|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 06/05/82 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PAMIRAN SAINS 1982 DAN PELANCARAN TABUNG PENYELIDIKAN DAN KEMAJUAN SAINS NEGARA Dif-dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian. Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala kerana dengan izinNya dapat saya bersama-sama menghadiri Majlis Perasmian Pamiran Sains 1982 dan Pelancaran Tabung Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara pada petang ini. 2. Bagi saya Majlis ini adalah satu majlis yang amat penting dalam konteks perimbangan pembangunan di negara kita. Pamiran Sains dan juga penubuhan Tabung Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara merupakan detik-detik penting dalam sejarah negara kita. Ini bukanlah kerana sains membuktikan pencapaian negara kita dalam bidang pembangunan dicipta oleh Tuhan. Kita digesa oleh Allah s.w.t. supaya memerhatikan langit dan bumi dan segala isinya supaya kita lebih mengetahui. Lebih khusus dan mendalam kita mengkaji dan mengenal segala ciptaan Tuhan akan lebih kagum kita dengan susunan rapi dan kompleksnya benda-benda dan makhluk yang diciptakan Allah. Dari atom yang sehalus-halusnya kepada alam semesta yang tidak terhingga besarnya, semuanya adalah tersusun mengikut hukum-hukum tertentu dan memainkan peranan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Hukum-hukum Allah menentukan gerak-geri dan perhubungan antara satu badan atau benda dengan yang lain supaya manusia boleh memahami dan menggunakan ciptaanNya. Yang diperlukan ialah kesanggupan meneliti hukum-hukum Tuhan dan dari itu dapatlah kita mencari nikmat darinya. Sepertimana kita tahu hujan turun pada musim yang tertentu dan menyuburkan bumi supaya dapat kita bercucuk tanam, begitu jugalah kita boleh tahu bahawa besi bila dibakar menjadi lembut dan boleh dibentuk dan seterusnya atom boleh dijinakan untuk mengeluar kuasa bagi kegunaan manusia. 3. Semua ini adalah kuasa Tuhan dan Tuhan yang menentukannya. Tetapi orang yang angkuh memperkenalkan sains sebagai ilmu yang seolah-olah tidak ada kaitan dengan Allah, dan susunan gerak-geri "matter" dikenalkan sebagai scientific Laws yang terasing dari hukum-hukum Allah. 4. Saya memperingati hakikat ini supaya sekurang-kurangnya kita di Malaysia tidak lupa daratan. Sains adalah ilmu yang menjadi kepunyaan manusia jauh sebelum perkataan sains dicipta atau diperkenalkan. Sains cuma satu cara mengenal ciptaan dan hukum-hukum Tuhan yang diasaskan kepada kajian yang teratur yang tidak dipengaruhi oleh khayalan manusia. Tidak ada emosi dalam sains. Yang dikehendaki ialah mengenal hakikat yang ditentukan oleh Tuhan. Dengan pengenalan ini kita akan lebih faham keagongan Tuhan dan kurniaanNya kepada kita. Oleh kerana kita lebih tahu apa yang dikurniakan kepada kita sebagai insan maka dapatlah kita gunakan kurniaan ini dengan lebih berkesan dan lebih mendatangkan kebahagiaan kepada kita. Sepertimana hujan membolehkan kita bercucuk tanam, begitulah pemecahan atom boleh digunakan oleh kita untuk menjanakuasa dan lain-lain. Inilah sebabnya yang kita berminat dengan sains dan teknoloji yang menyusuli sains. 5. Ilmu pengetahuan boleh diguna untuk kebaikan atau untuk keburukan. Begitu jugalah dengan ilmu sains. Jika sains diguna untuk keburukan, ini bukan kerana sains itu tidak baik tetapi kerana manusia yang jahat menguasai sains. Menghapuskan sains untuk mengelak dari berlakunya kejahatan bukanlah caranya kerana kejahatan boleh berlaku tanpa sains. Untuk mengatasi kesan keburukan dari sains caranya ialah untuk orang yang baik dan bertanggungjawab menguasai sains. Jika kita berpendapat bahawa kita adalah baik dan orang lain tidak baik atau berniat jahat maka menjadi tanggungjawab kitalah menguasai ilmu sains. 