|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL REGENT, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 20/03/82 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG KOPERASI BELIA NASIONAL BERHAD (KOBENA) Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Dato Mokhtar Hashim Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan; Yang Berhormat Dato Abdullah Ahmad Badawi Pengerusi KOBENA; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah KOBENA kerana telah menjemput saya ke Majlis ini dan memberi peluang kepada saya untuk memberi sepatah dua kata sempena Mesyuarat Agung KOBENA yang pertama pada pagi ini. 2. Kemerdekaan negara kita telah dicapai dengan perjuangan serta pengorbanan tokoh-tokoh negara dan rakyat sekelian. Mereka sanggup berjuang dan berkorban demi untuk melahirkan satu negara yang berdaulat, aman dan sejahtera yang diidam-idamkan. Impian dan idaman ini menjadi tanggungjawab mereka yang datang kemudian yang mewarisi negara ini untuk mengisikannya dan memberi makna kepadanya. 3. Dengan segala sumber-sumber yang wujud di negara kita dan lain-lain faktor yang dapat membantu kita untuk membangun, tidak ada sebab mengapa kita sebagai bangsa Malaysia moden tidak dapat menjadi satu bangsa yang maju dan agung di dalam semua lapangan. Saya yakin ini akan tercapai jika setiap orang daripada kita menterjemahkan konsep cintakan negara sebagai tindakan untuk bekerja dengan kuat, dengan disiplin dan dengan dedikasi. Kita bukan sahaja mesti sanggup mati kerana cintakan negara tetapi harus bekerja bagi mengisikan kemerdekaan negara kita kerana kita cintakan negara. 4. Kita dapat belajar daripada pengalaman bangsa-bangsa dan negara-negara lain. Sejarah telah menunjukkan kepada kita bagaimana sesuatu bangsa itu berkembang dan maju menjadi satu tamadun yang besar dan bagaimana pula kerana faktor-faktor tertentu tamadun yang besar itu telah menjadi lumpuh dan hancur dan tempatnya digantikan oleh tamadun lain. Di zaman kita ini, kita telah melihat bagaimana negara-negara perindustrian barat telah meningkat ke puncak kemajuan tetapi semenjak akhir-akhir ini kita telah nampak bagaimana sikap dan sifat mereka telah mencerminkan gejala-gejala yang akan melemahkan mereka. Sebaliknya kita juga dapat melihat bagaimana Republik Korea dan Jepun misalnya dapat berlumba dengan negara-negara barat yang maju sehingga bukan sahaja dapat menandingi mereka malahan menunjukkan ciri-ciri bahawa mereka akan melintasi pencapaian negara-negara barat kerana mereka dapat mengekalkan pencapaian mereka. Sebagaimana saya pernah tegaskan, pengalaman Republik Korea serta Jepun khususnya aspek-aspek etika bekerja harus menjadi pedoman kepada kita dalam usaha-usaha kita untuk membangunkan negara. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 5. Kaum Belia merupakan satu kumpulan tenaga manusia yang penting bagi pembangunan negara. Kepentingan ini bukan sahaja dari segi jumlahnya yang besar tetapi juga kerana peranan serta potensinya dalam memajukan semua bidang dan lapangan sama ada sosial, ekonomi mahupun budaya. Begitu pula gerakan koperasi yang merupakan satu aktiviti dengan falsafah untuk membawa kemakmuran dan keadilan kepada masyarakat secara kerjasama dan dengan berdikari. Gerakan koperasi juga mempunyai peranan serta potensinya yang amat besar bagi memajukan rakyat serta melibatkan mereka di dalam arus pembangunan. Oleh itu KOBENA sebagai sebuah koperasi belia, bukan sahaja mempunyai peranan dan potensi yang besar, tetapi juga mempunyai masa depan yang cerah dan pencapaian yang besar bagi memenuhi cita-cita dan hasrat pembangunan negara sekiranya ianya dipupuk mengikut lunas-lunas tertentu. 6. KOBENA adalah satu koperasi belia yang bukan-elite dari segi keanggotaannya. Ahli-ahli KOBENA adalah belia-belia biasa yang jika dibiarkan secara bersendirian sebahagian besarnya tidak dapat menyertai arus pembangunan moden dalam berbagai-bagai lapangan. Itulah sebabnya saya berbangga kerana KOBENA bukan sahaja telah memasuki berbagai bidang kegiatan ekonomi malahan yang lebih penting ialah kesanggupannya untuk menerima cabaran-cabaran besar seperti dalam usaha-sama dengan syarikat asing untuk membangunkan Universiti Teknologi Kebangsaan dan untuk menerokai cara perdagangan yang lebih dinamis iaitu perdagangan ala-sogoshosha. Kemampuan KOBENA telah dapat saya saksikan dengan kejayaannya menubuhkan kem latihan bagi membekalkan tenaga belia yang terlatih bagi pembinaan UTK dalam jangka waktu yang singkat. Kemampuan KOBENA juga dapat kita saksikan dari prestasi kewangannya yang telah menunjukkan keuntungan semenjak tahun 1980 iaitu kira-kira empat tahun selepas menjalankan perniagaan. 7. Pengalaman kita berhubung dengan gerakan koperasi pada umumnya kurang menyenangkan. Sebahagian besar daripada pertubuhan koperasi di negara kita mengalami berbagai masalah. Teras masalah ini ialah pengurusan yang lemah. Pada hari ini suka saya mengambil peluang untuk menekankan tiga perkara yang harus menjadi panduan kepada koperasi. 8. Pertama sekali, koperasi yang ingin berjaya mestilah sanggup untuk bertanding di dalam dunia perniagaan moden. Ini tidak semestinya akan menghilangkan ciri-ciri koperasi tetapi sebaliknya akan meletakkan koperasi di atas landasan yang baru bagi menjamin persaingan secara competitive dalam dunia serba moden ini. diasingkan sebegitu rupa supaya tidak menjejas perjalanan dan prestasi koperasi. Di sini yang ingin saya tekankan ialah keperluan koperasi meletakkan perjalanan koperasi kepada pihak pengurusan yang profesional supaya koperasi dapat diteraskan kepada ciri-ciri perniagaan dan pengurusan moden. Koperasi yang ingin berjaya tidak dapat tidak mesti memberi keutamaan kepada profesionalisma di dalam pengurusan. Bagi saya tidak ada kompromi dalam hal ini. 10. Ketiga, badan-badan koperasi, sebagaimana juga dengan perusahaan-perusahaan awam atau "public enterprises" mestilah dapat memisahkan persoalan dasar dengan persoalan pengurusan supaya usaha-usaha yang dijalankan tidak akan menjadi terumbang-ambing dan seterusnya gagal kerana dipengaruhi oleh gejala-gejala peribadi dan politik kumpulan. Koperasi mesti diuruskan untuk menjamin prestasi yang tinggi dari segi keuntungan dan kewangan serta kecekapan pengurusan, dan perkara-perkara ini boleh dicapai tanpa dijejaskan atau dengan berselindung di sebalik aspek-aspek objektif-objektif sosial yang kononnya selalu dianggap sebagai faktor yang menjejaskan prestasi. Anggapan bahawa prestasi kewangan sesuatu badan, sama ada satu koperasi atau perusahaan awam dipengaruhi oleh objektif-objektif sosial adalah satu perkara dongeng kecuali badan-badan ini dapat membuktikan yang ianya telah diuruskan dengan berkesan dan efisien, kalau tidak, apa yang harus diterima ialah ia adalah akibat pengurusan yang tidak cekap dan lemah ataupun penyelewengan. Saya harap pengertian ini akan menjadi panduan kita supaya kita tidak lagi berdalih-dalih di atas kelemahan-kelemahan kita. 11. Dari analisa asas kejayaan ini, kita tentu faham bahawa faktor peribadi manusialah yang menentukan jaya atau tidak cekap dan yang mengutamakan kepentingan diri, tidak ada sistem yang boleh membawa kejayaan. Sebab itulah penekanan sekarang diberi kepada pembentukan peribadi yang baik di kalangan belia Malaysia. Mereka hendaklah berdisiplin, sanggup bekerja kuat dan sanggup menghadapi cabaran. Mereka hendaklah mengutamakan kejayaan masyarakat Malaysia lebih dari kejayaan bagi diri sendiri. Mereka hendaklah sanggup berkorban hari ini kerana kebaikan pada hari esok. Mereka tidak harus utamakan keuntungan semasa atau secepat mungkin dengan membelakangkan nikmat dan kehormatan jangka panjang. Mereka hendaklah menjaga maruah diri dan maruah bangsa dan jangan sekali-kali menjual maruah dengan mudah. 12. Saya berbangga dengan KOBENA yang telah memberi perhatian yang sewajarnya kepada perkara-perkara yang telah saya sebutkan itu. Saya harap KOBENA akan terus memupuk ciri-ciri ini sebagai tradisinya yang baru. Tradisi ini harus pula menjadi contoh bukan sahaja kepada gerakan koperasi tetapi juga kepada gerakan belia dalam usaha-usaha untuk meningkatkan penyertaan bumiputera di dalam bidang perniagaan dan perusahaan di bawah Dasar Ekonomi Baru. 13. Saya harap KOBENA akan sentiasa meningkatkan kemampuannya bagi menjalankan usaha-usaha yang lebih besar. KOBENA harus memperluaskan sekim latihannya bagi membekal tenaga terlatih untuk aktiviti-aktivitinya yang lain yang saya faham tersebar di seluruh negara. Saya memberi jaminan kepada KOBENA untuk mempertimbangan cadangan-cadangannya untuk memasuki bidang-bidang yang lebih besar dengan juga menyediakan rancangan latihan secara integrated. KOBENA juga boleh mengambil bahagian di dalam projek-projek "turn-key" yang sekarang ini diberi keutamaan oleh Kerajaan. Cara latihan yang dijalankan oleh KOBENA juga harus dicontohi oleh pihak-pihak yang lain supaya negara akan mendapat bekalan tenaga terlatih yang diperlukan dengan etika kerja yang sesuai bagi kemasukan kita ke dalam era pembangunan yang setanding dengan negara-negara maju. 14. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada KOBENA dan dengan ini juga merasmikan Mesyuarat Agung ini. Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |