|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 25/05/84 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-35 BISMILLAHIR RAHMAN NIRRAHIM. ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH. Yang Berhormat Pengerusi Majlis; Timbalan Presiden; Naib-Naib Presiden; Ahli-Ahli Majlis Tertinggi; Ketua-Ketua dan Wakil-Wakil Parti-Parti Komponen Barisan Nasional; Dif-Dif Kehormat; Para Perwakilan dan Pemerhati; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian. PENDAHULUAN ___________ Syukur Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan izin Allah Subhanahu Wataala, sekali lagi kita dapat berkumpul menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dalam keadaan tenang dan aman, kali ini buat kali yang ke-35. Bagi pihak Parti dan Majlis Tertinggi, saya mengalu-alukan kehadiran saudara-saudari para perwakilan sekalian. Saya juga mengalu-alukan wakil-wakil dan pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional, yang hadir di Majlis ini. Marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Ilahi supaya dengan taufik dan hidayahNya dapat kita menunaikan tanggungjawab kita di Perhimpunan ini bagi memelihara perpaduan dalam Parti dan mencapai matlamat perjuangan kita. 2. Walaupun setiap Perhimpunan Agung UMNO menjadi peristiwa yang amat penting kepada kita ahli UMNO khususnya, dan rakyat serta negara amnya, namun setiap tiga tahun sekali, Perhimpunan Agung UMNO lebih menarik minat kerana pemilihan pucuk pimpinan, iaitu Majlis Tertinggi. Kali ini akan memilih mereka yang akan diamanahkan dan diberi tanggungjawab untuk menerajui Parti di peringkat yang tertinggi. 3. Di Perhimpunan Agung tahun lepas, saya telah menghuraikan dengan panjang lebar proses demokrasi dan amalannya dalam UMNO dan saya percaya para perwakilan tidak perlu diperingati lagi tentangnya. Walau apa pun yang akan kita lakukan pada bila-bila masa, kita harus mengutamakan kepentingan Parti lebih daripada kepentingan diri, insya-Allah. UMNO: PERPADUAN KEBANGSAAN DAN KEISLAMAN __________________ Saudara-saudari sekalian, 4. UMNO adalah parti politik orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu semuanya beragama Islam, maka UMNO dengan sendirinya menjadi parti orang Islam Semenanjung Malaysia dan berjuang untuk agama Islam. Tetapi UMNO bukan hipokrit dan berpura-pura menafikan yang ia adalah parti orang Melayu seperti yang dibuat oleh sebuah parti lain. 5. UMNO dengan jelas mengakui yang ianya parti kebangsaan Melayu di samping menjadi parti Islam. Menafi hakikat ini akan menjadikannya hipokrit atau munafik -- dan orang munafik tidak menjadi orang Islam yang jujur. 6. Di Malaysia orang Melayu cuma 50% daripada jumlah penduduk dan mereka adalah golongan yang, secara relatif, lemah dan miskin. Dengan itu UMNO juga mewakili golongan yang lemah dan miskin dalam negara. 7. Orang yang lemah dan miskin biasanya menarik simpati masyarakat umum. Tetapi, walaupun lemah dan miskin, orang Melayu telah berjaya memegang kuasa politik dalam negara Malaysia yang merdeka. Ini menimbulkan kebencian yang tidak terhingga terhadap mereka di kalangan orang-orang tertentu di dalam dan di luar negeri. Oleh sebab itulah semenjak merdeka orang Melayu tidak mendapat simpati, dan negara Malaysia menjadi sasaran bermacam-macam tuduhan dan tohmahan. Dan sudah tentu parti orang Melayu, iaitu Parti UMNO, menjadi tumpuan utama segala usaha pihak lawan untuk mengekalkan orang Melayu di taraf rendah mereka, supaya tidak dapat menggunakan kuasa politik mereka untuk memperbaiki kehidupan mereka. 8. Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk mengekalkan kelemahan orang Melayu daripada menggunakan orang Melayu sendiri untuk melawan orang Melayu. Dengan tertubuhnya Parti PAS maka terbentuklah alat utama musuh orang Melayu. Malang bagi mereka, kebanyakan daripada orang Melayu dapat meneka strategi pecah-belah ini dan telah terus menyokong UMNO. 9. Sekarang ini usaha ditumpukan kepada melemahkan semangat kebangsaan Melayu dengan mendakwa Islam menentang kebangsaan. Bahawa kebangsaan orang Melayu adalah satu alat mempertahankan diri bagi orang Melayu yang semuanya Islam, sama seperti kebangsaan Mujahidin mempertahankan orang Islam Afghanistan, dan tidak menjadi satu keangkuhan yang mengenepikan agama Islam dan orang Islam lain, tidak disebut. Mereka yang mendakwa bahawa mereka cuma mengakui keislaman mereka dan kononnya menolak semangat kebangsaan Melayu, tidak pula berani mempertahankan orang yang seagama dengan mereka di Afghanistan, atau di Lubnan atau di lain-lain tempat. Keislaman mereka terhad kepada kegiatan di Malaysia sahaja di mana kebangsaan Melayu UMNO dapat memberi perlindungan kepada mereka. Sifat mereka ini adalah sifat hipokrit atau sifat talam dua muka. Dan mereka adalah begitu fanatik kepada parti mereka sehingga mereka tidak menyoal sama ada pendirian parti mereka baik atau tidak. Mereka inilah yang sebenarnya dari golongan Asabiyah. HIPOKRASI DAN EKSTRIMISME MUSUH UTAMA ______________________ Saudara-saudari sekalian, 10. UMNO perlu mendedahkan golongan hipokrit di kalangan orang Melayu ini. Golongan hipokrit dalam mana-mana masyarakat memang menjadi duri dalam daging. Pertahanan Madinah di zaman Nabi Muhammad s.a.w. telah dilemahkan oleh golongan ini. Dalam sejarah Islam, golongan seperti ini kerap muncul apabila sahaja orang Islam mencapai kejayaan dan merekalah yang melemahkan semula masyarakat Islam. Sekarang keadaan seumpama ini sedang berlaku di Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab parti orang Islam seperti UMNO untuk bukan sahaja mendedahkan gologan hipokrit ini tetapi juga melawan mereka sehingga mereka tewas. Insya-Allah, UMNO akan berjaya dalam usaha yang mulia ini dan orang Melayu serta orang Islam di Malaysia akan kekal dengan perpaduan mereka dan akan terus kuat dan maju. 11. Sebagai satu lagi usaha untuk menentukan kejayaan orang Melayu, kita telah berusaha menerapkan nilai-nilai Islam. Kita tidak syak bahawa nilai-nilai Islam akan menjadikan orang Melayu orang yang lebih berjaya di dunia dan di akhirat. Pentadbiran yang diasaskan kepada nilai-nilai Islam tetap akan menjadi pentadbiran yang kukuh, adil dan berjaya. 12. Di sini nilai-nilai Islam tidak bermakna rupa-bentuk dan kebudayaan Arab yang menjadi tumpuan setengah-setengah orang Melayu di Malaysia. Memang benar rupa-bentuk boleh dijadikan simbol Islam dan ditiru dengan mudah. Tetapi rupa-bentuk tidak akan membawa kejayaan kepada kita. Yang akan membawa kejayaan ialah amalan nilai-nilai Islam seperti amanah, disiplin, taat-setia, rajin dan tekun, bersaudara antara orang-orang mukmin, berani kerana benar, bertoleransi dan bertimbangrasa, adil, insaf dan syukur dan lain-lain lagi nilai yang mulia yang tidak begitu mudah diamal atau dipamerkan. 13. Jika pada hari ini masyarakat Islam berada dalam keadaan yang hina, berpecah-belah dan berperangan antara satu sama lain, dipermain, ditipu dan diperalatkan, terlalu bergantung kepada orang-orang bukan Islam dan diserang oleh berbagai masalah, sebabnya ialah orang Islam tidak mengamalkan nilai-nilai Islam. Ini termasuklah orang-orang Melayu yang kerap memperkatakan tentang nilai-nilai yang baik tetapi jarang mengamalkan nilai-nilai ini. PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM KE DALAM PENTADBIRAN _______________________ Saudara-saudari sekalian, 14. Dalam ucapan saya di Perhimpunan Agung Tahun 1982, saya telah menjelaskan tentang hasrat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam pentadbiran negara. Maksud saya ialah supaya kita akan mentadbir dengan amanah, jujur, disiplin, setia, bertanggungjawab, cekap, bersih, dan lain-lain lagi nilai Islam yang akan menjadikan pentadbiran negara ini satu pentadbiran yang berkesan dan adil. 15. Malangnya hasrat ini telah dijadikan alasan untuk ajaran dan tindakan yang membawa masalah dan mengganggu pentadbiran. Islam sengaja digambarkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu sebagai agama yang tidak toleran, sehingga kakitangan Kerajaan yang beragama Islam dilarang dari berkawan dengan yang bukan Islam dan melawat mereka di hari kebesaran mereka. Tumpuan diberikan bukan kepada soal khidmat yang baik dan pegangan kepada janji dan ikrar, tetapi kepada soal haram-halal, di mana tafsiran dibuat mengikut nafsu. 16. Demikianlah ekstrimnya tafsiran yang dibuat sehingga ada pegawai yang tidak mahu menyentuh kertas yang ada tertulis di dalamnya perkataan 'babi'. Ada yang sanggup menukar arahan ketua kerana tidak secocok dengan fahaman ekstrim mereka. Ada yang berpendapat bahawa penerapan nilai Islam bermakna memakai cador, tetapi kerana gaji, mereka masih sanggup bekerja di pejabat. 17. Dengan kegiatan menyalah-tafsirkan niat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam pentadbiran, maka matlamat mengadakan pentadbiran yang jujur dan kemas tidak tercapai seperti yang dijangkakan. Tidak ada tekanan diberi oleh kumpulan-kumpulan tertentu ini kepada amanah, disiplin, kesetiaan dan lain-lain, kerana ini semua dikatakan sama sahaja dengan nilai-nilai universal, dan oleh itu tidak menjadi nilai Islam yang khusus. Nilai Islam, kata mereka, ialah yang mengasingkan orang Islam daripada yang bukan Islam. 18. Walaupun penyelewengan telah berlaku, Kerajaan akan terus berusaha untuk menjayakan penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran. Mereka yang sengaja menimbulkan masalah dengan tafsiran yang sempit dan keterlaluan akan ditentang habis-habisan. Penerapan nilai-nilai Islam oleh pentadbiran negara akan membentuk Kerajaan yang lebih adil dan lebih berkesan. Semua rakyat, dari apa juga kaum atau agama, akan mendapat kebahagiaan daripada pentadbiran yang diasaskan kepada nilai-nilai Islam. Segala usaha untuk mengkhianati hasrat ini akan gagal, insya-Allah. KEMELESETAN EKONOMI DAN CABARAN _______________________________ Saudara-saudari sekalian, 19. Malaysia dalam tahun 1983 telah melalui beberapa liku dan menghadapi beberapa masalah. Kemelesetan ekonomi dunia telah memuncak dan membawa banyak kesan buruk kepada pembangunan negara dan kehidupan rakyat. Berbanding dengan negara-negara lain, baik yang membangun atau yang sudah maju, kesan kepada Malaysia tidaklah begitu teruk. Dari segi pengangguran umpamanya, Amerika Syarikat mengalami pengangguran sebanyak 11%, sementara kita cuma 6%. Dari segi inflasi pula, inflasi di negara kita adalah lebih rendah dari negara-negara lain. Di Amerika Selatan, kadar inflasi meningkat ke paras 150% setahun, tetapi di negara kita cuma 3.6% sahaja. Pertumbuhan ekonomi kita ialah hampir 6% berbanding dengan pertumbuhan negatif di kebanyakan negara-negara lain. Namun demikian perkembangan ekonomi di Malaysia tidaklah seperti dahulu, di waktu mana kita dapat memenuhi banyak daripada kehendak rakyat dan negara dari segi bekalan wang. 20. Hakikat yang mesti kita akui ialah kedudukan kewangan negara kita tidaklah baik seperti dahulu. Dalam hal ini, kita mempunyai dua pilihan. Pertama, kita boleh ketepikan kenyataan dan kita belanja seperti di masa makmur. Jika tidak cukup wang, kita berhutang. Soal bayar balik kita lupakan. Tidak usah kita fikirkan bahawa negara akan jadi bankrap. Yang penting ialah kita popular sekarang. 21. Pilihan kedua ialah kita berjimat cermat, dan belanja setakat yang kita mampu sahaja. Saya yakin tiap seorang daripada kita akan berkata pilihan kedualah yang terbaik. Malangnya sementara kita bersetuju dengan sikap jimat-cermat Kerajaan, kita berharap yang hendak dijimatkan ialah peruntukan bagi orang lain. Kita lupa bahawa orang lain itu ialah kita sendiri kalau dipandang dari sudut orang lain. Pendek kata, Kerajaan disokong supaya berjimat asalkan semua projek diteruskan. Ini adalah mustahil. Kita semua haruslah berkorban jika usaha jimat-cermat hendak diamalkan. 22. Dalam keadaan ini datanglah orang yang tidak bertanggungjawab yang hendak menangguk di air yang keruh. Parti pembangkang akan mengecam dengan hebat kerana menurut mereka Kerajaan berbelanja secara boros dan berhutang terlalu banyak. Mereka mencabar supaya kita kurangkan hutang. Tetapi di masa yang sama mereka mengecam mengapa bekalan wang tidak mencukupi, pembangunan tidak diadakan dan peruntukan untuk berbagai maksud dikurangkan. Mereka mengejek-ejek kita kerana tidak membuat itu dan ini. Dan kadang-kadang ada di antara kita yang melatah dan menari mengikut rentak mereka. Inilah yang mereka mahu, bukan peruntukan atau kemudahan. Bagi mereka, tidak ada peruntukan amatlah baik, kerana ini boleh dijadikan isu untuk menarik perhatian kepada diri mereka. Tidak ada sesuatu yang lebih mengecewakan mereka daripada kejayaan Kerajaan memenuhi kehendak rakyat. 