|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DAYABUMI FASA 3, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 05/05/84 Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PROJEK DAYABUMI FASA 3 Hari ini kita akan merasmikan sebuah bangunan yang teristimewa sekali di Kuala Lumpur. Projek Dayabumi Fasa 3 telah menjadi tumpuan perhatian ramai bukan sahaja kerana keindahannya tetapi juga kerana ianya telah dijadikan satu simbol oleh satu golongan yang ingin menggagalkan dasar Pandang Ke Timur Kerajaan. 2. Saya telah berkali-kali menegaskan bahawa Dasar Pandang Ke Timur tidak bermakna memberi kontrak atau mendapat bekalan daripada negara-negara Timur. Sebaliknya Dasar Pandang Ke Timur ialah untuk mempelajari dari negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan mengenai etika kerja, cara-cara mengurus dan apa juga teknologi yang boleh didapati daripada mereka. Sejak Dasar ini dilaksanakan ramai dari pelatih-pelatih kita telah diterima oleh Kerajaan Jepun dan Korea Selatan dan juga firma-firma mereka. Apa yang tidak dapat dinafikan ialah sebelum Dasar Pandang Ke Timur, kita juga telah memberikan kontrak dan mendapat bekalan dari negara-negara asing, tetapi tidak ada skim dan biasiswa latihan secara teratur dan besar-besaran yang dibuat oleh mereka yang mendapat manfaat dari kontrak-kontrak di Malaysia. Dasar Ekonomi Baru juga dihormati oleh syarikat-syarikat dari negara-negara Timur ini. Walaupun banyak daripada firma-firma tempatan menafikan adanya pemindahan teknologi, hakikatnya berbeza sekali dari dakwaan mereka. Di Pulau Pinang umpamanya, sebuah syarikat bumiputera sekarang dapat mengeluarkan 'pre-stressed concrete beam' yang terbesar sekali yang digunakan untuk pembinaan jambatan Pulau Pinang. Sebuah Syarikat di Kuala Lumpur pula telah berjaya mengeluarkan 'curtain wall' untuk projek Dayabumi ini. Cara-cara mengurus projek besar telah juga dijelaskan kepada PNB dan agensi-agensi Kerajaan yang lain. Selain daripada ini ramai juga juruteknik, jurutera dan pekerja mahir yang dilatih di tempat kerja atau 'on site training'. 3. Kerajaan berpuas hati bahawa pemindahan teknologi atau 'technology transfer' adalah salah satu daripada hasil pemberian kontrak kepada kontraktor asing, khususnya kontraktor-kontraktor dari Jepun dan Korea Selatan. 4. Namun demikian, kontrak-kontrak yang dimenangi oleh kontraktor asing adalah kerana tawaran mereka didapati yang terbaik sekali setelah mengambilkira semua aspek. Harga murah bukanlah faktor penentu dalam pemberian tender. Kita tahu betapa kerapnya penender yang murah akhirnya menghadapi masalah, lewat menyiapkan kerja, meminta tambahan bayaran dan kadang-kadang meninggalkan kerja. Oleh itu 'past performance' penender mestilah diambilkira. Jika sesuatu firma yang biasanya mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan sesuatu projek, dan tendernya biasanya tinggi, tetapi dalam tender tertentu, tiba-tiba ia mengemukakan tender yang amat rendah dan membuat janji akan siap dalam jangkamasa yang pendek, kita tidak boleh lari dari keraguan sama ada syarat-syarat tender akan dipatuhi. Sistem yang digunakan untuk pembinaan, mutu kerja dan lain-lain faktor juga mesti diambilkira dalam menentukan siapa yang memenangi tender. 5. Kriteria ini diguna untuk semua tender yang terbuka kepada firma tempatan bersama firma asing. Sebenarnya bukan sahaja Kerajaan yang mengguna kriteria ini. Pihak swasta juga menggunakan kriteria ini tanpa apa-apa kaitan dengan Dasar Pandang Ke Timur. 6. Pihak Kerajaan berpuas hati bahawa dalam Projek Dayabumi Fasa 3 ini, semua kriteria telah diambilkira. Dan Kerajaan berpendapat bahawa hasilnya memberi 'justification' kepada keputusan pihak yang memutuskan tender bagi projek ini. Bukan sahaja syarat masa, iaitu siap dalam 26 bulan, dipatuhi tetapi mutu kerja amat baik, latihan diberi kepada pekerja-pekerja tempatan, dan firma bumiputera dapat memainkan peranan dalam projek ini. 7. Kerajaan tidak akan membatalkan Dasar Pandang Ke Timur. Sebaliknya, Kerajaan berpendapat bahawa Dasar ini tepat dan sudahpun mendatangkan hasil yang sewajarnya. Malaysia tetap akan mendapat manfaat yang banyak dari Dasar Pandang Ke Timur. Janganlah cuba menghasut bumiputera supaya menentang Dasar ini. Jika ada masalah atau kejadian di mana pihak orang asing tidak mematuhi syarat atau tidak memberi layanan yang sewajarnya, pihak-pihak yang bertanggungjawab hendaklah diberitahu dan masalah diselesaikan secara rundingan. Tetapi janganlah kita bersikap terlalu sensitif sehingga tidak boleh ditegur sama sekali walaupun kita bersalah. Saya dapati banyak kesalahan yang dilakukan berkali-kali kerana kita tidak suka menegur kerana takut terentak hati. 8. Projek Dayabumi Fasa 3 ini telah mencatit beberapa rekod istimewa. Ia adalah projek 'turnkey' yang terbesar dalam bidang binaan. Kita cuba sistem 'turnkey' ini kerana kita telah menghadapi kerugian yang banyak mengikut sistem lama di mana kita menggunakan perunding atau 'consultant' dan kontrak yang dipecah-pecahkan. Kerugian dalam pembinaan Dermaga Pelabuhan Kuantan ialah hampir $200 juta tanpa mengambil kira pendapatan yang hilang oleh kerana kelewatan pembinaannya selama 4 tahun. Di samping itu pakar perunding juga hilang ghaib sama sekali. Dermaga Pasir Gudang pula mengalami nasib yang sama di mana Kerajaan kerugian puluhan juta ringgit. Ada projek-projek yang terlewat lebih daripada sepuluh tahun kerana bermacam-macam sebab. Oleh kerana itu kita cubakan sistem 'turnkey'. Bahawa projek ini telah siap sedia dalam masa yang dijanjikan, iaitu 26 bulan, menunjukkan bagaimana berkesannya sistem 'turnkey' ini. Siapnya bangunan ini mengikut jadual bermakna bangunan ini dapat disewakan dengan lebih awal lagi. Biasanya bangunan seperti ini akan mengambil masa empat tahun untuk dibina. Ini bermakna kerugian sewa sebanyak 22 bulan. Kutipan sewa daripada projek ini adalah dianggarkan lebih kurang sebanyak $2.3 juta sebulan. Dengan perkataan lain, oleh kerana projek ini siap 22 bulan lebih awal, maka ia menyelamatkan pendapatan kira-kira sebanyak $50.6 juta. 9. Rekod yang kedua yang dicatit oleh projek ini ialah penggunaan sistem 'steel frame' dan bukan 'reinforced concrete'. Sistem inilah yang menyebabkan bangunan ini siap sedia dalam 26 bulan. Sistem 'steel frame' ini belum pernah digunakan di Malaysia. 10. Soal keselamatan pekerja juga diberi perhatian yang 'serious'. Tidak ada bangunan lain yang menggunakan jaring dan lain-lain alat keselamatan yang kemas seperti yang digunakan dalam pembinaan bangunan ini. 11. Saya juga diberitahu bahawa peruntukkan 'contingency' sebanyak $20 juta tidak digunakan oleh kontraktor dan akan dipulangkan balik kepada pemilik bangunan ini iaitu UDA. 12. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Konsortium Resilient-Takenaka-Kumagai sebagai kontraktor kerana menepati janji dan menjalankan tugas dengan kemas. Juga saya mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Takenaka-Kumagai yang telah memberi latihan kepada pelatih-pelatih dari Malaysia di tempat kerja serta juga di beberapa lokasi di Jepun. Saya juga mengucapkan tahniah kepada UDA yang telah menyelia projek ini dengan cekap. Saya percaya pegawai-pegawai UDA telah mendapat pengalaman yang amat bernilai di waktu menyelia projek ini. Saya rasa ada baiknya sekiranya sebuah buku dikarang untuk menyenaraikan masalah dan liku-liku yang dihadapi dan bagaimana semuanya diatasi supaya ia akan menjadi panduan kepada semua yang ingin tahu cara 'project management' sebuah projek yang sebesar ini. 13. Saya juga ingin mengucap tahniah kepada semua pihak lain yang telah menolong menjayakan projek ini. 14. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada UDA kerana menjemput saya berucap di majlis pada pagi ini. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka Projek Dayabumi Fasa 3 ini dengan rasminya. Terima kasih. |