga bagi kesejahteraan negara. 5. Negara kita telah berjaya mengatasi kesan buruk akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia. Dengan keadaan ekonomi dunia yang beransur pulih, kadar kemajuan negara kita dijangka akan meningkat semula pada tahun-tahun akan datang. Kita berharap keadaan optimistik ini akan memberi galakan kepada para peniaga, pengurus-pengurus, pengusaha-pengusaha dan semua lapisan rakyat untuk terus meningkatkan lagi usaha masing-masing. 6. Keadaan keselamatan dalam negeri adalah terkawal. Patik semua berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga keselamatan dalam negeri akan terus tenteram. Walaupun begitu, Kerajaan memang sentiasa berwaspada terhadap anasir-anasir yang ingin memecah-belahkan rakyat. 7. Dalam hubungan antarabangsa pula, negara kita akan terus memainkan peranan yang aktif dalam rangka kerjasama dengan negara-negara ASEAN. Adalah diharapkan kerjasama serantau ini akan menjamin kestabilan dan kemakmuran negara kita dan jiran-jiran di kawasan Asia Tenggara. Kerajaan Tuanku akan mempergiatkan lagi usaha bekerjasama dan memberi bantuan teknikal kepada negara-negara membangun yang memerlukannya. Ampun Tuanku, 8. Mengambil sempena hari yang bersejarah dan saat yang mulia ini, patik bagi pihak Ahli-Ahli Jumaah Menteri, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan sekalian rakyat, merafakkan sembah ikrar taat setia Kebawah Duli Seri Paduka Tuanku. 9. Akhirul-kalam, patik semua berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, Yang Maha Pengasih lagi Yang Maha Pemurah, mudah-mudahan dilanjutkan usia Kebawah Duli Tuanku dan usia Kebawah Duli Raja Permaisuri Agong. Patik semua juga berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan Kebawah Duli Tuanku, di dalam sihat walafiat, aman sentosa dan sejahtera. Amin Ya Rabbul 'Alamin |