23. Ahli-ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO tidak boleh latah. Kita mesti sedar akan keadaan ekonomi dan kewangan negara. Kita mesti berjimat-cermat, mesti sanggup mengikat perut buat sementara waktu. Kita perlu menjelaskan kepada rakyat akan betapa pentingnya kita bersabar. Akhirnya kita akan mencapai kebahagiaan. Inilah caranya menghadapi cabaran. Mereka yang mengikut nafsu akan menderita, mereka yang bersabar akan bahagia. 24. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat telahpun diumumkan dan beberapa strategi baru telah digubal. Pemimpin dan ahli UMNO mestilah menolong menjayakan strategi baru ini. Insya-Allah kita akan dapat memulihkan dengan lebih cepat lagi keadaan ekonomi negara, terutama ekonomi orang Melayu di desa. PINDAAN PERLEMBAGAAN ____________________ Saudara-saudari sekalian, 25. Selain daripada kemelesetan ekonomi, perkara yang mencabar UMNO dalam tahun 1983 ialah isu pindaan perlembagaan. Saya tidak perlu ulangkan di sini tentang sebab-sebab Perlembagaan perlu dipinda. Saya telahpun memberi keterangan yang jelas kepada semua Ketua Bahagian dan Pegawai Penerangan yang harus menyampaikannya kepada semua ahli UMNO. 26. Saya ingin menyatakan di sini kesyukuran saya dan terima kasih saya kepada pemimpin serta ahli UMNO yang telah memberi sokongan kepada tindakan Kerajaan. Majlis-majlis penerangan yang diadakan telah dibanjiri oleh ahli UMNO dan orang Melayu dan bukan Melayu yang menjadi penyokong Barisan Nasional sehingga tidak siapa boleh menuduh lagi bahawa pindaan ini dibuat tanpa mendapat restu daripada majoriti ahli UMNO. Ada yang menuduh bahawa hanya Presiden dan Timbalan Presiden sahaja yang inginkan pindaan perlembagaan. Ada yang berkata, Parti tidak diberi peluang membincang terlebih dahulu. 27. Sebenarnya Perlembagaan Malaysia telah dipinda berkali-kali. Di antara pindaan-pindaan yang telah diluluskan ialah pemisahan Singapura. Pemisahan mana-mana wilayah Malaysia dilarang oleh Perlembagaan. Ia memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Sudah tentu Parti patut diberitahu, jika tidak pun diberi peluang membahas. Tetapi sepertimana kita maklum, tidak ada sebarang rujukan atau rundingan. Setiausaha Agung UMNO pada ketika itu meletak jawatan kerana membantah cara keputusan pemisahan Singapura dibuat. Tetapi pindaan terus dibuat, dengan 2/3 daripada ahli Dewan Rakyat menyokong pindaan ini, termasuklah saya sendiri. Saya tidak membantah kerana matlamat adalah lebih penting dari cara. Tidak ada gunanya kita mengadakan pemimpin, jika mereka tidak dibenarkan mengguna budibicara mereka sama sekali terutama apabila perbahasan umum akan mencetuskan lebih banyak masalah dan ketegangan. 28. Pindaan Perlembagaan yang kita buat baru-baru ini tidak sebesar pemisahan Singapura, tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan tidak memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. Mengungkit soal aturan-peraturan cuma dibuat kerana kepentingan lain atau kerana sengaja hendak mencari salah. 29. Memang ada pemimpin-pemimpin UMNO yang agak tidak begitu berminat dengan pindaan yang telah dibuat. Ini adalah perkara biasa. Tetapi sepertimana mereka mengungkit soal aturan-peraturan, mereka juga patut mengikuti aturan-peraturan dalam tindak-tanduk mereka. Jika ahli-ahli yang tidak bersetuju berpendapat bahawa pindaan ini perlu dirujuk kepada UMNO terlebih dahulu, kenapakah mereka sendiri tidak rujuk kepada UMNO sebelum mereka membuat kenyataan umum dan berpakat dengan orang-orang di luar Parti untuk menghalang tindakan yang diambil oleh pemimpin yang dipilih oleh Parti? Apakah orang yang tidak dipilih lebih berhak dari orang yang dipilih? Jika benar, di mana duduknya demokrasi dalam Parti? 30. Apabila saya membuat salah dahulu saya disingkir. Hari ini saya memimpin parti tetapi kita tidak menyingkir orang yang membuat salah kepada parti. Siapakah yang lebih demokratik dan siapakah 'Yes-man'? 31. Alhamdulillah. Sekarang isu pindaan perlembagaan sudah menjadi sejarah. Kita telah mencapai matlamat kita, dan kita semua harus bersyukur bukan sahaja kerana pencapaian matlamat ini tetapi juga kerana parti kita masih bersepadu walaupun retak sedikit. Di samping kita bersyukur, kita harus ingat bahawa retak mudah menjadi belah. Yang gagah pun akan lemah jika dipalu berkali-kali. Apatah lagi yang sudah retak. 32. Pindaan Perlembagaan sudah pun selesai. Sama ada benar atau tidak tuduhan bahawa kita terlalu bertolak ansur atau terlalu tamak kuasa, tidak perlu dibahas. Pemimpin-pemimpin UMNO akan datang dan akan pergi, tetapi perjuangan UMNO perlu dikekalkan. Pada hemat saya, perjuangan untuk menghilangkan keraguan tentang kuasa rakyat dan kuasa raja telah selesai. Kita telah tentukan bahawa akhirnya rakyat yang berhak membuat undang-undang yang mempunyai kesan terhadap rakyat. DASAR EKONOMI BARU DAN KENYATAAN ________________________________ Saudara-saudari sekalian, 33. Dasar Ekonomi Baru telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan jujur dan telah mencapai kejayaan, walaupun, kerana sebab-sebab tertentu, tidak ke tahap yang dirancangkan. Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat, kita telah mencapai 18% daripada 23% bahagian ekonomi yang ditentukan bagi Bumiputera sehingga tahun 1983. 34. Sekarang kita perlu tanya diri kita, sama ada kita benar-benar mahu bahagian kita dalam ekonomi negara. Soal ini perlu ditanya kerana baru-baru ini soal haram-halal Amanah Saham Nasional telah dibangkitkan semula oleh orang-orang yang berkepentingan. 35. Ekonomi dunia di zaman moden ini bukan dibentuk dan diusahakan oleh orang Islam. Oleh itu ekonomi moden tentulah ada unsur-unsur yang mungkin bertentangan dengan ajaran Islam, yang telah dicampur-adukkan dengan cara-cara serta kegiatan yang boleh diterima oleh Islam. Kadangkala kita dapat mengasingkan apa yang bertentangan dengan Islam daripada apa yang diizinkan. Tetapi kerapkali pengasingan ini tidak dapat dibuat, terutama jika kita sengaja mencari unsur-unsur yang tidak secocok dengan Islam. Demikianlah pencemaran yang berlaku sehingga kita tidak mungkin mengamalkan apa-apa ibadat tanpa terlibat secara tidak langsung sekurang-kurangnya dengan soal haram-halal. Kain yang kita pakai waktu sembahyang, kapal atau kapalterbang yang kita guna untuk ibadat haji, kurma yang kita makan di bulan puasa, bahkan fitrah yang kita bayarkan sedikit sebanyak terlibat dengan sistem bank perdagangan. Cuma mengucap dua kalimah syahadat sahaja yang mungkin tidak melibatkan bank dan lain-lain perniagaan yang diragui oleh mereka yang ingin dikenali sebagai 'Muslim purist' yang kononnya tidak pernah tercemar keislaman mereka. 