|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : INTAN, JALAN ILMU, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 27/07/84 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN WANITA SUKARELA KEBANGSAAN Yang Berhormat Puan Sharifah Dora, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana memberi peluang kepada saya berucap dan seterusnya merasmikan Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Sukarela Peringkat Kebangsaan ini. 2. Tema untuk persidangan ini iaitu 'Ke arah Pembentukan Program Bersepadu Serta Penggunaan Sumber-Sumber Secara Optima' adalah sesuai dengan keadaan sekarang. Ini adalah selaras dengan konsep 'cekap' di dalam segala usaha yang dilakukan baikpun dalam bidang pekerjaan dan lain-lain aktiviti berkaitan dengan pembangunan masyarakat. Usaha untuk menyepadukan program dan menggunakan sumber-sumber persatuan wanita secara optima adalah satu usaha yang patut diutamakan. 3. Sumbangan pertubuhan-pertubuhan wanita di dalam pembangunan negara adalah besar. Pertubuhan-pertubuhan wanita semakin hari semakin bertambah bilangannya dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan itu semakin rancak. Ada pertubuhan wanita yang bercorak pendidikan yang memenuhi keperluan wanita seperti kelas masak-memasak, jahit-menjahit dan pendidikan dari segi rohani. Ada pertubuhan yang bersifat rekreasi, ada pertubuhan yang menumpukan perhatian kepada kegiatan politik dan pertubuhan-pertubuhan yang memberi khidmat kepada pihak tertentu mengikut matlamat yang tercatit dalam perlembagaan masing-masing. 4. Di negara kita terdapat lebih kurang 120 buah persatuan wanita dan ini termasuklah pertubuhan-pertubuhan yang ditubuhkan di dalam Kementerian, Jabatan dan Agensi-Agensi Kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan wanita sukarela. Dari segi bilangan, kita tidak dapat menafikan persatuan wanita di negara ini adalah besar dan kuat. Walau bagaimanapun kekuatan sebenarnya ialah kejayaan dan pencapaian pergerakan wanita keseluruhannya, dan dalam kita menilai kejayaan dan pencapaian pergerakan wanita, saya rasa elok juga jika kita melihat kemajuan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kaum wanita di beberapa buah negara lain seperti negara-negara jiran. 5. Kerajaan sekarang sedang menggubal rancangan pembangunan lima tahun yang kelima. Di masa-masa lalu rancangan pembangunan tertumpu kepada pembangunan fizikal dan infrastruktur. Oleh itu telah timbul masalah perseimbangan di antara rancangan pembangunan fizikal, infrastruktur dan pembangunan tenaga manusia. Saya berharap dengan matlamat Kerajaan untuk meningkatkan kependudukan ke angka 70 juta, maka rancangan pembangunan tenaga manusia akan mendapat perhatian yang lebih lagi. 6. Salah satu dasar ke arah tujuan ini ialah memberi keutamaan kepada pembangunan keluarga, oleh kerana keluarga adalah asas sesebuah masyarakat atau bangsa. Di sinilah wanita sebagai ibu dan pendidik di dalam rumahtangga dapat memainkan peranan yang penting. 7. Seperti yang kita dapat lihat hari ini, nilai-nilai hidup wanita juga turut terpengaruh dan sedikit sebanyak bertukar dengan kemajuan pembangunan. Pembangunan boleh kita capai tanpa mengenepikan nilai-nilai kebudayaan, adat resam dan agama. Perubahan sosial yang kita alami dalam tempoh 27 tahun yang lalu telah membawa banyak kebaikan, tetapi ada juga daripada perubahan-perubahan sosial ini yang mengancam kebudayaan, perpaduan, adat resam dan agama. Itulah sebabnya saya menekankan pembangunan keluarga untuk mempastikan hidup berkeluarga yang lebih stabil, zuriat yang lebih sihat, yang cerdik, berbudi bahasa, berdisiplin, dan yang akan menjadi warganegara yang bertanggungjawab. 