|
home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA BALAI BESAR, KOTA BHARU Tarikh/Date : 22/02/82 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN NEGERI SEMPENA LAWATAN KE NEGERI KELANTAN Yang Amat Berhormat Dato' Mohamad Yaakob, Menteri Besar Kelantan dan Datin; Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Ketua-Ketua dan Wakil-Wakil Parti Komponen Barisan Nasional; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian. Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya mengucap syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana, dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat saya membuat lawatan ini, iaitu lawatan saya yang pertama ke Negeri Kelantan setelah memegang jawatan Perdana Menteri. Di atas persediaan serta sambutan yang diberikan kepada saya dan rombongan saya, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. 2. Negeri Kelantan adalah sebuah negeri yang indah yang diduduki sebahagian besarnya oleh orang Islam dari bangsa Melayu yang cekap dan rajin. Mereka tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk keperluan hidup dan pembangunan mereka. Seperti orang Islam di lain-lain tempat juga mereka memerlu pengetahuan tentang Islam melalui tukar fikiran dan penyerapan ajaran dari seluruh dunia. Ramai juga dari anak Kelantan yang berminat mempertinggikan pengetahuan agama; sudah tentu tidak kurang dari minat orang-orang di negeri-negeri lain di Malaysia. 3. Memandang kepada faktor-faktor ini sepatutnya Kelantan menjadi aman dan makmur. Islam sebagai agama yang menjadikan keamanan sebagai satu dari namanya dan sebagai satu cara bersalaman atau "greetings", sepatutnya menjadi panduan kepada satu negeri yang penduduknya majoriti terdiri dari orang Islam. Tetapi hakikatnya ialah berlainan daripada apa yang secara logik sepatutnya berlaku. 4. Kita dapati Kelantan dengan begitu ramai orang Islam yang cekap dan rajin adalah di antara negeri-negeri yang ketinggalan dalam serba-serbi. Seperti biasa ini berlaku bukan kerana Islam menjadi penghalang tetapi kerana terdapat sebilangan kecil orang Islam di Kelantan yang keIslamannya berada cuma di bibir. Oleh kerana orang-orang ini telah dapat mempengaruhi rakyat selama 18 tahun, maka masyarakat Islam Kelantan yang sepatutnya aman dan makmur didapati berada dalam keadaan yang tidak menyenangkan. Seluruh umat Islam di Malaysia, dan saya percaya di dunia juga, berasa sedih kerana kejadian ini. 5. Tetapi Allah Maha Kuasa. Pada tahun 1978 orang Kelantan sendiri melalui pilihanraya menentukan kemungkinan Kelantan menjadi aman dan makmur. Sejak itu kita telah lihat pembangunan yang luar biasa. Banyak kemajuan telah dicapai dan banyak lagi yang akan dilaksanakan. 6. Kerajinan dan kecekapan orang Kelantan membolehkan mereka bersaing dengan siapa sahaja dengan jayanya. Segala bidang kerja dipenuhi dengan anak Kelantan sendiri. Demikianlah kemampuan mereka sehingga tenaga mereka melimpah ke negeri-negeri jiran dan lain-lain negeri, bahkan ke luar negeri. Di mana sahaja ada kerja yang memerlukan kecekapan, di situ terdapat orang Kelantan. 7. Sepatutnya dengan terdirinya sebuah Kerajaan yang betul-betul berpegang kepada ajaran Islam seperti yang terdapat sekarang, Kelantan tidak punyai masalah lagi. Malangnya pada masa-masa yang lampau ini masalah cetus semula. 8. Pengaruh politik yang tidak menghiraukan ajaran Islam berkembang semula. Kita lihat bagaimana seruan Islam supaya orang Islam bersatu padu diganti dengan seruan yang kononnya berpunca dari Islam bahawa orang Islam patut berbalah sesama sendiri kononnya untuk mencari jalan yang benar. Begitu juga sungguhpun Islam menegah perbuatan mengkafir dengan sewenang-wenang, perbuatan ini dibuat oleh orang-orang yang pengetahuan Islam amat cetek dan yang lebih taksub kepada kepentingan politik parti dan rebutan kuasa. 9. Hari ini sekali lagi kita lihat perpecahan di kalangan orang-orang Islam di Kelantan sehingga lebih banyak tenaga ditumpu kepada politik parti daripada pembangunan umat Islam. 10. Kerajaan Kelantan dan pendukung Kerajaan Kelantan tidak boleh dipengaruhi oleh emosi dalam perkara ini. Kerajaan hendaklah pegang kepada ajaran Islam dalam pentadbirannya. Ada orang yang mentafsirkan Islam semata-mata sebagai perbuatan potong tangan dan kepala. Bagi mereka Islam tidak wujud selagi tangan dan kepala tidak dipotong. Tetapi kita tahu Islam adalah lebih daripada itu. Islam sebenarnya menekankan kesejahteraan dan kebahagian umat. Dengan kesederhanaan yang ditunjuk oleh Kerajaan kita menjadikannya benar-benar Kerajaan Islam, kerana ianya membawa kebahagian dan keamanan kepada umat. Janganlah kerana orang lain menyalahguna dan menyalahtafsir agama Islam untuk kepentingan mereka kita pula turut berbuat demikian. Kita akan terus mencari jalan untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar yang diredhai oleh Allah s.w.t. 11. Pembangunan Negeri Kelantan sekarang sudah mencapai kemajuan yang baik. Segala kemudahan yang penting telah diadakan. Tidak lama lagi sebuah pelabuhan akan diadakan supaya barang-barang dapat dibawa terus ke Kelantan dari tempat-tempat lain melalui kapal. Lapanganterbang juga akan dibesarkan supaya kapalterbang yang besar dan berat dapat mendarat. 12. Lebuhraya Timur Barat yang akan dibuka tidak lama lagi akan memudahkan perjalanan antara pantai timur dengan pantai barat Malaysia. Memang ada yang berkata ini akan memudahkan orang luar datang ke Kelantan dan mengancam penduduk Kelantan. Saya kurang faham tentang perkara ini. Ramai anak Kelantan sanggup pergi ke Singapura untuk bekerja secara langsung di bawah arahan Cina Singapura. Tetapi usaha untuk membolehkan mereka balek bekerja di Kelantan ditentang oleh segelintir orang dari Kelantan. Apakah mereka suka supaya anak Kelantan berkejar ke negara asing untuk mengabdikan diri? Selagi peluang kerja tidak cukup di Kelantan, selama itulah anak Kelantan terpaksa berhijrah. Tetapi dengan adanya lebuhraya dan lain-lain pembangunan anak Kelantan akan dapat balek bekerja untuk negeri sendiri. 13. Kerajaan Barisan Nasional Negeri Kelantan yang memerintah sejak 1978 telah menjalankan tugas dengan cekap dan dedikasi. Saya mengucap tahniah kerana kesungguhan Kerajaan Kelantan untuk membangunkan Kelantan. Dalam sistem yang kita amalkan, tak dapat tidak pendapat yang berbeza-beza akan timbul dalam pentadbiran. Pendapat yang berbeza ini adalah satu kekuatan dan bukan kelemahan. Jika semua pendapat dalam anggota Kerajaan adalah sama, maka tidak perlu kita ada lebih dari seorang sebagai Kerajaan. Dalam dewan mesyuarat dan exco yang penting ialah suara ramai dan kesanggupan oleh minoriti menerima pendapat majoriti. Juga jika perbalahan berlaku, keputusan ketua hendaklah dihormati walaupun pahit ditelan. 14. Saya berharap konsep dan semangat demokrasi ini difaham oleh semua pihak. Saya berharap juga pegawai-pegawai memahami sistem ini. Jika sistem ini diamal seperti dirancang, pentadbiran yang baik tetap akan berlaku. 15. Kerajaan Pusat sentiasa memerhati perjalanan Kerajaan negeri. Memanglah terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Pusat akan cuba menolong di mana perlu dan mungkin. Walaupun demikian, tentulah ada perkara-perkara yang di luar dari keupayaan Kerajaan Pusat mengatasinya. Untuk mengelak dari berlakunya masalah yang tidak dapat diatasi, Kerajaan Negeri hendaklah berhati-hati dalam merancang dan mendapat nasihat Kerajaan Pusat terlebih dahulu. Ini akan menentukan masalah tidak berlaku terlalu kerap. 16. Kerajaan yang ada sekarang ingin melihat wujudnya Kerajaan yang cekap, licin dan bersih di seluruh Malaysia. Sudah tentu Kelantan tidak dikecualikan. Kita tidak mungkin mengadakan Kerajaan yang seratus peratus cekap, seratus peratus licin dan seratus peratus bersih. Tetapi ini tidak sepatutnya melemahkan semangat kita untuk berusaha ke arah matlamat yang mulia ini. Saya berharap semua anggota Kerajaan Kelantan, sama ada dari ahli politik atau pegawai hendaklah berusaha untuk mencapai matlamat yang telah kita tentukan. Insyaallah usaha kita akan membawa lebih banyak kejayaan kepada Negeri Kelantan. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 17. Akhirnya saya sekali lagi mengucap terima kasih kepada Kerajaan Kelantan, ahli-ahli politik dan pegawai-pegawai yang telah memberi sambutan terhadap lawatan saya. Saya berharap perhubungan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan akan baik selama-lamanya. Saya berdoa mudah-mudahan pembangunan Kelantan tidak terganggu kerana khayalan dan tamaknya orang-orang tertentu. |