36. Di Malaysia ada yang mendakwa bahawa mereka membuat perniagaan mengikut ajaran Islam dan oleh itu, mestilah disokong oleh semua orang Islam. Bahkan ada yang menyatakan bahawa orang Islam tidak boleh membeli barangan selain daripada apa yang dijual oleh orang Islam. Dengan itu, maka terdapatlah orang yang menjual mi Islam yang dibuat oleh mereka. Tetapi sungguhpun mi itu dibuat oleh orang Islam, tepung dibeli dari orang bukan Islam, bahkan ditanam, diimport dan dijual dengan pembiayaan bank perdagangan kepunyaan bukan Islam. Pembuatan dan penjualan barang oleh orang Islam memang patut disokong oleh orang Islam tetapi janganlah gunakan Islam sebagai iklan, terutama apabila dakwaan yang dibuat tidak benar. Perbuatan sedemikian menghinakan Islam dan menjadikannya bahan gelak-ketawa orang lain. Memang benar ada larangan kepada orang Islam dalam soal makan-minum, pakaian dan kegiatan sosial, ekonomi dan politik. Larangan ini amat mudah diamalkan. Kita tidak boleh makan babi, tidak boleh minum arak, tidak boleh berzina, tidak boleh menipu, tidak boleh menerima ideologi yang menafikan adanya Tuhan, dan lain-lain lagi yang jelas. Tetapi mereka yang ingin bertopengkan Islam tidak puas hati dengan larangan ini sahaja. Mereka mencipta dan mencari bermacam-macam lagi larangan lain, sehingga membuat takrif dan tafsiran sendiri. Di samping itu, mereka menjadikan yang sunat itu wajib, yang harus menjadi sunat dan diwajibkan kemudiannya. Perkara-perkara yang tidak dilarang dijadikan haram. Tetapi, yang anehnya bagi orang-orang ini yang wajib diketepikan. Mereka tidak mengambil berat tentang perpaduan ummah, jauh sekali persaudaraan dalam Islam. Mereka tidak segan-segan berbohong berkenaan dengan agama, mengkafirkan orang Islam, menyalah-tafsir, memilih-milih ayat Al-Quran, Hadis dan Sunah Nabi yang secocok dengan dakwaan mereka sahaja dan lain-lain kegiatan yang dilarang oleh agama. Mereka menjual ayat-ayat Al-Quran dengan murah. 37. Sepertimana yang saya telah katakan tadi, ekonomi moden bukan dibentuk dan dikembangkan oleh orang Islam. Ia dibentuk dan diamalkan oleh orang bukan Islam. Demikianlah berkesannya sistem ekonomi mereka, sehingga seluruh dunia terpaksa menggunakan sistem ini. Orang Islam sendiri tidak dapat mengelak daripada menggunakan sistem ini. Jika orang Islam cuba mengelak, sebelum sistem Islam dikembangkan, akibatnya ialah kita akan dijajah oleh pengamal sistem ekonomi dunia sekarang. Dan jika kita dijajah, sistem ekonomi Islam tidak mungkin kembang dan maju. 38. Orang Islam yang berhajat untuk memajukan sistem ekonomi Islam mestilah tahu menyusun langkah dan menggunakan sistem orang lain dahulu. Sistem Islam adalah praktikal. Yang menggagalkan sistem Islam, bukanlah agama Islam, tetapi tindakan buta-tuli penganut-penganut Islam. Jika Sepanyol, Eropah Timur dan Selatan Rusia sekarang ini tidak lagi menjadi sebahagian daripada dunia Islam, sebabnya ialah penganut Islam bertindak mengikut nafsu lebih daripada akal fikiran. Mereka menolak ilmu kerana ada yang berpendapat bahawa ilmu-ilmu yang tidak berasas kepada tafsiran Al-Quran, Hadis dan Sunah Nabi adalah sekular dan tidak Islam. Jika di zaman ini peluang daripada kekayaan minyak yang dikurniakan oleh Tuhan kepada orang Islam tidak dapat diperalatkan untuk mengembangkan sistem ekonomi Islam, sebabnya ialah kerana sekali lagi orang Islam tunduk kepada dorongan nafsu dan tidak menggunakan akal fikiran. Mereka mahu mengharamkan semua tanpa menyediakan gantinya. 39. Di Malaysia orang Islam berada dalam keadaan cemas kerana mereka begitu lemah dalam bidang ekonomi. Dalam kecemasan atau darurat banyak tindakan yang diizinkan oleh agama Islam. Daging babi sekalipun boleh dimakan jika perbuatan cara itu sahaja yang boleh menyelamatkan nyawa seorang orang Islam. Ada pemimpin sebuah parti yang baru-baru ini berkata riba diizinkan dalam darurat. Mereka tahupun ajaran Islam, tetapi kelonggaran ini mereka gunakan untuk kepentingan politik, kerana tidak mahu mengakui Bank Islam -- bukan kerana darurat. 40. Oleh kerana orang Islam dalam Malaysia berada dalam keadaan cemas maka beberapa tindakan perlu diambil. Di antaranya ialah pembentukan Amanah Saham Nasional. Melalui ASN kita akan dapat menguasai sebahagian daripada ekonomi negara kita, iaitu 30%. Ekonomi yang dimaksudkan ialah ekonomi moden. Jika kita mahu menunggu sehingga sistem Islam menguasai seluruh ekonomi negara ini, kita tidak akan mencapai 30% dalam tahun 1990. Mungkin kita terpaksa tunggu 100 tahun atau 200 tahun atau lebih. Mungkin pula kerana gagal mendapat 30% dalam tahun 1990, kita tidak dapat mempengaruhi dengan berkesan ekonomi negara, jauh sekali mengembangkan sistem ekonomi Islam. Memandang kepada kemungkinan inilah yang kita bentuk ASN sebagai alat utama kita. 41. Kerana peranan yang dimainkan oleh badan-badan seperti ASN, PERNAS, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan lain-lainlah yang kita hari ini menguasai 18% daripada ekonomi negara. Jika badan-badan ini diharamkan maka kita tidak mungkin mendapat 1% pun dari ekonomi negara, lebih-lebih lagi jika Bank Islam pun kita tidak mahu terima. Jika ini berlaku orang Islam akan lumpuh sama sekali. Jauh daripada mengatasi kecemasan, mereka akan bergelumang dalam lembah kehinaan yang akan mengancam iman mereka. 42. Terpulanglah kepada kita memilih sama ada kita mahu menolong diri kita sendiri atau menjadi hipokrit yang sanggup bertindak cuma kerana politik parti sementara berpura-pura dengan keislaman kita. Saya yakin UMNO dan ahli-ahlinya tidak suka dengan hipokrit. Kita akan berpegang kepada Islam dan akan menjayakan penganut agama Islam secara ikhlas. Rupa bentuk Islam bukanlah untuk kita. Bagi kita isi kandungan Islam adalah lebih penting dan kita akan teruskan usaha kita untuk mencari dan mengamalkan isi kandungan ajaran Islam. 43. ASN dan lain-lain badan adalah jentera kita untuk memelihara kepentingan ekonomi bumiputera, orang Melayu dan orang Islam. Sesiapa yang cuba menggagalkan ASN bererti mengkhianati usaha pemeliharaan dan pembangunan orang Islam di Malaysia. Kita mesti menentang mereka habis-habisan. 44. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah sampai ke tahun yang ke-14 dengan pencapaian sebanyak 18% daripada matlamat 30% untuk bumiputera. Sekarang ini perkara yang hangat dibincangkan ialah sama ada kita akan mencapai matlamat 30% ini pada tahun 1990 ataupun kita perlu meneruskan DEB selepas tahun 1990 sehingga tercapai matlamat kita. Di sini, ingin saya tegaskan bahawa bukan peratusan yang dicapai pada 31hb. Disember, 1990 yang penting. Yang penting ialah kebolehan kita mengekalkan apa yang sudah menjadi milik kita. Walaupun pada penghujung tahun 1990 kita telah memiliki 30%, Dasar Ekonomi Baru tidak bermakna jika pada 1hb. Januari, 1991, kita jualkan bahagian kita untuk wang tunai. 45. Oleh itu yang harus kita lakukan sementara kita berusaha mendapat bahagian kita, ialah kita mempelajari cara-cara mengurus wang supaya bukan sahaja hak kita akan kekal di tangan kita tetapi ia akan tumbuh dan berkembang. Ekonomi bukan perkara yang statik, yang tidak bergerak. Ia berkembang dan ia tumbuh. Jika kita tidak tahu mengurus bahagian kita dalam ekonomi dan ia tidak tumbuh dan berkembang, bahagian itu tentu akan merosot. Dan sekali lagi Dasar Ekonomi Baru tidak akan mempunyai makna. PENGURUSAN DAN KEJAYAAN _______________________ Saudara-saudari sekalian, 46. Jika kita tidak tahu berjimat-cermat dan mengurus wang dan tidak mahu belajar tentang selok-belok urusan ini, kita tidak boleh salahkan sesiapapun melainkan diri kita sendiri. Tabiat boros, tabiat suka menunjuk-nunjuk, tabiat mengutamakan rupa lebih dari isi, masih ada pada kebanyakan kita. Singkirkanlah tabiat-tabiat ini dan belajarlah cara-cara mengurus dan berjimat-cermat. Cuma kecekapan mengurus sahaja yang akan dapat menjamin keupayaan kita mengekalkan bahagian kita dalam sektor ekonomi hasil daripada Dasar Ekonomi Baru. Inilah matlamat Dasar Ekonomi Baru yang sebenarnya. Melanjutkan tempoh Dasar Ekonomi Baru bukanlah merupakan kunci kepada masalah kita. Ia cuma akan melalaikan kita dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dan akan menangguh masalah yang kita tetap akan hadapi pada satu hari kelak, jika kita tidak mempunyai kecekapan pengurusan. Oleh itu adalah lebih baik kita tekankan soal kecekapan pengurusan daripada menumpukan perhatian kepada pemanjangan tempoh Dasar Ekonomi Baru. PERKONGSIAN DAN KEMAKMURAN __________________________ Saudara-saudari sekalian, 47. Perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama dan tanahair. Di tanahair kita terdapat bukan sahaja orang Melayu tetapi juga bumiputera lain, orang Cina, orang India dan lain-lain lagi. Oleh itu, perjuangan UMNO terpaksa mengambil kira kedudukan dan kepentingan orang-orang bukan Melayu yang menjadi warganegara. UMNO tidak ada niat untuk merampas hak dan harta orang lain yang diperolehi secara sah. Agama Islam, yang menjadi agama rasmi dan agama ahli-ahli UMNO, juga tidak menyuruh supaya UMNO merampas hak orang lain. Apa yang diperlukan oleh UMNO ialah kerjasama daripada semua kaum supaya keadilan wujud dalam semua lapangan di negara yang kita cintai ini. 48. Sementara UMNO memberi kerjasama dan membantu kaum-kaum lain, mereka pula mestilah menolong menjayakan Dasar Ekonomi Baru, dasar-dasar Kerajaan yang lain dan tindakan yang bertujuan mengurangkan ketidak-seimbangan antara bumiputera dengan bukan bumiputera. Mereka patutlah ada perkongsian atau 'partnership' yang bermakna apabila berniaga, menunjuk-ajar rakan dan kakitangan yang terdiri daripada bumiputera supaya kecekapan diperolehi dengan secepat mungkin. Lebih cepat kaum bumiputera mencapai kejayaan, lebih berjayalah negara. Dan di negara yang berjaya, ekonomi akan berkembang dengan pesatnya dan ini akan menambahkan keuntungan kaum bukan bumiputera. 49. Kerajaan tidak memandang serong akan perkongsian bumiputera dengan bukan bumiputera. Sebaliknya Kerajaan memberi galakan. Tetapi, kerjasama di mana bumiputera cuma meminjamkan nama mereka akan tetap dikutuk. Bumiputera pula hendaklah menunjuk minat untuk mempelajari urus-niaga. Janganlah fikir tentang keuntungan hari ini sahaja. Yang lebih penting ialah kejayaan yang berkekalan, walaupun ianya tidak begitu lumayan. Tunggulah sehingga betul-betul berjaya sebelum bergaya. 50. Tentulah ada ramai yang berkata peringatan ini tidak perlu. Kita semua tahu. Pendedahan seperti ini di Perhimpunan Agung UMNO cuma memalukan. Bagi saya lebih baik malu sekarang daripada malu kemudian. KESEDARAN DI BARAT __________________ Saudara-saudari sekalian, 51. Buat beberapa lama negara-negara Barat berada dalam khayalan. Mereka percaya bahawa semua kepandaian dan kecekapan ada pada mereka dan tidak ada siapa yang boleh menandingi mereka. Oleh itu mereka tidak lagi bekerja kuat dan lebih suka bersenang-senang. Melalui kesatuan-kesatuan sekerja mereka, pekerja Barat menuntut bermacam-macam kemudahan, sehingga ada negara Barat yang membayar elaun yang lebih kepada orang yang menganggur daripada yang bekerja. Dengan itu, maka ramailah yang memilih untuk tidak bekerja. 52. Semenjak tamat Perang Dunia Kedua, negara-negara Timur seperti Korea dan Jepun telah berjaya mengejar dan mengalahkan negara Barat yang khayal ini. Saya percaya kita juga mungkin dapat berlumba dengan jayanya dengan negara Barat dalam beberapa bidang. 53. Tetapi dalam lawatan saya ke Eropah dan Amerika pada bulan Januari tahun ini, saya merasai bahawa semangat baru menjelma di Barat. Mereka sudah sedar. Di Britain, pekerja tidak mogok dengan mudah lagi -- bahkan mereka menolak arahan pemimpin kesatuan yang mahukan mereka mogok. Di negeri Belanda, Kerajaan mengurangkan gaji kakitangan Kerajaan sebanyak 3%. Di Amerika Syarikat, etika kerja Jepun dicontohi dan kesatuan-kesatuan sekerja yang besar dan megah sudah kehilangan ahli. 54. Barat nampaknya sudah sedar semula bahawa pekerja perlu kerja keras jika mereka mahu taraf hidup yang tinggi. Saya yakin kesedaran ini akan sekali lagi menjadikan mereka cukup kuat untuk menangkis segala serangan dari Timur dan negara-negara yang baru memasuki bidang perindustrian. 55. Tetapi di Malaysia hakikat ini belum disedari umum. Ramai daripada kita masih khayal. Kita fikir bahawa Barat masih mengamalkan etika kerja yang lama, yang mereka semai di seluruh dunia melalui pertubuhan sekerja sedunia. Kita masih meneruskan falsafah yang sudah digugurkan oleh Barat. Kita masih memikir bahawa cara untuk mendapat pendapatan yang lebih ialah dengan menggugat 'industrial peace' dan bukan melalui peningkatan daya pengeluaran. 'IN-HOUSE UNION' ________________ Saudara-saudari sekalian, 56. Oleh kerana negara ingin meningkatkan taraf hidup rakyat maka ketenteraman dalam perhubungan antara majikan dengan pekerja adalah perlu. Kerajaan, sebagai majikan yang terbesar di Malaysia, telah cuba memperbaiki perhubungan dengan kesatuan-kesatuan sekerja kakitangan Kerajaan, terutamanya CUEPACS. Kerajaan telah menasihatkan majikan lain supaya memberi perhatian kepada keluhan dan rayuan pekerja-pekerja dan kesatuan-kesatuan mereka. Majikan hendaklah mengadakan dailog dan rundingan dengan kesatuan-kesatuan pekerja mereka. 57. Sebagai satu lagi langkah untuk mewujudkan ketenteraman perusahaan dan memberi peluang kepada perusahaan-perusahaan yang kecil atau yang baru, Kerajaan telah menggalakkan penubuhan 'in-house union' iaitu kesatuan sekerja yang terhad kepada pekerja sesuatu syarikat tanpa mengambilkira jenis kerja. Sepertimana kita semua maklum bukan semua syarikat atau perusahaan, maju dan mampu membayar gaji seperti syarikat-syarikat besar yang lama. Jika paras gaji dan kemudahan yang tinggi dikenakan kepada semua syarikat, perniagaan baru tidak dapat dimulakan, terutama secara kecil-kecilan. Banyak syarikat bumiputera yang termasuk dalam kategori ini. 58. Jika pekerja dalam syarikat yang baru dan lemah mengadakan 'in-house union', maka paras gaji dan lain-lain yang dituntut tentulah akan mengambilkira kemampuan perniagaan syarikat itu. Sebaliknya jika kesatuan yang bertaraf nasional mewakili pekerja, mereka terpaksa menjaga kepentingan pekerja dalam syarikat yang sudah maju, dan oleh itu mereka tidak akan membenarkan bayaran yang kurang kepada ahli-ahli mereka dalam syarikat yang lemah. 59. Kita tidak juga boleh membenarkan pekerja tidak berkesatuan kerana majikan mungkin akan menindas mereka. Sebaliknya, kesatuan sekerja biasa mungkin akan menghalang penubuhan perniagaan baru atau menganggu kemajuannya. Oleh itu, jalan yang sesuai ialah dengan mengadakan 'in-house union'. Dengan semua pekerja dalam sebuah syarikat menjadi ahli sebuah kesatuan khas untuk syarikat itu sahaja, maka kepentingan syarikat itu akan diambilkira oleh kesatuan sekerja. Jika syarikat ditekan sehingga perniagaan menjadi rugi, akhirnya pekerja sendiri yang akan menderita. Sebaliknya jika kesatuan sekerja menolong menjayakan syarikat mereka, sudah tentu syarikat akan lebih mampu melayan tuntutan pekerja. 60. Syarikat yang gagal merugikan negara. Syarikat yang berjaya akan membayar cukai dan menguntungkan negara. Oleh kerana 'in-house union' lebih bertanggungjawab terhadap kejayaan syarikat, maka kemungkinan syarikat itu berjaya adalah lebih besar, dan negara juga akan berjaya. 61. Sekali lagi Kerajaan tidak berniat buruk apabila mengesyorkan 'in-house union'. Kita hendak melihat pekerja mendapat hak mereka tanpa menjejaskan hak orang lain. PENSWASTAAN ___________ Saudara-saudari sekalian, 62. Baru-baru ini kita telah merancangkan satu cara untuk mengurangkan perbelanjaan Kerajaan di samping meninggikan daya pengeluaran negara. Caranya ialah dengan memindahkan beberapa perkhidmatan Kerajaan kepada pihak swasta. Kita percaya bahawa pihak swasta, jika dipilih dengan teliti, boleh menjalankan dengan lebih baik lagi beberapa tugas yang sekarang ini ditanggung oleh Kerajaan. Namun demikian kita tidak mahu sehingga pekerja menjadi korban. Oleh itu, kita telah mensyaratkan bahawa segala kemudahan yang diperolehi oleh pekerja sekarang mesti dikekalkan oleh pihak swasta jika mereka mengambil alih mana-mana perkhidmatan atau syarikat Kerajaan. 63. Penswastaan telah dikaji oleh Kerajaan secara mendalam dan satu panduan telahpun disediakan. Mengikut panduan ini penswastaan boleh dibuat secara menyeluruh atau berperingkat-peringkat. Proses ini tetap akan mengambil masa kerana ia perlu dilaksanakan dengan teliti. Walaupun demikian, masalah tentulah akan menyerang rancangan baru ini. Adalah diharapkan kita tidak cepat melatah dan mengecam penswastaan apabila sahaja sedikit masalah timbul. Seperti juga dengan dasar-dasar lain, kita perlu menilaikannya secara menyeluruh selepas satu jangka masa yang menasabah. Kerajaan yakin jika penilaian yang teliti dan menyeluruh dibuat, penswastaan akan mencapai matlamatnya. 64. Jika penswastaan berjaya, Kerajaan tidak lagi perlu membuat peruntukan yang banyak untuk beberapa perkhidmatan. Sebaliknya kita percaya Kerajaan akan mendapat hasil cukai yang bertambah kerana perkhidmatan yang diuruskan oleh swasta dipercayai akan memperolehi keuntungan. 65. Dengan pengurangan belanja untuk berbagai perkhidmatan serta penambahan cukai, lebih banyak kemudahan yang diperlukan oleh rakyat dapat dibiayai. Pekerja dalam perkhidmatan yang diswastakan juga akan menerima nikmat secara tidak langsung dari tabung Kerajaan yang lebih besar. 66. Saya bersyukur kerana umumnya konsep penswastaan telah diterima termasuklah oleh pekerja-pekerja yang akan terlibat. Cuma ada beberapa orang yang masih terpengaruh dengan falsafah kesatuan sekerja Barat dahulu yang tidak begitu senang hati. Pekerja-pekerja Barat sudah tentu akan menyokong orang seperti ini kerana mereka takut kejayaan kita akan mengancam mereka. 67. Penswastaan juga akan memberi peluang kepada pengusaha bumiputera yang mampu, ataupun yang boleh mengadakan usahasama dengan pihak-pihak lain, sama ada dari dalam atau luar negeri, untuk memenuhi Dasar Ekonomi Baru. Cadangan penswastaan dibuat sekarang kerana pada masa-masa yang lepas ini, bilangan peniaga dan pengusaha bumiputera sudah bertambah dengan mencukupi bagi membolehkan penswastaan dilaksanakan tanpa menjejas Dasar Ekonomi Baru. Sebenarnya penswastaan mungkin dapat menolong menjayakan matlamat DEB dengan lebih cepat. 68. Banyak negara di dunia telah cuba memilik-negarakan perusahaan dan perniagaan swasta kerana kononnya semua keuntungan akan didapati oleh Kerajaan yang kemudiannya akan membelanjakannya untuk rakyat. Tetapi hakikatnya ialah semua perusahaan yang dimilik-negarakan bukan sahaja rugi, tetapi juga memerlukan subsidi. Pemberian subsidi kepada perusahaan yang dahulunya untung dan membayar cukai, tetapi mengalami kerugian selepas dimilik-negarakan, bermakna peruntukan untuk pembangunan negara dan rakyat akan berkurangan. 69. Konsep penswastaan adalah bertentangan dengan konsep memilik-negarakan perusahaan swasta. Dalam dekad-dekad selepas Perang Dunia Kedua hingga ke tahun 1970an, memilik-negarakan perusahaan swasta dipercayai akan membawa keadilan dan nikmat kepada rakyat dan negara. Oleh kerana itu banyaklah negara yang telah memilik-negarakan perusahaan swasta. Malangnya harapan itu telah tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya negara-negara yang dahulu kemas ekonominya, sekarang sudah merosot. Apabila kesedaran timbul bahawa 'nationalisation' bukanlah penawar ekonomi yang dilaung-laungkan, maka sedikit demi sedikit sistem swasta diterima balik. 70. Malaysia telah memilih dasar penswastaan ini agak lebih awal dari negara-negara lain. Tetapi kita yakin akan kebaikan penswastaan, jika tidak berlaku sabotaj. Saya berharap ahli-ahli politik, terutama ahli UMNO, bukan sahaja akan faham dan menerima konsep penswastaan, tetapi juga akan menolong menjayakannya. Insya-Allah kita semua akan mendapat kebahagiaan daripadanya. 71. Kerajaan tidak mempunyai niat lain apabila membentuk dasar melainkan untuk kebaikan. Mungkin kita tidak nampak kebaikan ini jika dilihat dari terlalu dekat. Tetapi percaya dan yakinlah. Jikalau dasar Kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini, diterima dan dijayakan, kita semua akan dapat kebahagiaan. Sebenarnya semenjak kita merdeka 27 tahun dahulu, kita telah menikmati pembangunan yang amat pesat hasil dari dasar-dasar Kerajaan. Tidak ada sebab mengapa dasar-dasar yang telah dan sedang dibentuk akan membawa hasil yang berlainan. Percayalah bahawa jika kita menyerapkan nilai-nilai Islam, jika kita Pandang ke Timur, jika kita amalkan Kepimpinan Melalui Teladan, jika kita Bersih, Cekap dan Amanah, jika kita anggapkan negara Malaysia sebagai satu persyarikatan, jika kita swastakan sebahagian daripada perkhidmatan Kerajaan, jika kita selenggarakan Dasar Ekonomi Baru dengan tekun dan ikhlas, Malaysia akan bahagia dan kita semua akan merasai nikmat di dunia, dan di akhirat juga. Kita tidak akan ketinggalan. SLOGAN ______ Saudara-saudari sekalian, 72. Semenjak 1981 banyak slogan baru dicipta oleh Kerajaan. Slogan ialah satu cara untuk menyedar dan memberi panduan kepada kita supaya berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Walaupun slogan dicipta untuk tujuan yang baik, ianya sering dijadikan sasaran kritik yang tidak bertanggungjawab. Demikianlah dengan slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan'. 73. Maksud slogan ini ialah supaya kita semua, terutama yang menjadi pemimpin, menunjuk teladan yang boleh dicontohi dan yang akan membawa kebaikan. Tetapi kita semua adalah manusia biasa dan sering membuat kesilapan. Pendek kata tidak ada siapa yang boleh dijadikan contoh baik seratus-peratus sepanjang masa. Sudah tentu tidak ada sekumpulan pemimpin yang boleh menjadi teladan baik sepanjang masa. Akan ada sahaja kesilapan atau kesalahan yang dibuat oleh mereka. 74. Oleh itu janganlah sengaja mencari kesalahan pemimpin supaya kita boleh menolak seribu kebaikan yang boleh dicontohi. Jangan begitu gembira apabila terdapat kesalahan. Jangan begitu ghairah memekik 'Cakap tidak serupa bikin'. Perbuatan yang sedemikian menghalang usaha kita untuk membentuk masyarakat yang lebih bahagia. Sementara yang salah patut didedah dan dihukum, janganlah jadikannya sebagai alasan kenapa kita tidak perlu mencontohi teladan yang baik, kenapa 'Kepimpinan Melalui Teladan' tidak boleh menjadi panduan dan penyedar kepada kita. Buangkanlah yang keruh dan ambillah yang jernih. UMNO DAN MASA DEPAN ___________________ Saudara-saudari sekalian, 75. UMNO sekarang memasuki satu era baru, era di mana kepentingan diri sendiri nampaknya diberi keutamaan yang lebih daripada kepentingan parti. Dengan semakin ramai orang Melayu menjadi kaya, rebutan jawatan dibuat dengan menggunakan wang yang banyak. Sekali lagi saya ingin memberi amaran. Penggunaan wang dan rebutan jawatan akan menghancurkan UMNO dan melemahkan orang Melayu. Sekiranya ini berlaku, satu hari nanti, 'millionaire' sahaja yang akan memimpin UMNO. Pada waktu itu, UMNO bukan lagi parti politik. Ia akan menjadi persatuan orang kaya. Dan sudah tentu rakyat umum tidak lagi akan menyokongnya. 76. Yang melahir dan mengukuhkan UMNO ialah semangat dan bukan wang ringgit. Di waktu UMNO dianggotai oleh orang-orang yang miskin belaka, UMNO telah berjaya menumpaskan British. Hari ini peristiwa berkelahi di mesyuarat cawangan sudah meresapi UMNO sehingga terpaksa memanggil polis. Yang sudah memimpin menggunakan kuasa untuk menyekat ahli-ahli baru atau penubuhan Cawangan-Cawangan baru. Yang berminat hendak menjadi pemimpin menggunakan wang untuk tujuan yang sama. Nama orang-orang tertentu digunakan untuk mendapat pengaruh. Fitnah dilemparkan dengan sewenang-wenangnya. Hartawan Melayu dan bukan Melayu dipohon menderma kepada calon-calon tertentu. Jamuan diadakan untuk berkempen dan kuasa Kerajaan pun diperalatkan. 77. Ahli-ahli yang membenarkan diri mereka dipengaruhi dengan kempen jenis ini akan kecewa akhirnya. Apabila pemilihan dibuat, tidak kira siapa yang menang dan siapa yang kalah, kerjasama dalam parti tidak dapat diadakan lagi. Semakin lama semakin banyak perpecahan akan berlaku. Dan akhirnya akan hancurlah UMNO. 78. Bila UMNO sudah hancur, kemenangan untuk menjadi pemimpin tidak bermakna lagi. Yang akan memenangi pilihanraya bukan lagi UMNO, tetapi parti lain. Pemimpin parti yang kalah tidak akan dapat keistimewaan yang diidamkan. 79. UMNO tidak akan kalah melainkan UMNO mengalahkan dirinya sendiri. Saya telah melihat beberapa klik UMNO yang meletakkan calon bebas untuk mengalahkan calon rasmi UMNO. Maka calon UMNO pun kalah. Tetapi dalam pilihanraya sekali lagi, pihak yang dahulunya meletakkan calon bebas dipilih pula menjadi calon dan ia ditentang oleh calon bebas tajaan calon UMNO yang kalah dahulu. Dianya juga kalah. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang bermain dengan pisau akan mencederakan diri sendiri juga akhirnya. 