8. Kita berasa bangga dengan ramainya jumlah kaum wanita yang memegang jawatan-jawatan professional, jawatan-jawatan tertinggi dalam politik, perkhidmatan awam dan swasta. Wanita yang mempunyai kerjaya, atau 'career women', memanglah digalakkan. Di samping itu, pembangunan keluarga hendaklah diutamakan juga. 9. Wanita dahulupun memang telah menjalankan berbagai pekerjaan di samping menjaga dan mendidik anak-anak dan menjaga kebajikan keseluruhan keluarga. Walau bagaimanapun peranan wanita berubah dengan tempo pembangunan yang dialami oleh masyarakat. Dengan ramainya ibu yang bekerja, maka ramai pula yang terpaksa mencari pembantu-pembantu rumah untuk memelihara anak-anak dan menjaga rumahtangga. Pembantu rumah yang bersilih ganti akan menjadikan anak-anak kurang mendapat jagaan dan kemesraan yang sepatutnya. Justeru itu, walaupun kita gembira dengan pembangunan negara dari segi fizikal dan infrastruktur, tetapi sistem kekeluargaan kita telah terjejas sedikit. Akibatnya ialah bertambah ramai anak-anak yang terjerumus ke lembah kegiatan yang merugi dan merosakkan. Yang bertanggungjawab bukan saja ibu, tetapi juga kaum bapa. Tetapi dalam hal ini tidak dapat dinafikan bahawa kaum ibu yang memainkan peranan yang lebih positif. 10. Di sini saya berharap kaum wanita negara ini, terutama pertubuhan-pertubuhan wanita, akan mencari langkah-langkah yang dapat mengimbangkan kemajuan kekeluargaan dengan kemajuan ekonomi dan sosial yang dialami oleh kaum wanita di negara ini. Langkah-langkah yang berpatutan mestilah difikirkan supaya ibu-ibu dapat menjalankan peranan yang sepatutnya terhadap keluarga masing-masing di samping mencari kemajuan dari segi pekerjaan dan kerjaya. 11. Sebahagian dari masalah ini mungkin dapat diatasi dengan mengatasi saikologi yang sekarang ini mempengaruhi wanita dan masyarakat kita. Misalnya, semakin ramai ibu hari ini menyusui bayi masing-masing, hasil daripada kempen tentang manfaatnya berbuat demikian. Seharusnya juga kempen yang serupa patut diusahakan supaya ibu-ibu menjaga anak masing-masing apabila keadaan membenarkan. Ibu-ibu yang bekerja di peringkat dan sektor tertentu mungkin dapat berhenti dari bekerja apabila bilangan anak meningkat dan pendapatan suami dapat menampung keluarga dengan selesa. Tuan-tuan dan puan-puan, 12. Pembangunan fizikal hanya akan berjaya jika disertai dengan pemupukan aspek-aspek rohani, serta keluarga yang sempurna, berperibadi, berakhlak dan beramanah. Kaum lelaki memerlukan bantuan wanita untuk menjayakan pembinaan keluarga yang sihat. Wanita boleh berfungsi sebagai pendorong untuk menentukan arah dan peraliran masyarakat hari ini. Mereka mesti bersama, memainkan peranan dan mengeluarkan kritik membina. Mereka adalah hati nurani masyarakat. 13. Di dalam bidang ekonomi pula, sumbangan wanita diperlukan di dalam usaha pembangunan ekonomi negara memandangkan jumlah kaum wanita yang sama banyak dengan kaum lelaki. Selain dari itu, di dalam bidang politik dan dunia awam, atau 'public life', penglibatan dan kematangan kaum wanita bolehlah dibanggakan seperti yang dapat kita lihat di dalam arena politik negara kita hari ini. Semakin hari semakin ramai wanita di negara ini yang terlibat secara aktif dalam bidang politik. Seperkara yang menggalakkan ialah ramai daripada mereka yang telah berjaya memegang jawatan penting dalam arena politik. 14. Pihak Kerajaan akan memberi perhatian kepada persoalan-persoalan yang berkaitan dengan masalah wanita dalam Kerajaan. Saya berharap Persidangan ini akan dapat mencadangkan usaha-usaha yang dapat dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memudahkan lebih ramai wanita bergiat dan menceburkan diri dalam kegiatan-kegiatan sosial, ekonomi dan politik di samping memelihara keutuhan dan kebajikan keluarga. 15. Selain daripada itu, kaum wanita harus juga memberi perhatian dan pertimbangan kepada kemajuan teknologi supaya tidak ketinggalan dan menyertai usaha-usaha Kerajaan di dalam bidang pertanian moden, dan juga di dalam bidang perindustrian. 16. Aspek-aspek peranan wanita yang saya sebutkan tadi adalah aspek-aspek yang boleh dikaji dengan lebih mendalam di dalam Persidangn ini. Saya yakin usaha ini bukanlah satu usaha yang sukar dicapai memandangkan telah terdapat pun beberapa pertubuhan wanita di kebelakangan ini yang disertai oleh para intelek wanita, iaitu wanita-wanita dari golongan profesional, akademik dan pegawai tinggi Kerajaan, dan saya percaya ramai daripada puan-puan yang hadir di Persidangan hari ini termasuk dalam golongan yang saya sebutkan tadi. 17. Akhirnya, saya berharap persidangan ini akan menghasilkan satu resolusi yang dapat memanfaatkan kita semua dan pihak Kerajaan akan memberi perhatian yang sewajarnya. Dengan harapan itu, saya dengan sukacitanya membuka Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Sukarela Kebangsaan ini dengan rasminya. Terima kasih. |