|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA. Tarikh/Date : 02/06/82 Tajuk/Title : UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT-SETIA KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG SEMPENA HARI KEPUTERAAN RASMI BAGINDA Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, D.K.M., Yang Di Pertuan Agong, Ampun Tuanku. diri patek sendiri serta bagi pihak Kerajaan dan rakyat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda Tuanku pada hari ini. 2. Patek sekelian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmatNya Kebawah Duli Tuanku serta Baginda Raja Permaisuri Agong. Patek sekelian juga berdoa semoga Baginda Tuanku berdua sentiasa berada di dalam keadaan sihat wal'afiat serta kekal memerintah dan berkhidmat dalam jawatan yang tertinggi di Persekutuan ini dengan bertambah-tambah daulat dan kemuliaannya. Ampun Tuanku. 3. Suasana ekonomi dunia masih mengalami kemerosotan dan mengancam kemajuan banyak negara, khususnya negara-negara membangun. Walaupun negara kita telah mengambil tindakan-tindakan yang tegas bagi mengurangkan kesan kemerosotan ekonomi dunia ini, namun demikian dalam hubungan ekonomi antarabangsa moden kita tidak dapat mengelakkan diri daripada pengaruh kemerosotan ini. 4. Keadaan ini telah menjadi lebih genting lagi dengan sikap kurang simpati dan kejujuran setengah-setengah negara maju terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia ketika ini. Memandangkan kepada hakikat ini, kita terpaksa mengkaji semula keutamaan program-program dan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Keempat. Tujuannya ialah bagi membolehkan kita memelihara ekonomi negara dan mengurangkan kesan-kesan yang buruk kepadanya. Walau bagaimanapun Kerajaan akan terus memberi perhatian dan keutamaan kepada program-program dan projek-projek yang dapat memberi faedah kepada rakyat. 5. Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sedang memberi keutamaan kepada semua usaha yang dapat meningkatkan daya pengeluaran sebagai satu dari usaha-usaha memulihkan ekonomi negara. Tindakan-tindakan tertentu sedang diambil ke arah mewujudkan satu etika kerja yang mementingkan disiplin dan kesungguhan bekerja di kalangan semua rakyat. Insyaalah, dengan penglibatan semua pihak, lebih-lebih lagi penglibatan rakyat biasa, usaha-usaha kita ini akan mencapai kejayaan. 6. Patek sekelian yakin bahawa di bawah naungan Tuanku, negara Malaysia akan terus berada di dalam suasana aman, sejahtera dan makmur. Patek sekelian juga yakin bahawa dengan pimpinan Tuanku taraf kehidupan rakyat akan meningkat dan perpaduan serta ketahanan di kalangan mereka akan menjadi bertambah kukuh. Patek bersama-sama dengan Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri serta sekelian pegawai dan kakitangan Kerajaan akan terus berusaha dengan lebih giat lagi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab patek sekelian dengan bersih, cekap dan amanah. 7. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, patek bagi pihak diri patek sendiri dan bagi pihak Kerajaan dan rakyat sekelian dengan segala hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku. Ampun Tuanku. Sekian, sembah patek harap diampun. |