|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KUALA LUMPUR (KL) Tarikh/Date : 19/06/82 Tajuk/Title : UPACARA PENUTUP MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN ANGKATAN TENTERA, Bismillahir rahmannir rahim, Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saudara-saudara Muslimin Muslimat sekelian. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Musabaqah yang telah sudi menjemput saya dan isteri saya ke Majlis Penutup Musabaqah Membaca Al-Quran Angkatan Tentera malam ini dan saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat hadir di majlis ini. 2. Sebagaimana kita maklum, thema Musabaqah Angkatan Tentera pada kali ini ialah 'Al-Quran Menyatakan Segala'. Maksud thema ini dapat kita renungi dengan jelasnya daripada Al-Quran ayat 138 Surah 3 yang bermaksud: (Al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa. 3. Firman Allah s.w.t. itu jelas menjadi dalil bahawa kita dapat menimba dari Al-Quran segala apa jua asas pengajaran dan panduan yang kita perlukan. Tetapi, ini tidak bermakna bahawa kita akan mendapat hasil dari petunjuk dan apa yang dijanjikan itu semata-mata dengan meminta-minta dari Tuhan. Kita masih perlu menggunakan akal fikiran dan tenaga yang ada pada kita. Tanpa usaha dan kesanggupan memikul tanggungjawab serta mengatasi segala rintangan, kita tidak akan mencapai matlamat yang ditujukan. Sementara kita memohon dan menyerah kepada Tuhan rabbul'alamin kita mesti menambat unta dan memiliharanya. 4. Hari ini dunia sekali lagi menyaksikan keangkuhan dan kekejaman bangsa Yahudi yang tidak berbeza dari kekejaman rejim Nazi di masa Hitler memerintah Jerman. Wilayah Arab dilanggar tanpa memperdulikan pendapat dunia dan askar-askar Bangsa-bangsa Bersatu. Orang-orang awam, kanak-kanak dan orang-orang tua dibom, ditembak dan dibunuh. Beribu-ribu telah mati dan cedera kerana manusia yang bengis seperti Nazi Jerman memerintah Palestin dengan sokongan pihak-pihak tertentu. 5. Kita sedih melihat perbuatan tidak berperikemanusiaan ini. Negara-negara Islam, dan Arab di gesa supaya merayu kepada dunia supaya mendesak Yahudi memberhentikan pencerobohan dan kekejaman Nazi yang mereka lakukan. Tetapi apakah kali ini pehak lain akan mendengar rayuan kita sedangkan dahulu mereka tidak mendengar. Apakah orang yang tidak sedikit pun bersimpati dengan kita, yang berideoloji kebendaan dan yang tidak percaya kepada Tuhan akan menolong kita? Kita khayal jikalau kita memikirkan kita akan di tolong. 6. Apa yang berlaku sekarang ialah kita membaca Al-Quran dan kita dengan fasih menyebut ayat-ayat Quran, tetapi kita tidak mengikut petunjuk yang terdapat di dalamnya. Musabaqah Membaca Al-Quran mungkin memberi tumpuan kepada ketertiban membaca, kepada lagu dan lain-lain. Tetapi lebih penting dari semua ini ialah musabaqah membaca Al-Quran memberi peluang kepada kita mendengar dan memahami panduan yang terkandung dalam Al-Quran supaya kita sedar dan kita amalkannya. 7. Bagi Angkatan Tentera mesej dalam Al-Quran yang perlu diambil berat dan diamalkan ialah persediaan bagi mempertahan umat Islam dan wilayah-wilayah mereka. Di zaman Rasullallah yang perlu ialah kuda dan pedang. Di zaman ini pula yang diperlukan ialah peluru berpandu dan kereta kebal, latihan yang kemas dan susunan pertahanan yang mengambilkira taktik dan strategi moden. Al-Quran menyuruh kita berdisiplin dan jangan membantah atau membelakangkan perintah. Jika semua suruhan ini kita patuhi dan kita amalkan, kita tidak lagi perlu khayal dengan harapan bahawa apabila kita diserang, orang lain akan membantu kita. umat Islam untuk mempertahankan watan kita tidak diambil berat. Mungkin ada di antara kita yang akan menyoal kenapa kita, kenapa tidak orang lain yang ditugaskan untuk mempertahankan negara. Jika sesiapa yang ditugaskan untuk mempertahankan negara bertanya kenapa dia dan tidak orang lain, maka tidak akan ada siapa pun yang akan memikul tugas ini. Jika semua kita menunggu dan berharap kepada orang lain bagi mempertahankan negara, dan orang lain pun akan memikir demikian, tentulah tidak akan ada siapa pun