6. Kita menggalak pelajaran sains dan penyelidikan di bidang sains kerana kita ingin guna sains untuk kebaikan dan untuk memelihara diri kita dari ditindas dan dihina oleh orang lain. Akan bersalahlah kita jika kerana salahfaham tentang sains dan teknoloji kita menolaknya. Sains bukan ciptaan dan hak orang Barat. Sains adalah susulan dari ilmu-ilmu kajian alam sekeliling yang telah disusun caranya supaya perasaan dan khayalan manusia tidak mempengaruhi kajian kebenaran susunan dan hukum-hukum yang ditentukan oleh Tuhan. Oleh itu tumpukanlah kepada ilmu ini tanpa melupakan ibadat yang lain. Akan kita lebih faham dan kagum dengan kebenaran Tuhan kerana ciptaanNya yang begitu teratur dan tersusun dan begitu berpotensi memanfaatkan manusia. 7. Saya tujukan penjelasan ini bukan kepada orang Islam sahaja tetapi kepada semua orang, khusus kepada cerdik-pandai di Malaysia. Janganlah kita jadi angkuh kerana kita memahami "the nature of matter and its application" dan kita fikir tidak ada siapa yang boleh mengatasi kita. Semua yang kita pelajari adalah hukum-hukum Tuhan terhadap matter dan penggunaan ilmu yang kita kuasai cuma boleh dibuat jika ia secucuk dengan hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Tuhan. Oleh itu bersikap rendahdirilah semua kita walau bagaimana tinggi sekalipun pengetahuan kita. Scientology dan atheisma tidak akan wujud jika kita tahu punca pengetahuan kita dan kita sujud kepada Tuhan yang Maha Kuasa. Bangsa Malaysia akan menjadi lebih bahagia dan lebih mulia jika perspective yang sebenar dalam mempelajari ilmu sains dan teknoloji yang menyusulinya difahami sepenuhnya oleh kita. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian. 8. Apa yang dicapai oleh sains setakat ini, walaupun begitu mengkagumkan sekali, hanyalah merupakan sebahagian kecil daripada kemampuan yang dirahmatkan oleh Tuhan kepada kita daripada gedung ilmu pengetahuan yang menunggu kita. Yang menjadi penghalang terhadap kemajuan kita di dalam semua lapangan dan bidang yang diredhai ialah semangat dan usaha. Oleh itu usaha untuk menyedar rakyat supaya berminat terhadap sains dan teknoloji sebagai alat untuk kemajuan perlulah diadakan. Majlis ini merupakan titik-titik penting di dalam tindakan kita untuk meletakkan asas yang kukuh di dalam kemajuan sains, teknologi, ilmu pengetahuan dan penyelidikan yang saintifik di negara kita. 9. Sehingga sekarang sains masih merupakan satu perkara asing yang ganjil kepada kebanyakkan rakyat Malaysia. Ramai yang takut memasuki bidang sains kerana dianggap susah dikuasai. Anggapan ini menjadi satu benteng yang tinggi yang menyekat penggunaan sains dalam mencapai kehidupan yang lebih bahagia. Sementara kita dengan mudahnya mengguna hasil sains di negara asing, kita sendiri tidak mengguna cara sains dalam kajian dan teknoloji sains dalam memperbaiki alat-alat dan pengeluaran kita. Di sini nampaknya jelas bahawa anggapan bahawa sains adalah satu misteri yang kita tidak mungkin kuasai perlu dihapuskan. 10. Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sains dalam bentuk yang mudah difahami oleh semua orang. Sebuah Syarikat Jepun, iaitu Matsushita telah bersetuju mengadakan pamiran model-model yang menerangkan beberapa asas-asas sains dan juga cara-cara alat-alat rekaan manusia yang menggunakan asas-asas sains ini terutama dalam bidang electronik. Model-model ini akan dipamir disatu dewan pamiran di Universiti Teknoloji di Kuala Lumpur. Model-model ini akan ditukar dan diperbaharui apabila alat-alat yang lebih moden dicipta. Melalui model-model ini kanak-kanak dan orang dewasa akan dapat faham dengan mudahnya asas-asas sains dan cara asas-asas ini diguna dalam alat-alat yang menolong memudahkan kehidupan manusia. Dengan cara ini kita berharap sains tidak lagi menjadi satu misteri atau ilmu yang ajaib tetapi sebaliknya dikenal dan difaham oleh semua. 11. Selain daripada rancangan ini institusi-institusi yang memberi keutamaan kepada sains, teknologi dan penyelidikan, akan mendedahkan sains secara menyeluruh. Sehingga kini walaupun talivisyen menunjuk siri-siri sains, semuanya adalah buatan luar negeri yang menimbul perasaan terasing dan keajaiban. Patut juga kita adakan gambar-gambar yang memperkenalkan asas-asa sain dengan mengguna peristiwa dan contoh di dalam negara kita sendiri. Umpamanya berkenaan dengan bercucuk tanam , gambar-gambar yang mudah difaham boleh dibuat yang menunjuk bagaimana pokok-pokok tumbuh dari benih hingga ke peringkat mengeluar hasil, atau peranan serangga dalam tumbuh-tumbuhan, atau bagaimana ternakan ikan diasaskan kepada sains dan seribu satu peristiwa lagi. Tidak menjadi salah jika pakar-pakar dari luar negeri diguna buat permulaaan sehingga kita memiliki kecekapan mengeluarkan gambar-gambar itu. Di samping itu semua perpustakaan hendaklah dilengkap dengan buku-buku sains yang mudah difaham yang mengguna gambar-gambar sebagai cara menjelaskan proses-proses sains yang berjalan. Tumpuan hendaklah diberi bukan sahaja kepada kanak-kanak di sekolah tetapi kepada orang dewasa terutama kaum tani yang perlu faham proses tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber saraan mereka. 12. Sains sebagai ilmu bukanlah untuk ahli sains sahaja. Sains di zaman ini adalah untuk orang ramai. Oleh itu adalah penting orang ramai mengenali sains dan mengetahui peranannya dalam kehidupan mereka. Kita tidak mahu rakyat di negara ini tercengang dengan kebolehan orang lain kerana mereka tidak faham bagaimana orang asing menggunakan sains untuk membuat itu dan ini. Tidak ada sesuatu yang lebih melemahkan semangat daripada kurang pengetahuan. Kita tidak mahu rakyat Malaysia lemah semangat sehingga mudah ditawan jiwa mereka. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian. 13. Saya telah menyentuh dengan ringkas mengenai rangka dan tempat sains, teknologi, ilmu pengetahuan dan penyelidikan di dalam konteks negara kita. Rangka yang saya sebutkan itu merupakan asas dasar sains negara. Saya harap Majlis Kebangsaan Bagi Kemajuan Sains dan Penyelidikan akan memperkemaskan aspek-aspek dasar ini bagi membolehkan kemajuan sains dan penyelidikan berkembang mengikut kehendak negara. Perseimbangan hendaklah diberi kepada aspek-aspek asas dan gunaan atau 'basic and applied' dan kepada sains mutlak dan juga sains kemsyarakatan. Tindakan hendaklah juga diambil supaya kemajuan sains dan penyelidikan akan memberi hasil yang optima kepada kita kerana, sebagai negara yang kecil dengan kemampuan kewangan yang terhad, kita terpaksa menjamin tindakan-tindakan kita tidak menimbulkan pembaziran dan pertindihan aktiviti. Institusi-institusi penyelidikan, termasuk institusi-institusi pengajian tinggi yang mempunyai fungsi-fungsi penyelidikan hendaklah memberi keutamaan kepada penyelarasan dan mutu penyelidikan di samping mengambil daya usaha untuk meningkatkan kemampuan penyelidik ahli-ahli sains dan penyelidik-penyelidik tempatan. 12. Saya difahamkan bahawa Majlis Kebangsaan Bagi Kemajuan Sains dan Penyelidikan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sedang berusaha untuk memperkemaskan lagi usaha ke arah kemajuan sains dan penyelidikan di negara kita. Saya rasa masanya telah sampai bagi pendekatan ke arah memajukan sains dan teknologi serta penyelidikan di negara kita mendapat sambutan yang lebih positif daripada semua pihak yang berkenaan. Tabung Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara dengan sumbangan sebanyak sejuta Ringgit daripada Kerajaan tidak akan mencapai tujuannya jika tidak bersama-sama mendapat sumbangan dan kerjasama sektor swasta dan lain-lain pihak. Oleh itu sukalah saya menggesa supaya Tabung ini dianggap oleh semua pihak sebagai tanggungjawab bersama bagi memajukan sains dan penyelidikan di negara kita. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian. 13. Dengan harapan ini, saya dengan segala sukacitanya merasmikan pelancaran Tabung Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara dan seterusnya merasmikan Pamiran Sains 1982. |