|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL SUBANG VIEW, SUBANG JAYA, SELANGOR Tarikh/Date : 21/07/84 Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC YANG KE-32 Yang Berhormat Datuk Samy Vellu, Presiden MIC; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat MIC; Para Perwakilan; Wakil-wakil Parti-Parti Komponen Barisan Nasional; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Samy Vellu dan Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput saya untuk melakukan upacara pembukaan Perhimpunan Agung MIC yang ke-32 ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bersidang kepada saudara-saudari sekalian dan semoga persidangan ini akan melahirkan rumusan-rumusan yang akan mengukuhkan lagi parti MIC, Barisan Nasional dan seterusnya rakyat dan negara. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Barisan Nasional telahpun wujud selama lebih satu dekad. Di bawah sistem 'perkongsian' kuasa yang unik ini, negara kita telah dapat melaksanakan berbagai program untuk kesejahteraan rakyat dengan jayanya. Urusan pentadbiran negara berjalan dengan licin dan teratur. Kalau adapun sedikit sebanyak masalah yang kita hadapi, ianya dapat diatasi dengan semangat kerjasama, musyawarah dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Justeru itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita bersama bagi mempastikan bahawa Barisan Nasional bukan sahaja teguh, hidup dan maju, bahkan juga semakin hari semakin kuat dan kukuh. 3. Walau bagaimanapun, kita harus sentiasa mengingatkan diri kita sekali-sekala tentang tanggungjawab memelihara keharmonian dan perkongsian Barisan Nasional, semoga tidak terdapat mana-mana parti komponen melukakan hati parti komponen lain. Ingat mengingati tentang tanggungjawab ini mesti dilakukan dari masa ke semasa supaya kita tidak tergelincir, tidak terkeluar dari batasan. Dengan cara ini kita dapat mempastikan Barisan Nasional akan terus memegang teraju Kerajaan. 4. Kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa setiap parti komponen mendapat sokongan daripada sesuatu kaum tertentu. Dengan itu setiap parti komponen hendaklah menjaga kepentingan kaum yang memberi sokongan kepadanya. Barisan Nasional memang menggalakkan parti komponennya mendapat kepercayaan satu-satu kaum. Secara inilah setiap parti komponen akan kuat dan seterusnya Barisan Nasional pun akan kukuh. 5. Walau bagaimanapun dalam kita memperjuangkan kepentingan kaum yang kita wakili, parti-parti komponen dalam Barisan Nasional mestilah mempastikan tidak timbulnya sebarang sentimen atau perasaan perkauman yang keterlaluan. Kita mesti mempastikan setiap tindakan atau ucapan kita tidak menimbulkan prasangka dan sentimen yang mungkin sensitif kepada parti-parti komponen yang lain ataupun agensi-agensi atau pentadbiran yang didokong oleh Barisan Nasional. Bercakaran dengan parti-parti pembangkang sudahlah menjadi adat, tetapi percakaran di antara parti atau pentadbiran Barisan Nasional adalah tidak sihat. Sekali-sekala perkara seperti ini timbul. Sama ada ianya berlaku secara sengaja atau tidak, tindakan susulan hendaklah diambil dengan segera untuk mengurangkan kesan buruk daripadanya. 6. Saya berharap apa-apa perasaan kurang puashati terhadap sesuatu tindakan yang dilakukan oleh mana-mana parti komponen Barisan Nasional yang lain, atau oleh agensi-agensi dan pentadbiran yang didokong oleh Barisan Nasional, hendaklah kita salurkan melalui saluran yang sewajarnya. Kita memang tidak akan dapat mengelak daripada masalah yang timbul dari masa ke semasa sepanjang perkongsian kuasa kita ini. Kita juga harus maklum bahawa tidak semua tuntutan oleh satu-satu parti komponen akan berhasil, disebabkan kita mesti mengambil kira kepentingan semua pihak. Dengan itu apa-apa prinsip yang kita persetujui dan yang kita fikirkan berpatutan patutlah diteruskan untuk kepentingan masa depan Barisan Nasional sendiri. 7. Di samping itu, sistem perkongsian kuasa seperti Barisan Nasional ini hendaklah kita jagai benar-benar dengan penuh perasaan cemburu. Janganlah perselisihan terjadi sehingga tidak dapat diselesaikan sesama sendiri. Janganlah gejala merujuk perselisihan politik ke pihak ketiga seperti mahkamah dibiar berterusan. Kita mesti mencari 'jalan politik' atau 'political means' untuk menyelesaikan masalah dalam parti. Selagi cara ini kita ikuti, selagi itulah kita akan dapat menentukan apabila terdapat perselisihan pendapat, ianya akan berkisar dalam parti sahaja, dan tidaklah perlu kita mendedahkan segala masalah dan keburukan dalam parti kepada orang ramai. 8. Pendedahan seperti ini dan penglibatan orang luar dalam masalah parti akan mengurangkan kepercayaan ahli dan orang ramai terhadap parti. Jika ada perselisihan pendapat, perlembagaan dan saluran yang sedia ada dalam parti hendaklah digunakan untuk mencari penyelesaian. Dan apa juga keputusan yang dibuat hendaklah kita terima dengan rela hati. Mahkamah yang tertinggi sekalipun mungkin membuat keputusan yang boleh dipertikaikan. Tetapi oleh kerana masyarakat memahami perlunya keputusan muktamad dibuat bagi tiap-tiap masalah, masyarakat akan menerima keputusan tersebut dengan tenang. Sudah tentu jika anggota masyarakat mencabar keputusan mahkamah tertinggi maka huru-hara akan terdapat sepanjang masa. Demikian juga dengan keputusan dalam parti. 9. Saya tidak tujukan nasihat ini kepada MIC sahaja, tetapi kepada semua parti komponen Barisan Nasional. Penyakit mengutamakan diri lebih daripada parti, bahkan lebih daripada negara sudah merebak dan jika tidak berhati-hati, riwayat kita sebagai pemerintah negara yang kita cintai ini akan tamat. Tuan-tuan dan puan-puan, 10. Saya ingin mengucapkan syabas kepada MIC atas pendiriannya tidak mahu campur tangan, bahkan tidak memberi komen, tentang pengenaan visa oleh Kerajaan India bagi mereka yang ingin melawat ke negara tersebut. India adalah sebuah negara asing yang menjadi sahabat kita sejak beberapa lama. Kita menghormati negara-negara asing yang menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat. Kita tidak harus campur tangan dalam apa-apa tindakan sebuah negara yang lain. MIC dikutuk kerana tidak mahu campur tangan dalam hal visa ini oleh ahli-ahli pembangkang tertentu. Sikap pembangkang ini menimbulkan banyak tanda tanya. Apakah ianya menganggap orang-orang keturunan India di Malaysia perlu diberi layanan istimewa oleh negara asing? 11. Seperti biasa parti pembangkang menangguk di air yang keruh. Mereka suka memainkan sentimen rakyat Malaysia keturunan India supaya memberi sokongan kepada mereka. Pada prinsipnya tidak ada satu pihak pun di negara ini, baik parti pembangkang sekali pun, yang patut campur tangan dalam hal-ehwal negara-negara asing. Oleh kerana sikap tamakkan pengaruh, prinsip ini pun mereka abaikan. Mereka ini memang suka melaung di sana-sini, kadang-kadang kita pun tidak faham apa yang dilaungkan. Orang seperti ini sanggup melaung siang dan malam sekiranya kelakuan sebegitu akan dapat menarik perhatian kepadanya. Janganlah kita turut melatah dengan kelakuan seperti ini. Mereka memang mengharapkan kita melatah dan itulah saat-saat yang menggembirakan bagi mereka yang suka melaung di sana-sini. 12. Kita harus bangga oleh kerana kematangan politik rakyat di negara ini semakin meningkat. Kita tidak menafikan terdapatnya golongan yang akan terpengaruh dengan kata-kata manis dan laung-laungan kosong parti-parti pembangkang, tetapi bilangan mereka semakin hari semakin kecil. Pemikiran yang matang ini memang ditakuti oleh mereka yang suka melaung di sana-sini. Kita akan menghormati pandangan yang rasional -- yang baik dipuji dan bagi yang tidak baik pula dicadangkan penyelesaian yang wajar. Kita tidak menghormati mereka yang tidak berhenti-henti mengkritik, tetapi kekeringan idea tentang bagaimana hendak menyelesaikan sesuatu masalah itu. Tuan-tuan dan puan-puan, 13. Akhir sekali, saya berharap Perhimpunan Agung MIC kali ini akan membawa manfaat kepada ahli-ahli parti ini, dan memberi sumbangan kepada keutuhan Barisan Nasional dan negara. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya membuka Perhimpunan Agung MIC Yang ke-32 ini dengan rasminya. Terima kasih. |