|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA Tarikh/Date : 01/06/83 Tajuk/Title : UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT-SETIA KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG SEMPENA HARI KEPUTERAAN RASMI BAGINDA Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, D.K.M., Yang Di Pertuan Agong. Ampun Tuanku. Patek, bagi pihak diri patek, dan bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat, mohon menyembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sempena hari Keputeraan Rasmi Baginda Tuanku pada hari ini. 2. Sempena hari yang bahagia ini, patek sekelian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayahNya kepada Kebawah Duli Tuanku serta Raja Permaisuri Agong. Demikian juga, patek sekelian berdoa, semoga Tuanku berdua sentiasa sihat walafiat, serta kekal memerintah dan memegang teraju tertinggi pemerintahan negara Malaysia, dengan bertambah daulat dan kemuliaan. Ampun Tuanku, 3. Dalam suasana politik dan ekonomi dunia hari ini, negara Malaysia, seperti juga negara-negara membangun yang lain, perlu bekerjasama dengan lebih erat lagi, dengan yang lebih mampu membantu dan membimbing yang kurang maju, dengan tiap-tiap satunya berusaha meningkatkan lagi kemampuan bagi menjamin kemajuan dan pembangunan masing-masing. Demi kepentingan kita dan masyarakat dunia amnya, kita harus berusaha dengan giat lagi untuk berdikari, dan terus menumpukan usaha untuk meningkatkan kemampuan dan daya pengeluaran kita. Dengan cara inilah sahaja kita dapat menjaga kepentingan kita dan membuat sumbangan kepada kemakmuran dan kemajuan dunia. 4. Keadaan kemelesetan ekonomi dunia yang belum reda, dan pencerobohan yang dilakukan ke atas pihak-pihak yang lemah oleh kuasa-kuasa tertentu, tanpa tindakan tegas oleh kuasa-kuasa besar bagi memulihkan keadaan, telah menjadikan dekad lapan puluhan sebagai satu tempoh yang genting bagi keselamatan dan pembangunan amnya. Keadaan ini mesti dipulihkan, tetapi usaha ke arah ini memerlukan kejujuran dan komitmen semua pihak, lebih-lebih lagi kuasa-kuasa besar yang mempunyai berbagai kemampuan dan pengaruh. 5. Malaysia akan terus berusaha, melalui hubungan luar dan penglibatan kita dalam forum-forum antarabangsa dengan tumpuan kepada perhubungan dua hala untuk sama-sama mencari jalan bagi mententeramkan suasana politik dan ekonomi antarabangsa, dan bagi mewujudkan asas hubungan antarabangsa yang lebih adil dan bermakna. Ampun Tuanku, 6. Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sedang berusaha untuk meletakkan asas-asas yang lebih kukuh bagi pembangunan negara yang seimbang, makmur, maju dan bermaruah. Perubahan-perubahan telah dibuat bagi mengatur dan meningkatkan kemampuan negara bagi kemajuan yang lebih pesat. Dasar Pandang Ke Timur dan konsep Persyarikatan Malaysia, bagi menggembleng persefahaman dan tenaga, serta memupuk daya pengeluaran yang lebih tinggi bagi semua sektor sedang dilaksanakan. Usaha juga sedang dilakukan bagi memperkukuhkan lagi jentera Kerajaan, supaya kerja-kerja pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, dan berkesan. Patek yakin, dengan sokongan dan penglibatan semua pihak, usaha-usaha yang dijalankan ini akan memberi faedah dan manfaat kepada rakyat dan negara, bukan sahaja dari segi jangka pendek, malahan dari segi jangka panjang. 7. Sesungguhnyalah negara Malaysia amat bertuah kerana mempunyai pelbagai sumber kekayaan. Usaha-usaha Kerajaan dengan sokongan dan penglibatan rakyat telah dapat menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang berpotensi di kalangan negara-negara membangun. Patek sekelian yakin, bahawa di bawah naungan dan pimpinan Tuanku, negara Malaysia akan terus aman, sejahtera dan makmur. Begitu juga patek sekelian yakin, bahawa dengan Tuanku memimpin patek sekelian, taraf kehidupan dan perpaduan serta ketahanan rakyat akan semakin meningkat. Patek, bersama-sama dengan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri, dan sekelian pegawai dan kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan tenaga untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekelian dengan semangat dan komitmen bagi kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan rakyat dan negara Malaysia. 8. Pada hari yang bahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan segala hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku. Ampun Tuanku, Sekian, sembah patek harap diampun. |