yang akan memikul tanggungjawab ini dan negara kita boleh ditawan dan dijajah pada bila-bila masa sahaja. Kenyataan yang kita perlu terima ialah dalam mempertahankan negara ada yang akan memikul senjata dan ada yang tidak. Di zaman moden ini tidak siapa pun yang akan selamat. Semuanya akan diserang dan semua akan menghadapi bahaya. Tentulah menjadi lebih baik jika pasukan yang terlatih ditugaskan untuk menangkis serangan musuh daripada kita berdebat siapa yang perlu kehadapan lebih dahulu. Tidak ada keselamatan tanpa korban. Jika kita menghabiskan masa mengeloh terhadap nasib, nasib kita akan menjadi malang. Dalam Islam mengeluh dan keciwa tidak mempunyai tempat. Nabi Allah Ibrahim a.s. tidak bertanya mengapa anaknya Ismail yang perlu dikorbankan. Kita semua tahu apa dianya balasan dari Tuhan kepada orang yang ta'at ini. perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran. Kita mungkin tertarik dengan bacaan yang merdu; di samping itu juga kita dapat membaca dan mendengar ayat-ayat dan tafsirannya. Tidak dapat tidak kita akan lebih faham isi kandungan Al-Quran dengan menghadiri majlis membaca Al-Quran seperti yang diadakan pada malam ini. Inilah tujuan sebenar yang kita adakan musabaqah membaca Al-Quran. Yang lainnya adalah selingan sahaja guna untuk menarik minat kita mendekatkan diri kepada ajaran dalam Al-Quran Al-Karim. Saudara-saudara sekelian, 10. Beberapa hari lagi umat Islam akan mula menunaikan ibadat puasa Ramadhan sebagai menyempurnakan salah satu rukun Islam yang lima. Umat Islam dikehendaki membanyakkan beribadat, lebih-lebih lagi membaca Al-Quran di dalam bulan Ramadhan. Oleh itu bulan Ramadhan merupakan satu ketika yang paling penting bagi mengasah dan mengisi kerohanian kita dengan amalan-amalan yang baik dan akhlak yang mulia. 11. Di negara kita pada masa ini telah terdapat banyak buku-buku agama termasuk terjemahan Al-Quran di dalam bahasa Malaysia. Umat Islam bukan sahaja dapat memperolehi terjemahan Al-Quran dan tafsiran Al-Quran, malahan bermacam-macam buku yang dapat meluaskan lagi pengetahuan masyarakat mengenai berbagai aspek agama Islam. Kita harus merasa bertuah kerana keadaan ini adalah lebih baik daripada masa-masa yang lalu di mana begitu sukar sekali untuk kita mendapat bahan-bahan bacaan mengenai agama dan kalau pun ada, kebanyakannya ditulis dengan Bahasa Melayu lama yang susah difahami oleh peringkat muda di dalam masyarakat kita. 12. Bertambahnya sumber bacaan bagi kita adalah satu rahmat dan kita hendaklah mengambil peluang ini untuk mendalami pengetahuan kita mengenai Islam dan tentang isi kandungan Al-Quran, mudah-mudahan dengan usaha kita itu, kita akan mendapat petunjuk dan manfaat yang bertambah lagi. 13. Kita maklum bahawa pada masa ini dunia sedang mengalami perubahan yang amat pesat dan masyarakat yang lemah pegangan agamanya sedang dipengaruhi oleh berbagai gejala yang tidak sihat. Kita tidak boleh membenarkan negara dan masyarakat kita dibinasakan oleh gejala-gejala ini. Kita harus waspada bahawa bibit-bibit penyakit sosial boleh meresap ke dalam angkatan tentera dan akan melemahkan negara kita. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berpegang kepada ajaran-ajaran Al-Quran dan berlindung dengan Allah s.w.t. Janganlah kerana sedikit masalah kita membenar diri kita dipengaruhi oleh perasaan yang meluap-luap yang akhirnya membawa kepada tindakan yang tidak bertanggungjawab. Angkatan Tentera yang tidak bertanggungjawab dan tidak berdisiplin bukanlah angkatan tentera. 14. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pemenang-pemenang Musabaqah ini. Walau bagaimanapun kita harus sedar bahawa sesuatu Musabaqah Membaca Al-Quran bukanlah diadakan untuk berbangga samada dengan majlis yang disediakan atau pun dengan kemenangan, tetapi ialah kerana memuliakan Al-Quran dan mempelajari daripadanya. 15. Akhir kata, saya dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani dengan segala sukacitanya menutup Musabaqah Membaca Al-Quran Angkatan Tentera ini. Wabillahi taufik walhidayah Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |