|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : LADANG HAWTHORNDEN, SETAPAK, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 26/02/84 Tajuk/Title : PERASMIAN BANDAR BARU DI LADANG HAWTHORNDEN Yang Berhormat Dato' Shahril Samad, Menteri Wilayah Persekutuan; Yang Berhormat Datin Paduka Rafidah Aziz, Menteri Perusahaan Awam; Yang Berbahagia Datuk Bandar Kuala Lumpur; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah rahmat Allah maka dapatlah kita sama-sama hadir di upacara merasmikan bandar baru di Ladang Hawthornden ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan kerana memberi peluang kepada saya untuk merasmikan majlis pada hari ini. 2. Bandar baru di Ladang Hawthornden ini merupakan bandar baru yang kedua yang sedang dibangunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bandar baru yang pertama dibuka, ialah Bandar Baru Tun Razak yang mula dilaksanakan pada tahun 1975. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga akan mengadakan bandar baru yang lain termasuklah di kawasan Sentul dan Bukit Jalil dan kedua-dua projek ini adalah dalam berbagai peringkat perancangan. 3. Projek bandar baru di Ladang Hawthornden ini bukan saja merupakan satu pembangunan ke arah mewujudkan sebuah bandar baru yang moden, malahan terdapat beberapa ciri yang tertentu yang patut dibangun dan diperkembangkan. Pertamanya, projek ini adalah dijalankan secara usaha sama di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan sebuah syarikat tempatan. Penglibatan pihak swasta dalam projek ini mencerminkan hasrat Kerajaan membangunkan negara kita ini menerusi konsep Persyarikatan Malaysia. Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya dan Syarikat Paremba di atas usaha samanya melaksanakan projek yang besar ini. 4. Saya juga difahamkan bahawa perancangan bandar baru di Ladang Hawthornden ini memberi peluang serta membantu usaha-usaha ke arah memperkenalkan beberapa cara pembinaan yang lebih moden dan cepat lagi bukan sahaja kepada kontrektor-kontrektor tempatan malahan juga kepada para pekerja itu sendiri. Usaha-usaha pemindahan teknologi moden di dalam industri pembinaan ini adalah merupakan satu cabaran kepada kontrektor-kontrektor pembinaan, khususnya kontrektor-kontrektor bumiputera agar mereka tidak ketinggalan. 5. Dalam projek sebesar ini tentulah penggunaan beberapa teknologi moden akan lebih berkesan, cekap dan menguntungkan, di samping dapat mempercepatkan lagi tempoh siapnya pembinaan rumah-rumah yang dicadangkan. Saya merasa bangga mengetahui bahawa sebilangan besar daripada pekerja-pekerja di projek ini merupakan rakyat tempatan dan mereka ini nampaknya sudahpun dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan kaedah teknologi yang moden itu. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 6. Seperti mana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum Kerajaan bersetuju dengan cadangan menjual rumah-rumah pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kepada penyewa-penyewanya. Saya telahpun diberitahu yang dasar tersebut telahpun mula dilaksanakan. Rumah-rumah pangsa ini semenjak dari mula dahulu lagi sememangnya dibina untuk disewakan dengan sewaan bulanan yang rendah berbanding dengan kadar sewaan rumah-rumah di sektor swasta di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Tetapi dengan kelulusan tersebut ianya bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban kos penyelenggaraan bagi pihak Dewan Bandaraya malahan juga membantu ke arah mencapai matlamat Kerajaan untuk memberi peluang kepada seberapa ramai yang mungkin dari keluarga di negara ini untuk memiliki sebuah rumahnya yang tersendiri. Sukacita saya menyatakan di sini bahawa melalui projek usahasama ini boleh dikatakan kebanyakan daripada rumah-rumah yang akan dibina nanti akan dijual terus kepada orang awam. Pihak Dewan Bandaraya mungkin akan mengekalkan sebilangan kecil rumah-rumah tersebut untuk tujuan disewakan kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa dipindahkan disebabkan terlibat dengan projek-projek pembangunan Kerajaan. 7. Kerajaan bersetuju dengan corak perancangan pembangunan di bandar baru ini yang lebih menekankan ke arah menyediakan kemudahan-kemudahan sosio-ekonomi yang lengkap bagi sesuatu bandar. Rekabentuk kawasan kediaman juga memberi penekanan khusus ke arah mencapai jalinan hubungan interaksi antara penduduk yang lebih kerap. Adalah diharapkan ianya akan dapat melahirkan satu masyarakat yang lebih padu dan bertimbangrasa serta mempertingkatkan lagi perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain di samping memupuk semangat bekerjasama dan bertanggungjawab. Ingin saya tegaskan di sini bahawa sama ada bandar kecil ini menjadi penginapan yang selesa dan indah bergantung bukan kepada bangunan dan infrastruktor yang disediakan tetapi kepada pilihan penghuni rumah-rumah ini. Tidak ada pentadbiran yang boleh mengawal dan menjaga kesempurnaan mana-mana bandar jika penduduknya sendiri tidak bersama-sama memelihara kesempurnaan ini dan memberi kerjasama kepada pihak yang dipertanggungjawabkan secara rasmi. Jika kita semua patuh kepada peraturan-peraturan dan berbangga dengan keadaan alam sekeliling kita, bukan sahaja kehidupan kita akan menjadi lebih bahagia, bahkan perbelanjaan untuk menjaga kawasan di sekitar kita akan berkurangan. Dan tabungan yang didapati dari pengurangan belanja ini boleh dibelanjakan untuk lain-lain kepentingan kita. Tuan-tuan dan puan-puan, 8. Satu fenomena yang tidak dapat dielakkan yang berpunca dari pembangunan yang pesat ialah penghijrahan penduduk-penduduk kampung ke bandar-bandar. Aliran ini berlaku kerana di bandar-bandar peluang kerja adalah lebih banyak. Bandar pula mempunyai bermacam jenis hiburan dan peristiwa yang menarik. Kehidupan di bandar juga boleh dikatakan lebih murah dari di kampung kerana lebih banyak barang perlu dan tidak perlu boleh didapati yang tidak tertekan dengan kos pengangkutan. Apa yang meningkatkan kos kehidupan bandar ialah kediaman dan keinginan berlumba-lumba dari segi cara hidup dengan jiran-jiran. 9. Kerana penghijrahan inilah di bandar-bandar kita, kita dapati banyak kawasan setinggan. Di sini terdapat ramai yang baru berhijrah dari desa. Keadaan di kawasan setinggan amatlah tidak sempurna. Sebenarnya keadaan adalah lebih buruk dari keadaan di kampung. 10. Kerajaan memang berhasrat supaya ramai dari penduduk kampung berhijrah dan tinggal di bandar-bandar. Maksud Kerajaan bukanlah supaya mereka menukar kehidupan kampung dengan kehidupan sebagai setinggan. Maksud Kerajaan ialah supaya penduduk-penduduk dari kampung mendapat keselesaan hidup yang ada di bandar-bandar. Kawasan setinggan dan kehidupan sebagai setinggan tidaklah mencerminkan keselesaan kehidupan di bandar. 11. Hakikat yang mesti diterima ialah tempat tinggal di bandar memerlukan lebih banyak perbelanjaan daripada tempat tinggal di kampung, walaupun dari segi lain-lain perbelanjaan di bandar mungkin rendah sedikit. Hakikatnya juga ialah rumah berasingan seperti di kampung tidak dapat dibina dalam bandar oleh majoriti terbesar penduduk bandar. Perumahan di bandar mestilah mengambilkira kos tanah yang amat tinggi dan betapa sukarnya untuk mendapatkan kawasan tanah. Oleh itu lebih ramai penduduk terpaksa dan mesti menduduki di atas satu ekar tanah di bandar berbanding dengan satu ekar di luar bandar. 12. Jika kita ingin tinggal di bandar hakikat ini mesti diterima. Untuk menurunkan kos tanah, dan dengan itu kos perumahan, kita mesti sanggup untuk tinggal di rumah bertingkat-tingkat atau berderet-deret. Juga kita mesti sanggup tinggal di rumah sewa, bahkan berkongsi bilik atau flat jika sewa mahal. Bagi orang bujang kehidupan tidak boleh seperti orang yang sudah berkeluarga. Jika belum mampu berkeluarga, tunggulah dahulu sehingga mampu berkahwin. 13. Janganlah kita angkuh dan berkata kita tidak sanggup tinggal dalam flat. Di kampung pun, di waktu kita tinggal dengan ibu bapa, kita bernasib baik jika kita dapat bilik sendiri. Biasanya kita berkongsi bilik bila bujang ataupun hampar tilam di mana-mana sahaja bila tiba masa tidur. Saya sendiri pun kongsi bilik kecil dengan abang saya di masa bujang dan tinggal di rumah ibu bapa saya. Pendek kata kita memang biasa dengan kehidupan dalam keadaan sempit. Flat-flat di bandar biasanya lebih selesa daripada keadaan di rumah ibu bapa kita. Sudah tentu flat di bandar adalah lebih selesa dari rumah-rumah setinggan. Jikalau kita anggap rumah setinggan kita lebih baik dari flat, ini bermakna kita mampu menyewa atau membeli rumah kos rendah yang dibangunkan oleh Kerajaan atau swasta. 14. Kawasan-kawasan setinggan sekarang boleh dibangunkan dengan cara yang membolehkan lebih ramai tinggal di kawasan yang berkenaan. Dengan ini maka ramailah yang akan hidup lebih sempurna dalam bandar. Kerajaan sedia membantu untuk tujuan ini jika setinggan-setinggan sendiri sanggup berkongsi nikmat. Janganlah kita hendak kawasan setinggan kita untuk kita sahaja atau hendak rumah banglo milik sendiri yang didapati percuma atau dengan harga murah atau sewa yang lebih rendah dari sewaan rumah setinggan kita. Janganlah pandang hina kepada hidup dalam flat. Dan janganlah anggap bahawa kerana kita tak mampu beli tanah maka kita berhak atas tanah orang lain. Sepertimana kita tidak suka harta kita dirampas orang, kita janganlah anggap harta orang adalah hak kita, dan jika tuan punya memerlukan balik harta mereka maka mereka mesti bayar pampasan kepada kita. 15. Kita sekarang ini sedang cuba menyemai nilai-nilai yang baik di negara ini. Bukan sahaja mereka yang berada harus mengamalkan nilai-nilai yang baik ini tetapi kita semua mesti mengamalkannya. Jika kita terima bahawa kemiskinan memberi hak kepada kita membelakangkan nilai yang baik, makan huru-hara akan melanda masyarakat. Yang baik adalah baik samada kita berada atau tidak berada. Begitu juga yang buruk adalah buruk tanpa mengira miskin atau kaya. 16. Sebenarnya masalah perumahan boleh diatasi oleh masyarakat kita. Kerajaan mempunyai cara dan rancangan untuk ini. Tetapi apa jua cara dan rancangan sekali pun tidak mungkin berjaya jikalau tiap seorang dari kita mahu kehendak diri sendiri dilayan sepenuhnya. 17. Ada sahaja orang yang hendak jadi jaguh yang kononnya ingin memperjuangankan hak setinggan-setinggan. Mereka suka setinggan tinggal sebagai setinggan, kerana jika tidak ada setinggan mereka tidak ada peluang jadi jaguh. Bukan kepentingan setinggan yang mereka perjuangkan. Mereka perjuangkan kepentingan mereka sendiri. Jika harta mereka dirampas walaupun untuk kebaikan setinggan, reaksi mereka berbeza sekali. 18. Pada hari kita merasmikan rancangan perumahan untuk rakyat ini saya ingin merayu kepada semua pihak, terutama setinggan-setinggan supaya memberi kerjasama kepada Kerajaan. Insya-Allah masalah kehidupan dalam bandar akan dapat diatasi dengan lebih awal jika kita sanggup korban sedikit sebanyak kemahuan kita. Akhirnya kita semua akan dapat hidup sempurna. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 19. Selain daripada merasmikan bandar baru ini, saya juga diminta untuk memberikan nama kepada bandar baru ini. Jadi sejak beberapa hari yang lalu saya telah memikirkan berbagai-bagai nama dan pada hari ini saya ingin memberikan nama yang telah dipilih itu. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan sekalian bersetuju dengan nama bandar baru ini. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan bandar baru yang diberi nama "WANGSA MAJU", iaitu pendekan kepada "Bandar Baru Titiwangsa Maju". Terima kasih. |