80. Saya merayu kepada ahli-ahli UMNO, terutama golongan muda, supaya tidak membenarkan diri mereka dipengaruhi oleh taktik main duit dan mengutamakan diri sendiri ini. Taktik menggunakan kemudahan Kerajaan untuk memancing undi juga tidak boleh digalakkan. Pilihlah mereka yang mengutamakan khidmat yang jujur dan tidak berhempas-pulas untuk mendapat tempat. Jikalau kita jual undi kita pada hari ini, satu hari nanti kita akan jual parti, dan mungkin kita akan jual negara juga. Janganlah kita benarkan sejarah negeri-negeri Melayu diulangi melalui parti kita ini. 81. Di sini ingin saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Bahagian-Bahagian UMNO yang telah menentukan supaya saya tidak perlu bertanding untuk jawatan Presiden Parti pada tahun 1984 ini. 82. Setahu saya semenjak saya memimpin UMNO dari 1981 hinggalah sekarang, saya jarang-jarang benar memuji atau melayan sesiapa. Sebaliknya, setiap kali saya berucap, saya mendedahkan kelemahan-kelemahan ahli-ahli UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO, kelemahan orang Melayu dan kelemahan rakyat Malaysia. Sepanjang masa saya telah menasihatkan supaya berdisiplin, bekerja kuat, beramanah, jangan tamak dan lain-lain lagi desakan yang tidak popular. Saya memaksa rakyat bangun setengah jam lebih awal, berada di pejabat tepat pada waktu, memakai tanda nama di dada dan lain-lain peraturan yang dikatakan sebagai 'beban'. 83. Tetapi, segala puji bagi Allah Subhanahu Wataala. Walaupun ada yang berpendapat bahawa apa yang saya buat mungkin akan menjadikan saya tidak popular, tetapi nampaknya saya masih mendapat kepercayaan, sekurang-kurangnya dari sebahagian besar dari Bahagian-Bahagian UMNO untuk memimpin parti -- yang juga bermakna memimpin negara. Alhamdulillah, saya tidak minta lebih. 84. Tidak ada apa yang dapat saya tawarkan kepada UMNO dan kepada negara melainkan khidmat yang masih boleh saya berikan. Selagi ada hayat dan kemampuan, dan selagi saya dikehendaki, saya akan berkhidmat kepada parti dan negara. Cuma yang saya pohon kepada Allah Subhanahu Wataala ialah apabila khidmat saya sudah tidak dikehendaki lagi, saya akan sedar dan kenal akan tanda-tandanya dan saya dapat mengundurkan diri dengan segala senang hati. 85. Yang penting ialah UMNO. Kita tidak tubuhkan UMNO untuk memberi tempat kepada orang-orang tertentu. Mereka cuma dipilih menjadi pemimpin kerana perjuangan UMNO tidak akan berjaya jika ia tidak berketua. Rakyat menubuhkan UMNO dan memberi kuasa kepada pemimpin kerana matlamat-matlamat tertentu. Pada mulanya matlamat UMNO ialah menumpaskan Malayan Union. Setelah ini berjaya, UMNO telah beralih kepada soal masa depan orang-orang Melayu. Kemudian UMNO telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Sekarang tugas UMNO ialah untuk menentukan bahawa orang-orang Melayu tidak lagi diancam kerana kelemahan mereka. Untuk ini, politik, ekonomi dan kedudukan sosial orang-orang Melayu mesti diperkemaskan; bukan semata-mata melalui bantuan tetapi melalui penghapusan sikap dan sifat-sifat yang melemahkan orang-orang Melayu. 86. Jika ada mana-mana pemimpin UMNO yang jelas menyeleweng atau sudah tidak mempunyai idea dan tenaga lagi, kita perlu mencari ganti. Tetapi kita tidak perlu mengganti pemimpin semata-mata kerana ini diizinkan, atau kerana ingin memberi kemenangan kepada calon kita. Sudah tentu jika proses penggantian ini akan membawa kesan yang buruk dan memecah-belahkan parti, adalah lebih baik jika kita mengelakkan diri daripada mempraktikkan demokrasi hanya kerana demokrasi. Demokrasi ialah alat dan bukannya matlamat. Matlamat kita ialah kebahagiaan bangsa, agama dan tanahair. 87. Saya merayu kepada ahli-ahli UMNO supaya cintakan UMNO dan tidak orang-orang tertentu di dalamnya, termasuk saya. Orang-orang ini berguna cuma kerana khidmat yang boleh diberikan oleh mereka. Dari mana mereka datang tidak penting. Sama ada mereka raja atau rakyat, bergelaran atau tidak, adalah tidak penting. Yang penting ialah khidmat mereka ke arah pencapaian matlamat UMNO. Jangan sekali-kali begitu sayang kepada seseorang sehingga sanggup UMNO dipecah-pecahkan. Jangan ada 'personality cult' dan 'parochialism' dalam UMNO. Cuma yang boleh diberi kepada mereka yang menawar diri ialah mandat untuk menjalankan tugas, dan untuk maksud itu, kita berdiri teguh di belakang mereka. PENUTUP _______ Saudara-saudari sekalian, 88. Hidup adalah sementara sahaja. Tetapi Allah Subhanahu Wataala tidak menjadikan manusia supaya ia hidup dan kemudiannya mati sama seperti haiwan. Tuhan mengurniakan akal fikiran dan menyediakan alam sekeliling dengan sumber-sumber tertentu supaya manusia hidup lebih bahagia. Segala-gala yang dijadikan Tuhan tidaklah sia-sia sahaja. Lambat laun manusia yang berakal akan dapat meneka penggunaannya. Manusia yang menyembah Tuhan mesti menghargai segala-gala yang dikurniakanNya. 89. Nyawa dan masa yang diberikan kepada kita tidak boleh disia-siakan dengan hanya menunggu maut. Jika kerana asyik menentukan tempat bagi diri kita seorang di akhirat, kita mengabaikan tanggungjawab kita kepada masyarakat dan kejayaannya, maka kita akan termasuk dalam golongan orang yang tamak yang mengutamakan kepentingan diri sahaja. Mustahil orang seperti ini akan mendapat tempat yang bahagia di akhirat. 90. Oleh itu berilah khidmat kita kepada masyarakat dan jayakanlah usaha untuk memperbaiki nasib umat. Ingatlah, dalam Islam walaupun kita menunaikan fardhu ain, kita tidak terlepas dari dosa jika fardhu kifayah tidak ditunaikan oleh mana-mana anggota masyarakat. Fardhu kifayah bukanlah untuk orang lain sahaja menunaikannya. Jika setiap orang daripada kita menunggu orang lain, mungkin tiada sesiapapun yang menunaikannya. Dan akan berdosalah kita. 91. Penyertaan dalam parti politik seperti UMNO yang bertujuan untuk berkhidmat dan membawa kejayaan kepada masyarakat, terutamanya bangsa Melayu, memberi banyak peluang untuk kita menunaikan kewajipan kita. Yang bertanggungjawab di antara kita haruslah bersedia untuk berkhidmat, walaupun kita tidak dapat memenuhi kehendak hati kita dari segi tempat dan ganjaran di dunia. Saudara-saudari sekalian, 92. Saya berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala supaya Perhimpunan Agung UMNO 1984 ini berjalan dengan sempurna. Saya berdoa supaya kita kekal dengan perpaduan kita. Saya berdoa supaya UMNO selalu bersikap bertanggungjawab dalam menjalankan urusannya. Saya berdoa supaya kita berjaya. WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH. |