|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ALOR STAR, KEDAH, Tarikh/Date : 26/08/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN UMNO ALOR STAR Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Amat Berhormat Dato Seri Syed Nahar Shahabudin, Menteri Besar Kedah; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian. Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama-sama menghadiri satu majlis yang bahagia yang menandakan salah satu detik istimewa dalam sejarah UMNO Negeri Kedah. 2. Setiap bangunan UMNO yang dibina dari semasa ke semasa menjadi kemegahan kepada sekelian ahli UMNO, apatah lagi kepada saya sebagai Presiden UMNO yang sentiasa mengharapkan kemajuan dan keteguhan Parti kita. Bangunan UMNO yang tersergam indah ini adalah satu lambang yang boleh memperingatkan kita kepada perjuangan orang Melayu. Namun demikian, kita tidak harus menganggap bangunan-bangunan Parti semata-semata sebagai lambang kerana ia harus memberi erti yang lebih dari itu. Ia harus mencerminkan aspirasi semasa yang dianjurkan oleh Parti dan oleh Kerajaan di mana Parti kita menjadi tunjangnya. 3. Dalam pilihanraya umum 1982 kita telah menggunakan tema "Bersih, Cekap dan Amanah" dalam manifesto kita. Kerajaan yang dibentuk selepas pilihanraya telah berusaha untuk mengisi tema ini dengan berbagai program. Sehubungan dengan ini, Kerajaan telah membuat penekanan terhadap kebersihan dan keindahan, menggesa semua rakyat supaya bekerja kuat dan meningkatkan daya pengeluaran serta mengambil contoh-contoh yang baik dari Timur, menekankan kepentingan sektor swasta melalui konsep Persyarikatan Malaysia dan Perswastaan, dan penerapan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran dan gerak-geri negara. Kalau kita faham, sebenarnya semua ini menjadi hasrat UMNO, dan dengan itu juga adalah menjadi tanggungjawab UMNO untuk membuktikan kemampuannya menjayakan program-program dan konsep-konsep ini. 4. Kalau saudara saudari ingat, awal tahun ini Kerajaan telah melancarkan gerakan Kepimpinan Melalui Teladan. Tentulah dalam hal ini parti kita UMNO harus berada di hadapan di dalam melaksanakan konsep ini. Itulah sebabnya saya katakan bahawa bangunan UMNO adalah lebih dari menjadi sebagai lambang semata-mata, kerana apa yang harus berlaku ialah bangunan UMNO menjadi pusat membawa kenyataan kepada konsep-konsep yang dianjurkan oleh Kerajaan dengan mendapat sokongan dan didokong oleh setiap ahli UMNO. 5. UMNO tidak akan kekal menjadi kuat hanya dengan adanya bangunan-bangunan yang besar dan indah di merata-rata tempat. Dahulu, pada permulaan perjuangan kita UMNO tidak mempunyai apa-apa bangunan sendiri dan ahli-ahli UMNO tidak terdiri daripada orang-orang yang mewah dan berada. Tetapi pada masa itu UMNO adalah satu parti yang kuat kerana ahli-ahli UMNO mempunyai semangat yang kuat dan cita-cita yang besar dan tinggi. Dengan semangat dan cita-cita ini kita telah dapat menumpaskan Malayan Union dan kita telah dapat menuntut kemerdekaan. 6. Hari ini, setelah lebih sesuku abad merdeka, UMNO masih dapat mengekalkan kedudukannya sebagai parti yang kanan di dalam pemerintahan negara. Ini semua adalah kerana semangat UMNO masih dapat dikekalkan. Tetapi, dengan masa yang berlalu, cabaran-cabaran yang kita hadapi telah juga berubah. Kita sedang berada di dalam suasana perubahan yang amat pesat di mana terdapat persaingan di dalam semua lapangan. Jika kita ketinggalan kita tidak akan dapat mengekalkan kedudukan ini, dan jika ini berlaku UMNO mungkin tinggal sebagai nama sahaja di dalam sejarah. 