|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 10/02/84 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM ULANG TAHUN SEMPENA MENYAMBUT JUBLI PERAK BANK NEGARA MALAYSIA Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama hadir di majlis perayaan Jubli Perak Bank Negara Malaysia malam ini. Setelah tiga minggu dalam musim sejuk di luar negeri, keselesaan di negara sendiri tidak ada bandingannya. 2. Lawatan saya ke Kanada, Amerika Syarikat, Perancis dan Switzerland adalah berfaedah sekali, lebih-lebih lagi kerana dapat melihat tanda-tanda pemulihan ekonomi dunia dari kemelesetan yang paling buruk semenjak 1930an. Di Amerika, pemulihan ekonominya adalah semakin menggalakkan dengan penjualan runcit, perumahan dan penjualan kereta meningkat. Walaupun ramai yang masih bimbang dengan kurangan kewangan atau 'fiscal deficit', juga dengan kadar faedah yang tinggi, kebanyakan mereka masih yakin bahawa pertumbuhan akan berterusan ke tahun 1985. Di Eropah, pemulihan ekonomi negara-negara di sana masih lembab. Negara-negara 'welfare state' di Eropah mengalami pertumbuhan daya pengeluaran yang perlahan dan pengangguran mereka berjumlah hampir sama banyak dengan penduduk Malaysia. Walaupun tahun ini dikatakan tahun yang malang oleh ahli-ahli nujum, tahun 1984 ini mungkin membawa perkembangan ekonomi dunia, sekiranya tiada kekecohan politik yang menimpa kita semua. 3. Kita berwaspada dengan perkembangan sejarah yang genting di arena antarabangsa dan dalam negara dewasa ini. Dunia masih mengalami perebutan kuasa di antara kuasa-kuasa besar, dengan negara-negara kecil tersepit di tengah-tengahnya. Banyak negara-negara kecil ini, oleh kerana perpecahan dalam negara masing-masing, telah menjadi 'surrogate fighters' atau berperang bagi pihak kuasa-kuasa besar. Tanahair mereka menjadi tempat mencuba senjata-senjata pembunuhan yang terbaru. Secara kasarnya dunia ini semakin hampir kepada pengorbanan besar-besaran apabila kuasa-kuasa nuklear mengancam sama sendiri dengan meningkatkan pergeseran dan penggunaan senjata di seluruh dunia. Dari segi ekonomi pula, pertumbuhan ekonomi di Barat adalah berlandaskan peningkatan penggunaan atau 'consumption', dan tidak berlandaskan pelaburan atau 'investment' yang perlu bagi pertumbuhan yang berterusan. Kita bimbang pemulihan ekonomi Barat ini tidak berterusan. Walaupun Amerika dan Eropah telah sedar akan cabaran kuat dari segi teknologi dan daya pengeluaran dari beberapa negara timur Pasifik, mereka masih dalam peringkat awal menyesuaikan diri menghadapi cabaran itu berlandaskan persaingan atau 'competitive basis'. Sementara itu, mereka menggunakan 'protectionism' yang berbagai bentuk yang membawa implikasi buruk kepada negara-negara membangun, terutamanya negara-negara perusahaan yang sedang membangun, atau 'newly industrialising countries'. Malaysia adalah salah sebuah daripada negara yang mungkin ditafsir sebagai NIC jika kita berjaya dengan rancangan perindustrian kita. 4. Di negara kita pula, di sebalik kurangan akaun bayaran luar yang berterusan, harga-harga komoditi yang meningkat sejak pertengahan tahun lalu telah mula memberi kesan yang menggalakkan kepada ekonomi negara. Kita sepatutnya dapat keuntungan dari pemulihan ekonomi negara-negara maju dengan pengeluaran yang bertambah, terutama dalam sektor pertanian, perlombongan dan pembuatan. Pertumbuhan pada tahun 1984 ini sepatutnya di antara 6+ hingga 7 peratus. Di samping itu, kurangan imbangan bayaran dan kurangan kewangan negara juga akan berkurangan. Kerajaan akan terus memperkukuhkan kedudukan kewangannya dan menyediakan kemudahan dan peluang bagi sektor swasta berkembang dalam suasana kestabilan harga dan kestabilan kewangan. Ini memerlukan kedua-dua sektor swasta dan awam berganding tangan dengan semangat Persyarikatan Malaysia, menyusun semula operasi masing-masing dan bersaing dengan cergas dan secekap-cekapnya di pasaran antarabangsa. 5. Perayaan Jubli Perak Bank Negara ini adalah satu peristiwa yang gemilang dalam sejarah politik, ekonomi dan sosial kita. Kita mengalami bukan sahaja perubahan dalam sistem bank tetapi juga keseluruhan suasana sosial dan ekonomi kita. Selepas 27 tahun merdeka, generasi baru telah mengambil tempat mereka dalam sistem bank, perusahaan dan perkhidmatan awam. Mereka yang bersama-sama merebut kemerdekaan negara dan yang sempat menyaksikan proses pembangunan negara pada awal kemerdekaan semakin berkurangan. Dalam masa 10 tahun lagi, generasi muda yang lahir selepas merdeka, dan bersekolah serta melanjutkan pelajaran di negara ini akan menyertai kumpulan pemimpin-pemimpin kita. Kesan perubahan ini adalah mendalam dengan cabaran yang baru dan dengan cabaran yang tidak dapat diduga. Walau bagaimanapun kita tidak patut menentang perubahan ini. Sebaliknya kita gunakan tenaga-tenaga baru ini bagi meneruskan proses pembangunan negara. Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai sumber-sumber asli yang banyak, institusi-institusi yang kukuh, generasi muda yang sentiasa sedia belajar, taraf pelajaran dan kesihatan yang tinggi, dan tingkat pembangunan yang menarik perhatian negara-negara membangun yang lain. Justeru itu tugas kita sebagai pemimpin bagi menjayakan semua ini adalah berat. Kita patut menyediakan suasana untuk pertumbuhan, tetapi di samping itu kita mesti berwaspada supaya kemajuan dijayakan melalui evolusi dan kestabilan, dan supaya 'consensus' sosial dan perpaduan dijagai di setiap peringkat pembangunan. Soalnya ialah apakah syarat-syarat untuk pertumbuhan ini? Pengalaman menunjukkan bahawa 'entrepreneurship' dan innovasi, dan penyesuaian kepada idea-idea baru adalah syarat-syarat yang perlu, tetapi ianya sahaja tidak mencukupi bagi membawa perubahan. Kita bertuah oleh kerana kita mempunyai ramai pengusaha-pengusaha yang gigih dan mempunyai asas yang kuat untuk mewujudkan sebuah negara yang maju. Yang diperlukan ialah mewujudkan suasana yang sesuai untuk pengusaha-pengusaha kita di kedua-dua sektor swasta dan awam mencuba, mengubah dan membuat barang-barang baru, perkhidmatan baru dan mencari pasaran baru untuk barang-barang perusahaan dan pertanian. Industri-industri utama ini akan seterusnya menjadi agen perubahan kepada ekonomi kita. 6. Dari segi ini, sistem bank boleh memainkan peranan penting sebagai 'catalyst' perubahan yang kita idamkan ini. Sebagai penyimpan tabungan negara, sebagai penggerak simpanan dan saluran kredit yang penting bagi penggunaan dan pelaburan, sistem bank sendiri mestilah sentiasa berubah. Di bawah naungan Bank Negara Malaysia, sistem kewangan Malaysia telah menyesuaikan dirinya dengan baik dengan perubahan masa dan perubahan keadaan. Tetapi di tahun-tahun yang akan datang ini, jangkaan dan kehendak pelanggan ke atas sistem kewangan akan meningkat, oleh kerana perusahaan-perusahaan moden tidak berasas kepada asset tetapi sebaliknya berasas kepada idea dan 'knowledge'. Industri baru seperti 'genetic engineering', elektronik, cara-cara pengangkutan yang baru bukanlah jenis industri yang boleh dinilaikan seperti yang berbentuk asset atau harta. Asset mereka ialah pengetahuan yang tidak boleh ditentukan nilainya. Oleh itu masanya sudah tiba untuk mewujudkan jenis modal yang dikenali dengan nama 'venture capital'. Bank Negara mestilah mengkaji dan merancang untuk membolehkan institusi kewangan mengeluarkan 'venture capital' di mana kajian menunjukkan bahawa modal jenis ini adalah perlu, dan menentukan cara-cara penilaian dan urusan supaya 'crackpots, cranks and confidence tricksters' tidak mendapat peluang. 7. Khususnya, institusi-institusi kewangan mestilah mencipta mekanisme kewangan baru bagi mengumpul jumlah tabungan yang diperlukan dan yang penting bagi proses pembangunan. Pada tahun-tahun hadapan ini, Malaysia akan memerlukan jumlah pelaburan yang tinggi bagi meningkat atau 'upgrade' sektor perusahaan, pertanian dan perlombongannya supaya dapat terus mengatasi segala persaingan. Di samping itu, semakin tinggi taraf hidup, semakin tinggi jangkaan pengguna. Sistem bank mesti mencuba sedaya upaya bagi menanam tabiat untuk menabung di kalangan muda-mudi kita, dan menebalkan sifat melabur bagi masa depan dan bukan berbelanja untuk masa kini sahaja. Kita mempunyai tradisi menabung yang tinggi. Kita mesti terus menggunakan sewajar-wajarnya sumber-sumber yang terhad ini dan jangan terperangkap dengan tabiat boros berbelanja. Terutamanya, bank-bank perdagangan atau 'commercial banks' sebagai institusi yang paling rapat dengan orang ramai mestilah menumpukan perhatian bukan sahaja kepada harta dalam imbangan bayaran mereka, tetapi juga menggalakkan penabungan di semua peringkat. Sistem bank mestilah sentiasa membantu Kerajaan dan sektor swasta melalui kemudahan kewangan dan kepakaran profesional mengenai kewangan. 8. Bank saudagar atau 'merchant banks' terutamanya mestilah melibatkan diri dengan aktif memberi nasihat kepada agensi-agensi Kerajaan dan sektor swasta mengenai 'viability' satu-satu rancangan atau projek dan pembiayaannya. Tingkat kepakaran menilai dan menganalisa projek merupakan jurang yang besar dalam kebolehan kita melaksanakan projek perusahaan yang menguntungkan. Dengan hubungan antarabangsa atau 'international network of contacts' dalam dunia banking dan perusahaan, bank-bank saudagar mempunyai 'back-up' yang diperlukan bagi menghulurkan bantuan kepakaran tersebut. 9. Lebih-lebih lagi bank-bank perdagangan boleh membantu sebagai orang tengah atau 'intermediary' antara pelabur luar negeri dan pelabur tempatan bagi menarik pelaburan asing untuk pembangunan negara. Mereka boleh membawa 'partners' dari luar negeri yang mempunyai teknologi dan kepakaran pemasaran. Mereka boleh membantu mencari pasaran baru untuk barang-barang Malaysia dan kemudahan kewangan eksport untuk pengeksport-pengeksport kita. Semua ini memerlukan usaha semua pihak yang terlibat bagi mempastikan perkhidmatan-perkhidmatan ini disediakan bagi meningkatkan eksport. 10. Saya memang bersetuju sekiranya dikatakan bahawa sistem bank adalah industri rakyat atau 'people-oriented industry'. Penabungan tidak dapat digalakkan melalui kempen-kempen, sekiranya rakyat tidak yakin dengan sistem bank. Keyakinan ini timbul dari keyakinan terhadap amanah dan kecekapan mereka yang menguruskan bank. Kita yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam juga sedar yang rakyat mengharapkan perkhidmatan yang bersih, cekap dan amanah. Ahli-ahli bank pula mempunyai tanggungjawab yang lebih besar oleh kerana mereka memegang secara amanah segala penabungan rakyat kita, baik yang miskin dan yang kaya. Perkhidmatan kepada rakyat adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh kita abaikan. Di samping berusaha mencari keuntungan dan pertumbuhan di kalangan bank dan sektor swasta, kita mesti sentiasa ingat yang kepercayaan dan keyakinan orang ramai terletak dalam tangan kita. 11. Bersempena perayaan Jubli Perak ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Gabenor, Lembaga Pengarah dan semua kakitangan Bank Negara kerana berjaya mewujud dan menyelenggarakan Bank Negara ini sebagai satu contoh keutuhan dan keyakinan rakyat terhadap matawang kita. Keyakinan ini adalah menepati inspirasi kita semua dan keyakinan itu diiktiraf oleh masyarakat perdagangan antarabangsa. Terima kasih. |