|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MUZIUM NEGARA Tarikh/Date : 23/08/82 Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PAMERAN "MALAYSIA 25 TAHUN" Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur Pameran Malaysia 25 Tahun kerana memberi penghormatan kepada saya untuk melakukan upacara perasmian Pameran pada petang ini. Seterusnya saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Muzium Negara, terutamanya Yang Berbahagia Dato Shahrum Yub, dan juga lain-lain pihak yang telah bekerja keras bagi menjayakan Pameran ini. 2. Pameran Malaysia 25 Tahun ini adalah amat penting sekali. Kita tidak harus melihatnya semata-mata sebagai terhadap peristiwa-peristiwa serta liku-liku sejarah tanahair kita. Tanpa mengenali sejarah, kita tidak akan tahu dari mana kita datang dan apakah masalah yang telah kita hadapi. Tanpa pengetahuan ini kita bukan sahaja tidak akan tahu bersyukur tetapi kita tidak akan tahu bagaimana menghadapi cabaran dan berusaha mencapai kejayaan. Tanpa pengetahuan dan kesedaran ini kita akan didera dengan mengulangi kesilapan kita berkali-kali. 3. Seminggu lagi, iaitu tepat pada 31 Ogos, negara kita akan merayakan ulangtahun 25 tahun sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat. Tempoh 25 tahun sejarah negara adalah satu jangka waktu yang panjang dan padat untuk diliputi sepenuhnya oleh sesuatu pameran seperti yang diadakan ini. Walau bagaimanapun, liputan hanya merupakan satu aspek sahaja. Yang lebih penting ialah kemampuan Pameran ini perasaan kagum, bangga, insaf, serta hormat dan cintakan negara. 4. Tercapainya kemerdekaan 25 tahun lalu memberi satu permulaan baru bagi kita. Di samping itu, ia menjadi beban baru bagi kita kerana sejak itu kitalah yang bertanggungjawab terhadap pencapaian cita-cita yang lebih besar, iaitu cita-cita untuk membangunkan sebuah negara yang kuat dan sihat, yang dihormati oleh dunia. Oleh itu, erti kemerdekaan bukanlah semata-mata pembebasan dari pemerintahan penjajah, tetapi, yang lebih utama dan penting ialah semangat, dorongan dan tindakan kita untuk mengisi dan membawa kemuliaan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada bangsa dan negara. 5. Proses mengisi dan mengekalkan kemerdekaan adalah satu proses yang berterusan. Buat sementara kita mungkin bergantung kepada orang asing untuk menolong membangunkan negara kita. Tetapi, kita tidak boleh berharap kepada orang lain untuk selama-lamanya. Kitalah yang perlu berusaha untuk membangunkan negara kita sendiri. Malangnya, kita tidak mempunyai segala kecekapan yang diperlukan dan kadang-kadang kita terlalu malas untuk membuat kerja-kerja tertentu. Sifat-sifat ini mestilah dikikis. Kecekapan boleh kita dapati jika kita berusaha. Dan sifat tidak ingin membuat kerja yang berat dan kotor atau sifat, jika membuat kerja ringan, tidak dibuat bersungguh-sungguh boleh kita atasi jika kita betul-betul berminat. Yang harus kita ingat ialah maruah dan kehormatan kita berada di tangan kita sendiri. Jika kita tidak mahu membela maruah kita maka kitalah yang perlu disalahkan. Jika kita tidak dihormati, maka merdeka tidak mempunyai makna. Bukan kekayaan negara yang memberi makna kepada kemerdekaan tetapi maruah dan kehormatan yang ditunjuk kepada bangsa dan negara. Tujuan pameran ini ialah untuk menyedarkan kita. Pengasas negara kita telah menunaikan tanggungjawab mereka. Mereka telah merebut balik kemerdekaan dan mereka telah merintis jalan ke arah negara yang bahagia. Sekarang ialah masa kita. Jika kita gagal maka akan sia-sia sahajalah perjuangan pemimpin-pemimpin negara dan pejuang-pejuang yang terdahulu dari kita. 6. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menggesa penulis dan para artis serta intelektual kita untuk meneroka bidang-bidang penulisan, drama dan perfileman dengan cara lebih giat lagi sebagai alat menyedarkan rakyat terhadap nilai kemerdekaan. Pada hemat saya, inilah salah satu bidang yang sangat-sangat kita perlukan di dalam usaha pembangunan dan 'nation-building'. Dua-puluh lima tahun kita untuk masa hadapan adalah bahan yang perlu dikaji, ditulis dan dikemukakan kepada rakyat. 7. Akhir kata, dengan segala sukacitanya sayamerasmikan Pameran Malaysia 25 Tahun ini. Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur. |