7. Kita baru selesai mengadakan Perhimpunan Agung kita. Dari perbahasan, kita dapati bahawa ahli-ahli UMNO semakin teliti di dalam membuat hujah-hujah mereka. Mereka tidak segan menyoal amanah yang telah diberikan kepada pemimpin-pemimpin mereka. Bagi saya ini adalah merupakan satu perkara yang sihat, yang mana jika digunakan mengikut prinsip-prinsip demokrasi di dalam Parti, akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan kita sebagai parti yang memegang amanah rakyat dan negara. Tetapi sebagaimana yang saya jelaskan di dalam Perhimpunan Agung itu, soal fitnah-memfitnah sering berlaku di dalam UMNO. Soalnya ialah mengapakah penyakit ini dibiarkan berlaku sedangkan kita mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi di mana apa-apa kemuskilan boleh dikemukakan untuk mendapat jawapan. Itulah di dalam ucapan dasar saya, saya telah mengatakan bahawa orang Melayu sedang dihingapi oleh penyakit khayalan dan kelazatan berfitnah. 8. Orang-orang Melayu adalah orang Islam. Tetapi ini secara umumnya sahaja. Hari ini kita tahu ramai orang Melayu yang telah meninggalkan Islam kerana berbagai-bagai sebab. Yang menjadi cabaran bagi orang Islam di negara kita, khususnya orang Melayu, ialah bagaimana untuk mengatur satu strategi yang berkesan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini ini berterusan. Pada hemat saya salah satu perkara utama yang harus diberi perhatian oleh setiap orang Islam ialah untuk mengekalkan perpaduan supaya tindakan-tindakan yang lebih tersusun dapat dibuat untuk menerapkan nilai-nilai Islam di dalam semua gerak-geri hidup kita. Selagi orang Islam di negara ini masih memberi tempat kepada mereka yang ingin menyemaikan perpecahan di kalangan umat Islam selama itulah usaha-usaha yang mungkin dapat dijalankan tidak akan dapat dibuat dengan berkesan. 9. UMNO tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk menegakkan syiar Islam di negara ini. Tetapi, sebagai Parti yang memerintah kita lebih mengutamakan jalan yang praktikal dan selamat daripada membuat sesuatu secara terburu-buru tanpa memikirkan kesan dan akibatknya. 10. Di dalam ucapan saya di Perhimpunan Agung juga saya telah menyentuh tentang penerapan nilai-nilai Islam di negara kita. Insya-Allah, sekiranya semua pihak memberi sokongan kepada saya, saya yakin kita dapat menyusun usaha-usaha kita dengan lebih kemas dan teratur lagi bagi memenuhi hasrat perjuangan kita yang berlandaskan kepada kepentingan bangsa, agama dan negara. 11. Pada hari ini kita juga dapat meraikan beberapa orang tokoh lama UMNO. Kita maklum bahawa setiap ahli berperanan membuat sumbangan kepada perjuangan kita. Dengan sumbangan tokoh-tokoh lamalah hari ini kita telah mencapai tahap kejayaan sekarang. Kita terhutang budi kepada mereka dan bersama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala sentiasa melimpahi rahmat dan hidayat-Nya kepada mereka dan kepada kita semua supaya kita dapat terus berjuang bagi kepentingan bangsa, agama dan tanah air. 12. Sempena dengan majlis pada hari ini, sukalah saya mengucap berbanyak-banyak terima kasih dan tahniah kepada UMNO Negeri Kedah serta semua pihak yang telah giat berusaha untuk menjayakan projek Bangunan UMNO ini. Semoga dengan adanya bangunan ini UMNO Negeri Kedah akan dapat bergerak dengan lebih lancar dan ditadbirkan dengan lebih berkesan lagi. 13. Akhir kata, dengan sukacitanya saya merasmikan Bangunan UMNO Negeri Kedah ini. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |